Seorang ibu berusia 60 tahun terpanggil mengerjakan haji. Tapi warga emas tersebut mempunyai hubungan dingin dengan anak lelaki dan menantunya.

Hubungan dingin itu bermula sejak di Malaysia lagi kerana si ibu tua kurang senang dengan perangai menantunya yang sombong dan suka mengongkong suami.

IKLAN

Apa yang mengecewakan ibu tua ini, biarpun anaknya itu ahli perniagaan yang berjaya tetapi apabila berhadapan dengan isterinya, dia jarang membantah apatah lagi meninggikan suara.

Apa saja kehendak isteri diturutkan walaupun kadangkala menyinggung perasaan ibu dan keluarganya. Si ibu pernah menasihati anak lelakinya itu supaya menegur sikap buruk isterinya tapi seperti tidak dilayan.

Ibu tua ini berkecil hati kerana menantunya tidak senang dengan kehadirannya di Mekah. Kalau boleh dia mahu ke Tanah Suci bersama suaminya saja tapi dia terpaksa mengalah.

Kerana itulah sejak sampai di Mekah dan Madinah, hubungan dingin mereka semakin parah. Bukan sekali mereka bertegang leher.

Ibu tua ini tentunya hendak sentiasa dilayan hati dan perasaan, tapi menantunya sombong dan panas baran. Dia tak suka melayan kehendak mertuanya yang dirasakan begitu cerewet.

“Macam mana ni Zin, isteri kau langsung tak hormatkan Mak. Mak minta tolong sikit, dia dah membebel. Apa Mak buat, semuanya tak betul di mata dia,” rungut si ibu tua itu pada anaknya.

Kedua-duanya memberikan alasan masing-masing hingga si anak berasa amat tertekan. Hendak dimenangkan ibunya, khuatir isteri bermasam muka. Hendak dimenangkan isteri, khuatir ibunya pula terasa hati.

Jadi sedaya yang boleh, dia cuba memekakkan telinga dan membutakan mata daripada pertelingkahan itu.

Selepas lama berselisih faham, si anak sedikit demi sedikit menyebelahi isterinya. Bagi lelaki itu, ibunya yang bersalah kerana terlalu banyak meminta, cerewet dan terlalu ambil hati.

Suatu hari, si ibu memanggil anaknya.

“Zin, boleh tak kau belikan sejadah untuk Mak, di kedai bawah tu aja.”

“Mak nak berapa?” soal anaknya.

“Dalam 10 helai.”

“Eh nak buat apa banyak-banyak?” soal si anak lagi.

“Alah, nak buat kenangan, lebih tu nak bagi kawan-kawan dan orang kampung. Dapat juga pahala, kau pun dapat pahala sama,” kata si ibu tersenyum.

Mendengar permintaan mertuanya itu, isteri si anak menarik muka masam. Matanya merenung tajam wajah suaminya sebagai isyarat, ‘Jangan Layan’. Kemudian mukanya ditoleh ke arah lain. Ekoran itu, si anak yang pada mulanya mahu menuruti permintaan ibunya kembali ke tempat duduk.

“Tak bolehlah Mak, saya penatlah. Nantilah, bila nak balik nanti… saya belikan,” jawab si anak.

Tetapi kata-kata itu menyebabkan ibunya berkecil hati. Dia kecewa anaknya itu sanggup mengenepikan permintaannya sebaliknya menurut saja apa kata isteri.

IKLAN

Lantas dia berkata, “Kau ni Zin, Mak nak benda tu pun tak boleh beri. Tapi kalau orang rumah kau, dah sampai penuh begnya pun kau nak belikan barang lagi. Mak ni kau belikan sedikit aja, sampai hati kau.”

Sepatutnya kata-kata ibu tadi diterima dengan keinsafan tapi tanpa disangka, anak naik berang. Dengan meninggikan suara, dia memarahi ibunya.

“Mak ni! Nak buat apa dengan barang-barang tu? Mak kan dah tua. Buat apa beli itu, beli ini. Isteri saya adalah sebab saya beli macam-macam, sampai penuh beg. Saya ada anak, saya nak belikan barang untuk anak kami juga,” katanya dengan muka masam mencuka. Dadanya turun naik menahan marah.

Ibunya makin terkilan. Hatinya begitu hancur apabila anak yang dipelihara sejak kecil dengan penuh kasih sayang sanggup mengherdiknya sebegitu rupa.

Tindakan anaknya yang sudah melampau itu menyebabkan si ibu marah. Sambil merenung tajam wajah anaknya, si ibu berkata…

“Dengan isteri, kau bercakap dengan baik tapi dengan Mak sendiri, kau tengking-tengking.”

Dengan suara tegas si ibu tadi menyambung, “Kalau beginilah sikap kau Zin, mula hari ini, Mak haramkan susu yang dulunya kau minum.”

Takdir Allah serentak dengan kata-kata si ibu tadi, anaknya terus jatuh terjelepuk ke lantai. Bagai panahan petir, kata-kata tersebut seolah ‘membunuh’ si anak tadi serta-merta.

IKLAN

Begitu cepat balasan Allah kepada hamba-Nya. Tanpa menoleh pada anaknya yang terbaring di lantai, si ibu tadi bergegas keluar dari biliknya.

Sambil berjalan dia mengesat air mata yang menitis dengan lengan baju. Dia tidak menoleh ke belakang lagi.

Sementara itu, si anak pula terkulai dengan mata terkebil-kebil. Badannya longlai dan lembik. Isterinya pula menangis tersedu-sedu.

Sejak itu, kesihatan anak mula terganggu. Namun doktor gagal mengesan apa puncanya. Kesihatan si anak tadi semakin buruk.

Badan dan kakinya lemah hingga dia tidak berdaya berdiri sendiri. Akibatnya si anak itu terpaksa dipapah dan diusung semasa wukuf, sai, melontar Jamrah, tawaf dan sebagainya.

Sementara itu, kerana tidak ada lagi tempat bergantung, si ibu tadi menunaikan haji bersama-sama jemaah lain.

Begitulah keadaan mereka sehingga selesai musim haji dan seterusnya kembali ke tanah air. Namun dalam tempoh itu, hubungan mereka tiga beranak tetap tidak berubah.

Anak yang telah mendapat balasan Allah juga masih tidak insaf dengan kesilapannya. Ibu pula yang telah terkilan dengan sikap anaknya tetap enggan memaafkannya.

Sejak kembali dari Mekah, mereka langsung tidak mengunjungi satu sama lain.

Berita terakhir yang diterima ialah anaknya telah meninggal dunia selepas menderita sakit.

Kisah ini diceritakan semula kepada bekas Pengurus Besar Bimbingan Haji, Lembaga Urusan Tabung Haji iaitu Ustaz Haji Daud Che Ngah dalam naskhah ‘Ingatan Dari Kaabah’. Norzalina Mohd Alias

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI