
Makin menginjak dewasa makin terserlah cantik anak gadis bintang Bollywood ini. Tak dinafikan, Nysa Devgan saling tak tumpah mewarisi kejelitaan ibu tersayang. 20 April lalu, puteri kesayangan Kajol dan Ajay Devgan ini genap mencecah usia 22 tahun.
Nysa merupakan anak sulung daripada dua beradik kepada Kajol dan Ajay. Bersandarkan status sebagai anak selebriti, dia tidak terlepas daripada tempias dunia glamor ibu dan ayah. Apatah lagi Nysa sering tampil dengan imej seorang wanita matang dan seksi.
Nysa Devgan ‘Buah Hati’ Kajol & Ajay
Tidak sekadar memiliki penampilan yang menawan, dia juga bertuah kerana dikurniakan sepasang mata bundar, rambut ikal, hidung mancung dan paling menarik perhatian ialah senyuman manisnya. Memang boleh buat orang ‘cair’!
Bersempena ulang tahun kelahiran ke-22, Kajol berkongsi wajah terkini anak tersayang yang memukau dalam persalinan dress rona kuning cair. Terpancar pesona Nysa Devgan!
Titip selebriti berusia 51 tahun berkenaan, “Am I her blueprint or is she mine? Can’t really tell now. So much to learn from you always. May the sun always shine for u and may the wind always blow through your rock star hair in the right way. Love love love you my darling girl!”
Sementara itu, Ajay Devgan turut tidak ketinggalan menitipkan ucapan manis buat anak tersayang sambil memuat naik gambar mereka ‘selfie’ bersama.
“Selfies only happen because Nysa wouldn’t take no for an answer. Thank you for always capturing memories…Happy Birthday, my baby! Love you endlessly.”
Aura Nysa Devgan
Meskipun populariti Nysa sebagai anak kepada selebriti terkenal tidak seglamor anak Shah Rukh Khan, namun rata-rata peminat di sana terpikat dengan ciri-ciri yang dimiliki wanita ini.
Melihat Nysa sahaja sudah mengingatkan peminat kepada kecantikan asli ibunya. Dia juga sering kelihatan di majlis-majlis hiburan dan kebajikan yang disertai kedua-dua ibu bapa.
Pelakon Kuch Kuch Hota Hai ini berkahwin dengan Ajay pada 24 Februari 1999 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Nysa dan seorang anak lelaki yang diberi nama Yug Devgan.
Nysa dilahirkan pada 20 April 2003 dan ketika masih di dalam kandungan, Ajay memasang hasrat untuk menamakan bayi perempuan mereka dengan nama Nysa yang bermaksud ‘Goddess of purity’.
Ketika Nysa dilahirkan, Kajol memberi tumpuan penuh terhadap perkembangan anaknya itu dan menolak sebarang tawaran berlakon memandangkan dia pernah mengalami keguguran.