
Meraikan majlis pernikahan ketika PKPB masih berkuat kuasa, sesungguhnya bukan sesuatu yang mudah. Banyak perkara yang perlu difikirkan, antaranya soal penularan virus dan kesihatan tetamu. Inilah yang dikongsi oleh bekas pengacara TV3, Puan Sri Normala Samsudin sempena majlis anakanda kesayangan, Ruhila Roslan.
“Bila tiba majlis perkahwinan di musim COVID-19 ini, emak bapa jadi gundah gulana. Bukan sahaja pelbagai kekangan persediaan malah hidup norma baharu ini perlu dipatuhi. Maka kerisauan bertambah lagi apabila ada saudara mara, rakan taulan mahupun kenalan kerja yang tiada dalam senarai undangan.”
Sejurus itu, Puan Sri Normala dan suami, Tan Sri Azmi Khalid memohon maaf kepada banyak pihak kerana tidak mampu menjemput ramai orang ke majlis perkahwinan anak mereka, Ruhila Roslan.
“Mohon jangan berkecil hati, tapi saya mohon restu kalian dan doakan semuanya berjalan lancar. Moga Allah permudahkan urusan pernikahan dan resepsi kecil-kecilan ini,” tulisnya merendah diri.
Dalam foto yang dikongsikan di akaun Instagram miliknya, Puan Sri Normala sempat berswafoto dengan Dr Ruhila beberapa minit sebelum anak gadisnya menjadi milik orang.
Majlis pernikahan Dr Ruhila Roslan dan jejaka pilihan hatinya, Majid Nazli telah berlangsung di Masjid Bukit Damansara pada Ahad, 3 Januari 2020 lepas. Mengenakan persalinan baju kurung serba putih rekaan Zachrins Jaafar, penampilan mempelai tampak suci dengan solekan manis oleh Warnabilla.
Lembut dan klasik, memang nampak evergreen sepanjang zaman!


Selepas upacara nikah berlangsung, kedua mempelai mengadakan majlis resepsi kecil-kecilan dengan dihadiri keluarga dan kenalan rapat mereka di Glasshouse, Seputeh. Tema garden wedding menjadi pilihan mereka pada hari bersejarah tersebut.
Sama cantik, sama padan. Bagaikan pinang dibelah dua. Begitulah secocoknya pasangan Dr Ruhila dan Majid Nazli ini kala bersanding di pelamin.
Seronok melihat keakraban keluarga Puan Sri Normala Samsudin ni. Sentiasa supportive dan saling sayang-menyayangi. Semoga perkahwinan yang dibina oleh Dr Ruhila dan pasangannya berkekalan abadi serta sentiasa mendapat keberkatan Allah SWT.
Kredit: Instagram Puan Sri Normala Samsudin
Umur 63 Tahun Menang Aktres Terbaik Oscars 2021, Frances McDormand Buktikan Bakat First Class!

Anugerah berprestij Oscars 2021 atau The Academy Awards ke-93 telah pun melabuhkan tirainya tiga hari lalu. Kemenangan Frances McDormand, bintang Hollywood berusia 63 tahun sebagai Aktres Terbaik jelas membuktikan bahawa bakat lakonan jauh lebih penting berbanding rupa paras semata.
Berbanding pelakon A-list lain di Hollywood, nama Frances Louise McDormand mungkin agak jarang diperkatakan. Namun bakat pelakon dan produser Amerika itu sebenarnya disanjung tinggi selepas memenangi pelbagai anugerah di Academy Awards, Golden Globe Awards, BAFTA Awards dan Emmy Awards.
“I have no words. My voice is in my sword. We know the sword is our work and I like work. Thank you for knowing that and thanks for this” – Frances McDormand, Oscars 2021
Begitu mendalam ucapan McDormand pada malam anugerah tersebut sebagai tanda ekspresinya terhadap dunia lakonan.
Berasal dari Gibson City, Illinois, McDormand mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Seni (Teater) 1979 dari Bethany College. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Master of Fine Art dari Yale School of Drama pada tahun 1982, sebelum mendirikan rumah tangga dengan Joel Coen pada tahun 1984.
Meskipun berlangsung dalam suasana normal baharu, malam anugerah Oscars 2021 tetap menjadi tumpuan penggiat seni di seluruh dunia. Nona tertarik berkongsi perjalanan kerjaya Frances McDormand yang diangkat sebagai ‘Best Actress’ berkat penampilannya dalam filem Nomadland (2020).

Wanita berusia 63 tahun itu memulakan kerjaya sejak tahun 1984. Menerusi lakonan beliau dalam filem Mississippi Burning, McDormand menerima pencalonan Oscars pertama sebagai ‘Best Supporting Actress’ pada tahun 1989. Walaubagaimanapun, kemenangan tidak berpihak kepadanya.
Lapan tahun kemudian, McDormand berjaya menggenggam trofi ‘Best Actress’ Oscars pertama pada tahun 1997. Lakonan beliau dalam filem Fargo yang diarahkan oleh sutradara Joel Coen (suami McDormand) juga menerima pujian hebat.
19 tahun setelah kemenangan pertamanya di Oscars, McDormand sekali lagi memecah tradisi apabila diangkat sebagai ‘Best Actress’ menerusi filem Three Billboard Outside Ebbing, Missouri.
Pada tahun 2020, berkat lakonan McDormand sebagai Fern dalam filem Nomadland memberikan kemenangan ketiganya sebagai ‘Best Actress’ Oscars 2021.
Bakat McDormand membuktikan bahawa rupa paras dan usia seseorang bukanlah ukuran penting untuk berkarya dalam dunia lakonan.
Ustazah Asma’ Harun Kongsi 10 Amalan Boleh Dilakukan Pada Awal Zulhijjah

SubhanAllah, bulan Zulhijjah salah satu bulan haram, bermaksud tidak dibenarkan berperang kerana dianggap sebagai bulan yang suci.

Daripada Abi Bakrah r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
الزَّمَانُ قَدْ اِسْتَدَارَ كَهِيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ، السَّنَةُ اِثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلَاثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو الْقَعِدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضُرٌّ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
Maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadil Akhir dan Syaaban.”
(HR al-Bukhari, hadis sahih)
Jika bulan Ramadan dikenali dengan keistimewaan 10 malam terakhir, bulan Zulhijjah pula mempunyai keistimewaan pada 10 hari terawal sepertimana firman Allah SWT:
وَالْفَجْرِ ﴿١﴾ وَلَيَالٍ عَشْرٍ ﴿٢﴾
Maksudnya: “Demi waktu fajar, dan 10 malam (serta hari terawal Zulhijjah).”
(Surah al-Fajr: 1-2)
Bahkan ia turut disebutkan dalam hadis Nabi SAW bahawa jihad di jalan Allah SWT tidak dapat menandingi amalan yang dilakukan pada bulan suci ini.
Daripada Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟ قَالَ: وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ
Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini iaitu Baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijjah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”
(HR al-Bukhari, hadis sahih)
SubhanAllah, betapa besarnya nilai amalan pada waktu ini di sisi Allah SWT, maka jangan lepaskan peluang ini untuk merebut keistimewaan pada bulan Zulhijjah ini supaya mendapat redha-Nya dan kebaikan.
Andai tidak berpeluang untuk mengerjakan ibadah haji di bulan ini, masih terdapat pelbagai amalan yang disarankan untuk kita melakukan amal soleh sebanyaknya, seperti:
Sunat untuk tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut, bulu mahupun kuku bagi orang yang melakukan ibadah korban bermula daripada 1 Zulhijjah sehingga haiwan korbannya disembelih.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ
Maksudnya: “Barang siapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ وَعِنْدَهُ أُضْحِيَّةٌ يُرِيدُ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَأْخُذَنَّ شَعْرًا وَلاَ يَقْلِمَنَّ ظُفُرًا
Maksudnya: “Apabila masuknya sepuluh (hari Zulhijjah) dan seseorang itu mempunyai haiwan korban yang dia hendak menyembelihnya, maka janganlah dia memotong rambutnya dan jangan dia memotong kukunya.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Anjuran untuk tidak memotong rambut, bulu dan kuku ini merupakan pendapat Imam al-Syafi’e beserta ashabnya yang lain dan ia juga adalah pendapat muktamad dalam mazhab al-Syafi’e.
