Auranya cukup memukau. Setiap gerak tari Farah Ann Abdul Hadi di gelanggang gimnastik bukan hanya menggetarkan jiwa atlet yang bertanding bahkan membuatkan penonton bersorak gembira dengan aksinya yang mempesona. Pada temasya Sukan SEA di Filipina tahun lalu, gimnas ini berjaya meraih pingat emas kelimanya dalam sukan dwitahunan tersebut. Kejayaan itu sekaligus melonjakkan kembali namanya hingga menjadi bualan dan kebanggaan negara sehingga sekarang. Kagum!
Difahamkan, Farah Ann sudah pun melayakkan diri beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan pernah memenangi dua emas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur dalam acara berpasukan dan saingan senaman lantai.
Mengimbas kembali pembabitan awal Farah Ann dalam arena sukan ini, dia yang kini berusia 26 tahun berkata sejak kecil ibu dan bapanya sudah mendedahkan mereka dua beradik dengan sukan gimnastik. Tambah anak kepada pasangan Abdul Hadi Ahmad dan Kimberly Ann Gagnon ini lagi, galakan untuk menceburi bidang berkenaan adalah disebabkan ibu bapanya turut datang dari latar belakang yang sama. Selain menyimpan hasrat menjadikan anak-anak sebagai atlet negara.
“Disebabkan saya bersikap hiperaktif dan suka bermain monkey bar di taman permainan, ibu bapa saya memilih sukan gimnastik untuk kami ceburi. Justeru, seawal usia tiga tahun, saya sudah mula dihantar mengikuti kelas gimnastik bersama kakak saya, Katrina Ann yang pada masa itu berusia lima tahun. Katrina pula kini merupakan atlet renang berirama negara.
Memasuki umur enam tahun, saya sudah mula menyertai pertandingan di peringkat negeri Selangor. Manakala ketika menginjak umur tujuh tahun pula, saya berjaya mewakili
Selangor untuk bersaing di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
Melihat potensi saya untuk pergi jauh dalam arena sukan gimnastik, saya ditawarkan untuk menyambung pelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil. Nyata penglibatan saya dalam sukan gimnastik mula serius setelah menghadiri latihan sebanyak enam kali seminggu di sekolah tersebut,” ujar gadis kelahiran Subang Jaya ini.
Tatkala ditanya mengapa dia memilih cabang sukan ini, Farah Ann ada jawapan tersendiri. “Saya sifatkan sukan gimnastik sebagai sukan luar biasa. Gimnastik membantu individu menjadi lebih kuat dan fleksibel. Malah, saya berpendapat, sukan gimnastik menjadikan saya lebih kreatif untuk merancang aksi dan skil yang ingin ditonjolkan kepada umum.”
Terbuka berkongsi sisi peribadi kepada umum, tanpa berselindung Farah Ann mendedahkan sikapnya yang tidak diketahui ramai. “Saya pun sama macam orang lain. Sebenarnya
saya seorang yang pemalu dan clumsy.”
Menjadikan Dato’ Nicol David dan Pandalela Rinong sebagai idola, Farah Ann bercita-cita melibatkan diri dalam bidang media jika tidak lagi berada dalam bidang ini.