
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sememangnya kesayangan ramai. Manakan tidaknya, walau sudah berabad lamanya beliau menyanyi, Siti Nurhaliza atau lebih mesra dikenali sebagi Tokti kekal unggul dalam persada seni hiburan tanahair dikelasnya yang tersendiri.

Terbaru, entah dari mana seorang lelaki mendakwa dirinya terhutang budi dan nyawa dengan ibu kepada dua cahaya mata tersebut. Lelaki tersebut mendedahkan Datuk Seri Siti Nurhaliza pernah membantu membiayai kos pembedahan jantung arwah anaknya pada 11 tahun lalu.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di TikTok, individu yang dikenali sebagai Adiey Salleh berkata, dia dan isteri buntu memikirkan tentang masalah kesihatan anak mereka yang perlu dibedah segera akibat jantung berlubang.
Pasangan itu kemudian mengambil keputusan untuk mengeluarkan simpanan KWSP bagi menampung kos pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).
“Tiba-tiba wakil Simply Siti datang terus menawarkan bantuan kewangan untuk kos pembedahan. Berderai air mata jantan saya,” kongsinya.

Namun difahamkan kanak-kanak tersebut telah meninggal dunia selepas tiga bulan selesai menjalani pembedahan.
Namun, sebagai seorang bapa, Adiey tetap bersyukur dan berterima kasih kepada Siti Nurhaliza kerana kesudian membantu keluarganya.
“Anak saya sudah tiada, tetapi dia sempat berlari dan beraya. Tiga bulan dia ada bersama kami. demi Allah perkara ini benar, terima kasih Siti. Aku kenang sepanjang hayat, hanya Allah mampu membalasnya.

Tak menafikan perkara tersebut, di IG story Siti Nurhaliza, penyanyi kesayangan ramai itu sempat menulis dan bersyukur Allah S.W.T bisnesnya menjadi asbab meringankan kos mereka.
Semoga kisah ini menjadi inspirasi dan mengerakkan hati kita untuk sentiasa membantu buat mereka yang memerlukan.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ikat Perut & Tidur Di Airport, Terharu Struggle Pasangan PJJ Ini Mahu Berbakti Pada Masyarakat

Kata orang, perkahwinan jarak jauh (PJJ) banyak cabarannya. Yang dekat pun banyak menduga, inikan pula pasangan yang jauh di mata. Tapi berlainan kisah Zharudin dan Mariana. Mereka reda PJJ demi janji di atas motosikal, 10 tahun lalu.
Jangan ditanya apa sumbangan negara pada kamu, tetapi tanyalah apa sumbangan kamu pada negara.
Sebenarnya ada ramai anak bangsa yang mendahulukan kepentingan negara, berbanding diri sendiri. Salah satunya anak Bintulu, Sarawak bernama Zharudin Naruddin ini.
Berusia 35 tahun, lelaki berjawatan Pengurus Besar di sebuah anak syarikat Badan Berkanun Kerajaan itu juga merupakan antara yang termuda di Malaysia.
Namun untuk sampai ke jawatan sekarang, banyak air mata yang tumpah dan pengorbanan yang harus dilakukan.


“Kami sentiasa berjauhan sejak tahun 2018 atas faktor pekerjaan dan urusan pendidikan kami.
Bayangkan sejak itu saya ke KL setiap dua minggu dan simpan duit makan untuk tambah duit belanja sewaktu mengambil Master di UUMKL.
Saya terpaksa buat di KL sebab hanya UUMKL sahaja ada pilihan kursus Pengurusan Awam dan kelas setiap dua minggu (weekends).
Dan di KL, saya tidur di airport sebab tak cukup duit untuk menyewa hotel. Kami sanggup berhabis duit demi pendidikan. Walaupun kadang berlapar.” Zharudin

Bapa anak dua yang kini menggenggam Master Pengurusan Awam itu turut menyemat satu cita-cita. Beliau mahu berkhidmat kepada masyarakat dan membina semula Malaysia yang berjaya.
ISTERI DOKTOR PAKAR
Pasangan Zharudin iaitu Dr Mariana Tumin pula merupakan anak Simpang Renggam, Johor berusia 34 tahun.

“Isteri saya bercita-cita mahu menjadi doktor pakar dan beliau juga tekad untuk berkhidmat pada masyarakat. Saya yakin kerjaya beliau sekarang di laluan yang betul, insyaAllah.
Beberapa hari lepas, isteri saya lulus Professional Exam for Doctor of Public Health. Saya tahu ia bukan mudah untuk dilalui.
Bila dapat berita kejayaan ini, saya rasa lagi risau kerana langkah seterusnya sebagai Pakar Kesihatan Awam bukanlah satu tugasan yang mudah.
Tugasnya secara ringkas adalah memastikan kesihatan komuniti terjamin termasuklah hal-hal pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.
Masih segar di ingatan ketika kami saling berbincang di atas motor sambil bersiar-siar di Kampung Jepak, dan saling bersetuju bahawa kita akan menjadi milik masyarakat dengan memberi khidmat kepada mereka.
Jadi kami bersetuju untuk letak mindset tersebut 10 tahun lepas,” cerita Zharudin.
SUKA DUKA
Sambungnya lagi, “Ketika saya berkhidmat di Petronas, dia pula berkhidmat di klinik kesihatan Bintulu. Tahun 2016 saya menyahut cabaran untuk berada di pentas politik dengan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak. Kami tahu ketika itu persediaan telah dilakukan kerana pasti tidak akan menang kerusi tersebut.


Orang muda, baru sahaja dalam alam pekerjaan. Bermulanya cabaran besar buat kami ketika pasca pilihan raya. Pada ketika itu isteri saya pernah berhasrat menangguhkan pengajiannya. Saya nekad paksa dan beri motivasi padanya untuk teruskan perjalanan. Dia akur dan daftar juga.
Dia semakin risau kerana apabila cuti belajar beberapa elaun dia tidak akan perolehi dan keadaan ini akan terus menjejaskan keadaan kewangan kami. Saya simpan sahaja tangisan ketika itu.
Takdir menentukan dia telah terpilih setelah beberapa sesi temu duga di Semenanjung. Perjalanan ke sini memang menduga kerana kami tidak cukup duit belanja. Tapi redah sahaja dan doa banyak-banyak.
Akhirnya tahun 2017, beliau daftar kemasukan sebagai pelajar pasca siswazah untuk program Master dan PhD selama 4 tahun.
SAMA-SAMA BELAJAR
Apabila berpindah ke Kuching, saya tiada pekerjaan. Sukar untuk mendapatkan kerja pada ketika itu apabila kejatuhan harga minyak berlaku sejak 2015. Isteri saya sepenuh masa belajar.
Puas juga saya cari kerja tapi tidak dapat. Memang rasa tertekan juga pada masa itu. Ketika itu juga saya masih dalam pengajian Master. Saya nekad cari sumber mata pencarian yang lain, antaranya sebagai Grab Driver.
Tahun 2018, isteri saya bersalin anak kedua. Mengimbau momen kesusahan kami, saya teringat waktu dia di bilik bersalin.
Pada telefon pintar saya ketika itu keluar notifikasi ‘new passenger request’ iaitu dari Hospital Umum Sarawak ke Matang Jaya.
Ya. Saya tekan accept dan saya rasa ini akan tambah pendapatan hari tersebut. Perjalanan hampir 40 minit pada waktu petang yang sesak. Setelah saya habis menghantar penumpang tersebut, saya sempat minta doa supaya isteri saya selamat bersalin.
Alangkah terkejutnya penumpang tersebut dan sepasang suami isteri berbangsa Indonesia itu terus rasa bersalah dan segara menyuruh saya pergi. Saya pecutlah terus!
Sampai di hospital, sangat sesak. Saya jadi kebingungan dimana isteri saya dan apa keadaannya? Telefon juga tidak dijawab. Saya lari ke tingkat atas ke wad wanita dan alhamdulillah, saya melihat isteri saya sedang diusung untuk ke bilik bersalin.
Sempat juga akhirnya. Tak sampai 15 minit dia mesej sudah selamat lahirkan anak perempuan. Itulah Sarah yang saya sayangi! Saya pasti Sarah akan sekuat detik ini satu hari nanti.


Tidak habis dengan itu, isteri saya hanya sempat berpantang 2 minggu dan perlu hadir ke peperiksaan akhir. Anak-anak kami hantar balik ke Johor seketika untuk mudahkan dia berpantang.
Rezeki, 3 minggu kemudian saya dapat tawaran kerja di Bintulu dan menguruskan projek di sana. Kisah ini termasuk apabila saya bekerja di Bintulu, beliaulah yang menguruskan urusan anak-anak ke sekolah dan beliau juga bangun tengah malam siapkan kerja-kerja penyelidikan dan menulis.
Kerana itu sahaja ruang yang ada ketika anak-anak nyenyak tidur. Sakit dan penat itu saya tidak akan dapat bayar.
TERPAKSA PJJ
Pada waktu ini pula saya di Kuala Lumpur, isteri di Kuching dan anak-anak kami di Johor. Sudah sebulan terpisah sementara. Itulah pesan orang; bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Dengan usaha ada kejayaan.
Kisah kami ini bukan untuk ditunjuk dan bukan pula untuk berbangga. Sekadar berkongsi kesukaran kami yang tidaklah begitu besar dan kejayaan ini juga bukanlah hebat, kerana di luar sana ada ramai lagi orang hebat.” Zharudin

Susah dan sukar macam mana sekali pun jangan tunding jari pada orang lain. Sesukar mana pun kehidupan kita, jangan putus asa.
Bersabar dan doa itu adalah kunci. Zharudin turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada isterinya, Dr. Mariana Tumin (DPH) kerana telah berjaya menamatkan pengajian.
Inilah permulaan perjalanan baru sebagai seorang pakar kelak!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
15,000 Lip Kit Terjual Kurang 1 Minit, Kylie Jenner Singkir Mark Zuckerberg Sebagai Bilionair Termuda

Muda, cantik, bergaya, terkenal dan KAYA. Beruntung wanita yang bernama Kylie Jenner ini. Kylie Jenner telah menggantikan pengasas Facebook Mark Zuckerberg sebagai individu paling muda dalam sejarah bergelar bilionaire. Kylie kini berada di tangga ke 2,057 sebagai orang paling kaya di dunia.
Sebut saja nama Kylie Jenner pasti sudah terbayang seorang gadis dengan sosok tubuh seksi yang gemar menggayakan fesyen terkini pereka jenama mewah. Wajah yang jelita dan sering tampil cantik dengan solekan sempurna ini sebenarnya begitu gigih dalam perniagaan kosmetik yang diasaskannya.

Wanita yang lahir daripada program realiti TV ini benar-benar bertuah kerana namanya telah melonjak naik lantaran program realiti TV yang dilakonkan bersama-sama kakak satu ibunya, Kim Kardashian. Biasan daripada program realiti TV tersebut namanya turut gah di platform laman media sosial yang telah mencurahkan rezeki melimpah-ruah.
Kylie bukan seorang anak hartawan jauh sekali jutawan tetapi, atas hasil usaha titik peluhnya dan populariti yang diraih melalui laman media sosial, wanita yang bakal menginjak usia 22 tahun pada Ogos ini telah melayakkan dirinya bergelar BILIONAIR.

Bergelar jutawan dalam usia yang terlalu muda merupakan satu kebanggaan buat dirinya dan telah menyuntik inspirasi buat wanita lain seusianya mahupun yang sudah berusia. Mesti terasa puas hati segala usaha yang dilakukan nyata berbaloi.
Majalah Forbes telah menyenaraikan Kylie Jenner sebagai salah seorang wanita muda yang berjaya dalam perniagaan kosmetik sehingga bergelar Instagram-Savvy Makeup Moguls. Dengan memiliki 129 juta pengikut di laman Instagram dan digelar sebagai Seventh Most Followed User mungkin Kylie Jenner tidak perlu bersusah payah untuk mempromosikan barangan solekannya.

Bisnes kosmetik yang diberi nama sempena namanya, Kylie Cosmetics telah mentransformasikan dirinya daripada seorang gadis biasa kepada seorang Jutawan dengan jumlah harta kekayaan USD900 juta dalam masa tiga tahun memulakan perniagaan.
Walaupun banyak kritikan yang diterima Kylie dalam menentukan gaya hidupnya tetapi dalam masa yang sama telah mencipta kejayaan peribadi yang pasti dicemburui oleh setiap wanita. Tahniah Kylie! anda mesti bangga memiliki harta kekayaan yang tercipta daripada usaha sendiri.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penghidap KANSER PAYUDARA Berulang, DR NOR ANIZA Tak Pernah Rasa Kurang Sifat Kewanitaan!

Kanser payudara sangat digeruni kerana ia merupakan penyebab utama kematian penyakit kanser dalam kalangan wanita. Tidak kira umur atau pekerjaan anda sekalipun, kanser boleh menyerang dan pada waktu ini, anda harus tabah menghadapi pelbagai ujian yang perlu dilalui dalam melawan penyakit yang menjadi musuh di kalangan wanita ini.

Walaupun memegang gelaran sebagai seorang doktor dan mengamalkan gaya hidup yang sihat, Dr Nor Aniza, 44 tidak terkecuali menjadi salah seorang ‘mangsa’ kanser membunuh ini. Namun, dengan semangat yang cekal dan azam yang tinggi untuk menjalani kehidupan yang lebih positif, beliau berjaya menjadi salah seorang cancer survivor.
“Pada tahun 2006, ketika berumur 32 tahun saya mendapati terdapat satu ketulan kecil lebih kurang 2cm di payudara kiri melalui pemeriksaan sendiri payudara (PSP). Anehnya, ketulan itu tidak pernah ada di situ dan saya tidak langsung merasai sakit. Atas dasar kesedaran, saya berjumpa dengan pakar di PPUM dan selang beberapa hari, doktor mengesahkan ia sel kanser.
Saya menyusukan anak-anak dan mengamalkan gaya hidup sihat. Bahkan, tiada siapa di kalangan ahli keluarga menghidap kanser”, jelasnya ketika mula-mula disahkan menghidap kanser payudara.
“Sukar untuk saya percayai. Otak ligat memikirkan anak-anak yang masih kecil dan klinik saya yang baharu saja dibuka. Walaupun saya tahu apakah langkah rawatan terbaik, perasaan sedih dan air mata tidak dapat dibendung”, jelasnya lagi.
Sekali lagi, emosinya terusik dan dunia menjadi gelap tiba-tiba apabila beliau disahkan sekali lagi menghidap kanser payudara.
” Tidak tahu di mana silapnya, saya adalah peratusan kecil kanser berulang seperti disebut pakar dan saya terpaksa akur bahawa punca usia muda dan hormon yang masih aktif menyebabkan kanser berulang kembali.

Saya nekad menjalani pembedahan membuang payudara sekali gus Rekonstruksi Implan dan pembedahan mengambil masa selama 6 jam dan saya diberi suntikan di perut untuk menyekat hormon”, jelasnya lagi yang aktif dalam pelbagai kumpulan sokongan kanser seperti Cancer Survivors Malaysia.
Bukan mudah untuk kekal positif dalam keadaan sebegini namun semangat yang ada dalam diri doktor ini sewajarnya dijadikan inspirasi. Beliau juga sentiasa bersyukur kerana sekalipun menghidap kanser berulang, Allah masih murah hati mengurniakan banyak nikmat lain kepadanya dan tidak sedikit pun berasa kurang sifat kewanitaan.
Jangan mudah mengalah kerana setiap penyakit pasti ada penawarnya. Malah, kanser payudara boleh dirawat jika seseorang pesakit dapat mengesan dan menyedari antara tanda-tanda lebih awal lagi dengan melakukan pemeriksaan sendiri (PSP) ke atas payudara pada setiap bulan. Jangan terlalu memandang ringan dan ambil sikap tidak peduli lebih-lebih lagi untuk wanita yang berumur 20 tahun ke atas. Sekiranya berlaku sebarang perubahan di bahagian payudara segera dapatkan rujukan daripada pakar.
Diharapkan, agar wanita di luar sana lebih peka dengan kesihatan diri sendiri dan keluarga.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