2. BERPUASA PADA HARI ARAFAH
Selain daripada mengamalkan puasa sunat Isnin Khamis dan hari putih, kita digalakkan untuk berpuasa pada hari Arafah iaitu bersamaan 9 Zulhijjah. Ia adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun fardhu bagi umat Islam yang menunaikan ibadah haji.
Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
صِيَامٌ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَن يُكَفِّرُ السَّنَّةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالَّتِي بَعْدَهُ
Maksudnya: “Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharap pahala daripada Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun sebelum dan sesudahnya.”
(HR Muslim, hadis sahih)
LAFAZ NIAT PUASA SUNAT ARAFAH:
نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa Arafah, sunat kerana Allah ta’ala.”
Walau bagaimanapun, kita dilarang untuk berpuasa pada hari-hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Pada hari tersebut, para jemaah haji sedang melakukan amalan melontar jamrah di Mina.
Manakala bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji pula, digalakkan untuk melakukan ibadah korban. Kita dianjurkan untuk menikmati makanan dan minuman sebagai bentuk syukur atas nikmat Allah SWT.
Sabda Nabi Muhammad SAW:
أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ
Maksudnya: “Hari tasyrik adalah hari untuk makan dan minum.”
(HR Muslim, hadis sahih)
3. PERBANYAKKAN BERDOA DAN SALING MENDOAKAN ANTARA SATU SAMA LAIN
Nabi Muhammad SAW bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلَّ شَيْءٍ قَدِيْرُ
Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku ialah, tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
(HR al-Tirmizi, hadis hasan)
Dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِى بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ
Maksudnya: “Tidak ada hari di mana Allah membebaskan hamba dari neraka lebih banyak daripada hari Arafah, dan sungguh Dia mendekat lalu membanggakan mereka di depan para malaikat dan berkata: “Apa yang mereka inginkan?”
(HR Muslim, hadis sahih)
Saling mendoakan antara satu sama lain dengan mengucapkan:
تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك
Maksudnya: “Semoga Allah menerima amalan kami dan kamu.”
Daripada Jubair bin Nufair r.a. katanya:
كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اِلْتَقَوْا يَوْمَ الْعِيدِ يَقُولُ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ: تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك
Maksudnya: “Apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu).”
(Fath al-Bari, sanad hasan)
4. MENGHIDUPKAN SUASANA HARI RAYA DENGAN TAKBIR
Sabda Nabi Muhammad SAW:
زَيِّنُوْا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبير
Maksudnya: “Kamu hiasilah hari raya dengan takbir.”
(HR al-Thabarani)
Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.a. keluar ke pasar pada 10 hari awal Zulhijjah, lalu mereka bertakbir sehingga menyebabkan orang ramai turut bertakbir bersama mereka.
‘Affan turut menceritakan peristiwa ini. Beliau berkata: “Abu Hurairah dan Ibnu Umar datang ke pasar pada 10 hari terawal bulan Zuhijjah, kemudian meraka bertakbir dan orang ramai turut bertakbir bersama mereka. Mereka berdua tidak datang melainkan untuk bertakbir.”
Terdapat dua jenis takbir pada hari raya:
i. Takbir Mursal atau Mutlaq (المرسل أو المطلق)
• Bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada malam hari raya (sama ada Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha), dan ia berterusan hinggalah apabila imam mula mengangkat takbir bagi menunaikan Solat Hari Raya.
ii. Takbir Muqayyad (المقيد)
• Bermula dari solat Subuh Hari Arafah (9 Zulhijjah) hinggalah selepas solat Asar pada Hari Tasyrik terakhir (13 Zulhijjah).
