Kagum dan terinspirasi melihat amalan gaya hidup Tan Sri Michelle Yeoh. Meskipun kaya, ternama dan mempunyai pengaruh besar dalam industri perfileman dunia namun beliau enggan mendongak tinggi ke langit. Walau menetap di luar negara dan jarang pulang ke tanah air atas kekangan tugas… ia tidak bermakna wanita kelahiran Ipoh, Perak ini melupakan Malaysia sama sekali. Terbaharu, Tan Sri Michelle berkongsi wajah terkininya menyambut ulang tahun kelahiran di laman Instagram.
Difahamkan 6 Ogos lalu genap 58 tahun usia Tan Sri Michelle Yeoh. Tapi kalau tengok susuk tubuh dan raut wajah beliau pasti ramai yang tidak menyangka aktres berbakat besar ini bakal meniti usia 60 tahun, dua tahun lagi. Mana tidaknya, walau usia dah lebih separuh abad namun Tan Sri Michelle masih aktif berlakon, ramping dan terkenal dengan aksi stunt! Bukan sebarangan wanita mampu berbuat demikian jika tidak memiliki tubuh badan cergas dan stamina yang tinggi.
Michelle yang ketika ini berada di Sydney, Australia turut berkongsi sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-58 baru-baru ini buat tatapan para peminat setia. Menurut Tan Sri Michelle, majlis sambutan hari lahir berkenaan dirancang oleh ahli keluarga dan rakan karib tanpa pengetahuannya. Wah, beruntung di kelilingi insan tersayang!
Menerusi perkongsian beliau di Instagram juga mendapati bintang Crazy Rich Asians ini sangat terkesan dengan keadaan pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Beliau dilihat
cukup berjaga-jaga ketika berada di luar rumah dengan lengkap mengenakan pelitup muka.
Malah, sewaktu Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu pun Tan Sri Michelle tetap mengikut perkembangan semasa tanah air dari jauh. Beliau turut memuatnaik gambar dirinya memegang sekeping cardboard bertulis ‘Stay Home Please’ selain berkongsi gambar para kakitangan perubatan Malaysia.
Tan Sri Michelle Yeoh yang kini menyertai United Nations Development Programme (UNDP) bermatlamat membantu segenap lapisan masyarakat di seluruh dunia yang kekurangan dan terjejas susulan Covid-19 turut memaklumkan, “I’m joining UNDP to spread the word and peace, not the virus. Coronavirus transcends race, gender, faith, ethnicity and borders. Today, UN Secretary-General Antonio Guterres is calling for a global ceasefire so the world is able to win the war against our common enemy, Covid-19.”
Menelusuri perjalanan karier seni Tan Sri Michelle Yeoh sebelum namanya terus gah di mata dunia, wanita berusia 58 tahun ini pernah menjuarai pertandingan ratu cantik Miss World Malaysia 1983 dan bakat lakonannya mula disedari sewaktu beliau bergandingan bersama Jackie Chan dalam pengambaran seni mempertahankan diri pada tahun 1984.
Setahun kemudian Tan Sri Michelle Yeoh menerima tawaran berlakon untuk sebuah filem aksi daripada produksi perfileman Hong Kong.
Kini setelah hampir 36 tahun menceburi dunia lakonan dan aksi lasak, nama Tan Sri Michelle Yeoh terus dikenali barisan pelakon antarabangsa. Antara lakonan mantap Tan Sri Michelle Yeoh termasuklah menerusi Star Trek: Discovery, Crazy Rich Asians, Crouching Tiger Hidden Dragon, Memoirs of A Geisha dan James Bond Tomorrow Never Dies.
Setiap wanita cantik perlu ada benda ini.