
Tidak semua wanita berani hidup dalam dua dunia yang saling bertentangan. Namun bagi Marisha Friska Halauwet, batas antara profesion dan minat bukan penghalang, sebaliknya menjadi kekuatan yang membentuk dirinya hari ini.
Seorang doktor pakar bedah umum dan dalam masa sama seorang penyanyi kumpulan vokal terkenal, Marisha Friska atau Sasha membuktikan bahawa wanita mampu berjaya tanpa perlu memilih satu impian sahaja.
Sebagai profesional perubatan, Sasha merupakan seorang Doktor Pakar Bedah Am yang mendapat pendidikan dan latihan di Universitas Indonesia, salah satu institusi perubatan terkemuka di negara itu. Kerjayanya diteruskan di Eka Hospital Cibubur, Jakarta, di mana beliau berkhidmat dalam bidang pembedahan yang menuntut fokus tinggi, ketelitian dan kekuatan mental.
Dunia hospital bukan sekadar rutin, malah medan tanggungjawab besar kerana setiap keputusan melibatkan nyawa manusia. Pengalaman sebagai doktor menjadikan Sasha seorang yang berdisiplin, tenang dan cekal dalam menghadapi tekanan.


Namun di sebalik kot makmal dan jadual kerja yang padat, Sasha menyimpan satu sisi jiwa yang tidak pernah padam iaitu seni muzik. Beliau merupakan anggota kumpulan vokal Mendua, bersama dua sahabatnya Hendra Purnanto (Pungky) dan Diana Puspitasari (Diana).
Kumpulan ini mula dikenali sekitar tahun 2006 dan pernah mencipta nama di Malaysia menerusi lagu Hampir Ke Situ yang menjadi runut bunyi filem Duyung serta beberapa program hiburan popular.
Persahabatan
Apa yang menjadikan kisah Mendua istimewa bukan sekadar pencapaian seni, tetapi ikatan persahabatan yang bertahan lebih 18 tahun. Dalam tempoh yang panjang itu, mereka membawa haluan hidup berbeza.
Sasha fokus membina kerjaya sebagai doktor, Diana mengurus perniagaan sendiri, manakala Pungky terus aktif dalam dunia muzik. Hubungan mereka tidak setiap hari disulam pertemuan, namun kekal melalui sikap saling menghormati dan sokongan dari jauh.
Tahun 2025 menjadi detik penting apabila Mendua membuat keputusan untuk kembali ke pentas besar melalui Gegar Vaganza musim ke-12. Keputusan itu bukan mudah, terutama buat Sasha sendiri yang perlu membahagikan masa antara tanggungjawab hospital dan latihan vokal.
Namun semangat setia kawan dan cinta terhadap muzik menyatukan mereka semula, membuktikan bahawa minat yang tulus tidak pernah pudar walau masa berlalu.



Kemenangan Yang Bermakna
Kepulangan Mendua ke pentas nyata tidak sia-sia. Pada minggu awal pertandingan, mereka mencuri perhatian juri dan penonton dengan persembahan penuh harmoni, sekali gus meraih kedudukan teratas.
Lebih membanggakan, Mendua muncul sebagai naib juara Gegar Vaganza 12, satu kemenangan yang bukan sekadar trofi, tetapi simbol kebangkitan selepas sekian lama membawa haluan masing-masing.
Ujian Emosi Dan Ketabahan
Namun di sebalik kejayaan itu, perjalanan mereka turut diuji dengan cabaran emosi termasuk kehilangan insan tersayang dalam kalangan ahli kumpulan. Ada ketika Mendua terpaksa meneruskan persembahan dengan kekurangan anggota.
Bahkan sebagai isteri dan ibu, wanita 30-an ini terpaksa meninggalkan ahli keluarga untuk bersaing di pentas GV demi kerjayanya sebagai penyanyi profesional.



Namun Sasha kekal berdiri dengan penuh profesionalisme dan ketabahan. Pengalaman hidup, disiplin sebagai doktor dan sokongan sahabat menjadi sumber kekuatan buatnya.
Kisah Sasha adalah refleksi realiti ramai wanita hari ini. Wanita yang memikul tanggungjawab besar, menyimpan impian peribadi dan tetap berusaha seimbang antara kerjaya dan jiwa.
Daripada bilik pembedahan ke pentas nyanyian, Sasha membuktikan bahawa kejayaan tidak perlu datang dari satu jalan sahaja. Dengan disiplin, kesungguhan dan persahabatan yang tulus, wanita mampu membina hidup yang penuh makna dalam lebih daripada satu dunia.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/ibu-anak-3-mahir-baking-isteri-iskandar-ismail-sukses-jadi-pengurus-acara-di-singapura/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





