“Ibu mahu yang terbaik untuk anak ibu,” itulah kata-kata hikmah yang sering kita dengari. Mahu tidak mahu, anda harus memilih. Sama ada terus mengikut saja telunjuknya atau anda punya perancangan tersendiri dalam menuju persiapan ke gerbang perkahwinan.

Walaupun ibu anda tidak jemu melimpahkan rasa cinta yang mendalam terhadap anak-anaknya, namun perasaan ini mampu berubah sekelip mata sekiranya anda mengingkari segala pendapat atau cadangannya.

IKLAN

Konflik antara ibu dan anak yang tidak sependapat semasa merancang perkahwinan adalah lumrah dan asam garam kehidupan. Apa pun alasan anda di balik setiap alasan yang anda berikan untuk mengubah persepsinya, anda harus berhati-hati dalam bersuara.

Elakkan dilabel sebagai si Tanggang moden, atasilah hal ini dengan penuh berhemah.

Lebih Sudu Dari Kuah? Ini Senarai Ibu-Ibu Yang Cerewet RANCANG PERKAHWINAN Anak. Anda Kategori Yang Mana Satu?

(1) Ibu Yang Berkuasa

Ibu yang berada dalam posisi menguasai adalah antara perkara yang paling memeningkan tatkala segala perancangan telah dibuat. Banyak yang akan dibantah kerana ibu anda telah terlebih dahulu menyusun perancangannya sedari majlis perkahwinan anda bermula.

Tip Nona: Jangan melenting. Berikan masa kepada ibu anda menyuarakan segala isi perancangannya terlebih dahulu. Anggukkan kepala pada saat dia rancak bercerita agar dia tahu anda mendengarnya tetapi anda tidak wajib melakukan semua saranannya.

Kemudian setelah ibu tercinta selesai membahagikan segala rancangannya inilah masa anda. Sekarang nyatakan pula segala pendapat dan idea anda. Tapi perlu diingatkan, suarakan idea anda dengan nada yang lembut tetapi tegas untuk membuktikan padanya bahawa anda sudah punya miliki keputusan sendiri tentang segala hal yang disarankan olehnya.

Jaga hati dan suara anda agar tidak membuatkan ibu anda tersinggung. Kuncinya, sejak awal lagi tunjukkan bahawa anda tahu apa yang ada ingin lakukan dan bersikap tegas jika beliau mulai memotong pandangan anda.

Menurut pakar psikologi dari Stress Institute, Kathleen Hall, bersikap keras kepada ibu anda akan mendorong dirinya ke sudut gelap di mana beliau akan menjauhkan dirinya dari segala persiapan pernikahan anda. Anda boleh mengawal keadaan ini sekiranya anda sudah tahu apa yang anda patut dan perlu lakukan.

Sesekali, suarakan pada ibu anda tentang perancangan yang akan menyusul selepas ini dan jangan sesekali bertanya akan pandangannya. Sekiranya anda tidak bersedia sepenuhnya dalam menyelia majlis anda, mungkin rancangan anda akan gagal sepenuhnya seterusnya akan membangkitkan seluruh kemarahan ibu anda.

(2) Ibu Yang Terlalu Menjaga Imej

Ibu jenis ini, imej adalah segala-galanya. Semua ucapan, tindakan dan perlakuannya perlu selari dan sempurna. Tentu sahaja ibu yang terlalu menjaga imej ini terlalu mengharapkan hal serupa untuk keluarga dan orang sekelilingnya supaya menjadi seperti dirinya.

Kebiasaannya, sekiranya majlis yang anda rencanakan tidak memenuhi piawaian dirinya, ibu jenis ini mampu bertukar menjadi manusia yang paling garang. Bimbang reputasinya akan tercemar, dia akan berusaha untuk menganjurkan acara resepsi anaknya serba mewah.

Tip Nona: Perlu anda tahu, mereka yang terlalu menjaga imej dan nama ini tidak akan pernah aman dan tenteram dengan dirinya sendiri. Mengubah ibu yang memiliki sifat high demanding ini adalah sangat menyukarkan.

Katakan sahaja TIDAK kepada setiap idea yang bertentangan dengan anda. Bersikap jujur dan berterus terang adalah dua sasaran yang perlu ditetapkan dalam diri.

IKLAN

(3) Ibu Diva

Walaupun ibu anda menyayangi anda, tetapi tingkah ibu yang lagak primadona ini suka akan perhatian. Tidak menghairankan sekiranya pada majlis itu bahagia anda, ia akan berdandan dan mengenakan sesuatu yang di luar jangkauan anda semata-mata meraih perhatian tetamu yang hadir pada hari bersejarah itu.

Tip Nona: Berikan saja sekiranya perhatian yang dicari. Biarkan dirinya bersinar di tengah upacara pernikahan anda. Sewaktu kehadirannya di dewan utama, umumkanlah ketibaannya. Alunkan muzik kesukaan ibu anda sebagai tanda kasih sayang anda kepadanya.

Namun, apa yang lebih merisaukan, sekiranya ibu anda ini hadir ke majlis anda dengan memakai gaun yang panjang ekornya melebihi daripada gaun pengantin sang mempelai itu sendiri.

Sebelum berlangsungnya majlis itu, bawalah ibu anda mencari pakaian yang sesuai untuk dirinya. Saat anda telah menjumpai baju yang sesuai untuk ibu anda, katakan padanya anda akan gembira jika melihat dia memakai pakaian ini pada hari persandingan anda. Kadangkala anda perlu bersikap manipulatif untuk menyelamatkan hari penting anda.

(4) Ibu Kreatif

IKLAN

Niat yang baik kadangkala sering berakhir dengan hasil yang tidak menggembirakan. Demi membuat hantaran atau gubahan yang menepati cita rasa, anda memerlukan khidmat ibu tercinta untuk menggubah bingkisan hantaran anda walaupun ibu anda kelihatan teruja dengan aktiviti ini untuk anakandanya yang tercinta.

Tip Nona: Meski anda menggunakan perkhidmatan Perancang Perkahwinan, tapi Project Manager yang sebenarnya tetaplah diri anda. Bagi mengelakkan hal ini berterusan, gantikan kerja gubahan ini kepada kerja yang lain kepada ibu anda.

Sebagai contoh, mintalah bantuan ibu untuk membantu anda menulis nama senarai jemputan tetamu pada kad undangan perkahwinan anda, atau ajaklah ibu turut serta dalam membuat origami untuk dihias di ruang guest book nanti. Sudah pasti ibu anda akan melupakan hal berkaitan hantaran kerana sudah ada tanggungjawab lain yang telah diberikan padanya.

(5) Ibu Yang Tidak Ambil Tahu

Pernikahan? Bila? Mungkin inilah reaksi bagi segelintir ibu yang tidak mengambil cakna urusan perkahwinan anda. Sikapnya yang tidak ambil peduli mampu menjejaskan perasaan anda. Dia langsung tidak hulurkan bantuan malah tidak tertarik dengan segala perancangan anda.

Tip Nona: Mungkin ada perkara yang kurang dipersetujui olehnya ketika anda sedang sibuk merencanakan hal pernikahan anda ini. Selain khuatir soal belanja yang akan menelan kos yang tinggi, jangan tertekan dengan keadaan ini.

Sebaliknya, anda carilah orang yang mampu meringankan beban anda. Kaum keluarga terdekat atau pimpin saja teman baik anda untuk membantu menjayakan majlis ini. Buktikan pada ibu anda bahawa nada mampu melakukannya walaupun tanpa dirinya.

Pada majlis anda, layanlah ibu anda seperti orang yang paling bermakna, semoga hatinya bangga melihat kasih sayang anda yang tidak berkurang kepada dirinya. KR

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI