
Malaysia kehilangan seorang negarawan dan tokoh politik berpengalaman yang menyumbang kepada pembangunan infrastruktur negara dan kemajuan masyarakat India berikutan pemergian Tun S. Samy Vellu, 86, yang menghembuskan nafas terakhir pagi 15 September 2022.

Sepanjang hayatnya, mendiang merupakan antara Menteri kabinet paling lama berkhidmat, kira-kira 30 tahun bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979.
Semasa menjadi Menteri Kerja Raya, Samy Vellu banyak memainkan peranan dalam membangunkan rangkaian jalan raya serta pengangkutan dalam negara. Atas daya usahanya itu, pada tahun 1987 beliau dianugerahkan ‘International Man of the Year Award’ oleh The International Road Federation (IPF).
Sebelum itu, mendiang pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 1978.

Samy Vellu pernah menerajui Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos dari 1989 hingga 1995, yang menyaksikan kejayaan beliau mengendalikan projek penswastaan Jabatan Telekom, Lembaga Letrik Negara dan Jabatan Pos, sebelum kembali ke Kementerian Kerja Raya pada 1995 hingga 2008.
Mendiang turut mempunyai peranan besar dalam pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan serta pembinaan jambatan Pulau Pinang manakala pada 2011, Samy Vellu dilantik menjawat jawatan Duta Khas Malaysia bertaraf Menteri bagi infrastruktur ke India dan Asia Selatan.
Mendiang juga merupakan antara nama penting yang menyumbang kepada idea mengenai pentingnya Malaysia memiliki satelit sendiri, Measat 1 yang dilancarkan pada 1995.

Selain berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput selama lapan penggal, sejak Pilihan Raya Umum Keempat (PRU4) hingga PRu-12, ahli politik veteran ini juga banyak menyumbang kepada pembangunan kaum India dan merupakan Presiden MIC paling lama iaitu lebih tiga dekad.
Samy Velly yang pernah menjadi pelakon drama Tamil ‘Natpu’ pada 1954, dan penyampai berita di RTM pada 1964, melibatkan diri dalam politik sejak 1959 dengan menjadi anggota MIC cawangan Batu Caves dan memegang jawatan setiausaha cawangan itu.

Mendiang pernah dipilih sebagai Ketua Pemuda MIC pada 1971, Naib Presiden MIC (1975), Timbalan Presiden MIC (1977) dan ahirnya sebagai Presiden parti pada 1981 selepas memangku jawatan itu susulan kematian Tan Sri V Manickavasagam pada 1979.
Pada 1974, Samy Vellu buat pertama kali dipilih untuk bertanding pada PRU4 seterusnya memenangi kerusi Parlimen Sungai Siput yang disandangnya sehingga 2008, sebelum tewas kepada calon Parti Sosialis Malaysia Dr Michael Jeyakumar Devaraj.

Dari segi pembangunan bidang pendidikan Samy Vellu merupakan penggerak kepada penubuhan Maju Institute of Educational Development (MIED) dan memainkan peranan penting dalam penubuhan Kolej Tafe Seremban serta Asian Institute of Medciine, Science and Technology (Aimst).
Mendiang berkahwin dengan Toh Puan R. Indrani dan mempunyai dua anak, S. Mangayarkarasi dan Datuk Seri S. Vell Paari.
Samy Vellu meninggal dunia di kediamannya di sini kira-kira 7 pagi tadi dan perkara itu disahkan bekas Presiden MIC Tan Sri Dr S. Subramaniam.
Sumber: Bernama
Sebaya Tun Siti Hasmah, Ini 60 Fakta Menarik Perkahwinan Ratu England Yang Ramai Tak Tahu!

Tarikh keramat 20 November 1947 menyaksikan sumpah setia pasangan diraja, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Ratu England dan The Duke of Edinburgh, Putera Philip termeterai kukuh di hadapan seluruh jelata.
Pasangan ini antara Power Couple dunia yang cukup terkenal hingga sekarang. Bayangkan usia Putera Philip kini mencecah 99 tahun manakala Ratunya, 94 tahun. Hingga kini, cinta yang menyala mengurniakan mereka empat cahaya mata, cukup buat mewarisi susur galur kerabat England yang bahagia.
Ketahui 60 fakta menarik sepanjang perkahwinan 73 tahun Ratu Elizabeth, baru tahu rupa-rupanya sebaya bonda kita Tun Dr Siti Hasmah!
PERTUNANGAN
1. Ratu Elizabeth merupakan keturunan monarki British pertama yang menyambut ulang tahun perkahwinan Berlian (60 tahun).
2. Pertemuannya dengan Philip bermula ketika mereka menghadiri perkahwinan sepupu Philip iaitu Puteri Marina dari Greece dengan bangsawan Kent, yang juga bapa saudara Puteri Elizabeth pada tahun 1934. Sewaktu bertunang, usia Ratu Elizabeth adalah 21 tahun sementara Philip, 26 tahun.
3. Pertunangan Puteri Elizabeth dan Leftenan Philip Mountbatten RN (dilahirkan sebagai Putera Philip dari Greece dan Denmark) telah diumumkan pada 9 Julai 1947. Baginda memilih nama keluarga British saudara bondanya iaitu Mountbatten untuk meneruskan kariernya sebelum diubah kepada Duke of Edinburgh oleh Raja George VI selepas berkahwin.
4. Cincin pertunangan diperbuat khas menggunakan platinum dan tatahan berlian (diambil dari tiara bonda Philip) oleh pereka barangan kemas ternama, Philip Antrobus.
5. Philip menganjurkan dua parti sebelum perkahwinannya – satu di Dorchester untuk rakan media dan berikutnya di Belfry Club buat rakan terdekat. Ikatan pertunangan berlangsung selama empat bulan sebelum lamaran dibuat.
WESTMINSTER ABBEY

6. Ratu dan Duke of Edinburgh melangsungkan perkahwinan di Westminster Abbey pada 20 November 1947 pada jam 11.30 GMT dengan dihadiri 2,000 tetamu.
7. Majlis ini merupakan yang pertama dalam sejarah British apabila bakal pewaris takhta berkahwin.
8. Ratu Elizabeth merupakan keluarga diraja ke-10 yang melangsungkan majlis perkahwinan di Abbey. Perkahwinan diraja pertama yang diadakan adalah apabila Raja Henry I mengahwini Puteri Matilda dari Scotland pada 11 November 1100. Ayahanda dan Bonda Ratu, iaitu Raja George VI dan Ratu Elizabeth (kemudian ditukar The Duke and Duchess of York) juga turut berkahwin di situ.
9. Lapan pengiring perkahwinan adalah HRH Puteri Margaret, HRH Puteri Alexandra dari Kent, Lady Caroline Montagu-Douglas-Scott, Lady Mary Cambridge, Lady Elizabeth Lambart, Yang Mulia Pamela Mountbatten, Yang Mulia Margaret Elphinstone dan Yang Mulia Diana Bowes-Lyon.
10. Majlis bertambah seri dengan kehadiran tetamu cilik HRH Putera William dari Gluocester dan HRH Putera Michael dari Kent, masing-masing berusia lima tahun.
11. Tetamu diraja lain yang hadir ialah Raja dan Permaisuri Denmark, Raja dan Permaisuri Yugoslavia, Raja-raja Norway, Romania dan Iran.
GAUN BERSEJARAH
12. Dress pengantin Ratu direka oleh Sir Norman Hartnell yang mempersembahkannya sejak Ogos 1947.Puteri Elizabeth turut mengenakan sepatu satin dengan perincian mutiara perak.
13. Fabrik dress ditenun oleh Winterthur Silk Limited, Dunfermline, di kilang Canmore menggunakan sutera dari ulat sutera China di Lullingstone Castle.
14. Veil pengantin diperbuat dari fabrik tulle dengan kemasan tiara berlian kepunyaan Ratu Mary. Bebatu berlian diambil dari set rantai dan tiara Ratu Victoria dari Collingwood dan kemudiannya dijadikan hadiah perkahwinan kepada Ratu Mary pada 1893. Menjelang Ogos 1936, Ratu Mary menyerahkan tiara tersebut kepada Ratu Elizabeth sebelum dipinjamkan kepada puterinya pada hari persandingan.
15. Selepas perkahwinan, dress tersebut dipamerkan di Istana St. James dan seterusnya ke bandar raya utama di Britain iaitu Glasgow, Liverpool, Bristol, Preston, Leicester, Nottingham, Manchester, Bradford, Leeds dan Huddersfield.
BUNGA
16. Gubahan orkid putih yang menjadi bunga tangan pengantin disediakan oleh Worshipful Company of Gardeners oleh penggubah bernama MH Longman.
17. Hanya pusara Pahlawan Tidak Diketahui (The Unknown Warrior) sahaja yang tidak ditebari dengan permaidani khas di Abbey. Sehari selepas berkahwin, Puteri Elizabeth meneruskan tradisi diraja yang dimulakan oleh Bondanya dengan menghantar gubahan bunga tersebut ke Abbey di sisi pusara.
18. Pengiring pengantin turut menyelit bebunga putih lili dan London Pride di rambut yang dibuat oleh Jac Ltd of London.
19. Gubahan bunga pengiring pengantin disediakan oleh Moyses Stevens, gabungan orkid putih, lilies of the valley, gardenia, bouvardia putih, mawar putih dan nerine putih.
SERVIS
20. Deringan loceng gereja St. Margaret, Westminster Abbey menyambut ketibaan perarakan pedati kuda. Ratu tiba di Abbey dengan ditemani Ayahandanya, George VI menggunakan Irish State Coach.
21. Antara muzik yang berkumandang ialah Psalm 67, motet We Wait For Thy Loving Kindness, O God oleh Dr. William McKie serta lagu-lagu koir bertema keagamaan oleh para penyanyi chapel di gereja.
22. Terdapat 91 penyanyi di majlis tersebut, terdiri penyanyi koir Abbey, Koir HM Chapels Royal dengan tambahan pemain tenor dan bass.
23. Pemain organ Abbey, William McKie dipinta untuk berkunjung ke Istana empat hari sebelum majlis agar menyalin satu-satunya not lagu yang bakal disampaikan oleh Puteri Elizabeth dan Margaret.
24. Dua pelapik lutut diraja dibaluti sutera manis rona mawar merah jambu. Ia diperbuat dari kotak oren, bersempena mengenang musim peperangan bertarikh 1946. Bilangan tandatangan untuk mendaftar perkahwinan mengambil tempat sebanyak 2 halaman penuh.
25. Altar perkahwinan diberikan pada 1911 oleh Raja George V dan Ratu Mary sempena hari pertabalan mereka. Seterusnya ia diserahkan pula kepada ibu bapa Puteri Elizabeth.
26. Cincin pengantin lelaki diperbuat khas dari emas Welsh yang diambil dari lombong Clogau St. David berdekatan Dolgellau.
27. Bukan semua undangan yang hadir untuk upacara mendaftar perkahwinan dapat dimuatkan di St. Edward Chapel. Hanya pasangan pengantin, Raja dan Permaisuri, Ratu Mary dan Puteri Andrew dari Greece, Ketua Biskop dan Dekan Westminster sahaja yang dibenarkan. Jemputan khas lain ditinggalkan buat sementera di Istana Buckingham.
28. Tiupan trumpet yang riuh-rendah diperkenalkan buat pertama kalinya di majlis perkahwinan diraja di Abbey. Kibaran bendera putih berlambaian di pinggir organ memberi isyarat bahawa perkahwinan telah selamat didaftarkan.
29. Mikrofon BBC telah diperiksa dengan teliti dan berhati-hati kerana pernah terjadi pada perkahwinan diraja 1934 lalu apabila salib Abbey jatuh memhempap mikrofon yang diletakkan di bawah tangga altar. Pada majlis ini, pengulas radio terpaksa berkongsi pinggir organ bersama pasukan koir.
SAMBUTAN AWAM
30. Beribu-ribu orang membanjiri sepanjang laluan perarakan pengantin manakala berjuta lagi mendengar siaran langsung majlis yang ke udara di corong radio.
31. Filem perkahwinan ini turut ditonton oleh ribuan rakyat di panggung wayang di seluruh negara.
32. Istana Buckingham menerima ucapan tahniah melalui hampir 10,000 kiriman telegram.
HADIAH PERKAHWINAN
33. Pasangan pengantin diraja menerima lebih 2,500 hadiah perkahwinan dari seluruh dunia. Sesetengahnya turut dipamerkan beberapa hari kemudian sebagai pertunjukan amal di Istana St. James. Dari India, mereka menerima cebisan crocheted renda kapas oleh Mahatma Gandhi yang bermotif “Jai Hind” (Kemenangan untuk India). Mereka turut menerima sepasang pasu coklat Meissen dari Pope Pius XII.
34. Hadiah perkahwinan lain yang diterima dari luar negara termasuklah seutas rantai emas dan jed dari Raja Farouk di Egypt, sebuah meja tulis dari kerajaan New Zealand serta set makan malam porcelain Cina dengan kata-kata “kegembiraan berganda” dari Presiden Republik Cina, Chiang Kai Shek
35. Selain barangan kemas dari saudara-mara terdekat termasuk Raja dan Permaisuri, pengantin turut menerima banyak barangan berguna untuk kegunaan dapur dan kediaman termasuk balang menyimpan garam dari Bondanya, rak buku dari Ratu Mary dan bekas piknik dari Puteri Margaret.
36. Selain itu, rakyat jelata turut menghadiahkan pelbagai barangan seperti kardigan berkait tangan, dua pasang sarung katil dan sebagainya.
37. Lebih 200,000 tetamu dijemput untuk menghadiri pameran istimewa hadiah perkahwinan tersebut di Istana St. James.
RESEPSI PERKAHWINAN
38. Majlis resepsi telah diadakan di Ball Supper-room, Westminster Abbey di Istana Buckingham dengan dimulakan acara wedding breakfast sejurus selepas upacara perkahwinan. Menu lazat yang dihidangkan antaranya seperti Filet de Sole Mountbatten, Perdreau en Casserole dan Bombe Glacee Princess Elizabeth.
39. Duduk menemani pasangan pengantin di meja utama ialah ibu bapa mereka, Raja George VII dan Ratu Elizabeth, nenda Puteri Elizabeth iaitu Ratu Mary, adindanya Puteri Margaret, bonda pengantin lelaki iaitu Puteri Andrew dari Greece, bapa saudaranya Putera George dari Greece dan Raja Norway, Denmark dan Romania.
40. Kuntuman bunga myrtle dijadikan cenderahati kepada semua jemputan.
41. Dekorasi meja di hias bebunga carnations rona merah jambu dan putih, ikhsan British Carnation Society.
42. Alunan muzik dari kugiran Grenadian Guards berkumandang sepanjang acara wedding breakfast dengan diketuai oleh Kapten FJ Harris. Tiupan Paip Major Raja turut berbunyi semasa acara makan tengahari.
43. Kek perkahwinan rasmi telah dibuat oleh McVities and Price. 11 kek lain turut dipersembahkan sebagai hadiah. Cebisan kek dan makanan kemudiannya dikirim kepada kanak-kanak sekolah dan institusi pengajian.
44. Tinggi kek tersebut ialah sembilan kaki, bertiang empat dan dilukis lambang kerajaan dua belah keluarga termasuk monogram pasangan pengantin. Kek tersebut dipotong menggunakan pedang bangsawan Mountbatten yang dihadiahkan oleh Raja.
45. United Biscuit yang kini memiliki jenama McVities and Price telah menyediakan dua kek sebagai tanda ulangtahun perkahwinan berlian pada hujung tahun 2007 yang lalu. Kek pertama telah dihidangkan semasa makan tengahari kerabat diraja di Istana Buckingham selepas upacara kesyukuran di Westminster Abbey pada 19 November. Kek kedua disediakan khas buat semua tenaga kerja.
BULAN MADU
Ratu Elizabeth dan Putera Philip telah menghabiskan detik-detik romantis sempena percutian bulan madu mereka di Malta.
46. Balingan kelopak-kelopak mawar mengiringi keberangkatan pengantin dari istana. Puteri Elizabeth mengenakan sepasang dress dengan padanan kot bersesuaian rona biru kabus dengan aksesori rona cendawan rekaan Hartnell.
47. Pengantin berangkat pergi dari stesen Waterloo bersama teman Puteri Elizabeth bernama Susan untuk berbulan madu.
48. Pasangan pengantin baru menghabiskan malam pengantin di Broadland, Hampshire, iaitu kediaman bapa saudara Putera Philip, Earl Mountbatten. Mereka seterusnya melayari bulan madu di Birkhall di atas Balmoral Estate.
KEHIDUPAN SELEPAS BERKAHWIN
49. Awal 1948, pasangan ini menyewa rumah kelamin pertama mereka di Windlesham Moor, Surrey, berdekatan Istana Windsor sebelum berpindah ke Clarence House pada 4 Julai 1949. Sewaktu itu, Putera Philip tidak dimahkotakan sempena pertabalan Ratu.
50. Selepas mengahwini Puteri Elizabeth, Putera Philip atau Duke of Edinburgh ini meneruskan kerjayanya dalam bidang ketenteraan sehingga menjawat pangkat Leftenan Komander mengepalai HMS Magpie.
51. Walaupun beliau merupakan suami Ratu, Duke of Edinburgh ini tidak dimahkotakan pada upacara pertabalan 1953. Namun dia merupakan orang pertama yang memberi penghormatan kepada Yang diPertuan Agongnya dengan memberi ciuman kepada Ratu sambil mengucapkan, “I, Philip, Duke of Edinburgh, do become your liege man and limb, and of earthly worship; and faith and truth I will bear unto you, to live and die, against all folks. So help me God.”
52. Putera Philip sentiasa menemani Ratu di setiap lawatan Komanwel dan negeri serta ke serata acara awam di segenap United Kingdom.
53. Putera Philip juga merupakan satu-satunya daripada pasangan-pasangan pemerintah dalam sejarah British. William III contohnya turut memerintah bersama Mary II, walaupun baginda sebagai anakanda James II lebih dekat memerintah takhta daripadanya. Pasangan Ratu Anne tidak dianugerahkan gelaran Raja tetapi kekal sebagai Prince George of Denmark.
54. Pasangan diraja ini memperolehi empat cahayamata iaitu Putera Charles, Putera Wales; Puteri Anne, Puteri Diraja; Putera Andrew, Duke of York dan Putera Edward, Earl of Wessex.
55. Dengan kelahiran Putera Edward pada 1960 menjadi Ratu sebagai pemerintah berkuasa mutlak yang melahirkan anak semenjak zaman Ratu Victoria melahirkan Puteri Beatrice di penghujung tahun 1857.
56. Ratu dan Duke of Edinburgh mempunyai tujuh cucunda – Peter Phillips (1977), Zara Phillips (1981), Putera William (1982), Putera Harry (1984), Puteri Beatrice (1988), Puteri Eugenie (1990), Lady Louise Windsor (2003) dan James Viscount Severn (2008).
57. Pasangan ini menyambut ulang tahun perkahwinan keenam mereka dalam pemerintahan di Clarence House yang diberikan oleh bondanya, Ratu Elizabeth. Mereka seterusnya berangkat untuk lawatan Komanwel tiga hari kemudian.
ULANG TAHUN PERKAHWINAN
58. Majlis kesyukuran telah diadakan di Westminster Abbey untuk menyambut ulang tahun perkahwinan Emas dan Perak mereka.
59. Sebuah majlis kesyukuran turut diadakan di Westminster Abbey pada 19 November 2007 untuk menyambut Majlis Ulangtahun Perkahwinan Berlian manakala hari berikutnya yang merupakan hari perkahwinan sebenar mereka, kedua pasangan ini akan berangkat mengunjungi Malta, destinasi dimana mereka melayari dunia baru perkahwinan dulu pada tahun 1949-1951.
60. Lima penyanyi koir yang menyampaikan nyanyian pada upacara perkahwinan mereka 60 tahun lalu turut diundang ke Westminster Abbey untuk menghadiri majlis kesyukuran.
“Kejujuran & Keikhlasan Nadi Kejayaan PANDORA” Datin Sri Zarida Noordin

Kaum wanita begitu sinonim dengan kemilau indah barangan kemas PANDORA. Usaha Datin Sri Zarida Noordin membawa masuk ke pasaran tempatan jenama yang digilai ramai wanita ini bagai orang mengantuk di sorong bantal. Peminat PANDORA tidak perlu lagi ke luar negara untuk memiliki set barang kemas ini.
Sebagai wanita, mengemudi sebuah syarikat yang terkenal memerlukan komitmen dan ketegasan. “Sebagai seorang ketua, peranan saya adalah untuk membangunkan pasukan yang telah terbina. Saya tidak akan boleh berjaya tanpa sokongan daripada pasukan. Kami perlu bekerjasama demi mencapai matlamat dalam perniagaan ini.
Saya selalu menekankan kepada pasukan saya untuk meletakkan diri sendiri sebagai pelanggan. Sebagai pelanggan apa yang kita harapkan daripada jurujual dan selalu menggembirakan hati pelanggan. Khidmat pelanggan sangat penting dan saya banyak menganjurkan kursus khidmat pelanggan di kalangan pasukan saya.
Saya tidak pernah meletakkan diri sebagai seorang ketua dan mengamalkan dasar terbuka di kalangan pekerja. Mereka boleh datang berjumpa dengan saya bila-bila masa sahaja dan boleh berbual tentang apa sahaja isu. Saya tidak mempunyai sebarang hierarki dan menganggap semua pekerja adalah sama.
Saya berharap dapat memotivasikan pasukan menjadi seorang yang lebih baik. Apabila mereka mencapai sasaran secara tidak langsung saya mencapai peranan saya sebagai seorang ketua,” tegas wanita kelahiran Pulau Pinang ini.
Menurutnya, nilai teras yang sering diterapkan dalam pasukannya adalah kejujuran dan keikhlasan. Tambah Datin Sri Zarida kedua-dua nilai ini sangat dalam setiap aspek kehidupan. Satu lagi nilai utama yang dipegang oleh wanita ini adalah setiap orang adalah usahawan. Anggap kerjaya yang diceburi merupakan perniagaan sendiri baharu semua orang boleh berjaya.
Kami sangat menekankan jualan selepas perkhidmatan. Selepas membuat pembelian, pelanggan bebas untuk datang kembali jika terdapat sebarang ketidakpuasan hati pembelian tersebut.
Apa sahaja yang dipersoalkan pelanggan kami akan cuba menangani dengan sebaik mungkin. Dalam masa yang sama kita membina kepercayaan di antara syarikat dan pelanggan,” jelas Datin Sri Zarida.
Membawa masuk jenama antarabangsa PANDORA ke tanah air merupakan percaturan. Berjaya menjadi outlet yang pertama di Asia bukan suatu tugas yang mudah.
“Jenama PANDORA sudah tidak perlu diperkenalkan lagi ketika kami bermula pada tahun 2010. Saya masih ingat ketika di awal pembukaan dahulu ramai yang teruja apabila akhirnya terdapat sebuah concept store PANDORA di Malaysia.
Saya bersyukur kerana segala aturan kami dipermudahkan dengan masa yang tepat dan peluang tapak perniagaan yang sangat strategik. Ini adalah antara faktor kejayaan PANDORA dan telah dinobatkan sebagai salah satu francais terbaik PANDORA di Asia,” terang Pengarah Urusan PANDORA Malaysia & Brunei ini. Hamizatul Maizan Mohamed
“Perginya Abah Punca Kebangkitan Hidup Saya” MIESYA YUNUS Buktikan Janji

Bergelar anak yatim memberi kesedaran kepada Miesya Yunus bahawa dia juga mampu berjaya. Itu antara sebab wanita berusia 30an yang mesra dipanggil Miesya ini aktif sebagai aktivis sosial.
Detik kehilangan arwah bapanya menjadi titik tolak kepada perubahan dalam hidup Miesya. Sejak hilangnya kasih sayang seorang ayah Miesya menjadi seorang yang lebih berdikari walaupun anak bongsu.
Tekadnya, ingin mengubah nasib keluarga. Berkat kesungguhan dalam usia 30an Miesya berjaya membina empayar perniagaan iaitu Miesya Yunus Holding Sdn Bhd.
Pemilik nama sebenar iaitu Nur Aishah Mat Yunus ini memiliki darah campuran Melayu, Jawa, Arab dan Pakistan.
BERKAT DOA IBU
“Saya berasal dari bandar kecil, dibesarkan dalam suasana sederhana namun penuh dengan kasih sayang ibu dan arwah abah. Kami kehilangan arwah abah semasa usia saya 18 tahun.
Beliau adalah hero kami kerana selain penyayang arwah juga bertanggungjawab dan bijak. Arwah juga mentor dan sahabat baik saya kerana kami boleh berbincang apa saja isu semasa.
Saya berjanji pada diri mahu berjaya yang luar biasa agar dapat menjaga ibu seperti mana arwah abah. Selama hayatnya arwah abah sangat memuliakan ibu dan nenek.
Kejayaan saya hari ini adalah kerana izinNya yang memberi saya peluang atas nikmat rezeki. Seterusnya, berkat doa dan redha ibu. Tanpa keduanya tak mungkin saya mampu berada di tahap ini.”
BUKAN CALANG-CALANG WANITA
Miesya turut bergelar perunding imej dan penjenamaan korporat, jurucakap profesional, tenaga pengajar dan aktivis NGO berorentasikan kepimpinan, belia dan wanita.
Pengalaman lebih 10 tahun di pentas NGO dalam negara sehinggalah mewakili negara sebagai deligasi Malaysia yang bersuara dalam konteks wanita, belia, kepimpinan dan pendidikan.
Sekaligus ia memberikan Miesya kesedaran bahawa ilmu ini harus diteruskan bagi membentuk masyarakat celik ilmu dan kuat jati diri. Ternyata, Miesya bukanlah calang-calang wanita.
Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang ada Miesya mengharapkan ia menjadi infak buat insan yang memerlukan.
Miesya punya rencananya sendiri demi masa depan yang lebih baik. Miesya juga mahu membuktikan dia juga mampu berjaya seperti mana janjinya terhadap arwah bapa.
Kredit Foto: Instagram Miesya Yunus