Setiap kali melihat anak-anak istimewa perkara pertama terdetik di fikiran penulis ialah betapa bertuahnya anak syurga ini dilahirkan ke dunia. Selain terlepas daripada perhitungan Allah SWT, insan terpilih ini membawa seribu nikmat buat ibu bapa yang memilikinya. Semakin berat keadaan anak-anak istimewa ini yang dijaga dan diasuh dengan baik tanpa secebis keluhan, semakin tinggilah darjat seseorang itu di sisi Ilahi.

IKLAN

Pasangan suami isteri berusia dalam lingkungan 60-an ini cukup bertuah kerana diberikan nikmat oleh Allah SWT untuk menjaga anak-anak istimewa. Bukan seorang namun keempat-empat anak mereka adalah OKU.

Kedatangan penulis bersama wakil Lembaga Zakat Selangor (LZS) disambut mesra oleh keluarga ini. Biarpun anak-anak ini tidak seperti insan normal yang lain namun mereka tahu bagaimana menghormati tetamu berkat didikan ibu bapa mereka sejak kecil.

UJIAN

Normah Lahajal dan suami menerima ketentuan yang ditakdirkan buat mereka. Keempat-empat anak mereka dilahirkan normal namun tanpa diduga ujian datang menimpa. Sebaik memasuki usia kanak-kanak, anak-anak mereka mengalami situasi yang sama iaitu demam secara tiba-tiba lalu menyebabkan kejang. Keadaan ini berterusan sehinggalah mereka dewasa.

Anak sulung mereka, Nazri kini berusia 40 tahun. Walaupun mempunyai masalah di bahagian kaki namun Nazri bijak berdikari dan menguruskan keperluannya sendiri. Sebelum ini Nazri pernah bekerja namun terpaksa berhenti kerana masalah kakinya itu. Nazri kini hanya duduk di rumah dan membantu menguruskan adik keduanya, Nizam berusia 37 tahun.

Kurniaan Anak-Anak OKU Pengikat Kasih Sayang Normah Lahajal & Suami

Nizam terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak serta memerlukan perhatian dan penjagaan rapi. Nizam juga tidak boleh bertutur secara normal walaupun faham apa yang diperkatakan. Disebabkan kekurangan itu, dia harus dilayan dengan baik kerana sikapnya sangat sensitif, mudah memberontak dan agresif. Meskipun pernah dihantar ke sekolah namun Nizam tidak mahu meneruskannya.

IKLAN

Anak ketiga dan keempat, berusia 36 dan 29 tahun. Mereka pula menghadapi masalah pertuturan walaupun dapat memahaminya. Anak keempat merupakan satu-satunya anak perempuan pasangan ini yang dikenali sebagai Zainab. Gadis ini seorang yang lemah-lembut dan mudah mesra. Zainab juga pandai berdikari dan menguruskan keperluan diri. Walaupun pelajarannya terhenti sehingga darjah enam sahaja namun Zainab rajin membantu ibunya di dapur dan mengemas rumah.

REZEKI

IKLAN

“Kami bersyukur dan merasa amat bertuah kerana dikurniakan dengan anak-anak istimewa ini. Kami mendidik mereka sama seperti anak-anak normal yang lain agar dapat berdikari dan menguruskan diri  terutama bila kami berdua sudah tiada lagi di dunia ini. Mereka anak-anak yang baik dan mudah mendengar kata walaupun prosesnya agak perlahan. Cuma Nizam yang perlu diberikan lebih perhatian.

Sebagai suri rumahtangga sepenuh masa dapatlah saya menjaga mereka. Suami hanya mampu melakukan kerja-kerja kampung kerana faktor usia. Bagi meringankan beban suami, saya turut menjual karipap. Walaupun keuntungan tidak seberapa namun sedikit sebanyak dapatlah menampung kehidupan kami sekeluarga. Sebelum ini saya pernah terlantar sakit selama beberapa bulan kerana menghidap kencing manis tetapi sekarang sudah sembuh,” kongsi wanita kelahiran Kuala Selangor ini yang berusia 64 tahun.

Selain bergantung kepada sumber pendapatan sendiri, mereka turut menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Selangor antaranya bantuan berupa makanan, sumbangan hari raya, perubatan dan kebajikan-kebajikan lain.AMYMOHD

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI