“Pada mulanya memang susah hendak menguasai bahasa Jepun kerana asyik terfikir ‘terpaksa’ belajar disebabkan ingin melanjutkan pelajaran ke sana (Jepun) tetapi akhirnya ia menjadi seronok kerana kita mula faham, fasih dan mampu berkomunikasi dengan baik dalam bahasa mereka ketika berada di sana.” Itulah reaksi Aunee Azrina Zulkifli, 28, ketika ditanya mengenai pengalamannya mempelajari bahasa ketiga iaitu bahasa Jepun.
Mengakui tidak rugi sekiranya boleh berkomunikasi selain daripada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, Aunee Azrina memberitahu ia memberi satu kelebihan kepada diri sendiri pada masa hadapan.
“Malaysia sememangnya merupakan sebuah negara yang unik kerana selain terdiri daripada pelbagai bangsa, rakyatnya juga boleh bertutur lebih daripada satu bahasa selain bahasa ibunda, bahasa Melayu. Pastinya penguasaan bahasa ketiga memberi kelebihan, tambahan hari ini dengan pelbagai syarikat luar negara membuka perniagaan di sini ia memberi peluang pekerjaan dengan gaji yang lumayan.
“Begitupun, pemilihan bahasa perlulah betul kerana tidak semua bahasa sesuai dan akan digunakan dalam komunikasi harian,” ujar anak kelahiran Ipoh, Perak ini lagi.
Ads
Bagaimanapun jelas Aunee Azrina, pemilihan bahasa ketiga perlulah dibuat dengan betul agar ia tidak merugikan dan membuang masa.
Juga boleh berkomunikasi dalam bahasa Korea dan Mandarin, Aunee Azrina yang kini bekerja dengan salah sebuah syarikat luar negara di ibu kota berkata, dia bertuah kerana pekerjaannya hari ini memerlukannya berkomunikasi dalam bahasa Jepun.
Ads
Ditugaskan di Bahagian Teknologi Maklumat (it), Aunee Azrina yang melanjutkan pelajaran di negara matahari terbit selama empat tahun memberitahu, untuk mendalami bahasa ketiga, selain minat, keyakinan diri juga penting.
Ini kerana katanya, jika kedua-dua kriteria tersebut tiada, kita akan mengalami masalah ketika sesi pembelajaran berlangsung.
Ads
“Sebenarnya dalam kehidupan harian, apa yang dilakukan adalah kerana minat dan tanpanya segala-galanya tidak akan berjalan dengan lancar.
“Begitu juga apabila hendak mempelajari bahasa ketiga, dengan minat dan keyakinan diri, menjadikan kita lebih fokus dan mudah memahami.
“Pembelajaran bahasa ketiga akan menjadi lebih seronok sekiranya kita mempraktikkan atau menggunakan bahasa tersebut setiap hari dalam komunikasi harian dan sekiranya tidak, apa yang dipelajari akan ‘membazir’ dan sia-sia kerana tanpa latihan kita akan lupa,” katanya dengan lebih lanjut.
Nona berkongsi coretan yang pernah dibuat sewaktu arwah Datuk Wira Dr. Maznah Hamid masih bersama kita. Pemergiannya masih dirasai dan beliau di antara wanita inspirasi terbaik buat semua wanita Malaysia. Semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang beriman di sana, amin.
==========================
Saya melontar kata ini untuk pembaca jadikannya sebagai inspirasi, motivasi dan kesedaran kepada semua. Jika saya boleh, anda semua boleh! Tidak kira anda anak penoreh getah, pesawah padi atau siapa sahaja dari mana asal usulnya, paling penting apa akhirnya… anda boleh menjadi diri sendiri!
Saya tidak mahu wanita merasa mudah tertindas, merana ikut emosi hingga hidup tidak teratur dan tidak bangun semula. Saya tidak mahu mereka mengalah dan harus bangun kembali berjuang supaya hidup ini dihadapi dengan kuat biarpun pelbagai cabaran. Kita perlu enjoy menikmati kehidupan dan hadapi cabaran untuk menjadi lebih kuat.
Saya orang kampung, bila ibu bapa bercerai saya dijaga oleh nenek sebagai cucu sulung. Saya juga dibesarkan dalam sawah bendang dalam suasana yang sememangnya tidak mengenali erti kekayaan atau kemewahan.
Tetapi mungkin bagi sesetengah manusia, keadaan begini akan membuatkannya menjadi lemah dan pasrah. Namun saya jadikan keadaan ini sebagai satu rahmat untuk bangun berjuang, kebal dan never say die attitude akhirnya.
Dahulunya saya seorang yang sensitif, takut, pemalu dan tidak bijaksana. Saya seorang gadis biasa dengan kebiasaannya. Tetapi saya berikrar tidak mahu jadi sebegitu selamanya. Saya ingin mencipta 3K… kejayaan, kekayaan dan kesenangan.
Itulah yang saya rasa perlu ubah segala-galanya. Saya keluar dari kepompong tersebut, lalu menjelajah dunia untuk belajar untuk memperoleh pelbagai ilmu bagi mencapai kejayaan.
Pada peringkat permulaan saya mula berniaga di awal 80-an, saya gagal untuk mendapat sebarang bantuan kewangan kerana saya seorang wanita. Kata mereka, “Maznah, you salah pilih bidang! Perempuan mana boleh buat perniagaan yang melibatkan senjata api dan sebagainya. Ini bukan mainan wanita, lelaki sahaja boleh berjaya.
Tetapi saya berdoa kepada Allah untuk memberi kekuatan kerana saya ingin buktikan kemampuan untuk melakukannya. Kerana saya percaya wanita seperti saya mempunyai nilai kejujuran, kepercayaan dan amanah yang tinggi. Inilah asas paling utama dalam pelaksanaan apa sahaja bidang perniagaan sekalipun selain daripada kuat untuk menghadapi cabaran.
Perniagaan saya ini melibatkan mereka yang ternama dan kaya raya, menjaga keselamatan secara menyeluruh. Bukan mudah untuk melalui semua keadaan ini… tapi saya boleh berjaya daripada lelaki. Wanita kadang-kadang tidak faham keistimewaan dan keunikan yang Tuhan berikan. Kekuatan dalaman yang diberikan tidak digunakan dan diperkuatkan.
Wanita hanya melihat dia lemah fizikal atau beremosi mengikut perasaan, seharusnya wanita perlu cabar untuk menghadapi pelbagai cabaran di abad ke-21 ini. Seperti saya, saya ingin menjadi wanita luar biasa, tidak mahu sama sekali dikatakan lemah, putus asa, ‘mandom’ dan ‘loy’ – loghat bahasa orang utara Kedah.
‘The best man for the job is a woman’ kata-kata ini setiap pagi saya baca. Ini kerana perniagaan utama saya ialah keselamatan, senjata api, kereta kebal dan monitor dengan penggunaan sistem teknologi terkini. Jadi orang ingat wanita hanya sesuai buat perniagaan tradisi seperti memasak, mengandam, menjahit dan sebagainya.
Saya ingin menjadi seorang yang luar biasa. Lelaki yang berada dalam dunia kerjaya wanita, akan menjadi hebat dan begitu juga wanita apabila berada dalam dunia lelaki, dia akan menjadi perkasa dan bertambah powerful. Jadi wahai wanita, keluarlah daripada bidang tradisi mu.
Saya bersyukur kepada Allah SWT telah mengubah keperibadian saya dahulu menjadi wanita perkasa disebabkan perniagaan saya ini. Sekarang karakter berani dengan kekuatan dalaman yang kuat, mempunyai personaliti yang tidak mudah ‘terancam’ tetapi ‘mengancam’. Tidak mudah tergugat tetapi menggugat.
Walau bagaimanapun, ciri-ciri perubahan ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dicapai. Ia tidak datang bergolek begitu sahaja, ia memerlukan latihan demi latihan, mengharungi pelbagai cabaran dan godaan yang tidak henti tanpa noktahnya.
Sebab itu saya percaya kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga. Kita haruslah berupaya untuk membuat persediaan yang rapi untuk mempunyai keupayaan mengharungi segala-galanya.
Namun saya tidak menafikan, sebagai wanita biasa, saya juga tidak terlepas untuk meluahkan perasaan sedih dengan menangis. Tetapi saya melatih diri saya untuk jangan menangis seperti dahulu, kecuali untuk perkara yang membantu saya. Suami dan anak-anak saya, kalau saya menangis semua akan menjadi takut kerana saya jarang menangis.
Tetapi kadangkala saya menangis mungkin kerana saya gembira bukan kecewa. Andai kata musibah berlaku dan kalau saya ingin menangis, saya akan masuk bilik kecil dan menangis sekurang-kurangnya sejam. Selepas itu saya akan menarik nafas dan memohon pada Tuhan untuk memberi saya kekuatan dan keluar untuk menghadapi cabaran dunia ini.
Jelas untuk menjadi wanita perkasa bukan mudah sebenarnya. Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana memberikan saya seorang suami terbaik, life partner, business partner and sleeping partner yang cukup memahami serta menghormati keistimewaan serta keunikan saya.
Dan alhamdulillah, saya kini mengecap segala keseimbangan ini. Saya bersyukur perjalanan hidup saya sempurna sebagai seorang wanita, isteri, ibu dan nenda yang terbaik… Dan kini saya ingin kembalikan segala-galanya kepada masyarakat untuk berjaya bersama. KR
DATUK WIRA DR. MAZNAH HAMID
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hakikatnya perjuangan ini bukan satu perkara yang mudah. Kanser adalah penyakit yang paling menakutkan bagi sesiapa saja khususnya wanita yang menghidap kanser payudara. Pun begitu, masih ada peluang untuk sembuh jika usaha dan keyakinan masih ada. 5 wanita ini mencetuskan inspirasi buat kita.
CYNTHIA NIXON
Bintang “Sex and the City” ini menjaga kesihatannya dengan baik setelah disahkan menghidap kanser payudara pada tahun 2002. Nixon menjalani rawatan lumpectomy serta radiasi. Nixon melihat perjuangan survivor kanser dari orang terdekat iaitu ibunya sendiri. Bagi Nixon perkara paling penting perlu dilakukan ialah amalkan rutin pemeriksaan mamografi dan tidak menangguhkan pemeriksaan rutin.
SHERYL CROW
Penyanyi yang melakukan pemeriksaan mamografi secara rutin ini mendapati dalam dirinya ada sel kanser di kedua-dua payudara. Ia disahkan sekitar tahun 2006. Crow segera melakukan rawatan preventif seperti radiasi yang digabungkan dengan akupuntur di samping meminum teh herba. Crow juga sentiasa berada dalam lingkungan yang positif untuk penyembuhannya. Crow menngakui dirinya terinspirasi daripada kisah seorang wanita yang melawan kanser melalui sokongan positif daripada keluarga dan rakan-rakan.
KYLIE MINOGUE
Pada awalnya ia salah didiagnosa tentang kansernya. Setelah beberapa doktor menyatakan tiada apa-apa pada tubuhnya, naluri wanita ini mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Kylie kemudiannya mendapatkan pandangan lain dan hasil pemeriksaan kedua menunjukkan Kylie memang menghidap kanser payudara! Pada usia 37 tahun ketika itu Kylie berjuang dengan pembedahan dan kemoterapi. Sejak itu Kylie terus mendesak kaum wanita untuk ‘mendengar’ apa kata tubuh mereka dan terus melakukan pemeriksaan jika merasakan sesuatu. Jangan hanya percaya kepada seorang doktor saja kerana andalah yang paling kenal tubuh sendiri.
OLIVIA NEWTON-JOHN
Aktres popular filem “Grease” ini dinyatakan bebas kanser payudara sekitar tahun 2005. Sebelumnya, ia bertahun-tahun bergelut dengan kemoterapi, ubat-ubatan herba, akupuntur dan pemulihan psikik. Terilhamnya album “Stronger Than Before” bagi menginspirasikan masyarakat apa yang dialami di samping kesukaran yang dilalui dalam proses penyembuhan. Tahun 2017 Olivia kembali disahkan kanser payudara dan kali ini lebih buruk. Namun Olivia tetap merasa percaya diri dan kembali fokus terhadap kesihatannya.
PEVITA PEARCE
Selebriti muda ini pernah menghidap kanser payudara selama tiga tahun. Pevita sengaja menyembunyikan kisahnya ini daripada pengetahuan umum mahupun media. Banyak rawatan yang dilakukan, akhirnya adik kepada Keenan Pearce ini disahkan sembuh setelah menjalani pembedahan di Kuala Lumpur. AMY MOHD
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Khabar gembira yang dikongsi dari Istana Kelantan bersama rakyat jelata mengenai Istiadat Perkahwinan Diraja di antara Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra dan Yang Berbahagia Che Puan Sofie Louise Johansson disambut penuh rasa syukur di kalangan rakyat jelata kira-kira setahun yang lalu.
Aura keterujaan bukan sahaja dapat dirasai oleh rakyat negeri Kelantan, bahkan ia turut dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia. Tanggal 19 April 2019 menjadi saksi majlis perkahwinan pasangan diraja telah berlangsung secara sederhana namun tetap meriah. Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan menjadi saksi pasangan diraja ini disatukan sebagai suami isteri.
Semenjak berita perkahwinan pasangan ini, penampilan Che Puan Sofie sering mencuri tumpuan di kalangan rakyat jelata. Mana tidaknya, Che Puan Sofie sering tampil manis dalam persalinan baju tradisional iaitu baju kurung. Diserikan lagi dengan lilitan selendang di atas kepala menyempurnakan penampilan anggun penuh sopan serta pujian setiap mata yang memandang.
Majalah Nona secara eksklusif bertemu dengan Che Puan Sofie di Istana Kota Lama, Kota Bharu Kelantan untuk sesi temu bual bersama wanita kelahiran Rystad, Linköping, Östergötland, Sweden yang menjadi permaisuri di hati Tengku Mahkota Kelantan ini.
Sekalung penghargaan buat kakitangan Pejabat Sultan Kelantan yang telah bertungkus-lumus memastikan sesi fotografi ulung Che Puan Sofie dengan pihak media ini berjalan lancar. Malah Che Puan Sofie turut memberikan kerjasama terbaik sepanjang sesi fotografi berjalan bagi memastikan potret yang diambil memenuhi cita rasa.
Bukan mudah sebenarnya mengatur pertemuan eksklusif ini memandangkan beberapakekangan dan protokol yang harus dipatuhi. Namun begitu, kerjasama dari kedua belah pihak telah berjaya memudahkan sesi fotografi ini dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Walaupun pada awalnya sesi fotografi ini dijadualkan pada penghujung Mac, namun pihak majalah NONA dan pihak Istana Kelantan terpaksa akur apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan di seluruh negara. Berkat kesabaran dan kerjasama tanpa mengenal erti jemu, akhirnya tarikh baharu sesi fotografi diperolehi dan krew majalah NONA diundang ke Istana Kota Lama, Kota Bharu Kelantan.
Sebelum edisi cetakan berada di pasaran, edisi digital majalah NONA sudah boleh diperolehi di Aplikasi eMall Karangkraf.Lebih mengujakan, hantaran cover Che Puan Sofie di laman Instagram miliknya turut mendapat maklumbalas dari Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj di mana baginda memuji kejelitaan Che Puan Sofie. Junjung kasih Tuanku.
Sikap lemah lembut dan sopan-santun Che Puan Sofie yang diuar-uarkan oleh masyarakat di Kelantan begitu terserlah semasa sesi fotografi dijalankan baru-baru ini. Sentiasa mengukir senyuman manis, menerima kehadiran kami dengan penuh mesra juga benar-benar memikat dan mudah untuk didekati.
Tidak hairanlah mengapa dalam tempoh kurang setahun, kehadiran Che Puan Sofie amat disenangi oleh rakyat Kelantan. Kini setelah hampir setahun menjadi suri di hati Tengku Mahkota Kelantan itu, Che Puan Sofie semakin serasi menjalani kehidupan sebagai isteri Tengku Mahkota Kelantan.
Malah, Che Puan Sofie tidak langsung kelihatan kekok menemani Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota menyantuni rakyat jelata mahupun ke acara rasmi kerajaan. Memahami kepentingan hubungan di antara raja dan rakyat jelata, Che Puan Sofie telah mengambil inisiatif untuk mendalami ilmu agama dan mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu.
“Secara jujurnya, rakyat Kelantan telah memenangi hati saya dalam pelbagai cara. Mereka bukan sahaja kaya dengan sopan santun budaya Timur, malah kaya dari pelbagai aspek kehidupan. Saya merasa amat bertuah diterima sebagai isteri kepada Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan,” ujar Che Puan Sofie.
Walaupun kini sudah bermastautin jauh dari negara kelahirannya, namun Che Puan Sofie tidak sesekali melupakan adat serta tradisi yang banyak membentuk keperibadiannya kini.
“Di Sweden, kami mempunyai satu tradisi dikenali sebagai ‘Jäntelagen’ atau the law of Jante, yang bermaksud anda tidak boleh percaya anda lebih baik atau sebaliknya dari orang lain. Kata-kata tersebut saya pegang sehingga kini sebagai azimat untuk diri saya tatkala melalui fasa terkini dalam kehidupan,” ujar Che Puan Sofie merendah diri tatkala penulis mengajukan persoalan mengenai perubahan status buat dirinya dari orang kebanyakan ke istana.
Apa yang pasti, Che Puan Sofie bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik semata-mata. Lebih istimewa, Che Puan Sofie juga gemar memasak seperti yang sering dikongsi di laman media sosialnya @ljo_. Memasak sememangnya menjadi kegemarannya sejak zaman remaja lagi. Tambahan pula, mata pelajaran Ekonomi Rumah Tangga sudah menjadi salah satu subjek kegemaran Che Puan Sofie ketika menuntut di bangku sekolah.
“Bukan itu sahaja, saya juga membesar dalam keluarga yang gemar memasak. Ibu dan nenek juga sering berkongsi resipi turun-temurun keluarga dengan saya. Sebaik mendirikan rumah tangga dengan Tengku Mahkota, saya bertuah kerana bonda mentua, YMM Raja Perempuan Tengku Anis binti Almarhum Tengku Abdul Hamid menghantar salah seorang cef istana untuk mengajar saya memasak beberapa hidangan tradisi Kelantan.
Tahun lalu semasa di Sweden, saya dan keluarga berpeluang untuk mempelajari cara menyediakan Kuzi Ayam, antara hidangan tradisi negeri Cik Siti Wan Kembang melalui buku masakan Resepi Warisan CIK SITI WAN KEMBANG Kelantan Malaysia.
Menu tersebut menjadi kegemaran kami. Saya juga berminat untuk mempelajari pelbagai menu pencuci mulut popular Kelantan. Pada April lalu, saya telah diberi tunjuk ajar oleh cef istana untuk menyediakan kuih kegemaran saya iaitu Seri Muka.
Saya seronok dapat menyediakan juadah istimewa untuk santapan dan mendapat pujian dari Tuanku. Malah ketika Ramadan yang lalu, saya menyediakan kuih tradisi Nasi Kaya Pulut atau Pulut Sekaya untuk sajian berbuka puasa. Kini, kuih tersebut sudah menjadi salah satu menu kegemaran saya, ” ujar Che Puan Sofie yang berhasrat mempelajari menu warisan Kelantan yang lain pula.
Ditanya mengenai menu kegemaran Tengku Mahkota Kelantan, Che Puan turut berkongsi menu kegemaran Tengku Mahkota Kelantan itu. Nak tahu menu apakah yang menjadi kegemaran Tengku Mahkota dan disediakan sendiri oleh Che Puan Sofie, dapatkan Majalah NONA Oktober 2020 atau melalui Aplikasi eMall Karangkraf!
NOTA PENTING: Majalah NONA versi cetakan sudah berada di pasaran tetapi amat terhad.Untuk mengelakkan kekecewaan untuk mendapatkan edisi istimewa ini, anda boleh mendapatkannya dalam versi digital.Muat turun Aplikasi eMall sekarang!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.