Hujung minggu bersantai di gazebo rumah bersama keluarga memang menyeronokkan. Sambil bersembang dan minum petang, dapat juga menghirup udara nyaman di luar rumah.
Gazebo biasanya dibina di sudut pemandangan paling cantik sama ada di halaman depan mahupun belakang. Bagi anda yang berhasrat untuk membina gazebo di laman rumah, lihat panduan penting ini.
IKLAN
(a) Konsep
Reka bentuk gazebo biasanya disesuaikan dengan konsep kediaman pemiliknya. Reka bentuk tradisional biasanya menggunakan unsur alam seperti batu, kayu atau buluh.
Gazebo klasik pula punya persamaan dengan reka bentuk Eropah di mana seluruh dinding dicat menggunakan warna putih dan dilatari dengan pokok bunga di sekitarnya. Konsep minimalis pula lebih terbuka dan dilengkapi perabot moden berwarna neutral.
(b) Ukuran
Untuk gazebo yang mampu menampung empat orang, ukuran luas yang ideal ialah 2×2 meter. Apa yang penting ukuran luas gazebo tidak melebihi 1/5 daripada luas halaman rumah di mana gazebo itu akan dibina.
Tujuannya agar tercapai keselarasan ukuran dekorasi di sekitar halaman rumah.
(c) Tirai
IKLAN
Anda mahu merasai suasana romantik di gazebo? Letakkan tirai di setiap penjuru atau dindingnya. Tirai berfabrik lembut dan boleh berterbangan tatkala ditiup angin mampu mencetuskan suasana romantik.
(d) Tanaman
Tanaman berbunga masih menjadi pilihan utama. Elakkan menanam pohon yang besar berhampiran gazebo kerana ia akan menghalang pencahayaan yang masuk ke dalamnya.
(e) Posisi
IKLAN
Kebiasaannya, gazebo dibina di tengah-tengah halaman agar dapat melihat pemandangan yang luas dari dalamnya. Untuk posisi yang lebih menarik, sudut terluar taman boleh menjadi alternatif.
Posisi seperti ini memberi peluang buat anda untuk menikmati keindahan taman dahulu sepanjang perjalanan ke gazebo.
(f) Unsur Alam
Hadirkan suasana semula jadi di gazebo anda. Kebiasaannya atap rumbia menjadi pilihan untuk menghiasi gazebo. Atap rumbia mampu memberi kesan mendamaikan kerana sentuhan kedesaannya.
Selain itu, buluh juga boleh digunakan sama ada sebagai binaan utama mahupun sekadar aksesori. Bagi nuansa alam yang lebih moden anda boleh menggunakan lantai kayu sebagai alas gazebo. Amy Mohd
Hidup adalah pilihan. Bukan mudah sebenarnya menjadi seorang ibu dan dalam masa yang sama bergelar wanita berkerjaya. Dua gelaran ini mempunyai peranan yang berbeza maka ia memerlukan kemampuan untuk menguruskan masa sebaiknya.
Lakukan 5 perkara ini agar tugas anda sebagai seorang ibu dan wanita berkerjaya tidak lagi sukar.
BERBINCANGLAH DENGAN SUAMI
Ingat, anda bukan lagi bujang. Libatkan suami dalam setiap pengambilan keputusan terutama melibatkan keluarga. Jika anda ada masalah berbincanglah dengan suami. Antaranya berbincang tentang pembahagian kerja-kerja rumah dan sebagainya.
HABISKAN MASA BERSAMA ANAK
Selain suami, anak juga tidak boleh diabaikan. Sesibuk manapun anda tetap ‘wajib’ menghabiskan masa bersama anak. Contohnya mendengar cerita si anak, membacakan buku, menemani anak bermain dan sebagainya. Masa berkualiti bersama anak lebih berharga berbanding wang.
ELAK BAWA BEBANAN KERJA KE RUMAH
Selesaikan segala tugasan anda sebelum pulang ke rumah. Jangan campur adukkan masalah keluarga dengan kerja. Sebanyak manapun beban tugas anda di pejabat elakkan membawanya ke rumah. Serumit mana pun masalah keluarga di rumah jangan sampai mengganggu tugas anda di pejabat. Kuncinya ialah prioriti.
BAHAGIA DAN BERSYUKUR
Jangan pernah lupa untuk merasa bahagia. Sesibuk manapun anda menguruskan keluarga dan kerjaya, Lakukan dengan cinta dan ikhlas. Maka segala penat lelah akan hilang. Anda juga perlu sentiasa bersyukur dengan segala yang dikecapi hari ini.
PILIH SALAH SATU ATAU KEDUA-DUANYA?
Pokok pangkalnya kembali kepada pilihan dan komitmen. Lakukanlah dengan tenang kerana anda tak bersendirian. Ramai lagi wanita di luar sana yang melakukan perkara yang sama seperti anda.
Seriously, mewah dan indah sangat pemandangan di enam bilik hotel di dunia yang menghidangkan panorama unik di dasar laut ini! Kalau kumpul duit bertahun-tahun sekalipun rasanya tidak akan mampu merasai penginapan eksklusif seumpama ini. Mana tidaknya, harga penginapan untuk satu malam pun sudah mencecah puluhan ribu ringgit!
Yang pasti, selebriti terkenal negara iaitu Noor Neelofa Mohd Noor menjadi antara individu paling bertuah kerana mendapat penghargaan daripada sebuah hotel mewah di Maldives yang menyajikan servis penginapan di dasar laut sambil bertemankan pelbagai spesies hidupan laut kepulauan terkemuka dunia tersebut.
The Muraka, Maldives
Jika anda bercita rasa tinggi dan mewah, The Muraka adalah pilihan yang paling tepat. Setiap bilik hotel yang tersedia di Conrad Maldives ini mementingkan elemen mewah dan moden. Suite dua tingkat di sini dilengkapi dengan tiga bilik tidur yang berdinding dan beratapkan hidupan laut. Begitu juga bilik mandinya.
Ithaa Undersea Restaurant
Selain memiliki kolam renang privasi dan laut yang bersih dan terpelihara daripada pencemaran… The Muraka juga mempunyai private jungle untuk kemudahan tetamu hotel meneroka alam semula jadi. Lebih menarik, Ithaa Undersea Restaurant di sini berada pada kedalaman 5 meter di paras laut.
2. Intercontinental Shanghai Wonderland, China
Struktur hotel Intercontinental Shanghai Wonderland ini merupakan antara binaan yang cukup dikagumi ramai selain menjadi hotel pertama di dunia yang dibina di bawah tanah. Merupakan bekas tapak kuari terbiar di Songjiang, ia diusahakan oleh arkitek sama yang membina bangunan ikonik Dubai, Burj Al-Arab. Intercontinental Shanghai Wonderland mempunyai 18 tingkat dan hanya dua tingkat yang dibina khas dengan berlatarkan keindahan laut dalam.
Memandangkan ia adalah tapak kuari terbiar, bahagian dasarnya telah dinaik taraf seperti akuarium dan diisi dengan pelbagai hidupan marin untuk mencetuskan suasana berada di dasar laut apabila anda menempah Underwater Suite di sini.
Sama seperti di The Muraka, hotel ini juga mempunyai sebuah restoran yang berdindingkan suasana di dalam laut yang dinamakan Mr Fisher. Intercontinental Shanghai Wonderland mengambil masa 10 tahun untuk siap dibina yang turut dilengkapi dengan kemudahan riadah seperti bungee jumping dan rock climbing.
3. Manta Underwater Room, Pemba Island, Tanzania
Ini memang betul-betul privasi! Hotel yang dibina di Timur Afrika iaitu Manta Resort menghidangkan pemandangan laut terbentang tanpa sebarang gangguan. Underwater Room dibina dalam sebuah banglo terapung yang memiliki tiga tingkat. Dua tingkat di atas air dan satu lagi di bawah yang terletak di Blue Hole… kawasan persendirian dan konservasi yang menghimpunkan bermacam-macam spesis unik yang jarang ditemui.
Kemuncak percutian indah di Manta Underwater Room menjelma pada waktu malam apabila cahaya yang menyinari di setiap penjuru banglo ini menarik perhatian hidupan laut di Pulau Pemba. Jika bertuah, anda berpeluang melihat spesies sotong octopus yang seakan-akan ‘menari’ dan melekap di tingkap kaca bilik serta beberapa hidupan laut liar yang berlegar-legar di bilik penginapan anda.
4. Atlantis The Palm, Dubai
Hotel ternama dan sering dikunjungi golongan jutawan di Dubai ini memiliki lebih 1, 500 bilik yang dua daripadanya cukup eksklusif kerana direka indah bertemakan keunikan dasar laut menerusi suite mewah Atlantis the Palm, Underwater Suite.
Disebabkan pemandangan luar biasa dan tarikan eksklusif… dua suite ini dinamakan Poseidon dan Neptune simbolik kepada nama jolokan Tuhan Di Laut mengikut kepercayaan masyarakat Greek dan Roman.
Tetamu hotel bukan hanya terpukau dengan rekaan di dalam hotel bahkan dari luaran juga bangunan Atlantis the Palm ini amat mengagumkan dan tersergam indah di bumi Dubai. Kaya dengan hidupan laut yang pelbagai… kawasan di Atlantis the Palm juga dikunjungi ribuan pencinta alam yang ingin menyelam dan berenang Bersama spesis ikan di sini. Khabarnya terdapat lebih 65 ribu hidupan marin di sini termasuklah ikan jerung!
5. Deep’s Lover Submarine, St Lucia
Bawa cinta anda ‘belayar’ bersama hingga ke laut dalam! Yang ini sememangnya pengalaman percutian yang sangat berbeza daripada penginapan di hotel. Melalui pakej percutian mewah yang ditawarkan Oliver’s Travel ini, anda tidak perlu menginap di bilik sebaliknya menyewa sebuah kapal selam!
Diberi nama Deep’s Lover Submarine, anda dan pasangan akan dilayan sepanjang malam lengkap dengan seorang cef, kapten kapal dan pembantu peribadi. Dilaporkan untuk merasai pengalaman berbeza ini, bayaran bernilai 223.5 ribu pound sterling diperlukan hanya untuk penginapan satu malam!
Tahun ini, sudah lebih sedekad Mas Aliza kehilangan bapa tersayang. Sepanjang tempoh itu jugalah rindunya kepada arwah bapa, Datuk Ali Bapoo tidak pernah padam meskipun terpaksa berdepan detik sukar itu ketika dia baru meniti zaman remaja. Mengakui keperibadian arwah bapa sangat memberi kesan terhadap dirinya sehingga ke hari ini… Mas Aliza yang juga anak sulung kepada pelakon era 90an, Mas Anizan terbuka berkongsi rahsia yang selama ini tersimpan kemas di lubuk hati.
Selesa membahasakan dirinya sebagai baby dan arwah bapa dengan gelaran papa, Mas Aliza yang menginjak usia 24 tahun tenang menyusun bicara saat menceritakan sisi peribadi lelaki kesayangannya itu. “Papa dengan baby tak pernah sekali pun marah. Dia memang jenis yang sangat sayang anak-anak dia.
Kenangan bersama arwah papa
Sampai sekarang apa yang paling saya rindukan ialah cara layanan dia. Susah nak dapat orang yang layan baby macam mana papa layan sebab dia sangat penyayang dan berlembut dengan anak-anak.
Tapi dengan Daniel cara didikan tu lain sedikit. Papa lebih tegas mungkin sebab adik ni lelaki. Sepanjang papa ada… memang baby tak pernah kena marah dan tak pernah kena pukul.”
Reda menerima pemergian arwah bapa sewaktu dirinya baru mencecah umur 13 tahun, kongsi Mas Aliza lagi bapanya meninggal dunia disebabkan komplikasi penyakit seperti serangan jantung dan kencing manis. “Papa ni dia sangat tegas dan seorang ayah yang pentingkan didikan agama kepada anak-anak. Dekat rumah, nak pakai yang seksi memang tak bolehlah. Kena betul-betul tutup dan papa ni jenis family man.”
Bersama mama, Mas Anizan
Saat ditanya adakah dia pernah ‘google’ tentang bapanya, Datuk Ali Bapoo… tanpa berselindung Mas Aliza mengangguk kepala tanda pernah berbuat demikian. “Iya, pernah. Jujurnya, saya dan mama memang try to avoid untuk cakap pasal ni sebab secara automatik kami berdua akan menangis. Sebab tak nak mama menangis, baby ambil pendekatan untuk tidak banyak bertanya tentang papa.
Sebenarnya baby ada buat satu album yang di dalamnya ada semua gambar papa bersama baby. Album tu ibarat macam diari untuk baby. Setiap gambar papa, baby akan tulis kenangan kami berdua. Mama pun tak tahu pasal ni. Kalau rindu ke apa… baby memang akan tengok dan tulis dalam album tu. Dah lama pun baby buat album ni dan sorok dari pengetahuan mama.”
Walaupun kini Mas Aliza sudah semakin matang dan berkerjaya namun nasihat ibu tetap terpahat kemas di sanubari. “Mama selalu pesan buat baik dan hati kena ikhlas dengan orang. Sampai sekarang mama selalu ingatkan, tiap kali keluar rumah baby bawa maruah mama dan arwah papa. Kena sentiasa pandai bawa diri dan ikhlas dengan semua orang,” ungkapnya sambil mengukir senyuman.
Semakin kejar akhirat, semakin melimpah ruah rezeki Rozita Che Wan. Sebut sahaja nama selebriti popular ini pasti ramai yang membayangkan kejelitaan dan imej glamor isteri Zain Saidin ini ...