Pernahkah anda mendengar tentang pengambilan coklat yang boleh menyebabkan penyakit terhadap kesihatan? Pasti sering didengari bukan. Ada yang menyatakan makanan yang dihasilkan daripada buah koko ini mengakibatkan kerosakan gigi, merangsang pembentukan jerawat, meningkatkan berat badan dan tidak kurang juga menjadikan kanak-kanak hiperaktif. Realitinya, tahukah anda bahawa coklat membawa berbagai-bagai manfaat penting kepada tubuh badan anda?
Meskipun coklat lazimnya dilabel sebagai makanan tidak sihat,tetapi kandungan jenis zat yang terkandung di dalamnya membekalkan sejumlah tenaga yang diperlukan tubuh. Selain menyihatkan tubuh, coklat turut berfungsi memperhebat aktiviti perkembangan otak dan degupan jantung yang kuat. Malah, setiap pengambilan coklat dalam diet harian dengan jumlah yang tertentu dapat menurunkan tekanan darah. Coklat hitam atau dark chocolate misalnya menjadi pilihan penggemar coklat masa kini kerana kandungan antioksidan yang tinggi di samping mengurangkan pembentukan radikal bebas.
KATEGORI COKLAT
Empat kategori coklat yang perlu anda tahu adalah coklat tulen atau couverture, coklat tiruan atau masakan, coklat tanpa gula dan coklat berperisa.
COKLAT MASAKAN
Turut dikenali sebagai chocolate compound, coklat masakan diperbuat daripada gula, lemak sayur, esen, lesitin dan susu. Ia hanya digunakan dalam masakan seperti membuat kek termasuk brownies dan biskut.
Ads
COKLAT COUVERTURE
Digunakan secara meluas oleh pembuat coklat profesional. Ia merupakan coklat asli yang paling sedap dan berkualiti namun sangat sensitif terhadap suhu.
COKLAT TANPA GULA
Juga dikenali di kalangan penghidap diabetes. Ia tidak mengandungi gula biasa kerana menggunakan pemanis tiruan seperti stevia.
COKLAT BERPERISA
Coklat yang sering dinikmati sebagai snek seperti coklat susu, coklat putih dan coklat hitam.
Ads
Kandungan antioksidan yang ada pada coklat adalah 3 kali lebih tinggi daripada teh hijau. Umum mengetahui dan mampu membezakan jenis coklat yang dijual di pasaran namun pasti ramai yang tidak peka akan khasiat dan kandungan yang ada.
COKLAT SUSU
Mengandungi kira-kira 12% ramuan susu, 25% koko dan gula yang tinggi. Ia menjadi kegemaran kerana rasanya yang manis dan lembut. Coklat susu mudah hangus saat dicairkan dan mengandungi antioksidan terendah kerana kombinasi bahan-bahan di dalamnya.
COKLAT PUTIH
Atau lebih dikenali sebagai white chocolate memiliki sekurang-kurangnya 33% kandungan koko dan selebihnya adalah campuran gula, susu dan vanila. Pengambilan berlebihan boleh menyebabkan penyakit diabetes.
Ads
COKLAT HITAM
Rasanya lebih pekat, berwarna lebih gelap dan mengandungi lebih banyak kandungan berkhasiat untuk kesihatan. Ia tidak mengandungi susu sebaliknya terdiri daripada 70% koko tanpa lebihan gula, lemak tepu atau minyak sayuran terhidrogenasi (HVO).
TIP MEMILIH COKLAT BERKUALITI
Agak sukar untuk mengenal pasti keadaan coklat yang dibeli kerana coklat yang dijual telah dibungkus kemas tanpa boleh membuka isi di dalamnya. Hanya boleh melihat jenis dan kandungan coklat yang tertera pada label berserta tarikh luput. Pun begitu, anda masih boleh mengetahui kualiti coklat berkenaan setelah membuka bungkusan seperti ciri-ciri yang dinyatakan di bawah.
Permukaan coklat halus dan berkilat
Coklat hitam memiliki warna coklat yang lebih gelap berbanding coklat lain dan bukan berwarna hitam
Saat coklat dipatahkan terdapat beberapa serpihan halus dan bertekstur padat
Menghasilkan rasa berkrim tetapi tidak berminyak
Cepat mencair kerana kandungan coklat mentega yang tinggi
Tidak meninggalkan rasa kelat atau sebarang rasa kurang menyenangkan apabila memakannya
CARA MENYIMPAN COKLAT
Simpan coklat di tempat kering dan dingin di bawah suhu 16 hingga 18 darjah Celsius. Coklat yang disimpan pada suhu kurang daripada itu menyebabkan penghasilan sugar bloom dan seakan mengeluarkan ‘peluh’ apabila disimpan pada suhu bilik. Manakala jika ditempatkan pada suhu tinggi akan mengubah kandungan lemak dan kelihatan sangat berminyak.
Setelah membuka bungkusan, pastikan coklat dibungkus kemas semula agar ada udara yang masuk. Untuk menjaga kualiti coklat ada baiknya ia dipindahkan ke dalam bekas kedap udara.
Elakkan menyimpan coklat dalam peti sejuk. Coklat yang diletakkan di dalam peti sejuk perlu dibiarkan seketika pada suhu normal atau suhu bilik sebelum ia digunakan.
Percaya atau tidak coklat yang disimpan dengan baik boleh tanah selama lebih kurang satu tahun. Walau pun terhasil bintik putih di permukaan coklat namun ia masih selamat digunakan untuk membuat biskut dan sebagainya. Asalkan tidak melebihi tempoh tarikh luput.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nampaknya Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya akan menyambung tempoh PKPB sehingga 9 Nov. Sekaligus lebih banyak masa akan dihabiskan di kediaman masing-masing. Pasti kebanyakan suri rumah buntu memikirkan menu untukhidangan seisi keluarga bukan? Mana tidaknya, apabila anak-anak ada di rumah, kejap-kejap menjengah ke dapur mencari makanan.
Jika kebiasaannya hanya tahu membeli juadah kuih muih ini, apa kata dalam situasi kini anda buat sendiri hidangan seperti kuih cara berlauk yang sememangnya menjadi kegemaran ramai.
Perkongsian oleh Masliza Maaris melalui laman facebook miliknya memperlihatkan bagaimana mudahnya membuat kuih cara berlauk ini tanpa menggunakan acuan. Menurut Masliza atau lebih mesra disapa Ayin, kuih cara berlauk yang dihasilkan tidak menggunakan acuan kuih cara tetapi hanya menggunakan muffin pan bersaiz kecil serta menggunakan bahan-bahan yang ada di rumah.
Masliza Maaris
BAHAN-BAHAN ADUNAN TEPUNG:
75g tepung gandum
sebiji telur
170ml santan (suku kotak campur air)
2 sudu mentega (dicairkan)
Bancuh semua bahan dan ketepikan.
BAHAN-BAHAN UNTUK INTI:
500g daging kambing cincang
Separuh bawang (dicincang)
2 ulas bawang putih (dicincang)
1 sudu rempah kurma
1 sudu sos tomato
Garam & gula secukup rasa
Daun sup dan lada dihiris
*resepi asal ada halia, lada hitam dan cili kisar tapi saya tak letak.
CARA MEMBUAT:
1. Tumis bawang hingga wangi masukkan daging kambing cincang dan gaul hingga masak. Campur rempah kurma, sos tomato, garam dan gula. Gaul hingga sebati. Ketepikan.
2.Guna api paling kecil panaskan acuan. Hati-hati kerana muffin pan ini nipis nanti cepat masak dan cepat hangus.
3. Bila dah letak inti, daun sup dan lada, padam api dan tutup dengan penutup periuk. Biarkan sebenar. Kehangatan udara dalam penutup tu akan masakkan bahagian atas pula.
Selamat mencuba!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masuk hari ke 16 berpuasa, pasti ramai yang mencari alternatif untuk berbuka puasa. Pilihan berbuka puasa di hotel juga menjadi sebahagian gaya hidup untuk meraikan sahabat serta rakan perniagaan. NONA senaraikan 10 hotel yang boleh dijadikan pilihan untuk berbuka puasa. Selamat mencuba!
1.KONSEP JEMPUT MAKAN DI SUNWAY RESORT HOTEL & SPA
Sunway Resort Hotel & Spa’s buat julung kalinya mengetengahkan konsep Jemput Makan untuk bufet Ramadan tahun ini di The Resort Café. Setiap malam, para tetamu bakal disajikan dengan lebih 400 hidangan tradisi yang disediakan oleh Chef Mohamad Yatim Supaat, seorang Sous Chef Tournant The Resort Café yang mempunyai pengalaman di lebih 20 hotel terkemuka.
Sepanjang Ramadan, pelanggan bakal disajikan dengan hidangan secara bufet di bahagian dalam serta luar kafe dengan konsep bazaar-style stations serta masakan secara terbuka. Ia bermula dari 6 Mei hingga 4 Jun 2019, bermula jam 6.30 petang hingga 10.30 malam.
The Resort Café yang terletak di tingkat lobi Sunway Resort Hotel & Spa menawarkan bufet Ramadan pada harga RM188 nett dan RM98 untuk kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun. Jika anda datang menikmati hidangan dari 6 hingga 9 Mei, pihak hotel memberikan 40 peratus diskaun untuk dewasa dan kanak-kanak.
Hubungi: +603 7495 2009
2.JALAN-JALAN BUFET RAMADAN SIME DARBY CONVENTION CENTRE
Sime Darby Convention Centre meraikan kedatangan Ramadan dengan menampilkan promosi Jalan-Jalan Ramadhan Buffet. Bersesuaian dengan tema kali ini, hidangan kali ini dihidangkan oleh Pastry Chef Mohd Nordin Bin Abdullah.
Hidangan bufet pula merangkumi menu istimewa seperti Udang Sambal Tumis Petai, Bubur Lambuk Berherba dan sebagainya. Terdapat juga 30 buah gerai yang menghidangkan pelbagai hidangan autentik seperti Sup Berempah, Laksam Kelantan, Masakan Kawah, Lidah Bakar dan sebagainya.
Tidak dilupakan minuman seperti teh tarik dan Nescafe tarik, sirap selasih, jambu asam boi, cincau, air jagung, air tebu, dan sebagainya. Lebih istimewa, harga yang ditawarkan amat berpatutan iaitu RM99++ setiap seorang manakala kanak-kanak dan warga emas boleh menikmati diskaun sebanyak 25 peratus. Bufet Ramadan ini boleh didapati dari 6 Mei hingga 2 Jun 2019.
Hubungi: 03-20893799
3.NOSTALGIA DESA DI THE MILL CAFÉ
Kedatangan Ramadan pastinya istimewa dan penuh dengan sajian menyelerakan. The Mill Café Grand Millenium Kuala Lumpur tidak terkecuali meraikan kedatangan Ramadan dengan mengetengahkan gaya hidangan kampung yang menggamit kenangan.
Bertemakan Nostalgia Desa dari 6 Mei hingga 4 Jun 2019, Executive Sous Chef Razali Idris dan barisan chef professional akan mengetengahkan hampir 230 hidangan tradisi setiap malam untuk dijamu oleh para pelanggan. Pada harga RM 158 nett setiap seorang, nikmati hidangan hebat seperti soto ayam, sotong masak hitam, ayam panggang sri gadeb, gulai daging salai, ayam masak madu dan sebagainya.
Selain itu, hidangan pemanis mulut seperti bubur pengat pisang, pulut hitam, bubur serawa durian dan tapai pulut menanti untuk dinikmati. Untuk pelanggan korporat, Grand Millenium Kuala Lumpur turut menyediakan hidangan bufet di Millenium Ballroom pada harga RM140 nett setiap seorang.
Hubungi: 03-2117 4888
4.SELERA KAMPUNGKU DI TAMU HOTEL & SUITES KUALA LUMPUR
Menjadi kebiasaan tatkala ketibaan Ramadan, pelbagai juadah kampung pastinya menjadi pilihan. Hotel Tamu & Suites yang terletak di Kampung Baru Kuala Lumpur tidak terkecuali meraikan kedatangan Ramadan dengan menyajikan hidangan berasaskan selera kampung untuk para pelanggan.
Hidangan secara bufet dari aras 27 hotel dengan pemandangan indah Kuala Lumpur pastinya menjanjikan suasana buka puasa yang dikenang dalam ingatan. Sebanyak 100 hidangan istimewa bakal disediakan setiap malam dan menjanjikan hidangan tradisi seperti rendang, aneka sambal, asam pedas, masak lemak gulai itik dan sebagainya.
Buka puasa pada harga RM109 nett untuk para pelanggan dan separuh harga untuk kanak-kanak dan warga emas. Suasana berbuka puasa pastinya berbeza dengan suasana di awan biru dan pemandangan Kuala Lumpur nan mempersona!
Hubungi: 603 2603 1999
5.IFTAR WARISAN KAMPUNG CARA MOVENPICK KLIA
Terletak di kawasan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau KLIA, pelanggan yang mempunyai urusan di sekitar kawasan ini usah bimbang untuk mencari lokasi untuk berbuka puasa kerana Movenpick KLIA menjanjikan hidangan yang istimewa untuk berbuka puasa.
Kali ini, Movenpick KLIA mengetengahkan konsep hidangan warisan kampung yang menggamit selera setiap pelanggan yang datang ke sini. Aneka hidangan berasaskan sambal seperti sambal tempoyak, sambal belacan, aneka ulam-ulaman menjadi pilihan untuk pembuka selera. Disajikan pula dengan aneka lauk pauk kampung dengan keenakan bagaikan disediakan di dapur sendiri.
Hidangan istimewa dari harga RM119 nett untuk setiap seorang dan separuh harga untuk kanak-kanak menjadi tarikan utama untuk berkunjung ke Movenpick KLIA dan menikmati hidangan istimewa yang disajikan!
Hubungi: 03-86618661 (sambungan 8728).
6.JOM MAKAN DI HILTON PETALING JAYA
Ramadan menjanjikan pelbagai keistimewaan yang tiada tandingannya. Tahun ini, Hilton Petaling Jaya menyajikan keindahan Ramadan bertemakan Jom Makan di mana ia mengetengahkan budaya masyarakat Malaysia yang sememangnya tidak dapat dipisahkan dari makanan. Hilton Petaling Jaya menampilkan lebih 350 menu sajian tradisional di retoran ikonik Paya Serai untuk para tetamu.
Malah, hampir 35 tahun menjadi pilihan untuk sajian istimewa yang enak di Paya Serai, pastinya ia bakal mengembalikan nostalgia. Hilton Petaling Jaya juga bekerjasama dengan FAMA untuk mempromosikan buah-buahan tempatan di dalam diet seharian terutamanya sepanjang bulan Ramadan. Nikmati buffet Ramadan dari 5 Jun hingga 7 Mei pada harga RM169 nett untuk dewasa dan RM89 nett untuk kanak-kanak. Dari 8 Mei hingga 1 Jun pula, buffet Ramadan berharga RM189 nett dan 99 nett untuk kanak-kanak. Manakala dari 2 hingga 4 Jun, buffet Ramadan pada harga RM169 nett untuk dewasa dan RM99 nett untuk kanak-kanak.
Nikmati hidangan istimewa termasuklah Bergedil Ayam Dan Kentang, Ikan Goreng Mamak, Daun Selon, Ulam Raja, Petai, Jering, Kerdas, Pucuk Pegaga, Jantung Pisang, Pucuk Gajus, Terung Telunjuk & Timun sebagainya.
Hubungi: 603 7955 9122
7.ICIP ICIP KAMPUNGKU DI EASTIN PETALING JAYA
Tidak lengkap menu Ramadan tanpa hidangan desa. Itulah nostalgia yang cuba dikembalikan oleh Eastin Hotel Petaling Jaya sempena kedatangan Ramadan kali ini. Bufet Ramadan Icip Icip Kampungku telah dipilih yang menjanjikan pelbagai hidangan tradisional untuk dinikmati ketika berbuka puasa.
Sememangnya hidangan tradisi Melayu tidak dapat dipisahkan apabila tibanya Ramadan. Siapa dapat menahan keenakan hidangan istimewa seperti aneka kari, gulai, masak lemak, ayam panggang, kambing golek dan sebagainya yang sentiasa menajdi buruan di meja buffet. Nikmati hidangan secara buffet pada harga RM115 nett untuk dewasa dan RM80 nett untuk kanak-kanak.
Hubungi: +60 3-7665 1111
8.SAJIAN IBUNDA BERJAYA TIMES SQUARE HOTEL
Ramadan yang bakal menjelang tiba disambut dengan penuh kesyukuran. Bulan ini masanya untuk keluarga dan rakan-rakan berkumpul bersama untuk menjamu selera. Bagi meraikan bulan yang penuh keberkatan ini, Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur menyajikan hidangan homecook, di mana mengingatkan resipi ibunda yang tiada tandingan untuk tetamu berbuka puasa di hotel ini.
Bagi menambah keceriaan di kala waktu berbuka puasa nanti, tetamu dihiburkan dengan persembahan Ghazal. Pelbagai menu terpilih bakal dihidangkan pada tetamu antaranya Nasi Kerabu, Paru-Paru Berlada, Pedal Hati Ayam Masak Cili, Tempeh, Acar Buah, Acar Rampai dan juga seleksi bufet antarabangsa.
Anda juga boleh memilih seleksi makanan dari gerai yang menggamit rasa seperti Kari Kepala Ikan Citarasa Bonda, Lempeng Pisang Kelapa Bidara, Pisang Goreng Keju Makmur, Aneka Sup Serantau, Rendang Daging Khatulistiwa, Popiah Basah Mahsyur, Kambing Golek Penawar Rindu, Nasi Lemak Lobster Tersohor, Otak-Otak Dibuai Rasa dan Sous Vide Burger Nusantara.
Tidak lengkap hidangan tanpa manisan. Antara seleksi buah-buahan segar, pilihan kuih-muih Melayu dan kek antaranya Mango Charlotte, Pandan Chiffon Cheese Cake, Chocolate Brownies dan lain-lain.
Bufet Ramadan bermula dari 8 Mei hingga 6 Jun dari jam 6.30 petang hingga 10.30 malam di tingkat 14. Pada minggu pertama 8-12 Mei dan minggu terakhir 29Mei-2Jun, harga untuk dewasa ialah RM48 nett. Sepanjang 13-28 Mei, harga untuk dewasa ialah RM128 manakala untuk kanak-kanak RM 58. Rebut harga early bird sekarang hanya RM98 nett untuk dewasa dan RM48 untuk kanak-kanak.
Hubungi:
03-2117 8000 (ext. 8133)
9.AYAM GOLEK ISTANA DI SOFITEL KUALA LUMPUR DAMANSARA
KETIKA menjejakkan kaki ke Restoran Kwee Zeen di Sofitel Kuala Lumpur Damansara, kesabaran seharian berpuasa sedikit tergugat apabila mata tertumpu pada deretan juadah berbuka yang disediakan dengan menarik sekali.
Melangkah sahaja masuk, Ayam Golek Istana yang tersergam indah seperti memanggil-manggil untuk disantap menambahkan lagi rasa tidak senang duduk menanti waktu berbuka puasa.
Hidangan itu istimewa kerana ia adalah resepi turun temurun oleh cef selebriti terkenal, Datuk Ismail Ahmad untuk Sofitel Kuala Lumpur Damansara. Cef Ismail turut menampilkan pelbagai hidangan Melayu klasik yang mengimbau memori seperti Ayam Masak Kicap Cuka, Gulai Semilang bersama Daging, Masak Lemak Nangka bersama Daging dan Udang Lemak Nenas.
Selain itu, lauk-pauk lain yang turut dihidangkan termasuk Ayam Percik Kelantan, Daging Salai Masak Lemak Cili Api, Asam Pedas Ikan Pari dan Telur Itik Masak Lemak Cili Api.
Cef selebriti itu turut menampilkan pelbagai jenis kerabu sebagai pembuka selera seperti Lawar Jantung, Rendang Pucuk Ubi, Kerabu Mangga Muda, Kerabu Taugeh dan Kerang serta Kerabu Daging Bakar.
Secara keseluruhannya, Sofitel Kuala Lumpur Damansara menyediakan lebih 180 hidangan termasuk makanan tradisi India, Cina, Jepun, Barat termasuk makanan laut segar.
Sebagai permulaan ketika berbuka puasa apa kata mulakan dengan pelbagai citarasa kuih-muih tradisional Melayu seperti Pulut Durian, Seri Muka, Ketayap atau pun boleh ke Live Station untuk mencuba Roti Bomb, Roti Canai, Roti John, Murtabak yang dimasak segar oleh cef… memang terangkat!
Bagi yang inginkan kelainan terdapat juga pilihan makanan di stesen untuk menu kegemaran masyarakat Cina dan India yang menunya adalah citarasa khas cef eksekutifnya sendiri.
03-2720 6688
10.BUKA PUASA HIDANGAN AUTENTIK MELAYU DI SUNWAY PUTRA HOTEL, KUALA LUMPUR
Masih tercari-cari lokasi berbuka puasa di tengah-tengah ibukota Kuala Lumpur? Jom nikmati hidangan istimewa yang disediakan oleh Eksekutif Chef Rossham Rosli dan team nya di Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur. Nikmati hidangan enak dengan tema Dari Dapur Ummi dari 6 hingga 4 Jun 2019 di Coffee House, Tingkat 9, Hotel Sunway Putra. Antara hidangan yang disediakan termasuklah Kerabu Isi Kelapa Daun Selasih, Kerabu Inti Kelapa Pedas Kacang Botol and Pucuk Paku, Kerabu Kerisik Taugeh and Kacang Panjang, Kerabu Assam Limau Betik Muda & Kedondong and Kerabu Ayam Pedas. Selain itu, hidangan seperti ‘Ulam’, Rojak, Pasembor, Gado-gado turut tersedia. Pelbagai hidangan dalam bentuk stall dengan hidangan enak berasaskan Gulung-gulung rebus- rebus,bakar-bakar, celup-celup dan kukus-kukus.Pelbagai lauk pauk pastinya menarik selera anda termasuklah
ayam percik Seri Menanti, daging dendeng cili, kambing dalca mangga muda, ikan kembong asam rebus, ayam madu berempah, daging rendang Negeri Sembilan, udang masak lemak dengan belimbing buluh & bunga kantan, ikan tenggiri acar campur berempah, ayam masak kicap berempah, udang kalio dengan pucuk paku dan sebagainya.
Hubungi: 03-4040 9888.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebut sahaja Chef Wan, semua peringkat usia dan bangsa rakyat Malaysia mengenali beliau. Malah populariti beliau melebihi para artis dan ahli politik, namun semua kehebatan yang dimiliki tidak pernah mengundang riak insan berhati luhur bernama Datuk Redzuwan Ismail.
Hari ini Chef Wan bukan hanya pakar dalam masakan, tetapi beliau juga seorang penulis buku masakan, hos program masakan dan travelog dalam dan luar negara dan ikon yang tidak pernah lokek berkongsi ilmu rahsia kejayaan untuk anak bangsanya
Lebih daripada 3 dekad dalam dunia kulinari dan melalui pelbagai pahit maung dalam perjalanan kerjaya sebagai chef. Kewibawaan beliau telah merentasi dunia, setanding dengan nama besar seperti Jamie Oliver Bakes dan Martha Stewart.
Namun untuk menggapai kejayaan seperti hari ini, Chef Wan tidak gentar meninggalkan kerjaya lumayan hanya kerana minat memasak dan mahu menjadi seorang chef profesional. Berbekal kesungguhan dan minat terhadap dunia masakan, beliau sanggup ke luar negara demi mencari ilmu masakan tanpa kenal erti jemu dan tidak pernah rasa bosan memasak.
“Bila saya belajar dan melakukan sesuatu yang saya suka, saya akan buat bersungguh-sungguh sehingga berpuas hati dengan hasilnya. Bila menjadi ia memberikan keseronokan dan kepuasan tidak terhingga, terutama bila mendapat pujian. Sebab itu, saya suka bereksperimen dengan perkakasan dapur, mengolah bahan, menyediakan masakan dan menghasilkan resipi baru di dapur.
Demi ilmu saya juga sanggup keluar negara dan menjelajah ke seluruh pelosok dunia untuk belajar pelbagai ilmu masakan. Sebenarnya, ilmu masakan semakin diterokai semakin seronok kerana ada sahaja perkara baru boleh dipelajari,” ujar Chef Wan yang tidak pernah kenal istilah pencen dalam kerjaya yang diminatinya ini.
Katanya, selain minat dan mencari keseronokan dengan memasak, beliau mahu menjadikan masakan sebagai agen perpaduan di kalangan masyarakat dan mengharumkan nama negara.
“Sekurang-kurangnya dengan aktiviti memasak, saya boleh menyumbangkan sesuatu kepada keluarga, jiran-jiran, rakan-rakan, masyarakat, bangsa, agama dan negara saya sendiri kerana ini kemahiran saya,” tegas Chef Wan yang mendapat Latihan Profesional Chef dan Pengurusan Hotel dari California Culinary Academi, San Francisco, Amerika Syarikat .
Luar biasanya Chef Wan, bukan hanya mempunyai kepakaran dalam masakan tetapi beliau juga mempunyai karisma tersendiri sebagai hos program sama ada program masakan mahupun travelog di dalam dan di luar negara. Celoteh spontan sering menjadikan penonton tersenyum dan tertawa. Sehingga ada yang tertunggu-tunggu program yang dihoskan olehnya.
“Masakan telah membawa saya menjelajah ke merata dunia. Daripada pengalaman ini saya melihat masakan bukan hanya sebagai agen perpaduan sesuatu masyarakat dan bangsa tetapi ia juga adalah sumber khazanah budaya. Kerana daripada masakan kita mengenal sesuatu bangsa dan sesebuah negara.”
NEW YORK CHEESE CAKE
BAHAN-BAHAN:
Adunan Dasar Kek: 3 cawan serbuk biskut (cracker crumbs) 2 sudu teh serbuk kulit kayu manis 226gm mentega | cair dan sejukkan
Inti Kek: 680gm krim keju ¼ cawan gula kastor 6 biji telur | asingkan kuning dan putihnya 2 cawan sour cream 1/3 cawan tepung Jagung 2 sudu teh esen vanila 2 biji lemon | parut kulit kuning sahaja & perah jusnya
Sos Ceri: 1 sudu besar tepung jagung 1 tin besar Pitted Dark Cherries dengan sirap 1 sudu besar mentega
CARA MEMASAK: Untuk menyediakan adunan dasar kek: Oles mentega ke dalam bekas bersaiz 22 cm. Campurkan semua bahan adunan dasar kek menggunakan sudu kayu. Masukkan adunan dalam loyang dan tekan sehingga padat, kemudian panaskan dalam ketuhar lebih kurang 15 minit dengan suhu 180 C. Atau letakkan dalam peti sejuk lebih kurang 30 minit. Untuk menyediakan inti kek, pukul krim keju hingga halus, tambahkan gula sedikit demi sedikit dan teruskan memukul sehingga ringan dan gebu. Tambahkan kuning telur satu persatu. Masukkan sour cream, tepung, esen vanila, jus lemon dan parutan kulit lemon. Di dalam mangkuk yang berasingan, pukul putih telur sehingga kembang kemudian gaulkan dengan krim keju. Tuangkan adunan inti kek ke atas lapisan dasar dan bakar di dalam ketuhar selama 1 jam, 15 minit dengan suhu 165C. Akhir sekali cara menyediakan sos ceri: Campurkan tepung jagung dengan pitted Dark Cherries dan masak sehingga mendidih. Setelah pekat, tutup api. Masukkan mentega. Kacau dan biar sejuk. Tuang atas kek keju dan hidangkan.
KAFTA BEBOLA DAGING
BAHAN-BAHAN:
Bebola:
500gm daging cincang 1 biji bawang besar | dadu halus 2 ulas bawang putih | cincang 4 sudu makan daun parsli | cincang halus 1 sudu teh serbuk lada putih 1 sudu teh serbuk jintan halus 1 sudu besar serbuk paprika 2 sudu teh garam 2 sudu besar minyak zaitun
Kuah: 60ml minyak zaitun 1 biji bawang besar | cincang halus 3 ulas bawang putih |cincang halus 1 sudu teh serbuk jintan halus 1 sudu teh serbuk jintan kasar 1 sudu makan paprika 2 biji tomato | ramas halus 2 sudu besar daun parsli | cincang halus 2 biji telur Garam, gula dan serbuk lada putih secukupnya
CARA MEMASAK: Untuk menyediakan bebola daging. Masukkan semua bahan di dalam mangkuk, gaul rata dan bentuk menjadi bebola daging. Ketepikan. Panaskan minyak dalam kuali, goreng hingga ke perangan dan ketepikan. Untuk menyediakan kuah, panaskan minyak zaitun, tumis bawang besar dan putih hingga wangi. Masukkan jintan halus dan kasar, paprika dan buah tomato yang telah diramas. Masukkan bebola daging, daun ketumbar, parsli, garam, gula dan serbuk lada sulah. Masak lagi di atas api perlahan selama 15 minit. Kemudian pecahkan telur ke dalamnya dan masak lima minit lagi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.