
Isi Kandungan
ToggleTahun baru 2023 merupakan permulaan terbaik buat Fillea Health and Beauty Sdn Bhd (Fillea Health and Beauty) kerana baharu sahaja mengenggam anugerah di NONA Superwoman Award 2022 di mana jenama tersebut membawa pulang trofi pengiktirafan NONA Best Slimming Supplement Award.
Menurut pengasasnya, Mas Haryati Baharudin, ia merupakan pengiktirafan yang menjadi kenangan manis buat dirinya yang baharu empat tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan.
Malah anugerah tersebut juga turut menjadi pemangkin untuk dirinya berusaha dengan lebih gigih untuk meningkatkan jenama serta menghasilkan lebih banyak produk yang bermutu tinggi.
Fillea Health and Beauty ditubuhkan pada tahun 2019. Pada peringkat awal penubuhannya, ia lebih memfokuskan kepada produk ‘supplement’ yang membantu individu mengawal berat badan sekali gus memiliki tubuh badan langsing.
Tahun ini, Fillea Health and Beauty Sdn Bhd (Fillea Health and Beauty) melancarkan produk terbaharu iaitu Fillea Hot Charming Cream yang telah berada di pasaran sejak penghujung tahun lalu.
“Setelah melalui beberapa peringkat research & development, akhirnya Fillea Health and Beauty mengeluarkan produk terbaharunya pada penghujung tahun lalu. Produk keempat ini merupakan krim yang membantu membakar lemak dengan lebih mudah,” ujar Mas Haryati atau lebih mesra disapa Massieww.
Selain produk terbaharu itu, Fillea Health and Beauty turut mempunyai produk lain seperti Fillea Tablet, Fillea Bodyfit dan Fillea Bodycurve.
Menyedari kepentingan pemasaran dan promosi jenama, pasangan suami isteri, Tuan Muhammad Faizal Mohd Zazali dan Mas Haryati Baharudin turut mempergiatkan promosi produk keluaran syarikatnya di pelbagai medium digital dan sebagainya untuk memastikan jenama Fillea Health and Beauty mudah diingati dan dikenali oleh masyarakat.
“Melangkah ke tahun ke 4 dalam perniagaan, saya lebih tenang dan fokus dalam merencanakan strategi perniagaan. Banyak suka dan duka telah saya lalui dan ia sedikit sebanyak mematangkan saya dalam dunia perniagaan.
Sokongan dan dorongan dari suami, Muhammad Faizal Mohd Zazali yang bertindak sebagai Pengarah Urusan Fillea juga merupakan tonggak kekuatan saya selama ini. Dia banyak membantu saya dengan memberi semangat serta dorongan bukan sahaja dari segi fizikal dan mental.
Kejayaan Fillea Health & Beauty mungkin tidak sehebat mana di mata orang lain, tetapi kejayaan tersebut adalah merupakan proses pembelajaran buat kami. Selagi ada perkembangan, itulah usaha yang perlu dipertingkatkan. InsyaAllah, akan ada hasil dan pulangannya kelak,” ujar Mas Haryati seraya mengakhiri perbualan.
Fattah Amin Sambut Ulang Tahun Ke 32, Diam-Diam Fazura Beri Hadiah Istimewa Untuk Fattah!

Semalam, pelakon Fattah Amin menyambut hari jadinya ke 32. Ucapan paling bermakna sempena hari lahir ini pastinya datang dari isteri tersayang, Nur Fazura yang memuat naik satu posting di Instagram miliknya meluahkan rasa sempena ulang tahun suami tersayang.
Suami mana yang tidak cair apabila si isteri membuat ucapan sempena hari lahir kemudian diakhiri pula dengan ungkapan ‘I love you’!
Malah ibu kepada seorang cahaya mata ini menyifatkan Fattah sebagai seorang sangat berharga, selain sentiasa menjadi cahaya dan tulang belakang baginya.
“Ini untuk kesayangan saya..sempena dengan sambutan kelahiran kamu hari ini, saya ingin kamu tahu yang betapa berharganya kamu sebagai seorang manusia.
Terima kasih sayang kerana menjadi cahaya dalam hidup saya, menjadi tulang belakang saya, penasihat saya, orang kuat saya dan kadang-kadang clingy-hubsbaby.
Terima kasih sayang kerana menjadi penyokong terbesar ketika waktu senang dan susah. Setiap hari, saya berasa sangat bertuah kerana Allah SWT memilih kami untuk menjadi suami dan ayah terbaik kepada Fatima.
“Kepada cinta hatiku, semoga Allah SWT sentiasa melindungi, merahmati, memberi petunjuk dan hidayah serta mengurniakan keredaan-NYA buat sayang di dunia akhirat. I love you baby”tulis Fazura.
Pasangan ini berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang anak bernama Nur Fatima yang berusia dua tahun.
Menjengah ke laman Instagram milik teman-teman rapat pasangan ini, Fazura turut mengadakan majlis sambutan hari jadi untuk Fattah secara tertutup untuk teman-teman terdekat mereka di sebuah restoran di ibukota. Malah, melalui insta story beberapa teman rapat pasangan ini.
Nampaknya Fazura menghadiahkan seutas jam tangan mewah untuk suami tersayang. Tetapi baik Fattah mahupun Fazura tidak mempamerkan pemberian tersebut di khalayak dan sebaik Fazura menyarungkan jam tangan tersebut, Fattah tersenyum dan menarik lengan bajunya untuk menutup pemberian dari isteri tersayang.
Happy birthday Fattah! Agaknya apa ya jenama birthday gift Fazura tu? Hanya Fattah yang tahu!
14 Tahun Besarkan 5 Anak Walau Bukan Dari Darah Daging Sendiri, Murninya Hati Wanita Ini!

Jujurnya, penulis kagum dengan naluri keibuan dan jiwa penyayang Sharifah Aminah Syed Mohssain ini. Bayangkan selama sembilan tahun dia menggalas tanggungjawab sebagai ibu seorang diri. Meskipun waktu itu, dia masih bujang!
Masuk tahun ini, sudah 14 tahun Sharifah Aminah atau mesra disapa Sha bergelar ibu dan membesarkan lima anak. Pada pandangan khalayak, dia sama seperti kaum ibu lain yang ada anak kecil dan sibuk dengan kerjaya masing-masing.
Hakikatnya, lima anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang itu bukan berasal dari darah daging Sha sendiri. Sebaliknya, mereka adalah anak angkat yang dijaga dengan sempurna oleh Sha sejak kecil lagi.
Murni sungguh hati insan ini kerana sanggup mengorbankan masa dan wang ringgit semata-mata mahu membesarkan anak bertuah Muhammad Mukhlis Daniel, 14 tahun; Muhammad Mohssain Danish, 13 tahun; Mysarah Aqeelah Wafaa dan kembarnya, Muhammad Aqeel Wafiyy, 12 tahun; dan Muhammad Aqmal Wafeeq, 7 tahun.
“Niat untuk ambil anak angkat ini bermula secara kebetulan waktu hari jadi saya yang ke-29. Masa tu tahun 2008 apabila seorang sahabat baik datang ke rumah saya dan membawa bayi lelaki yang baru berusia 53 hari.
Memandangkan dia belum berkahwin dan tak ada rumah yang sesuai, saya bersetuju membiarkan bayi tersebut tinggal di rumah saya sementara menunggu dia mencari rumah. Diam tak diam, enam tahun juga saya jaga bayi tersebut dan kemudian baru kawan jaga sepenuhnya.
Bila sudah selalu bersama dan tiba-tiba terpaksa berpisah, memang saya rasa sedih. Kalau dulu, setiap hari dia ada bersama tapi lepas kawan turut jaga anak pertama saya, Mukhlis, kami berdua gilir-gilir jaga.
Sebab sedih tak dapat selalu jumpa, adik perempuan saya pergi carikan anak angkat yang baru pula untuk saya secara sah. Dari situlah, saya mula ambil anak angkat kedua sampai anak yang kelima. Masa sudah ada anak dua, majikan beritahu yang dia mahu ambil anak angkat juga sebab belum dapat anak lagi.
Tapi bila saya sudah dapatkan bayi untuk diambil sebagai anak angkat dan selamat dilahirkan, lain pula jadinya sebab majikan saya tadi cakap yang dia belum bersedia. Tak mahu hampakan keluarga bayi tersebut, saya lapangkan dada untuk jaga anak kembar mereka sekaligus jadi anak ketiga dan keempat. Alhamdulillah.
Ingatkan sampai takat itu saja tapi rupanya Allah hendak bagi rezeki anak angkat lagi dekat saya. Hendak dijadikan cerita, ada seorang kawan bawa wanita yang sarat mengandung ke rumah saya pukul 2 pagi.
Seminggu kemudian, dia bersalin dan sama seperti kes sebelum ini, suami isteri yang mahu ambil anak angkat mungkir janji. Sudahnya, saya yang ambil anak ini dan bawa ibunya sekali untuk tinggal bersama.
Jujur saya beritahu, ambil anak angkat ini bukan mudah sebab banyak proses yang perlu dilakukan. Kena berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memaklumkan yang kita sudah mengambil anak angkat.
Kemudian perlu berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara pula untuk tanda tangan beberapa dokumen oleh ibu bayi terbabit sebelum diserahkan kepada ibu bapa angkat. Selepas tempoh 2 tahun, barulah secara rasminya proses pengambilan anak angkat selesai.”
Bayangkan tanpa bantuan insan bergelar suami waktu itu, Sha teguh menguruskan segala keperluan anak-anak seorang diri. Baginya, itu adalah kepuasan yang dicari selama ini. Berkongsi kasih bersama anak kecil yang memerlukan!
Ibarat pelangi selepas hujan, tanggal 25 Disember 2017 tugas yang digalas Sharifah Aminah selama ini dikongsi bersama lelaki bergelar suami. Selamat mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan keluarga, Muhamad Anizan Kadir… wanita berjiwa murni ini mengakui hidupnya lebih sempurna sekarang.
Apatah lagi hasil perkongsian hidup bersama suami tercinta, Sha dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan iaitu Wan Shakyra Aareefa, 2 tahun dan anak bongsu yang mesra dengan nama panggilan, Deqbie Tyra setahun.
Membahasakan diri dengan gelaran Umi ketika berada bersama anak-anak, Sha juga tidak terlepas daripada persepsi negatif masyarakat yang menganggap usaha murninya itu semata-mata mahu menyembunyikan status diri.
Meskipun terkadang timbul sekelumit rasa benci dengan tohmahan khalayak, wanita cekal ini membulatkan hati untuk terus memperjuangkan nasib anak kesayangan.
“Tak dinafikan saya terima banyak feedback orang ramai tentang hal ini. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang mengata serta menjaja cerita. Kononnya saya yang melahirkan anak ini dan terpaksa menyorokkan mereka kerana saya sudah berkahwin dan menjadi isteri kedua.
Saya tak mahu ambil peduli dengan cakap-cakap orang luar. Cukuplah ahli keluarga sokong dan menerima anak saya seperti darah daging sendiri.
Alhamdulillah, semua anak-anak disusukan adik perempuan saya. Jadi kepada wanita yang ada keinginan mengambil anak angkat; jaga, sayangi dan lindungilah mereka macam anak sendiri. Jangan sesekali abaikan kerana mereka adalah amanah Allah… walaupun hakikatnya kita bukan insan yang melahirkan mereka ke dunia.
Paling penting, ambil anak dengan prosedur yang betul dan sah di sisi undang-undang supaya nasib mereka akan terbela kelak,” pesannya yang kini bahagia di samping suami tercinta dan tujuh orang anak.
“Apa Guna Jadi CEO Tapi Anak Berselerak Di Rumah” Kiasan ‘Pedas’ TS RAFIDAH AZIZ Ini Buat Ramai Tersentak

Figura ini cukup terkenal dengan perwatakannya yang tegas dan lantang dalam bersuara. Siapa lagi kalau bukan Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Rafidah Aziz.
Seorang wanita berkeyakinan tinggi serta berani dalam melaksanakan setiap tugasnya sebagai ahli politik tanahair.
Ketika mengenali anak kelahiran Selama, Perak ini secara peribadi siapa sangka di sebalik ketegasannya itu beliau sebenarnya seorang yang kelakar dan ‘mak-mak’. Mudah tertawa dan mesra menjawab setiap soalan yang diajukan.
Ditanya adakah beliau bersetuju, wanita workaholic adalah seorang yang sukses dalam kehidupan?
Begini respon bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ini: –
“jangan terlalu work hard. Orang yang workaholic ni kalau dia tak work smart, tak bekerja dengan cerdik, tidak akan membuahkan hasil.
“Jadi, wanita yang bekerja sampai malam apa yang dicari? Orang boleh tidur malam awak kerja lagi buat apa? Jadi, kerja dengan cara yang produktif,” kongsi TS Rafidah yang menjadikan ibunya sebagai sumber insprasi.
‘Berani kerana benar, takut kerana salah’ itulah yang menjadi prinsip utama wanita berusia 80 tahun ini. Sikap tegas itulah yang menjadi superpower TS Rafidah.
“Saya seorang wanita yang tegas dan tidak takut kepada sesiapa kecuali Allah SWT. Saya mengamalkan prinsip berani kerana benar.
“Saya tidak peduli siapa, kalau saya rasa benda yang saya lakukan itu betul, saya tidak takut. Itu adalah kekuatan saya,” jelasnya.
Nasihatnya lagi, seseorang wanita itu perlu mengikut tahap kemampuan diri terlebih dahulu sebelum mensasarkan kejayaan yang lebih tinggi dalam kariernya.
“Lakukan yang terbaik dan termampu oleh diri sendiri. Jangan ikut tahap kemampuan orang lain. Kadang-kadang kita nak berlumba dengan orang tapi bagi saya berlumba dengan diri sendiri dulu. Kalau orang nak buat lebih dari kita, tak apa.
“Selepas kita berjaya mencapai sesuatu target, kita tingkatkan lagi tahap kemampuan kita dari semasa ke semasa,” tambahnya.
Untuk info, TS pernah menerima ‘Nona Superwoman of The Year’ dalam acara berprestij Nona Superwoman Award 2018. Semoga TS Rafidah diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik agar dapat terus berbakti kepada masyarakat serta negara.
Kredit Foto: Facebook Tan Sri Rafidah Aziz
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona