
Gelombang baharu menyaksikan semakin ramai wanita menyerlah di barisan hadapan. Dari pentas kepimpinan, ruang pendidikan hingga gelanggang perniagaan, peranan ibu dan isteri di rumah kini makin berkembang kepada pembangunan negara.
Terus melangkah ke aras lebih tinggi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM) komited memperkasakan golongan ini melalui perasmian Forum Agenda Wanita Negara (FAWN) 2025, disamping pelancaran buku 30 Tahun Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) Malaysia, di ibu negara.
Tampil anggun dalam persalinan baju kurung moden, kehadiran Menteri KPWKM, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri diiringi Timbalan Menteri dan barisan pemimpin wanita berkaliber ke acara ini mencuit perhatian. Lembut, namun auranya luar biasa!
“Sebenarnya Forum Agenda Wanita Negara (FAWN) dan pelancaran Buku 30 Tahun CEDAW Malaysia ini dianjurkan sebagai usaha menyeluruh kementerian dalam memperkukuh agenda pemerkasaan wanita negara.
Hari ini kita bukan sahaja hadir untuk meraikan satu penerbitan, tetapi juga untuk menegaskan semula komitmen kita sebagai sebuah negara bahawa hak wanita adalah hak asasi manusia dan perjuangan ini tidak boleh dihentikan,” ujar beliau disambut tepukan gemuruh.
Tambahnya, FAWN dianjurkan sebagai sebuah platform penting untuk mengarusperdanakan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030 yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia semasa Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac 2025. Bukti komitmen berterusan!
Dalam suasana forum yang dihadiri kerajaan, akademia, masyarakat sivil dan sektor swasta, medan dialog ini berjaya menyelaraskan tindakan ke arah kesaksamaan gender yang lebih menyeluruh.
Ramai panel-panel berpengalaman daripada pelbagai latar belakang profesional hadir untuk berkongsi ilmu, pandangan, serta pengalaman yang dapat menyumbang ke arah memperkukuh agenda pemerkasaan wanita melalui ‘Bicara Inspirasi CEO: Memartabat Wanita Memperkukuh Negara.’
Tidak ketinggalan, forum ‘Diskusi Pascaperceraian’ telah mengetengahkan pandangan dari sudut agama, undang-undang serta pengalaman langsung wanita yang telah melalui fasa perceraian. Beri kekuatan dan pengisian berguna agar bangkit semula, sesungguhnya sesi forum yang terbuka sebegini cukup penting untuk menaikkan semangat para wanita!
FAWN 2025 dianjurkan KPWKM menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) sebagai platform strategik yang menyokong agenda pemerkasaan wanita selaras Dasar Wanita Negara (DWN) dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) 2025-2030.
Demi memastikan keberkesanannya, KPWKM melalui JPW juga telah memperkenalkan Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS), melibatkan tokoh-tokoh negara yang bersama melahirkan generasi baharu pemimpin wanita. Usaha hebat ini berupaya menjadi batu loncatan bagi lebih ramai wanita mengambil tempat dalam barisan kepimpinan negara.
Pelancaran Buku
“Kita juga turut menyaksikan pelancaran buku ’30 Tahun CEDAW Malaysia’ yang merupakan dokumentasi perjalanan tiga dekad Malaysia dalam melaksanakan komitmen di bawah Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) atau Convention on the Elimination of All Forms of Discriminantion Against Women (CEDAW) sejak negara meratifikasi konvensyen ini pada 5 Julai 1995.
Tahun 2025 amat bermakna kerana ia menandakan ulang tahun ke-30 Malaysia dalam memperjuangkan hak wanita dan kesaksamaan gender,” ujar Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri lagi.
Buku ini bukan sekadar catatan 30 tahun perjalanan Malaysia dalam CEDAW tetapi ia adalah cermin kepada perjuangan, pengorbanan dan kejayaan wanita di negara ini.
5 Pencapaian Utama
Setelah tiga dekad Malaysia sebagai negara pihak CEDAW, terdapat 5 pencapaian signifikan berjaya dikecapi iaitu:
Turut hadir ke majlis bersejarah ini adalah Timbalan Menteri, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad serta Ketua Setiausaha, YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Pengarah JPW, YBrs Puan Hanani Sapit, wakil Kementerian, Agensi Kerajaan, SUHAKAM, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta tokoh akademik.
“Kerajaan menerusi Kerangka Ekonomi MADANI telah menyasarkan 60 peratus kadar penyertaan wanita ke dalam sektor pekerjaan. Apa yang kita raikan hari ini bukanlah noktah. Ia adalah tanda bahawa perjuangan kita masih jauh. Kesaksamaan gender bukan slogan kosong. Ia mesti diterjemahkan ke dalam dasar, undang-undang, peluang pekerjaan dan yang paling penting, kehidupan harian setiap wanita Malaysia,” akhiri Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/cicit-p-ramlee-ghazia-gurnawan-cecah-22-tahun-mahir-petik-gitar-mahu-sambung-ijazah/
This website uses cookies.