5. PERBANYAKKAN BERZIKIR
Hadis Nabi Muhammad SAW:
مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ
Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang pahala di hari itu lebih besar di sisi Allah dan beramal di hari itu lebih dicintai di sisi Allah daripada sepuluh hari ini (10 hari awal Zulhijjah). Oleh sebab itu perbanyaklah kalian bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”
(HR Ahmad, hadis sahih)
6. PERBANYAKKAN SEDEKAH DAN MENGHUBUNGKAN SILATURAHIM
Daripada Abu Umamah al-Bahili berkata, Rasulullah SAW bersabda:
صَنَائِعُ الْمَعْرُوفِ تَقِي مَصَارِعَ السُّوءِ، وَصَدَقَةُ السِّرِّ تُطْفِئُ غَضَبَ الرَّبِّ، وَصِلَةُ الرَّحِمِ تَزِيدُ فِي الْعُمْر
Maksudnya: “Orang-orang yang melakukan kebaikan akan memelihara diri mereka dari nasib buruk. Sedekah secara rahsia menghapuskan kemurkaan Tuhan dan silaturahim pula menambahkan umur.”
(HR al-Thabarani, hadis hasan)
7. MENTADABBUR AYAT AL-QURAN
Tadabbur bermaksud menghayati atau merenung kisah-kisah yang terdapat dalam al-Quran sewaktu membacanya.
Firman Allah SWT:
أَفَلَا یَتَدَبَّرُونَ ٱلۡقُرۡءَانَۚ وَلَوۡ كَانَ مِنۡ عِندِ غَیۡرِ ٱللَّهِ لَوَجَدُوا۟ فِیهِ ٱخۡتِلَـٰفا كَثِیرا
Maksudnya: “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.”
(Surah al-Nisa’: 82)
8. MENDIRIKAN SOLAT SUNAT HARI RAYA AIDILADHA DAN TIDAK MENJAMAH MAKANAN SEBELUMNYA
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., dia berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلَاةُ
Maksudnya: “Ketika Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah SAW keluar menuju tempat solat (lapangan), dan pertama kali yang beliau kerjakan adalah solat hingga selesai.”
(HR al-Bukhari, hadis sahih)
Sebelum menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha, kita disunatkan untuk tidak mengambil sarapan terlebih dahulu.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم َلا يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَطْعَمَ وَلا يَطْعَمُ يَوْمَ الْأَضْحَى حَتَّى يُصَلِّي
Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW tidak keluar (ke tempat solat) pada Aidilfitri sehingga beliau makan terlebih dahulu, dan beliau tidak makan terlebih dahulu pada Aidiladha sehingga beliau solat terlebih dahulu.”
(HR al-Tirmizi, hadis sahih)
9. MELAKUKAN IBADAH KORBAN BAGI YANG MAMPU
Daripada Aisyah r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (haiwan korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”
(HR al-Tirmizi, hadis hasan)
10. MAKAN DAGING KORBAN DAN BERIKAN KEPADA ASNAF FAKIR MISKIN
Bagi mereka yang bukan melakukan ibadah korban nazar atau korban wajib, disunatkan untuk memakan sedikit daging korban sebagai sekadar mengambil berkat dan menyedekahkan bakinya kepada golongan fakir miskin.
Firman Allah SWT:
فَكُلُوا۟ مِنْهَا وَأَطْعِمُوا۟ ٱلْبَآئِسَ ٱلْفَقِيرَ
Maksudnya: “Maka makanlah sebahagian daripadanya (haiwan korban) dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.”
(Surah al-Hajj: 28)
Menurut Imam Ibnu hajar:
“Secara zahirnya, sebab yang menjadikan 10 hari terawal Zulhijjah lebih utama dari hari yang lain kerana ia menghimpunkan semua amalan utama dalam Islam iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Terhimpunnya amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain.”
(Fath al-Bari, sanad hasan)
Walau bagaimanapun, masih banyak lagi ibadah sunat lain yang boleh kita lakukan di bulan Zulhijjah ini, namun berikut adalah antara amalan yang boleh kita lakukan. Semoga segala pengorbanan yang kita lakukan diterima Allah SWT dan menjadikan kita lebih dekat kepada-Nya.
تَقَبَلَ اللّٰهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ
كُلُّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيْرٍ
RUJUKAN
Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Bayan Li al-Haj Siri ke-32: Keistimewaan Dan Fadhilat 10 Awal Zulhijjah: Marilah Kita Beramal.
Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Bayan Linnas Siri Ke-110: Kelebihan Hari Arafah Dan Hari Raya Aidiladha.
Almanhaj. Keutamaan 10 Hari Pertama Bulan Dzulhijjah Dan Amalan Yang Disyariatkan.
Kredit: Facebook Ustazah Asma’ Harun
“Perginya Abah Punca Kebangkitan Hidup Saya” MIESYA YUNUS Buktikan Janji

Bergelar anak yatim memberi kesedaran kepada Miesya Yunus bahawa dia juga mampu berjaya. Itu antara sebab wanita berusia 30an yang mesra dipanggil Miesya ini aktif sebagai aktivis sosial.
Detik kehilangan arwah bapanya menjadi titik tolak kepada perubahan dalam hidup Miesya. Sejak hilangnya kasih sayang seorang ayah Miesya menjadi seorang yang lebih berdikari walaupun anak bongsu.
Tekadnya, ingin mengubah nasib keluarga. Berkat kesungguhan dalam usia 30an Miesya berjaya membina empayar perniagaan iaitu Miesya Yunus Holding Sdn Bhd.
Pemilik nama sebenar iaitu Nur Aishah Mat Yunus ini memiliki darah campuran Melayu, Jawa, Arab dan Pakistan.
BERKAT DOA IBU
“Saya berasal dari bandar kecil, dibesarkan dalam suasana sederhana namun penuh dengan kasih sayang ibu dan arwah abah. Kami kehilangan arwah abah semasa usia saya 18 tahun.
Beliau adalah hero kami kerana selain penyayang arwah juga bertanggungjawab dan bijak. Arwah juga mentor dan sahabat baik saya kerana kami boleh berbincang apa saja isu semasa.
Saya berjanji pada diri mahu berjaya yang luar biasa agar dapat menjaga ibu seperti mana arwah abah. Selama hayatnya arwah abah sangat memuliakan ibu dan nenek.
Kejayaan saya hari ini adalah kerana izinNya yang memberi saya peluang atas nikmat rezeki. Seterusnya, berkat doa dan redha ibu. Tanpa keduanya tak mungkin saya mampu berada di tahap ini.”
BUKAN CALANG-CALANG WANITA
Miesya turut bergelar perunding imej dan penjenamaan korporat, jurucakap profesional, tenaga pengajar dan aktivis NGO berorentasikan kepimpinan, belia dan wanita.
Pengalaman lebih 10 tahun di pentas NGO dalam negara sehinggalah mewakili negara sebagai deligasi Malaysia yang bersuara dalam konteks wanita, belia, kepimpinan dan pendidikan.
Sekaligus ia memberikan Miesya kesedaran bahawa ilmu ini harus diteruskan bagi membentuk masyarakat celik ilmu dan kuat jati diri. Ternyata, Miesya bukanlah calang-calang wanita.
Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang ada Miesya mengharapkan ia menjadi infak buat insan yang memerlukan.
Miesya punya rencananya sendiri demi masa depan yang lebih baik. Miesya juga mahu membuktikan dia juga mampu berjaya seperti mana janjinya terhadap arwah bapa.
Kredit Foto: Instagram Miesya Yunus