Sememangnya pandemik COVID-19 mempengaruhi kehidupan manusia sejagat. Atas dasar keprihatinan terhadap rakyat, Yang Teramat Mulia Raja Kecil Sulong Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Ahmad Nazim Azlan Shah berkenan menyampaikan kurniaan Yayasan Sultan Azlan Shah kepada 48 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan 1,038 keluarga yang kurang berkemampuan di negeri Perak.
Foto: Instagram @sukperak
Sumbangan ini diharapkan dapat membantu mengurangkan bebanan kewangan rakyat yang terjejas susulan penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia khususnya di negeri Perak ketika ini.
Sumbangan dalam bentuk barangan asas untuk 1,038 keluarga yang telah dikenal pasti akan disalurkan menerusi Orang Besar Jajahan di 8 daerah yang terlibat iaitu, Daerah Kuala Kangsar, Daerah Hilir Perak, Daerah Kinta, Daerah Kampar, Daerah Muallim, Daerah Bagan Datuk, Daerah Batang Padang dan Daerah Hulu Perak.
Raja Dato’ Seri Ahmad Nazim Azlan Shah merupakan putera tunggal kepada Yang Amat Mulia Raja Dato Seri Ashman Shah ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah dan Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Noraini Jane. Mempunyai adik-beradik lain iaitu Yang Mulia Raja Eminah Elliyah binti Raja Ashman Shah dan Yang Mulia Raja Bainunnisa Safiah Binti Raja Ashman Shah.
Raja Dato’ Seri Ahmad Nazim Azlan Shah dilahirkan pada 10 Mac 1994 dan melanjutkan pelajaran ke salah satu universiti tertua dan terkenal dunia iaitu Universiti Cambridge, United Kingdom.
Ads
Foto: Instagram @perakdirajaFoto: Instagram @malaysia.royalfamily, kredit @jojo_assabil
Kisah pelajar yang membawa bekalan mangkuk tingkat ke sekolah yang tular dan menjadi bualan hangat baru-baru ini sememangnya menarik tumpuan ramai. Ada yang memuji tindakan prihatin si ibu, tidak kurang juga yang kecam kerana beranggapan situasi itu menyusahkan kanak-kanak dan terpaksa mengangkat ‘beban’ ke sekolah.
Yang pasti, isu tersebut telah mencuri perhatian Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah. Mengikuti perkembangan isu itu dari semasa ke semasa, Tengku Zatashah menerusi laman Instagramnya meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir pihak yang cenderung membuka ruang berlakunya gejala buli.
Selaku individu yang terlibat aktif dalam kempen berkaitan isu buli di sekolah, beliau rasa terpanggil untuk meminta masyarakat menghentikan persepsi negatif berkenaan. Ujar Tengku Zatashah, “Baru-baru ini ada beberapa individu yang menghantar kepada saya tentang kisah viral seorang pelajar perempuan sekolah rendah yang dibuli hanya kerana membawa bekal mangkuk tingkat ke sekolah.
Saya rasa sangat sedih dan sudah pasti ramai yang turut berkongsi rasa yang sama apabila kanak-kanak ini dibuli disebabkan mangkuk tingkat.
Saya mengambil kesempatan ini untuk memberitahu kepada pelajar sekolah tersebut dan keluarganya bahawa saya sangat bangga melihat mereka bawa mangkuk tingkat ke sekolah kerana saya juga bawa mangkuk tingkat ke mana saja!
Tidak kira ketika berkunjung ke bazar Ramadan, ke pasar malam juga ke gerai food trucks. Dan saya bersimpati kerana pelajar ini dibuli hanya disebabkan perkara tersebut.
Ramai di antara kita yang bawa dan menggunakan mangkuk tingkat dengan bangga. Bahkan saya juga kerap dipanggil ‘the girl with the tiffin’. Jadi, buat Adik… berbanggalah dan kami sayang anda.
Sedih melihat situasi buli dan komen-komen negatif mereka yang berniat jahat terhadap anak kecil ini. Mereka tak buat salah. Kita kini berada dalam situasi sukar Covid-19 dan tunjukkan kebaikan hati masing-masing. Kita perlu saling bersatu dan berbuat baik di antara satu sama lain.”
Kira-kira lima tahun lalu, Presiden AllianceFrancaise Kuala Lumpur ini sudah mula membawa mangkuk tingkat atau ‘tiffin’ ke mana sahaja tanpa rasa segan. Memang jarang-jarang dibuat oleh seorang puteri diraja!
Mengikuti perkembangan Tengku Zatashah, Puteri Diraja Selangor ini sudah mula mempraktikkan budaya membawa mangkuk tingkat sejak tahun 2016 lagi. Malah, beliau turut memuat naik gambar ketika mengunjungi bazar Ramadan dan pasar malam sambil memegang bekas makanan tersebut demi mengurangkan penggunaan plastik.
Selain aktif menjayakan kempen Say No 2 Plastic, penglibatan Tengku Zatashah dalam badan kebajikan bukan lagi rahsia. Ada sahaja peluang untuk membantu golongan kanak-kanak, orang kurang berkemampuan dan warga emas pasti kelibatnya muncul dalam aktiviti kemasyarakatan sedemikian. Termasuklah perlindungan bagi hidupan liar dan laut yang kini diancam kematian akibat pencemaran.
Sebelum ini, Tengku Zatashah turut terlibat menyertai kempen Zero Food Wastage, Women Empowerment, No Bully, dan Save Wild Life. Moga usaha murni Tengku Zatashah dalam mempromosikan budaya Malaysia dan melindungi kebajikan semua pihak termasuk haiwan mencetus inspirasi kepada wanita lain untuk mengikut jejak langkah beliau.
Kredit foto: Instagram Tengku Zatashah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nama Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah akan sentiasa harum mekar sebagai seorang sultan yang berjiwa rakyat. Sepanjang hayatnya dan ketika masih bergelar Sultan Pahang selama 45 tahun, almarhum baginda sultan cukup disegani dan dekat di hati rakyat Pahang kerana keramahan dan keprihatinan baginda menyelami sisi kehidupan rakyatnya.
Dan, berita kemangkatan almarhum baginda Sultan Haji Ahmad Shah semalam… bukan hanya memberi kesan kepada rakyat negeri berkenaan bahkan seluruh negara turut berduka dengan perkhabaran tersebut.
Mengimbas kembali jiwa mesra rakyat Sultan Haji Ahmad Shah, baginda sultan menjadi antara kerabat diraja terawal yang ‘menyinsing seluar’ mencemar duli melawat daerah di Pahang setiap kali rakyat jelata dilanda musibah seperti bencana banjir di samping sudi mendengar keluh resah penduduk di sana.
Seperti yang dilaporkan semalam, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 8.50 pagi dalam usia 89 tahun.
Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dilantik sebagai Sultan Pahang Kelima pada 7 Mei 1974 dan merupakan ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.
Sultan Haji Ahmad Shah diputerakan pada tanggal 24 Oktober 1930 di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang dan merupakan anakanda ketiga dan putera tunggal kepada Almarhum Sultan Abu Bakar dan Almarhum Raja Ampuan Fatimah Sultan Iskandar Shah.
Baginda sultan mengahwini Tengku Hajah Afzan Tengku Muhammad pada 22 April 1954 dan dikurniakan tujuh orang anak. Selepas kemangkatan Tengku Afzan pada 29 Jun 1988, Sultan Haji Ahmad Shah mengahwini Sultanah Hajah Kalsom pada 14 Mac 1998 dan dikurniakan seorang putera iaitu Tengku Fahd Mu’adzam Shah Sultan Ahmad Shah.
Jenazah almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dibawa ke Balairong Seri Istana Abu Bakar, Pekan di Pahang kira-kira jam 9.20 malam tadi. Jenazah siap dikafankan bersemayam di tengah Balairong Seri Istana Abu Bakar untuk penghormatan terakhir.
Sebaik jenazah tiba, pelajar tahfiz dari seluruh negeri Pahang hadir mendoakan dan membacakan Surah Yaasiin selepas Solat Jenazah di persada Balairong Seri Istana Abu Bakar bersama kerabat diraja dan para jemaah.
Selain kaum kerabat diraja… orang ramai juga diberi peluang untuk memberi penghormatan terakhir kepada almarhum baginda sultan sehingga jam 9 pagi tadi. Sementara pada jam 11 pagi ini pula, masa penghormatan terakhir bagi orang kenamaan dan kerabat.
Usai penghormatan terakhir itu nanti jenazah akan dibawa ke Masjid Sultan Ahmad Shah di Pekan untuk dimakamkan di Makam Diraja selepas solat Zohor.
Sumber: BERNAMA
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam kehidupan ini terdapat golongan yang kaya atau berharta serta ada yang kurang berkemampuan. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Allah SWT mencipta manusia pelbagai rupa, kelebihan dan kekurangan agar dapat saling melengkapi.
Namun ia sering dijadikan hujah untuk mengatakan Allah SWT tidak adil, menciptakan manusia tidak sama rata, ada kaya, ada yang miskin, ada cantik, ada yang buruk rupa. Apabila hakikat itu dilupakan, lahirlah keangkuhan yang membawa kepada persengketaan. Bagaimana untuk menanam sikap agar diri tidak terasa lebih berbanding orang lain? Berikut pandangan Ustazah Sharifah Khasif.
Di alam semesta ini kita menyaksikan ada sebahagian orang yang diberi kekayaan yang berlimpah ruah seperti memiliki kereta mewah, rumah yang megah, kedudukan yang tinggi dan nama yang sangat terkenal. Sedangkan di tempat yang berbeza ada sebahagian orang yang menderita kelaparan, hidup miskin, berpenyakit dan sebagainya. Apakah anda terfikir di antara mereka itu termasuk orang-orang yang dicintai Allah SWT sehingga diberi berbagai kesenangan hidup sedangkan sebahagian yang lain termasuk orang-orang yang diberi nasib yang tidak baik kerana mereka dibenci olehNya?
Pertanyaan seperti itu sebenarnya tidak akan wujud bagi mereka yang sedang dalam kenikmatan hidup dan kekayaan walaupun bagi mereka semua itu disediakan oleh Allah SWT untuk memberi pendidikan kepada manusia. Sebaliknya, bagi orang-orang yang sedang dalam penderitaana soalan begitu pasti akan sentiasa wujud. Adakalanya Allah SWT memberi sesetengah orang berbagai macam jenis kekayaan. Akan tetapi, ada pula yang diberi kemiskinan dan berbagai penderitaan. Sebagai seorang mukmin segala bentuk kebahagiaan dan kekayaan yang diberi kepada sebahagian orang, sedangkan sebahagian yang lain diberi kemiskinan serta dugaan, maka semua itu telah ditakdirkan oleh Allah SWT. Sabda Nabi SAW:
“Sesungguhnya Allah SWT membahagikan akhlak di antara kalian, sebagaimana membahagi rezeki bagi kalian. Sesungguhnya Allah memberikan dunia bagi orang-orang yang dicintai olehNya, mahupun bagi yang tidak dicintai olehNya. Akan tetapi, Allah SWT tidak memberikan agama kecuali bagi orang-orang yang dicintaiNya. Dan siapa saja yang diberi agama oleh Allah, maka ia termasuk orang yang dicintai olehNya.”
Dari sisi yang lain kita tidak boleh memandang kekayaan sebagai kebaikan semata mata. ini kerana, adakalanya Allah SWT memberi harta dan anak kepada sebahagian orang sebagai ujian bagi mereka. Dan adakala tidak memberikannya kepada yang lain, juga sebagai ujian bagi mereka. Hasilnya bagi kedua dua kelompok tersebut tetap tersedia kebaikan jika mereka memahaminya. Ketahuilah, jika engkau tidak mengikuti jalan petunjuk, adakalanya kemiskinan akan menyebabkan engkau menjadi kafir dan suka berbuat maksiat. Dengan kata lain, jika engkau tidak mengikuti jalan yang lurus dan tidak mengikuti jalan petunjuk maka kekayaanmu akan menjadi ujian yang buruk bagimu. Seperti disebutkan di dalam firman Allah SWT, “Dan ketahuilah, bahawa harta dan anak-anak kalian itu hanyalah sebagai ujian. Dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar,” (QS Al-Anfal [8]: 28).
Berapa banyak orang yang diberi anugerah berupa kekayaan yang berlimpah ruah, akan tetapi jiwa mereka tidak mempunyai sinar petunjuk (hidayah) sedikit pun. Sehingga mereka menjadi orang-orang kafir yang mengingkari segala bentuk kurniaan Allah SWT. Tentunya segala kekayaan yang diberi kepada mereka merupakan ujian untuk menambah kesesatan mereka. Hati mereka tertutup sehingga tidak dapat mensyukuri kurniaan Allah SWT.
Mungkin ada orang-orang yang hidupnya serba kekurangan, akan tetapi doa mereka selalu mengalir dan dimakbulkan oleh Allah SWT. Seperti disebutkan di dalam hadith berikut, “Berapa banyak orang yang hidupnya serba kekurangan, akan tetapi jika ia berdoa, maka doanya akan dimakbulkan oleh Allah. Di antara mereka itu adalah al-Barra’ bin Malik.
Kisah Al-Barra’ bin Malik adalah saudara sebapa dengan Anas bin Malik ra. Ia termasuk seorang yang tidak mampu membeli makanan dan tidak mempunyai rumah sebagai tempat tinggal. Ia hidup sangat sederhana. Memang banyak para sahabat yang hidupnya sangat kekurangan, akan tetapi Allah SWT melihat hati mereka. Ternyata al- Barra’ mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT sehingga Rasulullah SAW menyatakan, bahawa setiap doanya akan dimakbulkan oleh Allah SWT.
Oleh itu, kekayaan atau kemiskinan bukanlah satu-satunya ujian semata mata. Semuanya harus disesuaikan dengan situasi. Adakala kemiskinan dan kekayaan merupakan satu kurniaan Allah SWT. Bahkan Rasulullah SAW lebih memilih kemiskinan dengan kehendaknya sendiri. Sebagaimana saat Baginda didatangi Saiyidina ‘Umar Ibnul Khaththab RA, dan Saiyyidina ‘Umar mendapati keadaan Baginda sedang tidur di atas tanah, sehingga Saiyidina ‘Umar menangis lalu berkata‚ “Ya Rasulullah, aku lihat semua penguasa dunia tidur di atas tilam yang empuk, sedangkan engkau tidur di atas tanah.” Maka spontan Nabi SAW bersabda, “Apakah engkau tidak rela jika mereka (kaum kafir) hanya diberi kesenangan dunia, sedangkan kita akan diberi kesenangan di akhirat?”
Adakala kefakiran (keimiskinan) menyebabkan seseorang menjadi kafir. Seperti, jika pertanyaan seperti di atas tidak diucapkan oleh seorang Mukmin, akan tetapi diucapkan oleh seorang kafir yang tidak mensyukuri semua nikmat Allah, maka ia termasuk orang yang kafir. Dengan kata lain, adakala kemiskinan sebagai rangkaian kenikmatan yang tersembunyi, dan adakala kekayaan sebagai kenikmatan yang justeru itu mendatangkan malapetaka.
Kekayaan yang berlimah ruah dan dimiliki oleh seseorang yang senantiasa diredhai oleh Allah SWT, maka kedudukan orang itu akan menjadi kebanggan para wali Allah SWT dan menjadi kecintaan Rasulullah SAW. Namun, jika seseorang kaya-raya, dan tidak mempunyai hubungan baik dengan Allah SWT maka dia akan menderita di dunia dan akhirat kelak. Itulah kerugian yang amat nyata. Orang kaya yang tidak mempunyai hubungan baik dengan Allah SWT maka dia akan berakhir dengan kerugian, meskipun kehidupannya di dunia ini sangat bahagia kerana kekayaan. Wallahua’lam.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!