NOOR NEELOFA MOHD NOOR

Saban tahun pasti ada saja kejayaan yang dijulang selebriti cantik ini. Seolah-olah dia sudah merencana hala tuju hidupnya awal beberapa tahun ke hadapan. Tidak mahu tercicir melakar kejayaan lebih besar tahun ini, pada 15 Februari lalu Neelofa melancarkan penjenamaan semula jenama empayarnya Naelofar ke tahap lebih tinggi. Usaha itu dibuat bersempena ulang tahun kelahiran Noor Neelofa Mohd Noor yang ke-31 pada 10 Februari lepas.

IKLAN

Sejak Neelofa yang membuat penampilan mengejut dengan berniqab pada 15 Oktober lalu, Namanya terus menjadi bualan ramai. Ramai melahirkan rasa terinspirasi dengan selebriti ini kerana berani membuat penghijrahan besar dalam hidupnya semata-mata untuk mengejar akhirat. Apatah lagi, perubahan itu dilakukan saat namanya berada di puncak glamor dunia seni.

Malah, Neelofa juga mengakui dia sanggup ‘mengorbankan’ benda paling disukainya iaitu wajah dengan menyembunyikan ia di sebalik niqab demi mendapat keredaan Allah. Pasti ramai yang ingin mengetahui amalan wanita cantik ini setiap hari hingga dia mampu meraih pelbagai pencapaian, populariti dan disegani ramai.

Peluang bertemu dengannya pada Februari lalu, kelihatan pengasas Naelofar ini agak keberatan berkongsi amalan harian kerana bimbang dilabel riak dan menunjuk-nunjuk. Namun dia akhirnya akur dan melihat perkongsian ini dari sudut positif dengan harapan ia mampu mengajak orang ramai berubah menjadi insan yang lebih baik. Sepanjang perbualan, setiap tutur katanya dilontar dengan penuh berhati-hati… barangkali enggan kenyataan yang dibuat mendatangkan tanggapan negatif masyarakat terhadap dirinya.

“Biasanya saya bangun dalam pukul 4.15 pagi, solat dan baca doa-doa rasul dulu. Kemudian saya sambung zikir sebab masa itulah suasana tenang dan sunyi. Habis je solat Subuh, saya ambil masa untuk baca Al-Quran sampai waktu syuruk. Sebab waktu ini is the best time to baca Al-Quran. Sama juga waktu di antara maghrib dan azan solat isyak. Dua waktu ini saya baca Al-Quran.

Lepas habis waktu syuruk tadi, kalau rasa mengantuk sangat saya akan tidur balik tapi kalau tak, saya akan terus buat kerja macam biasa. Bangun, mandi, kemas bilik dan buat apa-apa yang patut. Dan setiap hari juga waktu hendak bersiap depan cermin, dalam masa satu jam macam tu… saya akan buka bacaan zikir, doa atau ceramah motivasi ustazah termasuklah motivation speeches yang boleh naikkan semangat saya,” ujar Lofa tanpa selindung.

IKLAN

Patutlah rezeki Neelofa melimpah-ruah, rupa-rupanya dia sentiasa meletakkan Allah SWT di tempat paling atas tidak kira sesibuk mana pun. ‘Santapan jiwa’ Neelofa juga tidak terhad pada waktu-waktu tertentu sahaja. Bahkan dia turut memulakan hari dengan rutin unik iaitu dengan mendengar ungkapan-ungkapan positif termasuklah ketika mandi.

“Waktu mandi biasanya saya akan pasang muzik atau video berkaitan fearless motivation. Iyalah, daripada nyanyi baik buat benda ni. Memang itulah yang saya buat kebanyakan hari. Kalau travel misalnya ke New York, saya akan bangun lagi awal. Memandangkan masih jetlag, saya guna waktu itu untuk solat tahajud.”

IKLAN

Tegas Neelofa lagi, sejak kecil dia sudah didedahkan dengan didikan dan ilmu agama yang baik daripada ibu tersayang, Datin Noor Kartini. “My mom banyak beri impak kepada
saya dalam penghayatan agama. Doa-doa yang saya amalkan pun datang dari dia juga. Mama selalu tolong saya ‘mencantikkan’ lagi sesuatu doa dan dia pandai menjadikannya lebih indah. Doa yang viral dalam program Naura dulu tu pun separuh daripadanya doa mama dan saya rasa most of my kejayaan selama ini pun adalah berkat doa mama.

Jenis mama ni kalau dia tahu saya ada urusan kerja di mana-mana atau berjumpa dengan klien contohnya, dia akan sembahyang mohon dipermudahkan urusan saya. Always! Sebab itu saya rasa semua yang saya dapat ini berkat doa mama. Kadang terfikir dan risau juga kalau mama tak ada, macam manalah saya agaknya.”

Mendengar kata-kata Neelofa sahaja pun sudah terpalit aura positifnya. Nampak saja amalan pengacara popular ini simple. Tapi hendak melaksanakannya perlu konsisten. Berkat usaha berterusan dan yakin, pasti akan ada hasilnya kelak. Yang penting azam untuk maju dan berjaya sentiasa ada dalam diri. Moga perkongsian Neelofa ini memberi manfaat kepada semua dan terus memberi inspirasi untuk berjaya.