
Sebut saja nama Stacy, pasti ramai yang membayangkan kelincahan wanita kelahiran Sabah ini menari di atas pentas. Tapi di rumah, isteri Akim Ahmad ini juga sebenarnya lincah di dapur.
Sejak bergelar isteri dan ibu, makin hebat skil memasak Stacy. Macam-macam juadah yang disediakan penyanyi ini untuk keluarga tersayang. Untung Akim!
Mengintai media sosial Juara Akademi Fantasia Musim 6 ini, selain gemar memuat naik karier seni dan rutin harian bersama anak-anak dia juga berkongsi video masakan bersama peminat.



Kebanyakan menu yang disediakan Stacy ringkas dan mudah. Antaranya resipi Pucuk Ubi Kulat Sisir Masak Lemak, Kuah Kacang Daging Tetel dan masakan Sabah seperti Mangga Tuhau.
Kalau sebelum ini, selebriti ini pernah dedahkan dia cuba belajar jahit baju raya untuk keluarga waktu awal perkahwinan kini dia asah bakat memasak pula. Kagum dengan semangat Stacy sejak berkahwin.
Memang nampak jelas pelantun lagu Pelangi Senja ini mengutamakan suami dan anak-anak dari segenap segi. Pandai dia jaga dan urus keluarga!




Sekitar tahun 2020, anak seni ini menerusi bisnes Food by Mitet turut berniaga sajian Mi Ngiu Chap. Seterusnya mengeluarkan produk sambal sendiri iaitu Lado by Stacy.
Walau rutin harian tertumpu dengan urusan keluarga namun kerjaya seni tetap tak dilupakan. 19 Februari lalu, dia melancarkan single terbaharunya ‘Teriak’.



Stacy atau nama sebenarnya Ummu Syaikhah Stacy Anam dan Akim mendirikan rumah tangga pada 5 Februari 2016.
Isteri Akim ini turut mempunyai seorang anak angkat bernama Bella Deluna Valentina yang kini berusia 10 tahun dan seorang anak perempuan iaitu Eshaal dan anak lelaki Isa hasil perkongsian hidup bersama Akim.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/air-tangan-kita-penuh-kasih-sayang-rajin-masuk-dapur-kecur-lauk-kampung-farahdhiya/
Begini Cara & Waktu Terbaik Untuk Timbang BERAT BADAN, Barulah Tepat!

Menimbang berat badan adalah perkara ‘wajib’ dilakukan sama ada setiap hari atau sekurang-kurangnya seminggu sekali. Rutin ini menjadi salah satu cara untuk menjaga keseimbangan berat badan sepanjang proses diet.
Sebelum menimbang berat badan pastikan alat penimbang berfungsi dengan baik. Pastikan juga jarumnya sentiasa berada di kedudukan yang betul agar timbangan anda tepat.
TIMBANG BERAT BADAN PADA WAKTU PAGI
Waktu paling kerap digunakan untuk menimbang berat badan ialah pagi. Paling ideal, timbang berat badan anda sebelum sarapan dan selepas membuang air besar agar anda dapat melihat berat badan sebenar.
Semasa mahu menimbang berat badan sebaiknya lakukan tanpa mengenakan pakaian. Namun jika anda tetap mahu memakai pakaian maka gunakan yang sangat ringan fabriknya. Ingat, pakaian tebal akan mempengaruhi timbangan.
SEBELUM BERSENAM
Timbanglah berat anda sebelum bersenam pada waktu pagi kerana jika anda menimbang selepas bersenam berat badan anda tidak lagi ‘tepat’. Ketika ini badan kehilangan cecair selepas anda berpeluh.
KONSISTENSI WAKTU DAN PENGGUNAAN ALAT PENIMBANG
Meskipun waktu pagi adalah waktu paling umum untuk menimbang berat badan namun terpulang juga kepada anda untuk melakukannya sama ada petang atau malam asalkan konsisten. Gunakan alat penimbang yang sama setiap kali menimbang.
MANFAAT RUTIN MENIMBANG BERAT BADAN
Kajian oleh National Weight Control Registry (NWCR) menunjukkan menimbang berat badan sepanjang dalam fasa mengawal berat badan dapat membantu melawan kenaikan berat badan. Kajian turut menunjukkan individu yang tidak menimbang berat badan secara rutin berisiko untuk mengalami kenaikan berat badan sekali lagi.
JANGAN TERPAKU DENGAN ANGKA TIMBANGAN
Menimbang berat badan secara konsisten dapat memberi impak positif untuk mengawal berat badan dan kesihatan. Namun ingat, angka pada timbangan tidak memberikan gambaran lebih lanjut apa yang terjadi pada badan anda.
Terdapat beberapa timbangan yang dijual di pasaran sudah menetapkan kiraan peratusan lemak badan melalui kaedah bio-electrical. Oleh itu kawal diet anda selain bersenam, tidur yang cukup dan bebas stres.
“Nampak Je Garang, Papa Sangat Penyayang & Sensitif Dengan Anak-Anak,” ANIS Dedah Sikap DATUK ROSYAM NOR!

Datuk Rosyam Nor sememangnya terkenal sebagai selebriti yang tidak gemar berkongsi kisah peribadi dan wajah keluarganya kepada umum. Tidak hairanlah, anak kedua beliau
iaitu Nur Anis atau lebih mesra dengan panggilan Anis Kiss kurang meraih populariti seperti anak selebriti lain. Mengakui tidak sedikit pun rasa kekurangan dengan keadaan itu, Anis bagaimana pun semakin dikenali dek kerana status wanita cantik ini selaku Instafamous!
Berkesempatan bertemu puteri kedua Datuk Rosyam Nor ini, Anis yang menginjak usia 27 tahun seorang yang sangat ramah dan berpekerti tinggi. Meskipun sudah bergelar isteri
pada September tahun lalu namun ujar Anis kehidupannya saat ini lebih bermakna selepas dikurniakan seorang suami. “Boleh dikatakan kehidupan Anis sekarang agak sibuk, biasanya akan balik awal sebab kena sediakan lunch, dinner termasuk barang-barang rumah. Tak ada apa yang berubah sangat.”
Selain sibuk dengan tugas sebagai Digital Content Creator, Anis juga sedang merancang untuk mengusahakan perniagaan biskut dan hamper. Terangnya, idea untuk menjalankan
bisnes ini datang dari dirinya sendiri. “Saya sedang dalam proses untuk berniaga cookies dan hamper. Ikut perancangan, akan mula beroperasi di rumah dan segala resipi disediakan oleh rakan kongsi dan saya sendiri. Idea ini sebenarnya datang sebab saya selalu beli cookies dan hamper dari partner saya ini yang juga seorang baker,” ungkapnya.
Ditanya bagaimana kehidupannya sebagai anak kepada Datuk Rosyam Nor, ini jawapan jujur Anis. “Sejujurnya saya tak rasa benda tu susah sebab papa tak beritahu kepada orang ramai tentang siapa anak-anak atau famili dia. Jadi, kami adik-beradik tak ada limelight sangat di media. Hanya orang yang tahu saja akan tahu. Macam saya, saya tetap hidup macam anak-anak lain dan kalau keluar rumah pun tak ada sampai kena serbu atau sebagainya.
Paling penting, kami adik-beradik kena tahu jaga nama papa dan tak buat benda yang boleh jatuhkan reputasi dan memalukan. Alhamdulillah dari dulu sampai sekarang, semuanya baik. Bercerita tentang papa ni, dia nampak je garang. Tapi sebenarnya dia sangat penyayang, very romantic and very sensitive dengan anak-anak dia.
Yang saya perasan bila dah kahwin ni kalau tak call dia dalam dua tiga hari, dia akan call dan tanya dekat mana, buat apa, ok tak, tak balik rumah papa ke. Pendek kata, papa memang sangat penyayang dan lembut sebenarnya.”
Tak pernah meletakkan sebarang kriteria tertentu terhadap kerjaya anak-anak, Anis berkata Datuk Rosyam Nor cukup terbuka dengan apa juga pilihan karier yang diminati
anaknya. “Bila kami dah habis belajar universiti, papa tak letakkan apa-apa syarat untuk anak kerja apa. Papa kata dia dah bagi education, tak kisah anak-anak nak jadi (kerjaya) apa. As long as tahu jaga batas, tahu balik rumah dan jaga kelakuan. Itu sudah memadai.”
Tatkala ditanya pernahkah Anis terdetik untuk menjadi selebriti dan pelakon seperti bapanya, sambil tersenyum dia menggelengkan kepala. Kata Anis, impian untuk bergelar
anak seni tidak pernah terlintas di fikiran kerana menyedari tidak memiliki bakat berlakon.
Walau enggan mengikut jejak langkah Datuk Rosyam Nor namun Anis sangat mengagumi
keperibadian bapa tersayang dan menyifatkan kegigihan kedua-dua ibu bapanya merealisasikan impian perkahwinan merupakan salah satu kenangan terindah dalam hidup Anis.
“Kenangan bersama papa memang banyak sangat tapi yang tak dapat saya lupa jasa mama dan papa ialah bila mereka buat perkahwinan saya menjadi momen paling bermakna dalam hidup. Apa sahaja idea yang saya nak, mereka akan cuba buat sampai dapat. Bukanlah bermaksud majlis tersebut kena mahal sebaliknya lebih kepada momen yang menyatukan kami sekeluarga,” akhirinya.
Selain Anis, Datuk Rosyam Nor turut dikurniakan empat lagi cahaya mata perempuan iaitu Arniesha Azureen, Nurlisa, Syadira dan Zarith Maryam.
Kredit foto: Instagram Anis Kiss
Dengan Tuhan Pun Nak Berkira? Sharing Ustaz Ini Pasal Zakat Mesti Buat Kita Insaf!

Iman manusia itu hakikatnya selalu turun naik. Berbolak-balik. Tidak tetap tempatnya. Iman yang rapuh membuat kita berkejar-kejar mencari kekayaan. Malah demi nafsu mahu memegang duit berkepuk-kepuk, kita lupa mencari keberkatan dalam rezeki.
Cinta dunia melebihi segala-galanya. Terutama sekali berkait rezeki, harta dan wang ringgit. Kita hanya tahu menerima tapi lupa memberi. Lupa bahawa dalam setiap rezeki kita, ada rezeki orang lain juga.
Perkongsian Ustaz Ahmad Sharizal Mohd Saffian dari Pusat Pungutan Zakat MAIWP ini memang banyak pengajarannya. Sama-samalah kita muhasabah diri dan renung semula rezeki yang Allah bagi!
========================================
Kata orang pandai, ‘Jalan kebenaran tidak ada dua, tidak ada lima, tidak ada tujuh, tapi jalan kebenaran itu hanya ada satu. Ada yang telah menemuinya, ada yang tersasar darinya dan ada ramai juga yang menjauhinya.’
Sebenarnya saya suka mengimbas pengorbanan para rasul dalam usaha menyelamatkan manusia daripada kejahilan, memang terserlah banyaknya ujian dan rintangan.
Lihatlah bagaimana susah dan pahitnya mengajak manusia pada jalan yang satu. Dan yang satu itu pula ada dua cabang jalan yang penting untuk lulus iaitu Jalan A dan Jalan B.
- Jalan A ialah hubungannya dengan Allah atau hablimminallah.
- Jalan B ialah hubungannya dengan manusia atau hablimminannas.
Adakah kita perlu lulus satu jalan saja? Jawapannya ialah kena lulus kedua-duanya. Lulus satu saja bermakna gagal keduanya. A dan B kena lulus cemerlang untuk kita memiliki sijil takwa.
Allah SWT telah menjelaskan kepentingan dua jalan tersebut dalam firman-Nya,
Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali dengan hablimminallah (hubungan dengan Allah) dan hablimminannas (hubungan dengan manusia), dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka kafir kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa alasan yang benar. Yang demikian itu disebabkan mereka durhaka dan melampaui batas. (Ali ‘Imran : 112)
Dan di antara kedua-dua jalan di atas, jalan B nampaknya lebih sukar daripada jalan A.
Sekadar berkongsi pengalaman di Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), kami telah bersepakat untuk mengambil pendekatan hikmah dan sederhana dalam menyebarkan produk Tuhan yang bernama zakat ini dengan masyarakat.
Dalam usaha kami untuk menjelaskan tentang keuntungan-keuntungan yang bakal dinikmati oleh para pembayar zakat, banyak cabaran dan pengalaman yang pernah dilalui.
(a) Selalu Kata Tak Mampu
Sebahagian mereka pernah berkata dengan nada bergurau,
“Ustaz, kami ni solat di masjid setiap waktu, tapi kalau nak keluar zakat tu Ustaz, masih belum layak lagilah.”
“Macam mana tahu tak layak Tuan?”
“Kami belum ada rumah sendiri lagi, belum ada kereta sendiri dan masih menyewa rumah lagi, kami ada sedekah juga Ustaz. Cukuplah, kan?”
Saya pandang mereka dan jawab, “Tahu tak, zakat itu perlu diberi pada orang yang wajib terima, dan ada syarat lain yang mesti kita tahu, serta dosanya sama seperti tinggal rukun Islam yang lain?”
Ada sebahagian mereka tunduk dan tidak kurang juga yang meninggalkan kami.
Betul apa yang kami katakan, ‘jalan yang ke dua hablimminannas (hubungan dengan manusia) nampaknya lebih sukar daripada jalan pertama hablimminallah (hubungan dengan Allah).’
(b) Sengaja Membayar Lebih
Tapi masyaAllah, ternyata ada juga yang belum tempoh dan wajib zakat padanya terus bertanya kepada kami, nampak betul kesungguhan dan kekuatan jiwa mereka atas perintah rukun Islam ketiga ini.
Maka kami amat terharu dengan segelintir hamba Allah ini, malah mereka apabila kami kira dan taksir zakat mereka sebanyak RM10,000, mereka terus ke PPZ-MAIWP dengan membayar RM20,000.
Kami kata, “Tuan dah terlebih bayar ni.”
Tapi jawabnya, “Tidak Ustaz. Saya takut masih ada yang dulu-dulu, yang pernah saya terlepas pandang.”
Hebat benar iman mereka pada Allah. Maka teringat kami kata-kata dari Imam Ibn Ataillah,
Sebahagian tanda mati nya hati adalah jika tidak berasa sedih (susah) kerana tertinggalnya suatu amal kebaikan (kewajiban) juga tidak menyesal jika terjadi sesuatu pelanggaran dosa.
(c) Berasa Diri Sendiri Pun Susah
“Nak keluarkan duit, lepas tu bagi pada orang lain pula? Eh, saya sendiri pun susah!”
Kata-kata ini pernah keluar dari mulut seseorang ketika kami hanya berniat menerangkan perintah rukun ketiga ini. Itu belum apa-apa lagi, belum kira dan taksir semua hartanya, sedangkan perniagaan dan hartanya diketahui umum oleh masyarakat sekeliling.
Benarlah, pokok iman dan pokok hikmah suatu yang akan tumbuh seperti mana benih yang tumbuh di dalam tanah. Iman dan hikmah atas perintah Allah tak subur dalam jiwanya.
Nabi Allah Isa AS pernah bertanya kepada sahabatnya, “Di manakah tumbuhnya benih?” Mereka menjawab, “Di dalam tanah.” Kemudian Nabi Isa AS bersabda:
Begitu jugalah hikmah, ia tidak tumbuh melainkan di dalam hati seperti mana benih yang tumbuh dalam tanah.
Harta Cuma Pinjaman
Walaupun zakat yang diperintahkan terdapat padanya syarat dan rukun, sebenarnya hikmah yang besar ialah ‘amanah harta’ yang telah Allah kurniakan pada hamba-Nya.
Mengapalah hati kita tak dapat merasakan hikmah tersebut? Hati kita bertukar jadi batukah? Hati yang Allah kurniakan sepatutnya secara fitrah akan merasakan takut terbuat dosa. Pelik dan ajaib? Risau dan cemas harta berkurang dan tak cukup? Takut berkongsi kesenangan dengan orang lain?
Lihat dan renung ayat Allah dengan hati,
“Dan bahawasanya Dia yang memberikan kekayaan dan memberikan kecukupan.” (Surah An- Najm: 48)
Lihatlah bagaimana Allah telah mengatur setiap urusan hamba-Nya apatah lagi mereka yang telah melaksanakan perintah zakat dalam menyucikan harta mereka. Renung sejenak ayat-ayat Allah ini,
“Jika kalian meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, niscaya Allah melipat gandakan (pembalasannya) kepada kalian dan mengampuni kalian. Dan Allah Maha Pembalas Jasa lagi Maha Penyantun.” (Surah At-Taghabun: 17)
Penggunaan kata-kata ‘memberikan pinjaman’ dalam banyak ayat merupakan kemurahan Allah, sebab insan itu terkadang merasa memiliki barang dan harta yang ada padanya sehingga ia merasa sangat berat untuk menzakatkan hartanya di jalan Allah.
Makna ‘memberikan pinjaman’ bererti bahawa sesungguhnya Allah akan mengembalikan harta seorang hamba yang dikeluarkan di jalan-Nya, sehingga si hamba tidak perlu merasa khuatir harta yang dikeluarkannya akan hilang begitu saja.
Malulah kita atas setiap pemberian Allah! Kita sering merasakan kita ialah tuan empunya segala-galanya, tetapi ingat ia tidak kekal selamanya pada kita bahkan diri kita sendiri pun adalah kepunyaan Allah Yang Maha Baik, yang tidak pernah melupakan kita dari sejak kita lahir hinggalah nanti kita dibangkitkan di hadapan Allah.
Tunaikanlah semua hak Allah, hak pada diri dan orang lain, hak pada harta dan kekayaan yang telah diberi amanah untuk kita menjaganya. Tak rugi sebenarnya, semuanya akan dihitung dan dikira oleh Allah. Lihatlah dalam hatimu sebuah janji Allah melalui lidah Nabi SAW,
Dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, “Tidaklah seorang hamba memasuki waktu pagi pada setiap harinya, kecuali ada dua malaikat yang turun. Salah satunya memohon, ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi dermawan yang menginfakkan (zakat) hartanya.’ Dan satu lagi memohon, ‘Ya Allah, musnahkanlah harta si bakhil.” (HR. Bukhary 5/270 Muslim 1678).