Hijab mata dibuka, maka hati terasa dekat pada bonda. Lahirnya seorang zuriat di muka bumi Allah adalah hadiah paling istimewa buat seorang ibu. Tidak dinafikan setiap pengorbanan yang dicurahkan ibu malah tiada harta di dunia mampu membalas segala jasa mereka.

Sehingga kini, penulis sendiri tidak tahu bagaimana untuk memberikan kebahagiaan buat bonda, apa termampu, itu yang dilakukan. Selagi mereka masih hidup, selagi itulah kita akan menabur jasa dan menggembirakan mereka.

IKLAN

Ibu yang mengandungkan, membesarkan dan memberi pendidikan adalah ibu yang menjadi ratu hati kita. Dan seorang lagi ibu yang perlu menjadi sebahagian daripada kita ialah ibu mertua juga perlu dijaga dengan baik.

Tidak perlu penulis ingatkan bagaimana sama pentingnya kehadiran ibu kandung dan ibu mertua. Tidak perlu ada double standard, tidak perlu rasa bongkak atau sombong dalam soal kegembiraan kedua-dua harta dunia akhirat ini.

Namun, di sebalik kesungguhan kita mencari peluang mengukir senyuman di wajah bonda, ada juga segelintir manusia yang memilih untuk tidak mengendahkan harta yang satu lagi… ibu mertua.

Baru-baru ini, penulis mendengar luahan seorang teman yang cukup akrab. Dalam wajah kegembiraan rupanya terselit kedukaan di hati kecilnya. Hampir lima bulan hubungan kekeluargaan antara adik-beradik Kalsum dengan salah seorang abangnya seakan terputus, gara-gara fitnah yang dilempar.

“Dalam keluarga, kakak ipar yang seorang ni jadi pengantara kami dengan seorang lagi kakak ipar. Itu pun, mengenai abang kami juga.

Entah macam mana, kami dituduh menabur fitnah sedangkan apa yang kami beritahu adalah perkara yang benar dan jelas maksudnya. Itu sebenarnya diakui oleh abang kami juga.

Dalam kami adik-beradik tidak bertegur sapa, rupa-rupanya dalang yang memutuskan lagi hubungan kami adik-beradik adalah kakak ipar, isteri kepada abang kami yang bermasalah itu!”

Nampak complicated pula masalah Kalsum ni. Menurut Kalsum, kakak iparnya itu langsung tidak menghubungi ibunya, apa lagi cuba menjernihkan hubungan mereka atau sekurang-kurangnya bertanya khabar ibu mertua.

Malah, satu-satunya anak tunggal mereka juga dipengaruhi dengan entah fitnah apa lagi mengenai keluarga Kalsum. Langsung tidak ada khabar berita. Sejak awal lagi, si abang memutuskan tali persaudaraan dengan adik-beradiknya. Peranan si isteri pula bukan untuk memperbaiki hubungan malah lebih mengeruhkan keadaan!

I rapat sangat dengan anak buah I tetapi sejak kejadian tu, kami langsung tak bertegur sapa. Whatsapp tak, SMS tak, call lagilah tidak! Satu hari mak I hubungi abang I and you know what, bila mak I kata isterinya langsung tak call mak I, abang terus suruh mak I yang call dia sendiri. Hey, kau siapa nak suruh mak aku terhegeh-hegeh!”

IKLAN

Marah sungguh nada Kalsum. Penulis yang mendengar pun rasa panas telinga juga. Tergamak anak lelakinya menyuruh ibu kandung sendiri menghadap isteri kesayangan. Tidak sedar kewajipan seorang anak lelaki sepatutnya sehingga ibu dimasukkan ke liang lahad?

Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Hubungan yang terputus sunyi tanpa berita. Baik ibu Kalsum mahupun abangnya, masing-masing menyepikan diri sehinggalah satu jemputan kahwin diterima daripada ibu saudara Kalsum.

Dalam hati kecil ibu Kalsum, dia berharap anak lelakinya itu akan hadir bersama keluarga kecil mereka ke majlis itu. Setidak-tidaknya, boleh juga menyambung kembali tali persaudaraan.

“Abang I dan keluarganya datang tetapi tidak mesra seperti dulu. Dia datang ke meja kami dan bersalaman dengan ibu sebelum berangkat pulang. Anaknya juga bersalaman dengan kami tapi membisu seribu bahasa.

IKLAN

Sedih rasa hati, anak buah yang rapat kini umpama orang asing. Rindu untuk memeluk, rindu untuk mencium, rindu untuk bergosip malah rindu untuk bertanya khabar. Lebih menguatkan lagi sangkaan I pada kakak ipar I apabila dia langsung tidak bertemu mak untuk bersalam!

Harapkan tudung labuh, mengajar agama dan sibuk soal halal haram, tetapi ibu mertua sendiri diketepikan, siapa pula mahu ‘azankan’ di telinganya? Wajah mak sedih dan terkilan. Tidak dapat nak bermesra dengan cucunya, malah anak lelaki juga kian jauh. I tak tahu apa yang ada dalam hati mak tapi memang dia sedih,” kisah Kalsum.

Kita hanya mampu menarik nafas panjang. Hina sungguh hati seorang menantu. Di mana letaknya rasa hormat pada ibu mertua, yang sepatutnya dilayan seperti ibu sendiri?

Tidak terfikir bagaimana tindakan itu akan mengundang persepsi pada anaknya yang sedang membesar? Mungkin ramai yang tidak sedar soal kifarah tapi bagaimana pula jika mengingati pepatah ‘hidup umpama roda’?

Sesungguhnya insan mulia bergelar ibu cukup bernilai. Beruntung mereka yang masih berpeluang berbakti kepada ibu, waima ibu mertua sekalipun.

Tidak miskin hartamu untuk mengukir kebahagiaan di wajahnya, tidak sakit tubuhmu tatkala memimpin atau mengendong mereka saat mereka tidak mampu berjalan malah tidak mati jasadmu biarpun seluruh jiwamu diberikan pada mereka. Wallahua’lam. KR

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI