Malaysia kehilangan seorang negarawan dan tokoh politik berpengalaman yang menyumbang kepada pembangunan infrastruktur negara dan kemajuan masyarakat India berikutan pemergian Tun S. Samy Vellu, 86, yang menghembuskan nafas terakhir pagi 15 September 2022.
Tun S. Samy Vellu.
Sepanjang hayatnya, mendiang merupakan antara Menteri kabinet paling lama berkhidmat, kira-kira 30 tahun bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979.
Semasa menjadi Menteri Kerja Raya, Samy Vellu banyak memainkan peranan dalam membangunkan rangkaian jalan raya serta pengangkutan dalam negara. Atas daya usahanya itu, pada tahun 1987 beliau dianugerahkan ‘International Man of the Year Award’ oleh The International Road Federation (IPF).
Sebelum itu, mendiang pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 1978.
Kredit Foto; FMT
Samy Vellu pernah menerajui Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos dari 1989 hingga 1995, yang menyaksikan kejayaan beliau mengendalikan projek penswastaan Jabatan Telekom, Lembaga Letrik Negara dan Jabatan Pos, sebelum kembali ke Kementerian Kerja Raya pada 1995 hingga 2008.
Mendiang turut mempunyai peranan besar dalam pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan serta pembinaan jambatan Pulau Pinang manakala pada 2011, Samy Vellu dilantik menjawat jawatan Duta Khas Malaysia bertaraf Menteri bagi infrastruktur ke India dan Asia Selatan.
Ads
Mendiang juga merupakan antara nama penting yang menyumbang kepada idea mengenai pentingnya Malaysia memiliki satelit sendiri, Measat 1 yang dilancarkan pada 1995.
Kredit Foto: FMT
Selain berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput selama lapan penggal, sejak Pilihan Raya Umum Keempat (PRU4) hingga PRu-12, ahli politik veteran ini juga banyak menyumbang kepada pembangunan kaum India dan merupakan Presiden MIC paling lama iaitu lebih tiga dekad.
Samy Velly yang pernah menjadi pelakon drama Tamil ‘Natpu’ pada 1954, dan penyampai berita di RTM pada 1964, melibatkan diri dalam politik sejak 1959 dengan menjadi anggota MIC cawangan Batu Caves dan memegang jawatan setiausaha cawangan itu.
Ads
Kredit Foto: Bernama
Mendiang pernah dipilih sebagai Ketua Pemuda MIC pada 1971, Naib Presiden MIC (1975), Timbalan Presiden MIC (1977) dan ahirnya sebagai Presiden parti pada 1981 selepas memangku jawatan itu susulan kematian Tan Sri V Manickavasagam pada 1979.
Pada 1974, Samy Vellu buat pertama kali dipilih untuk bertanding pada PRU4 seterusnya memenangi kerusi Parlimen Sungai Siput yang disandangnya sehingga 2008, sebelum tewas kepada calon Parti Sosialis Malaysia Dr Michael Jeyakumar Devaraj.
Kredit Foto: FMT
Dari segi pembangunan bidang pendidikan Samy Vellu merupakan penggerak kepada penubuhan Maju Institute of Educational Development (MIED) dan memainkan peranan penting dalam penubuhan Kolej Tafe Seremban serta Asian Institute of Medciine, Science and Technology (Aimst).
Ads
Mendiang berkahwin dengan Toh Puan R. Indrani dan mempunyai dua anak, S. Mangayarkarasi dan Datuk Seri S. Vell Paari.
Samy Vellu meninggal dunia di kediamannya di sini kira-kira 7 pagi tadi dan perkara itu disahkan bekas Presiden MIC Tan Sri Dr S. Subramaniam.
Sumber: Bernama
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tiada apa yang lebih membahagiakan dengan kehidupan penyanyi tersohor negara Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan suami, Dato’ Sri Khalid apabila dikurniakan cahaya mata setelah menanti hampir 11 tahun. Terbaharu, pasangan ini menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-12 dan Tokti berkongsi gambar terkini puteri kesayangan Siti Aafiyah yang sudah memasuki usia lima bulan.
Kalau sebelum ini Datuk K dan Tokti menyambut ulang tahun perkahwinan dengan bercuti bersama-sama dan hanya berdua, pada tahun ini detik istimewa mereka disatukan sebagai pasangan suami isteri itu diraikan bersama dengan Siti Aafiyah.
“Alhamdulillah, kali pertama menyambut ulang tahun perkahwinan kami yang ke-12 dengan puteri kesayangan”, tulis Tokti di laman instagram miliknya,
Walaupun caption yang ditulis ringkas dan nampak bersahaja, tapi sebenarnya ia membawa seribu satu makna untuk kehidupan penyanti kesayangan negara ini selepas pernah mengalami keguguran sewaktu hamil satu masa dahulu. Lagi-lagi, lahirnya anak sulungnya ini membuatkan Tokti menjadi wanita yang sempurna dari segala segi. Dikurniakan suami yang penyanyang, anak yang comel, keluarga yang besar dan harmoni serta kerjaya yang cemerlang. Semuanya perfect!
Siti Aafiyah pula semakin comel dan cantik. Pandai pula tu nak senyum dan bergaya depan kamera.
Pasangan ini bernikah pada 21 Ogos 2006 di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta dan disiarkan secara langsung di televisyen dan mendapat tontonan seluruh negara. Majlis persandingan mereka pula berlangsung seminggu kemudian di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, KLCC. Apa yang menarik lagi, tarikh itu juga adalah hari ulang tahun perkahwinan ibu bapa penyanyi berkenaan, Tarudin Ismail dan Siti Salmah Bachik.
Happy Anniversary Dato’ Sri Khalid dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza, semoga perkahwinan anda berdua sentiasa dilimpahi rahmat Allah dan berbahagia hingga ke syurga.
sumber gambar: instagram @ctdk
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Siapa sangka kehidupan bermula dalam sebuah keluarga biasa tetapi kerana cinta telah merubah gadis ini menjadi keluarga diraja. Maharani Michiko Shoda, 85, adalah seorang wanita bertuah yang berjaya menawan hati Putera Mahkota Jepun ketika itu.
Perkahwinan di antara Maharani Michiko yang memegang status wanita kebanyakan dengan Maharaja Akihito, 86 tahun, telah mencipta sejarah dalam instutusi keluarga diraja Jepun. Ini kerana perkahwinan yang dilangsungkan pada tahun 1959 ini merupakan perkahwinan pertama keluarga diraja Jepun dengan gadis biasa.
Lebih 500,000 orang membanjiri jalan untuk meraikan hari bersejarah itu dengan pasangan tersebut diarak menaiki kereta kuda.
Sudah tentu Maharani Michiko ini mempunyai aura yang luar biasa sehingga Maharaja Akihito sanggup memperisterikannya walaupun mendapat tentangan keluarga diraja.
Umpama sebuah cerita dongeng apabila mendengar cerita, cinta pasangan diraja ini bersemi di gelanggang tenis. Mereka berdua bertemu dalam satu kejohanan tenis musim panas pada tahun 1957. Mungkin pada ketika itu Mahkota Akihito telah terkena panahan asmara lalu mempelawa Michiko untuk bertanding dalam perlawanan tenis tersebut.
Sama ada Akihito benar-benar kalah atau sengaja memberi kemenangan kepada Michiko ketika perlawanan tersebut nyata berbaloi kerana dapat merebut cinta anak gadis kepada pasangan Hidesabuto Shoda dan Fumiko Soejima.
Gambar Maharani Michiko pada tahun 1960
Michiko bukan sebarangan gadis kerana dilahirkan dalam keluarga kaya dan berpendidikan tinggi. Sejak kecil, Michiko telah dibentuk menjadi golongan sosialit dan belajar di sekolah Inggeris aliran Kristian. Michiko berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Kesusasteraan Inggeris di University of the Sacred Heart, Tokyo, Jepun.
Selama 60 tahun hidup sebagai keluarga diraja, Michiko pernah menyatakan bukan mudah hidup sebagai isteri Putera Mahkota dan seterusnya bergelar Maharani. Mujur pendidikan yang telah diberi oleh ibu bapanya sangat membantu dalam meneruskan hidup sebagai kerabat diraja.
Mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Putera Mahkota Naruhito, 59; Putera Akishino, 53, dan Puteri Sayako, 49.
Perjalanan hidup Michiko sentiasa menjadi perhatian rakyat Jepun dan juga dunia. Pengunduran suaminya, Maharaja Akihito dan memberi laluan kepada anak sulungnya, Putera Mahkota Naruhito menaiki takhta pada 1 Mei 2019 turut mencipta sejarah institusi diraja Jepun.
Maharaja Akihito yang dilahirkan pada 1933 mewarisi takhta diraja Jepun pada 1989 menggantikan ayahandanya Maharaja Hirohito sekali gus bergelar pemerintah ke-125 dalam sejarah panjang keluarga diraja negara itu.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Ilmu pelita hidup”. Kata-kata hikmat ini menunjukkan bahawa ilmu merupakan elemen yang amat penting dalam kehidupan dan dapat menjadikan kehidupan seseorang itu lebih sempurna.
Sesungguhnya figura hebat ini, Dr Hajjah Oki Setiana Dewi telah menunjukkan contoh yang baik sebagai wanita, isteri dan juga ibu. Bahagia bersama keluarga tercinta wanita ini juga telah berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah pada tahun lalu.
Di usia 31 tahun, ibu kepada 4 orang cahaya mata ini telah meraih PhD melalui kajian dan penulisan tesis bertajuk “Pengajian Selebriti Hijrah Kelas Menengah Muslim (2000-2019): Respons Atas Dakwah Salafi dan Jamaah Tabligh”. Oki menerima anugerah PhD dari Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta jurusan Pengkajian Islam Konsentrasi Komunikasi dan Dakwah pada 2020.
Tahun ini, Oki sekali lagi meraih gelaran doktor falsafah buat kali kedua setelah menyelesaikan pengajian di Institut Perguruan Tinggi Ilmu Al-Quran Jakarta. Beliau telah menjalani sidang melalui kertas kerjanya bertajuk “Pendidikan Moderasi Beragama Dalam Keluarga Berbasis Al-Qur’an” di Perguruan Tinggi Ilmu Al-Qur’an.
Memetik sumber Kompas, Oki Setiana Dewi mengaku hobinya adalah belajar. Malah Oki turut memanjatkan kesyukuran di atas kejayaannya dan menganggap tanggal 1 November 2022 hari yang membahagiakan buat dirinya.
“Hobi saya belajar, dunia kampus, dan suka bertemu guru-guru. Yang penting suami memberi sokongan untuk saya sambung belajar. Kuncinya di sini (suami),” ujar bintang filem Ketika Cinta Bertasbih.
Ketika ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara tugas sebagai pelajar, isteri dan ibu kepada empat cahaya mata, menurut Oki ia adalah sesuatu yang sukar dilakukan tetapi dia perlu bijak membahagikan masa untuk perkara-perkara penting dalam hidupnya.
“ Saya tidak nafikan ia memerlukan pengorbanan dan pada waktu yang sama, saya dikelilingi orang-orang yang hebat. Hujung minggu, anak-anak akan berada di rumah Ria Ricis. Jadi saya bebas belajar dari pagi sampai malam. Rumah jadi sunyi ,” kata Oki Setiana Dewi lalu tertawa.
Meraih gelar Doktor kali kedua tidak meletakkan noktah dirinya dalam proses pencarian ilmu. Oki Setiana Dewi merancang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara pula tidak lama lagi.
“Doakan semoga cita-cita saya dipermudahkan untuk mencari ilmu. Semoga ia memberi manfaat bersama, ” ujar Oki lagi.
Untuk rekod, Oki Setiana Dewi melanjutkan pelajaran kedoktoran di jurusan Pengkajian Islam Konsentrasi Komunikasi dan Dakwah di Pascasarjana UIN Syarif Hidayatullah sejak 2016.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!