Menikmati kek coklat Mamasab dengan drizzle krim keju yang melimpah, sampai sekarang masih terasa kelazatannya. Lembut dan gebu. Tak hairanlah begitu ramai penggemar kek Mamasab sanggup repeat order. Jujur sangat sedap dan memuaskan!
“Alhamdulilah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lepas, kami dapat beroperasi seperti biasa. Malah semasa ia berkuat kuasa, tempahan yang masuk terlalu banyak. Tak menang tangan kami melayan permintaan customer.
Jualan kek juga meningkat kepada 1-2 juta sehari sehingga wujudnya istilah ‘Jutawan PKP’,” cerita CEO & Pengasas Mamasab International, Siti Noor Sabrina Soobri yang baru dinobatkan Nona Best Networking Business Award dalam Nona Superwoman Award 2020.
Tak cukup dengan bisnes kek, kini Mamasab berkembang ke bisnes kosmetik menerusi pelancaran set lipstik Mamasab dan Young & Glow. Lipstik yang didatangkan dalam pouch bag Neelofa itu tersedia dalam dua pilihan eksklusif iaitu Diva serta Primadona.
Fenomena lipstik Mamasab itu sekali lagi bergelora di jiwa para usahawan serta ejen-ejen Mamasab kerana dikatakan sangat bagus serta berbaloi dimiliki. Selain warna-warna yang cantik, ia juga setaraf lipstik antarabangsa serta menyihatkan kulit bibir. Selain itu terdapat juga pelbagai produk penjagaan wajah di bawah empayar Mamasab seperti pencuci muka dua dalam satu.
Ads
Transformasi radikal yang diperkenalkan jelas mengubah pemikiran dan norma kehidupan ramai usahawan kecil, sekaligus melahirkan jutawan-jutawan baru di bawah didikannya.
“Saya bermula dari cawangan pertama (2017) melonjak naik hingga 14 cawangan dan lima kilang operasi dalam tempoh tiga tahun dengan 40,000 ejen dan 5,000 pengedar Mamasab Warrior seluruh Malaysia.
Impian saya jelas mahu melahirkan ramai jutawan, bukan saja dalam bisnes F&B semata-mata, tapi bidang kosmetik dan sebagainya.
Ads
Kami bukan saja membuka banyak peluang pekerjaan tapi mencipta ruang untuk lebih ramai ejen menjana pendapatan hingga RM20,000-50,000 sebulan.
Sebenarnya saya bertuah kerana mempunyai tulang belakang yang kuat iaitu team saya. Dalam bisnes melibatkan network, kami perlu bijak menguruskan ahli. Dalam team Mamasab, kami ni macam sekumpulan Avengers. Semua orang ada kekuatan masing-masing.
Saya pula ibarat kapten yang menguruskan orang-orang bijak dan hebat ini. Sebab itu kalau ditanya kekuatan saya, jujur sekali ia adalah tenaga saya. Tenaga yang Mamasab ada sangat dahsyat.
Ads
Saya perlu mempunyai kekuatan dalaman tersendiri. Bila top leader dah jumpa kekuatan tu, saya mesti bantu atau coach pula team saya untuk mencari kekuatan dalaman mereka.
Gabungan tenaga-tenaga inilah yang membuatkan kami berjaya mencapai sasaran jualan RM90 juta, malah pernah diadakan Grand Award Mamasab untuk mengiktiraf kejayaan top sellers yang membanggakan.”
Mengakhiri perbualan kami, cara Mamasab berdepan kritikan jelas sangat menginspirasikan. “Kritikan paling susah dilupakan tentulah tentang produk kek dan biskut Mamasab. Faktor selera ni terkait emosi dan sangat subjektif sifatnya. Ada yang rasa sedap dan ada pula sebaliknya. Saya anggap itu semua adalah attitude.
Memang ada orang suka complaint macam semua perkara tak kena. Tapi sebagai peniaga, saya develop kekuatan diri untuk tidak melayan kritikan negatif, sebaliknya ambil sebagai cabaran untuk meningkatkan kualiti produk makanan yang dihasilkan. Itu saja.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Membina empayar perniagaan sendiri bukanlah mudah. Ia menuntut pengorbanan masa, tenaga dan ilmu dalam bidang perniagaan agar jenama yang dibina dapat bersaing serta meneruskan legasi untuk generasi akan datang.
Itulah antara cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Mas Haryati Baharudin apabila membina legasi perniagaannya yang diberi nama Fillea Health and Beauty Sdn Bhd (Fillea Health and Beauty) yang mengeluarkan produk berjenama Fillea.
Membuka bicara mengenai jenama yang diusahakan, Mas Haryati pernah melalui pelbagai fasa sebelum melangkah ke gerbang usahawan.
“Saya pernah menjadi seorang ejen insuran selama 6 tahun. Pada 3 tahun terakhir bergelar ejen insuran, saya telah berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dengan menjual pakaian wanita. Dari situ saya mendalami asam garam dunia perniagaan sebelum kewujudan perniagaan atas talian.
Anak jati Felda Raja Alias 1, Jempol Negeri Sembilan ini pernah melalui fasa kegagalan apabila perniagaan pakaian yang diusahakan tidak mendatangkan pulangan seperti yang diharapkan. Sekaligus ia telah memberi tekanan buat dirinya sehingga mengabaikan penampilan diri akibat masalah penambahan berat badan secara mendadak.
“Apabila perniagaan pakaian tidak berjaya, saya alami tekanan apatah lagi apabila melihat lambakan stok di rumah. Saya mengalami masalah tekanan sehingga melibatkan masalah penambahan berat badan yang mendadak. Dari situ bermula episod saya mula mencari “slimming product” untuk membantu saya dalam proses penurunan berat badan.
Berkat usaha saya dan suami, kami berjaya mencari satu produk yang membantu dalam penurunan berat badan tanpa memulaskan perut tetapi membantu mengawal selera makan pada peringkat awal. Maka terhasillah jenama FILLEA,” ujar Mas atau lebih mesra di sapa Massieww.
Fillea Health & Beauty merupakan syarikat pengeluar barangan kesihatan dan kecantikan. Ia menghasilkan tiga jenis produk di bawah jenama FILLEA iaitu tablet Fillea, bengkung dan girdle. Menurut Massieww, nama Fillea tercetus hasil gabungan idea suami isteri yang mencari nama produk yang bersesuaian dengan produk yang dihasilkan. Fillea Health and Beauty ditubuhkan pada tahun 2019.
“Wujudnya nama FILLEA berlandaskan segala kegagalan yang pernah saya lalui dan menjadi penguat semangat saya sehingga hari ni . Maksud sebenar FILLLEA adalah Feel The Fear (FILLEA) dan menjadi pegangan saya untuk mengatasi segala rasa ketakutan atau kegagalan yang pernah saya alami,” ujar Massieww yang kini mempunyai 13 orang kakitangan dan dalam proses membuka cawangan di Ipoh, Perak tidak lama lagi.
Mengulas mengenai produk di bawah jenama Fillea, beliau berkata, ia lebih memfokuskan kepada produk ‘supplement’ yang membantu individu mengawal berat badan sekali gus memiliki tubuh badan langsing.
Di sebalik kejayaan yang dikecapi, Massieww juga tidak terlepas dari berhadapan dugaan dalam perniagaan apatah lagi apabila terpaksa menanggung kerugian mencecah setengah juta ringgit apabila diserbu oleh pihak Kementerian kesihatan Malaysia hanya kerana satu insiden yang berlaku terhadap produknya.
“Bulan Mei 2020 merupakan sejarah hitam dalam hidup saya dimana saya mengalami kerugian sehingga setengah juta ringgit akibat daripada serbuan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Pihak KKM menerima aduan bahawa produk saya telah melanggar etika pengiklanan dan pemasaran (bahagian kotak) dan pihak KKM telah merampas semua produk saya sehingga gudang menjadi kosong.
Kejadian ini telah mengakibat tekanan emosi kepada saya, kerana ketika itu kami baru sahaja memulakan kembali perniagaan usai pandemik. Separuh daripada stok yang dirampas merupakan stok yang telah dibayar oleh reseller.
Hilang seribu kata, hanya linangan air mata sahaja yang tersisa. Saya mulai bangkit untuk“fight case” itu , tetapi malangnya kerana pandemik banyak urusan tertangguh kerana kebanyakan pejabat untuk berurusan masih tidak beroperasi sepenuhnya.
Akibatnya produk saya menghampiri tarikh luput ketika kes diselesaikan,” ujar Massieww bercerita saat kejatuhan yang menguji keyakinannya untuk meneruskan perjuangan dalam bidang perniagaan ini.
Menyentuh soal pendorong utama kejayaan penerima penganugerahan NONA Superwoman Award menerusi NONA BEST HALAL SLIMMING SUPPLEMENT AWARD meletakkan suami tersayang sebagai pendorong utama untuk dirinya dalam kerjaya dan bisnes yang diusahakan.
“Suami saya,Muhammad Faizal Mohd Zazali bertindak sebagai Pengarah Urusan Fillea. Dia banyak membantu saya dengan memberi semangat serta dorongan bukan sahaja dari segi fizikal dan mental.
Dia juga banyak mengambil alih urusan pejabat terutama dalam bahagian operasi supaya saya mempunyai banyak masa dan lebih fokus pada bahagian pemasaran dan pengambilan “reseller”. Alhamdullilah, saya dan suami bekerjasama secara professional di pejabat. Tetapi di rumah, saya merupakan seorang isteri dan ibu,” ujar Massieww lagi.
Untuk info, Fillea baharu sahaja melancarkan produk terbaharu, Hot Charming Cream yang dilancarkan pada penghujung tahun lalu. Menurut Massieww lagi, setelah melalui beberapa proses research & development terhadap produk terbaharu itu, akhirnya produk keempat Fillea telah dilancarkan baru-baru ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ujian kehidupan akan membuahkan kekuatan yang luar biasa, buat mereka yang kuat dan sabar melaluinya. Umi Sarah Binti Kamaruddin, 37 tahun, merupakan pemilik Ummi Tradisional & Spa. Pengalaman hampir 10 tahun dalam bidang urutan dan didikan ibu dalam perbidanan, beliau kini mampu tersenyum dan bersyukur dengan rezeki yang diperoleh setelah melalui pelbagai kesukaran hidup.
Setiap kali ibu tunggal ini melihat wajah empat orang anaknya, setiap kali itulah beliau menarik segala kekuatan dan semangat untuk terus berusaha mencari rezeki terbaik untuk keluarga. Umi Sarah juga memasang niat untuk membantu wanita kembali cantik, sihat luar dan dalam seperti sediakala, terutama ibu berpantang. Beliau juga akan memastikan pelanggannya supaya tidak stres, stabil dari segi emosi sewaktu berpantang sendiri, selain memastikan ibu berkerjaya dan surirumah menjaga kesihatan diri sebaiknya.
Umi Sarah mula bercerita perjalanan kisah hidupnya sehingga ke saat ini. “Saya dibesarkan dalam dunia perniagaan semenjak kecil lagi. Ibu seorang peniaga nasi lemak, kuih-muih di hadapan rumah dan mengambil tempahan dari sekolah-sekolah. Saya dididik oleh arwah mak untuk belajar serba sedikit dunia perniagaan, belajar untuk membuat pengiraan setiap jualan yang dijual dari kos belian, kos jualan dan keuntungan yang diperoleh. Jelas semangat niaga telah lama subur dalam jiwa saya.
Namun saya tidak meneruskan aktiviti niaga setelah berkhidmat sebagai penjawat awam, selama 7 tahun selepas memperoleh sijil SPM. Selepas berkahwin dan melahirkan anak sulung, saya kembali berniaga secara sambilan. Saya bermula dengan menjual t-shirt Muslimah secara online. Ketika itu Facebook masih baru, lalu saya aktif buat jualan di mudah.my dan ke pejabat-pejabat kerajaan.
Sayangnya, tidak lama selepas itu jualan pakaian semakin kurang dapat perhatian. Saya mula buat bisnes lain dengan menjual nasi lemak ayam berpandan, mi kari di hadapan rumah. Alhamdulillah, perniagaan agak laris dengan dibantu oleh bekas suami. Dalam rancak berniaga saya hamil kali kedua, saya berhenti niaga jual makanan kerana alah dengan bau ayam,” jelas Umi Sarah.
HIDUP BERUBAH
Wanita ini cekal dan jiwa niaga terus mengalir laju dalam jasadnya. “Selepas kelahiran anak kedua, saya sudah mula berurut dan mula berminat dengan teknik urutan. Saya mula mengurut dengan orang terdekat sahaja tetapi tidak lagi serius betul-betul sebab keberanian belum cukup untuk menjadikan perkhimatan ini sebagai satu perniagaan.
Saya masih cuba berniaga dengan menjual pakaian bayi. Jualan sangat laris saya mula menjual dari FB Page, FB group bayi, mudah.my dan pejabat kerajaan. Nama Aleesa Collection mula dikenali. Meskipun tanpa ilmu perniagaan formal, saya buat mengikut kehendak diri dengan menyewa sebuah kedai kerana ramai pelanggan ingin datang secara walk-in untuk memilih produk.
Premis ketika itu di Mydin Manjoi, Ipoh dengan kadar sewa yang agak tinggi iaitu RM2,000 sebulan. Saya tetap cuba berniaga dengan harapan jualan dapat menampung kos yang ada. Sewaktu itu saya masih lagi bekerja dan jadikan perniagaan bayi ini sebagai kerja sambilan. Kedai pun dijaga oleh staff. Dari perniagaan ini, saya mula mengenali Datuk Wira Dr. Azizan Osman dan cuba memasuki kursus yang dianjurkan. Sepertinya mendapat sinar baru setelah hadir seminar Dr Azizan. Saya kenal diri, saya kenal apa itu nikmat kehidupan bukan sahaja ilmu perniagaan.
Namun perniagaan saya sekali lagi jatuh kerana kegagalan saya menguruskan staf sehingga berlaku kerugian besar. Saya agak down, bukan senang untuk kembali bangun semula. Bayangkan saya juga telah mengambil cuti tanpa gaji ketika itu. Wang pula cuma tinggal RM1 dalam simpanan!” Ketika itu, suasana seperti gelap seketika buat Umi Sarah.
Namun, usahanya tidak berhenti di situ. “Saya fikir apa lagi perniagaan yang perlu saya buat. Saya selalu urut bekas suami saya dan dia kata badan betul-betul rasa ringan, lalu saya mula terfikir untuk belajar urut supaya lebih yakin untuk lakukan perkhimatan ini sebagai satu perniagaan. Selepas belajar ilmu mengurut, saya cuba mulakan perkhidmatan mengurut dengan harga serendah RM40 urutan tradisional rumah ke rumah di kawasan Ipoh. Alhamdulillah, khidmat urut saya mula mendapat perhatian pelanggan, melalui mulut ke mulut.
Saya mula bertekad untuk berhenti kerja untuk menumpukan perhatian sepernuhnya kepada perniagaan urutan ini. Saya terus bersemangat mencari ilmu dan mula hadir pelbagai kursus urutan, spa dan penjagaan pantang buat ibu mengandung anjuran Jabatan Pembangunan Wanita Perak dan pelbagai anjuran pihak swasta. Saya simpan sedikit demi sedkit untuk beli perkakas dan bahan spa.
Tapi panas tidak sampai ke petang. Saya jatuh sekali lagi, bekas suami ditipu oleh syarikat pelaburan dan bermula lagi fasa kesusahan kami sekeluarga. Saya dan keluarga berhijrah ke Klang untuk cuba mencari rezeki di negeri orang, walaupun saya tahu tidak semudah itu orang nak kenal servis urutan saya. Malah bagi mereka, umur saya ketika itu terlalu muda, bisakah urut! Saya hanya diam dan terus melakukan kerja saya mengurut sehingga selesai,” jelas Umi Sarah tenang.
“Saya mula marketing secara offline mengedar flyer rumah ke rumah dan edar ke setiap kereta bersama anak sulung saya. Saya anggap ini semua satu ujian, saya tidak salahkan sesiapa. Dugaan hidup saya ditambah dengan kegagalan rumah tangga, saya anggap jodoh saya setakat itu sahaja. Saya terima takdir ini dengan tenang dan tabah.
Saya down, sangat tertekan dan murung sehingga doktor menyatakan saya mengalami major derpression disorder. Tapi Allah itu Maha Penyayang, saya lulus mendapat premis di Arked MARA, Klang. Saya cuba sekali lagi meneruskan operasi spa, walapun agak kecil tapi saya gembira dapat meneruskan perniagaan spa dan pihak MARA membenarkan saya menyewa di bilik seminar MARA untuk terus mengadakan bengkel-bengkel urutan dan penjagaan pantang.
Setahun berlalu, saya membuat keputusan untuk kembali pulang ke kampung halaman saya di Ipoh, Perak. Alhamdulillah, kini saya masih meneruskan perniagaan spa, penjagaan pantang di lokasi Ipoh dan juga masih mendapat tawaran sebagai tenaga pengajar sambilan di sebuah akademi. Walaupun spa tidak dibenarkan beroperasi termasuk penjagaan pantang juga tidak dibenarkan dalam keadaan pandemik ini.
Saya bisa jadi wanita lebih kuat sekarang dengan pengalaman yang saya lalui selama ini. Perit dari manis saya banyak belajar untuk terus berusaha tanpa mengalah! Saya yakin rezeki Allah itu luas, cuma kita jangan jauhi diri dari Allah. Saya mula dapat idea menjual jus jamu asam kunyit, set pantang, set makanan pantang secara delivery dan juga mengadakan kelas ilmu berpantang secara online untuk meneruskan pencarian rezeki saya,” ujar Umi Sarah yang berharap suatu hari nanti dapat memiliki akademi sendiri dan berharap ilmu perbidanan tradisional Melayu lama ini dikenali di seluruh dunia.
“Saya pernah diuji kehilangan semuanya. Tanpa sokongan sesiapa ketika itu yang hanya kekuatan saya dari anak-anak saya. Melihat wajah mereka saya mendapat sinar setiap hari. Saya pernah diuji dengan sakit kemurungan, namun saya tetap bangun untuk teruskan kelangsungan hidup. Saya yakin rezeki Allah itu ada, kita kena selalu memohon padanya dan bersabar, pasti ada jawapan. Setiap dugaan perit itu Allah gantikan yang manis. Percayalah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kecantikan adalah pelengkap dan menjadi nilai tambah kepada diri seorang wanita. Sementara kebijaksanaan akan menjadikan seorang wanita itu semakin matang dalam menghadapi kehidupannya. Itulah potensi yang ada pada Datin Dr. Suffia Hany, pemilik Francsuffia Wellness Centre. Beliau punya ilmu dan kekuatan luar biasa yang tak kalah hebatnya.
“Saya menjalani perjalanan sebagai seorang doktor selama 18 tahun. Di anugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan & Surgeri daripada Universiti Malaya pada tahun 2000. Pernah berkhidmat di beberapa hospital kerajaan dan kali terakhir di Hospital Selayang, bahagian surgeri sebelum berhenti dan melibatkan diri dalam dunia perniagaan estetik.
Pada asalnya saya telah membuka sebuah Klinik Puteri pada tahun 2008 dan ditukar namanya kepada Francsuffia Wellness Centre pada tahun, 2014. Penjenamaan nama Klinik Francsuffia adalah gabungan nickname suami, Franco iaitu Dato’ Khaizul Hairey Bin Abdullah dan saya, kerana suami hadir sebagai rakan perniagaan. Beliau lebih fokus pada bahagian pentadbiran dan pengurusan.
Gabungan nama antara lelaki dan wanita ini adalah refleksi kepada objektif kami dalam rawatan yang disediakan untuk membahagiakan semua wanita, mencantikkan dan usaha menjaga keharmonian rumah tangga. Tidak ketinggalan juga buat kaum lelaki yang mementingkan penjagaan kesihatan dan penampilan diri.
Bagi saya kecantikan bukan sekadar nampak di bahagian luaran sahaja, dalaman juga amat penting untuk dititik beratkan. Dan sekarang, perkhidmatan Francsuffia yang paling mendapat sambutan hangat menerusi rawatan vagina tightening, untuk memberi keharmonian rumah tangga agar lebih erat.
Banyak wanita sekarang mengalami masalah kelonggaran disebabkan proses bersalin itu sendiri, menyebabkan otot-otot pelvic dan vagina menjadi longgar dan tiada kepuasan dalam hubungan kelamin suami isteri. Malah rawatan ini juga terbaik membantu ketika beramal ibadat agar tidak diganggu dengan keadaan terkencing secara tidak sengaja semasa batuk (urinary incontinence) atau semasa aktiviti seharian apabila tidak dapat mengawal keaadaan terkencing secara tidak sengaja yang di alami oleh sesetengah wanita”, bicara panjang Dr. Suffia yang turut menjadi penasihat dan sahabat kepada pelanggannya.
Jelas penerima anugerah Nona Best Aesthetic Award ini juga, dia bersaya bersyukur kerana perkhidmatan yang ditawarkan oleh kliniknya itu dapat membantu menjaga keharmonian rumah tangga pelanggannya.
“Alhamdulilllah, saya sangat gembira dapat membantu keharmonian rumah tangga ini dan ramai pelanggan yang hadir sangat berpuas hati sehingga ada yang tidak jadi berpisah dengan suami. Wanita jangan ego, bukan sekadar menjaga kecantikan wajah tetapi kita perlu ambil berat penjagaan dalaman dari hujung rambut hingga hujung kaki. Semua wanita mempunyai kecantikan tersendiri tetapi untuk menyerlahkan lagi kecantikan yang di mamah usia, kita perlu melaksanakan rawatan tertentu untuk memulihkan segala kemerosotan itu. Perkara ini perlu dipulihkan agar dapat memberi keyakinan diri dan seterunya akan membahagiakan orang tersayang.
Sebelum mengakhiri bualan, sedikit kata-kata nasihat Dr. Suffia buat semua wanita lain untuk berjaya. “Buat semua wanita jangan mudah putus asa dan cepat mengalah, setelah kita membuat perancangan dalam hidup. Kita mampu menjadi wanita luar biasa dengan keyakinan dan kesungguhan diri. Selain itu, kita perlulah mempunyai kekuatan jiwa yang tinggi dengan penyerapan nilai-nilai agama dalam diri agar jiwa kita sentiasa seimbang antara dunia dan akhirat. Dan kita jangan lupa, bagi mereka yang telah berkahwin, keredhaan suami adalah penting. Setinggi mana pun pangkat dan kekayaan kita perolehi, suami tetap syurga buat seorang isteri. Sokongan dan restu dari mereka adalah sebagai pendorong untuk memperoleh kejayaan”.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.