Pada hakikatnya, memang mudah untuk hanyut dalam keadaan di mana kita dikenali ramai dan seronok dengan perhatian yang dicurahkan. Adalah senang untuk termakan dengan kata-kata pujian yang diberikan.

Amnya kita gemar membaca mengenai personaliti-personaliti yang glamor, berpangkat dan berharta. Kita suka membaca mengenai gaya hidup mereka, pakaian mereka, melihat di mana mereka tinggal dan sebagainya.

Ads

Kadangkala kita sendiri berangan-angan mempunyai kehidupan seperti itu, dapat hidup di dalam rumah banglo yang tersergam indah, mempunyai kereta-kereta mewah, dapat bercuti dan shopping di luar negara, memakai pakaian berjenama dan sebagainya. Bagi kebanyakan kita, kehidupan seperti inilah yang kita idam-idamkan.

Malangnya, kita lupa bertanya pada diri di manakah nilai sebenar apa yang kita idam-idamkan itu dalam membawa kehidupan yang lebih bermakna untuk diri kita, agama dan masyarakat di sekeliling kita selain daripada mengembangkan ego kita sendiri?

Di manakah kebaikan sebenar yang datangnya daripada kita bangga diri apabila seseorang memanggil kita Puan Sri atau Dato’, Datin dan sebagainya? Apakah yang dapat kita katakan mengenai nilai murni hati kita sendiri apabila kita merasa megah diagung-agungkan oleh mereka yang lebih kurang bernasib baik daripada kita?

Untuk mengatasi perasaan riak dan besar diri, kita perlu sentiasa mengingatkan diri untuk mengambil pendekatan untuk memperbaiki kekurangan dalam diri ini walaupun proses itu akan mengambil masa.

Walau apa pun, yang paling penting dalam mengambil pendekatan untuk membuat apa-apa perubahan yang efektif ialah kita mesti ikhlas dalam mengakui bahawa kita mempunyai kelemahan dan kekurangan diri yang kita betul-betul ingin perbaiki. Paling penting kita perlu sentiasa mengingatkan diri sendiri mengenai beberapa perkara yang penting:

(1) Status, Harta dan Glamor Hanyalah Perhiasan Dunia

Memang seronok hidup berstatus ini di mana kita dihormati dan dikenali ramai tetapi kita harus sentiasa ingat bahawa semua ini adalah superficial dan hanyalah mainan dan perhiasan dunia semata-mata dan janganlah berpegang kepada semua itu sebagai sesuatu yang boleh kekal dan jika anda kehilangannya anggaplah ia sebagai lumrah dunia dan sekiranya hilang boleh diusahakan untuk mendapatkannya semula.

(2) Siapakah diri anda sebenarnya tanpa harta dan status

Kebanyakan daripada kita hidup dengan label yang telah kita perolehi daripada hidup kita ini. Kita mungkin ibu, bapa, anak, teman, Tengku, Tan Sri, Puan Sri, Dato, Datin, Dr. dan sebagainya. Sampai seketika, kita tidak mengenali lagi diri kita sebagai insan yang telah dicipta Allah SWT. Jika kita tidak mempunyai label-label tersebut, siapakah diri kita yang sebenar?

Jika anda kehilangan harta dan status secara tiba-tiba, siapakah diri anda yang sebenarnya? Adakah anda masih boleh menjadi seorang yang dihormati tanpa status anda? Adakah anda berani bersuara lantang dan menunjukkan kuasa anda tanpa status dan harta yang ada pada diri anda. What are you really made of without your fame and fortune?

(3) Bukan sekadar anugerah tetapi tanggungjawab

Sekiranya anda mempunyai status dan harta, itu semua adalah kerana kurniaan daripada Allah SWT. Anda adalah sebenarnya golongan yang dipilh oleh Allah SWT sebagai khalifah-khalifah di dunia untuk menggunakan kelebihan yang dianugerahkan untuk membantu orang lain yang kurang bernasib baik. Ia merupakan suatu tanggungjawab dan bukan sekadar anugerah yang hanya dibanggakan. Jadilah teladan yang baik dan boleh dicontohi agar hidup lebih berkat dan bermakna.

(4) Buatlah mengikut kemampuan dan keikhlasan

Kata Datin X: “Saya telah melalui satu peringkat kehidupan di mana saya membenci diri saya kerana suka kepada kehidupan ala glamor ini. Tetapi saya juga tidak rela untuk menjadi seorang hipokrit yang mana saya berpura-pura tidak suka kepada gaya hidup ini dan memberitahu orang lain sebegitu tetapi tindakan saya menunjukkan sebaliknya.

Ads

Sampailah suatu ketika dimasa saya bergelut dengan keadaan emosi ini dimana seseorang teman menasihati saya. Katanya, sekiranya saya masih suka kepada kehidupan begini pastikan yang saya menggunakan status glamor saya itu ke arah kebaikan.

Saya mendapati nasihat itu amat berguna untuk diri saya dan sebab itulah kalau saya ditemu duga untuk mana-mana media pun saya sentiasa memberitahu kepada para wartawan yang isi kandungan wawancara mengenai saya mestilah mempunyai maklumat yang bermanfaat pada orang lain,” ujar Datin X.

(5) Pupuk sikap sentiasa rendah diri

Hidup ini umpama roda yang berputar. Sudah menjadi lumrah hidup dimana kadangkala kita di atas dan kadangkala kita di bawah. Kata Datin X: “Saya sendiri telah melalui lumrah kehidupan sedemikian. Saya pernah merasa hidup sebegitu mewah sehingga saya boleh masuk ke sesebuah kedai dan sekadar menunjuk sahaja kepada barang yang saya inginkan tanpa perlu melihat harga barang tersebut. Saya juga biasa susah sehingga terpaksa bergolok gadai harta-benda.

Pertama kali saya mengalami kesusahan kewangan yang teruk pada tahun 1997, memang saya merasa malu dan hina. Tetapi bila saya fikirkan mindset saya ketika itu yang mana saya sebenarnya mempunyai mentaliti menghina mereka yang kurang berkemampuan kewangan, saya cepat-cepat menukar cara saya berfikir.

Ads

Saya sering mengingatkan diri saya bahawa kemiskinan bukanlah suatu penghinaan tetapi hanyalah dugaan daripada Allah SWT tetapi mencari rezeki secara haram adalah penghinaan yang sebenar.

Di masa kita susah barulah kita tahu siapa sahabat kita yang sebenarnya. Pada waktu itu saya mempunyai kesedaran baru untuk sentiasa bersifat rendah diri kerana sewaktu saya susah dulu bukannya orang kenamaan yang membantu saya tetapi adalah terdiri daripada golongan masyarakat yang biasa-biasa sahaja yang membantu saya di atas dasar keikhlasan. Alhamdulillah, cabaran saya waktu itu membawa kesedaran kepada saya untuk memperbaiki diri saya,” jelas Datin X.

(6) Tanamkan sifat sentiasa bersyukur dalam diri

Hidup ini jangan hanya mengejar kekayaan tetapi mestilah bersama-sama dengan keberkatan. Rezeki yang berkat adalah apabila sedikit cukup, bila banyak perlu diagih-agihkan. Manakala rezeki yang tidak berkat, sedikitnya tidak cukup, banyaknya tidak puas.

Rezeki yang tidak berkat umpamanya meminum air laut, semakin diminum semakin haus. Walaupun apa pun cabaran yang dihadapi, pasti kita masih menikmati nikmat Allah SWT. Ingatlah bahawa ada orang lain yang lebih teruk keadaannya daripada kita sendiri. Sentiasalah bersyukur.

(7) Tinggalkan dunia ini dengan ilmu yang bermanfaat

Waktu kita di dunia ini adalah terhad dan sementara. Setiap makhluk dijadikan Allah SWT mempunyai peranan tertentu di dunia ini. Sebagai makhluk yang mempunyai akal fikiran, kita mempunyai tanggungjawab yang lebih untuk memastikan bahawa kita membawa sesuatu nilai yang berguna dalam hidup ini.

Alangkah ruginya, sekiranya kita tidak menggunakan anugerah Allah SWT kepada diri kita untuk meninggalkan sesuatu ilmu yang bermanfaat untuk digunakan orang lain setelah kita meninggalkan dunia ini. KR

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI