Nur Athisha Khan sememangnya memiliki pesona tersendiri. Tidak keterlaluan dalam berfesyen namun gaya ‘classy’ yang ada dalam diri adik selebriti Noor Neelofa Mohd Noor ini menyerlahkan cita rasa ‘mahal’ Athisha. Apa sahaja yang dipakai pasti nampak cantik dan sepadan dengan penampilannya.
Meniti usia 27 tahun, Athisha Khan tidak hanya dikenali kerana statusnya sebagai adik selebriti popular. Sebaliknya dia juga seorang pempengaruh di media sosial dan vlogger yang mempunyai lebih 300 ribu subscribers di saluran YouTube.
Athisha Khan Wanita Bijak
Bukan hanya bertuah dikurniakan rupa paras cantik, Athisha yang juga isteri Wan Amirul Haiqal ini seorang wanita bijak dan berpendidikan tinggi. Bahkan ketika masih bergelar pelajar, dia sering meraih keputusan cemerlang dalam akademik.
Kejayaan tersebut didedahkan ibu tersayang, Datin Noor Kartini sewaktu temu bual bersama Nona tidak lama dahulu. Tatkala diaju mengenai peribadi anak-anak ketika zaman persekolahan, ibu jelita berusia 59 tahun ini membuka cerita.
“Saya bukanlah ibu yang tetapkan standard tertentu untuk keputusan pelajaran anak-anak. Memang Neelofa anak yang paling pandai dan tak pernah hutang ‘A’ sama seperti Aqief dan Nur Athisha.”
Ads
Athisha merupakan cahaya mata kepada pasangan Dato’ Abdul Halim Khan dan Datin Noor Kartini yang juga anak ketujuh daripada sembilan beradik termasuklah Noor Nabila, Sarah, Aqief, Ameera Khan dan Faliq.
Athisha Khan sah bergelar isteri kepada Wan Amirul Haiqal Wan Ruzlan pada 22 Januari 2022.
Pada September 2021, Athisha dilaporkan berjaya tamat pengajian di United Kingdom. Personaliti ini merupakan graduan undang-undang dengan perniagaan dari University of Birmingham, United Kingdom.
Moga rumah tangga yang dibina kekal bahagia sampai syurga dan kisah kejayaan Athisha khususnya dalam pelajaran memberi inspirasi kepada khalayak.
Terpesona menatap kecantikan gadis Papar, Carol Abbey Gail yang baru dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2023 terbaharu. Bukan saja cantik jelita, malah pintar serta sesuai dijadikan inspirasi gadis muda yang berkebolehan.
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, Unduk Ngadau mungkin hanya satu lagi pertandingan ratu cantik namun ia sebenarnya diadakan pada Mei setiap tahun sempena meraikan perayaan Tadau Kaamatan yang menjadi tradisi rakyat Sabah bagi mengenang kisah legenda pengorbanan Huminodun.
Tampil dengan pakaian tradisional daerah masing-masing, ratusan wanita bersaing mewakili kawasan masing-masing bagi merebut gelaran Unduk Ngadau. Unduk Ngadau berasal dari perkataan Runduk Tadau yang bermaksud ‘gadis dinobatkan sebagai sinar cahaya matahari’.
Pertandingan kecantikan ini adalah sinonim dengan Sabah, kerana ia merupakan pertandingan kecantikan paling terkenal di negeri ini, yang menonjolkan wanita cantik dan cerdas dari semua daerah di Sabah. Paling penting, setiap peserta harus fasih bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing.
Kemenangan Carol mewakili daerah Papar sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2023 pada sambutan Pesta Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) pada 31 Mei lepas, sudah dapat dijangka.
Berusia 24 tahun, gadis yang merupakan graduan ekonomi kewangan daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu melambangkan jati diri gadis Sabah yang kental dan berilmu.
Selain berjaya menewaskan 49 peserta lain, Carol yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu turut membawa pulang hadiah wang tunai RM16,000 beserta beberapa hadiah iringan termasuk biasiswa pendidikan dari Universiti Kolej North Borneo.
Lama tidak mendengar perkembangan model dan aktress cantik berasal dari Indonesia, Ineke Koesherawati. Baru-baru ini, muat naikdi laman Instagram miliknya memperlihatkan penglibatan dirinya terlibat dalam satu pentas peragaan fesyen busana muslimah.
Potret terbaharu Inneke Koesherawati yang tampil anggun dalam busana muslimah berhijab sempurna layak mendapat pujian. Jika dahulu, Inneke dikenali sebagai peragawati dengan imej seksi, kini penampilannya terlihat makin anggun dan elegan pada usia kini mencecah 47 tahun.
Nama Inneke Koesherawati tentu sudah tidak asing bagi penggemar sinetron dan film dari Indonesia sejitar tahun 90an. Antara filem lakonannya yang menaikkan namanya dalam industri perfileman termasuklah GADIS METROPOLIS (1991) dan RODA-RODA ASMARA DI SIRKUIT SENTUL (1994). Jika di awal kemunculannya dalam industri hiburan dahulu Inneke sering diberi jolokan sebagai gadis seksi, namun segalanya berubah apabila dia memutuskan untuk mengenakan hijab pada tahun 2011 yang lalu.
Wanita yang dilahirkan pada 13 Disember 1975 ini memulakan karier seawal usianya 15 tahun ketika dipilih sebagai GADIS Sampul 1990. Bermula sebagai model, Inneke terjun ke dunia perfileman dan drama sehinggalah saat dia memutuskan untuk berhijab.
Meskipun usianya bakal menginjak 50 tahun tidak berapa lama lagi, namun kejelitaan selebriti yang berasal dari Purworejo, Jawa Tengah ini amat terserlah apatah lagi dia memiliki darah kacukan Belanda dari bapanya.
Ternyata, selari dengan peningkatan usia, penampilan Inneke semakin anggun dan elegan walaupun mengenakan hijab. Sesuai dengan perubahan dirinya, aktress ini turut mengambil pendekatan menambahkan ilmu agama dengan menghadiri majlis-majlis ilmu dan keagamaan.
Ibu kepada dua cahayamata ini mendirikan rumahtangga dengan pasangannya Fahmi Darmawansyah pada tahun 2004. Pasangan ini mempunyai seorang anak angkat lelaki bernama Muhammad Rahlil Ibrahim pada 2008. Inneke Koesherawati dikurniakan seorang anak perempuan bernama Siti Rahlia Ibrahim.
Walaupun mempunyai anak angkat, bintang ini tidak pernah membezakan layanan serta kasih sayang terhadap kedua-dua cahayamatanya dan memastikan hubungan kedua-duanya akrab seperti saudara kandung.
Sebagai ibu, Inneke sentiasa memastikan waktu berkualiti diluangkan bersama keluarga tersayang dan menjadikan aktiviti liburan sebagai salah satu aktiviti keluarga ini. Melihat beberapa muat naik di laman Intagram, aktress ini membawa dua orang anaknya bercuti ke luar negara dan berehat dan menghabiskan masa berkualiti bersama.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Laungan ‘Terbang Latif, Terbang’ umpama suntikan semangat buat atlet para ini setiap kali menyertai kejohanan dunia. Mula mencipta nama sejak memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016, Abdul Latif Romly sekali lagi mengharumkan nama negara selepas berjaya mengulangi kejayaan sama di pentas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 lalu dalam acara Lompat Jauh T20 (masalah pembelajaran).
Kejayaan Latif dalam arena sukan bukan hanya menceriakan seluruh rakyat Malaysia bahkan turut menarik perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Memiliki ketinggian 1.77 meter, Latif yang tiba tepat di studio penggambaran berseluar jeans biru dan T-shirt hitam serta beg silang Gucci mesra menyambut salam penulis. Nona sebelum ini pernah mengadakan sesi fotografi bersama Latif pada tahun 2016 selepas berjaya merangkul emas di Sukan Paralimpik Rio. Kini setelah empat tahun berlalu, Latif tidak hanya kelihatan berbeza dari segi penampilan. Malah semakin matang dalam berbicara.
Tatkala ditanya bagaimana dia boleh menceburkan diri dalam bidang sukan, Latif sambil tertawa membuka rahsia. “Saya mula serius ceburi sukan lompat jauh ini ketika di Tingkatan 3, umur 15 tahun. Banyak sukan yang saya masuk sebelum ini dan saya pilih lompat jauh atas saranan cikgu. Mungkin cikgu nampak fizikal saya yang tinggi, sesuai dengan kategori sukan ini. Jadi, cikgulah yang nampak bakat saya di situ.
Ikutkan dulu semua sukan saya main. Bola sepak, bola baling, bola tampar dan untuk olahraga pula saya pernah turut serta larian 100 meter, lompat kijang dan lompat tinggi. Lepas jurulatih nampak potensi saya, mereka bawa pergi buat ujian kecergasan sama ada layak masuk Majlis Sukan Negara (MSN) atau tidak.
Alhamdulillah saya diterima masuk MSN pada bulan Julai 2014. Dua tahun lepas tu, nama saya tersenarai sebagai atlet untuk Sukan Paralimpik Rio,” katanya yang menjadikan jaguh lompat jauh dunia, Aleksandr Menkov dan Datuk Wira Lee Chong Wei sebagai sumber inspirasi.
CABARAN COVID-19
Tambahnya lagi, sepanjang bergelar atlet dia turut berdepan pelbagai cabaran. Salah satu daripadanya ialah soal disiplin. “Ya, cabaran paling susah untuk menjaga disiplin. Pada awalnya memang susah hendak sesuaikan diri terutamanya apabila melibatkan waktu tidur, makan, senaman dan latihan intensiti tinggi. Saya akui nak jaga disiplin dalam semua ini bukan mudah. Selain sokongan jurulatih, atlet itu sendiri perlu ada ketahanan mental dan fizikal.”
Lebih memberi kesan kepada Latif apabila dia terpaksa ‘bertarung’ dengan diri sendiri sepanjang musim pandemik Covid-19 sejak hampir dua tahun lepas. Bukan dirinya sahaja tetapi semua atlet menjalani latihan dan kuarantin di MSN dalam persediaan menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
“Lapan bulan saya tak jumpa keluarga sebab berlatih waktu Covid-19. Setiap hari kami hanya training dan tak boleh keluar ke mana-mana langsung. Memang susah dan mental kena kuat sebab hari-hari hadap benda sama. Terkurung dan kuarantin sesama kami saja. Sebelum ini kalau waktu cuti rehat bolehlah juga keluar untuk release tension dan jalan-jalan.
Ini 100 peratus fokus kepada latihan ditambah pula dengan tak berjumpa keluarga berbulan-bulan. Jadi waktu itu, saya cuma main game atau tengok orang main bola di padang saja untuk lepaskan stres. First time jadi situasi macam ini sebab penularan wabak Covid-19. Apa-apa pun saya bersyukur pengorbanan selama lapan bulan ini ada hasil dan berbaloi,” ujar anak bongsu kepada Romly Mat dan Salmah Yatim ini.
Mengulas lanjut mengenai amalan diet sebagai atlet para lompat jauh, Latif mendedahkan tiga bulan sebelum menyertai kejohanan dia perlu mengikuti gaya pemakanan yang disarankan pakar nutrisi. “Memang saya jaga diet harian. Gula saya tak ambil langsung kecuali cheat day atau hari Ahad. Tiga bulan sebelum kejohanan biasanya saya elak makan daging untuk elak lemak.
Tambahan pula daging nak proses dalam badan lambat. Saya lebihkan pengambilan protein seperti ikan. Buat jus buah-buahan pun tanpa gula dan pergi ke gim seminggu dua kali iaitu pada pagi hari Selasa dan Khamis selama kira-kira satu setengah jam.”
Diaju soalan mengenai dirinya jika tidak menjadi ahli sukan, ini jawapan jujur Latif. “Saya pun tak terfikir. Mungkin saya kerja di kedai makan atau tolong mak mengusahakan bisnes kerisik. Mak berniaga kerisik di kampung secara kecil-kecilan dan buat jika ada tempahan. Dulu saya bercita-cita nak jadi polis tapi tak kesampaian.
Impian dalam bidang sukan saya berhasrat nak buat lompatan sejauh 8.03 meter dan memecahkan rekod milik Andre Anura Anuar selain berjaya masuk Sukan Olimipik. Buat masa ini sepenuh tumpuan saya hanya kepada karier sukan. Saya target untuk terus aktif dalam kerjaya sukan dalam tempoh 10 tahun lagi.
Apa-apa pun saya amat berharap agar akan ada pelapis sukan lompat jauh ini yang boleh meneruskan kesinambungan legasi yang pernah saya sertai ini. Bukan hanya bakal atlet para yang berbakat dalam sukan ini tetapi juga dalam sukan lontar peluru menggantikan Muhammad Ziyad Zolkefli, jaguh lari pecut Mohammad Ridzuan Puzi dan lain-lain,” tegas Latif yang turut merancang mengakhiri zaman bujang pada hujung tahun 2022.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.