Eww, Winnie Harlow tu supermodel? 

IKLAN

Dari mata kasar, mereka mungkin nampak cool dan selamba. Kadang bila kekurangan itu diusik, mangsa cuma berdiam menahan geram. Ah, Bedah Tong Gas lah, Leha Katik lah, Halimah Jongang lah. Tapi ramai tak tahu, penghinaan berbaur body shaming sebenarnya berkait dengan psikologi. Silap haribulan, ada yang cederakan diri!

“Ayu malulah Aunty. Kawan-kawan Ayu semua cantik,” luah anak buah saya di Tingkatan 3 sambil menangis. Ayu ni bukan tak lawa, cuma ‘berisi’ kalau dibandingkan kawan-kawan sekolahnya yang lain. Sudahlah diejek, timbul pula rendah diri melihat rakan sebaya yang popular serta dikelilingi peminat.

Malu Diketawakan, Mangsa Body Shaming Boleh Humban Pembuli Ke Penjara!
Bintang Tiktok Charli D’amelio

Ya, kita jarang sedar bagaimana pengaruh aplikasi sosial seperti TikTok, Snapchat, Twitter dan Instagram menambah lagi kemurungan mangsa khususnya di kalangan remaja. Pakar psikologi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd Saad berkata, depresi yang teruk itu akan menyebabkan mangsa terdorong mencederakan diri.

“Depresi akan mencetuskan rasa rendah diri. Dia malu nak ke hadapan dan bercakap dengan orang untuk menjalinkan hubungan yang positif. Lama-kelamaan dia mula menyendiri. Bermula daripada stres biasa akan menjadi SANGAT STRES. Sampailah ke tahap di luar kewarasan dan bun0h diri,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), kesan kepada mangsa termasuklah stres dan gangguan emosi, kehilangan keyakinan diri, kecelaruan pemakanan, kemurungan malah boleh membawa kepada kejadian bunuh diri.

Malu Diketawakan, Mangsa Body Shaming Boleh Humban Pembuli Ke Penjara!

Membahan secara berdepan, mangsa ada peluang membalasnya namun kini mereka semakin advance, mengejek melalui media sosial. Andainya mangsa membalas, hanya di alam maya dan pelaku terus bermaharajalela mencari mangsa baru pula.

Perbuatan memalukan fizikal seseorang atau body shaming kini semakin menjalar ke media sosial. Di Facebook atau Instagram selebriti umpamanya, ruangan komen pasti penuh dengan hinaan berbaur body shaming jika post yang dihantar tidak disenangi netizen.

IKLAN

Kini awas! Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengklasifikasikannya sebagai jenayah. Pensyarah Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Zuraini Ab Hamid berkata, mereka yang melakukan body shaming boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Menurutnya, sekiranya disabitkan bersalah, mereka boleh dihukum penjara dalam tempoh tidak melebihi satu tahun, denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali dan sekiranya mahu membuat laporan, mangsa boleh ke balai polis atau laporkan kepada SKMM.

“Bagi aduan kepada SKMM, mangsa boleh membuat aduan secara atas talian. Sekiranya aduan hendak dibuat di balai polis, mangsa digalakkan hadir sendiri ke balai polis berdekatan. Kesedaran berhubung perkara ini masih terlalu rendah kerana masih ramai yang tidak tahu ia adalah satu jenayah sekiranya menghina orang lain menggunakan perkhidmatan aplikasi (secara dalam talian).

IKLAN

Peruntukan di bawah Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) sepatutnya mampu menakutkan sekali gus mendidik mereka yang melakukannya,” katanya ketika ditemu bual Sinar Ahad.

Malu Diketawakan, Mangsa Body Shaming Boleh Humban Pembuli Ke Penjara!

Bagi penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, berdasarkan peruntukan undang-undang, pelaku juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya kerana perkataan atau isyarat yang dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang.

Menurut beliau, adalah penting bagi mangsa mengetahui hak mereka dengan membuat laporan polis sekiranya menjadi mangsa. “Mangsa body shaming yang berasa diri dimalukan boleh membuat laporan dan siasatan akan dijalankan. Sekiranya didapati benar-benar berlaku maka tindakan boleh diambil terhadap si pelaku,” katanya.

Rujukan: Laporan Khas Sinar Harian

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI