Menunggu gaji masuk pada setiap bulan umpama menunggu bulan jatuh ke riba. Tetapi ketika sampai waktunya mudah pula ia dihabiskan. Hendak buat simpanan asyik bertangguh pula. Ada sahaja halnya yang memerlukan duit, lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi sekarang. Inilah yang sering menjadi kekangan setiap kali merancang perbelanjaan.

Bagi mereka yang bijak mengatur kewangan biasanya memiliki gaya hidup yang berbeza. Mereka jarang mengalami masalah kewangan kerana tidak boros serta mempunyai simpanan yang boleh digunakan setiap waktu.

IKLAN

Nona kongsikan cara bagaimana golongan bijak ini mengatur kewangan yang boleh dijadikan panduan kita bersama.

Konsisten & Komitmen, Dua Perkara Paling Utama Dalam Menabung

SERING MEMBUAT ANGGARAN

Orang yang bijak mengatur kewangan akan sentiasa mempunyai anggaran yang tercatat dengan baik dan berusaha untuk mengikutnya secara konsisten. Jika tersasar pun tidak terlalu jauh dari anggaran yang telah dibuat.

TIDAK BERTANGGUH

Baik simpanan mahupun pengeluaran mempunyai catatan tersendiri. Ia lebih mengutamakan keperluan berbanding kehendak yang boleh ditangguhkan. Mereka yang bijak akan mendahulukan keperluan dan tidak akan menangguhnya bagi mengelakkan timbulnya masalah di kemudian hari.

TIDAK MUDAH BERHUTANG

Menabung tidak bermakna tidak boleh berbelanja langsung untuk kehendak. Bijaklah mengatur pengeluaran dan sebaiknya rancang dahulu setiap keinginan tanpa menjejaskan keperluan utama. Jauhkan sikap suka berhutang yang hanya akan membebankan kewangan anda di bulan berikutnya.

IKLAN

MANFAATKAN WAKTU

Amalan ini akan terbawa dengan sendirinya jika anda sudah terbiasa dengan pengurusan kewangan yang teratur. Mereka yang bijak juga akan memanfaatkan waktu dengan baik dan efisyen untuk melakukan perkara yang lebih bermanfaat.

PELABURAN

IKLAN

Mereka yang mempunyai pengurusan kewangan yang sangat baik pasti peka dengan perkara ini kerana tidak selamanya seseorang itu akan terus produktif namun keperluan masih terus dipenuhi. Pelaburan menjadi pilihan utama ketika mempunyai lebihan wang berbanding memboroskannya untuk hal-hal yang tidak bermanfaat.

HIDUP SIHAT

Kesihatan merupakan modal asas untuk terus bekerja dan produktif menghasilkan wang bagi keperluan hidup. Kesedaran terhadap kesihatan amat penting buat mereka yang pandai menguruskan kewangan. Malang tidak berbau, jika ia berlaku maka pengeluaran wang akan meningkat.

Kesimpulannya, konsisten dan komitmen yang tinggi diperlukan agar matlamat ini dapat direalisasikan. Yakinlah anda mampu melakukannya. Jadikan ia sebagai amalan agar kewangan anda sentiasa berjalan dengan ‘sihat’. Hidup anda pun akan lebih tenteram tanpa rasa bimbang yang berlebihan.

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI