
Terbeliak mata tengok nilai mata wang terkini Turkish Lira. Memang jatuh merudum.. bayangkan, 1 Lira bersamaan hanya kira-kira 63 sen duit Malaysia. Dan jika ditukar kepada Dolar Amerika, 1 Lira cuma bernilai 15 sen! Patutlah pelancong yang berada di Turki waktu ini shopping sakan. Bukan sebarangan kedai pula tu, rata-rata butik jenama mewah seperti Chanel dan Louis Vuitton diserbu penggemar fesyen dan sanggup beratur panjang. Pasti mereka yang kaki shopping tu tak senang duduk bila tahu berita ini, kan?
Khabarnya, krisis mata wang Lira bermula sejak Jumaat lepas. “Kami membeli pakaian, alat solek dan produk jenama mewah. Semua jadi murah!” ujar Fatima Ali dari Kuwait yang datang bersama dua anak perempuannya serta sebuah beg besar untuk mengisi barang pembelian. Semuanya ekoran nilai Lira yang menyusut lebih daripada 40 peratus berbanding Dolar Amerika tahun ini.


Memetik laporan Astro Awani lagi, hal ini terjadi kerana dipengaruhi Presiden Tayyip Erdogan dalam menguruskan ekonomi negaranya yang kini terkesan akibat hubungan tidak sehaluan dengan Amerika Syarikat. Erdogan bagaimana pun menyeru rakyatnya supaya melayani para pelancong sebaik-baiknya yang membawa masuk Dolar ke dalam negara itu pada waktu kritikal.

“Teruskan layanan anda kepada mereka (pelancong dan pembeli). Kerana pada masa ini, ketika sesetengah orang membawa keluar Dolar ada yang memberikannya kepada anda,” kata Erdogan kepada penyokongnya hujung minggu lalu.
Sumber: Astro Awani
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lepas Isteri Perdana Menteri Kanada, Isteri PM Sepanyol Pula Positif COVID-19!

Selang beberapa hari selepas berita isteri Perdana Menteri Kanada iaitu Sophie Trudeau disahkan positif coronavirus, hari ini seorang lagi isteri pemimpin dunia dilaporkan dijangkiti virus sama. Kali ini melibatkan isteri Perdana Menteri Sepanyol, Begona Gomez.
Media antarabangsa melaporkan Begona disahkan positif selepas melakukan ujian saringan Covid-19. Bagaimanapun, kerajaan Sepanyol mengesahkan beliau kini berada dalam keadaan baik. Khabar itu dilaporkan tidak lama selepas suaminya, Pedro Sanchez mengadakan sidang media harian mengenai Covid-19 di sebuah televisyen nasional berhubung tindakan yang perlu dilakukan sepanjang tempoh dua minggu kuarantin bagi membendung penularan berkenaan.



Selain Begona, dua lagi pegawai kerajaan Sepanyol turut diuji positif Covid-19. Jumlah jangkitan wabak berbahaya ini juga dilaporkan meningkat ketara dengan lebih 5,700 kes di Sepanyol dan separuh daripadanya disahkan di ibu kota Madrid.
Ini sekali gus menyaksikan peningkatan nasional lebih 1,500 kes dalam masa 24 jam dan menjadikan Sepanyol negara kelima bilangan kes paling banyak dijangkiti Covid-19 dengan mencatatkan 136 kematian berbanding 120 sebelum itu.

Rentetan jangkitan Covid-19 merebak cepat di Sepanyol, kerajaan mengarah sekolah, universiti, hotel dan pusat perniagaan ditutup bermula semalam. Rakyat di sana juga hanya dibenarkan keluar rumah untuk membeli keperluan makanan dan perubatan.
Sementara itu, isteri Perdana Menteri Kanada… Sofie Trudeau yang sudah 14 tahun mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Justin Trudeau serta mempunyai tiga orang anak kini sedang menjalani rawatan dan kuarantin.




Selain isteri pemimpin dunia… beberapa menteri, atlet dan golongan artis di seluruh dunia juga tidak terlepas dengan ancaman virus pandemik ini. Antara mereka yang dilaporkan positif Covid-19 ialah pasangan selebriti Hollywood, Tom Hanks dan isteri serta terbaru, Menteri Perhubungan (Pengangkutan) Indonesia iaitu Budi Karya Sumadi yang kini mendapatkan rawatan di Rumah Sakit Pusat Angkatan Tentera Darat Gatot Soebroto di Jakarta.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kempen Amal Kerjasama YAYASAN NURJIWA & Alpha IVF Bantu Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik

Pusat IVF terbesar di rantau ini, Alpha IVF & Pakar Wanita (Alpha IVF) baru-baru ini telah melancarkan kempen amal menerusi Yayasan Nurjiwa.
Kempen yang dinamakan sebagai Perfect 10, Perfect Love ini dilancarkan bersempena ulang tahun Alpha IVF yang ke-10 dan perjalanan kejayaan mereka dalam menyediakan rawatan kesuburan buat pasangan yang menghadapi kesukaran dalam memiliki zuriat.
Turut serta adalah pengasas Yayasan Nurjiwa iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Kempen ini juga merupakan satu inisiatif untuk menggerakkan komuniti bagi membantu kanak-kanak yang kurang berkemampuan menerusi derma kewangan. Maka, orang ramai diseru untuk menyertai kempen ini dalam usaha mencapai sasaran bagi mengumpul wang berjumlah RM500 ribu.
Teknik seperti Intra-Uterine Insemination (IUI) atau In-Vitro Fertilisation (IVF) sememangnya tidak asing lagi bagi kita khususnya bagi pasangan yang berusaha untuk mendapatkan zuriat. Pasukan pakar Alpha IVF berjaya mengaplikasi teknik-teknik ini dalam merealisasikan impian pasangan yang menanti kehadiran zuriat dalam hidup mereka.
Walau bagaimanapun, tidak semua kanak-kanak bernasib baik dan dilahirkan dalam keluarga yang penyayang dan supportive. Ramai sebenarnya yang mengimpikan untuk memiliki kehidupan keluarga bahagia.
Terdapat banyak kes yang mana kanak-kanak dilahirkan tidak sebagai anak yatim sebaliknya dalam keadaan serba kekurangan dan tiada pilihan. Lebih malang lagi ada yang dihantar ke institusi kebajikan seperti rumah anak-anak yatim. Berdasarkan statistik, kira-kira 64 ribu kanak-kanak di Malaysia yang tinggal di institusi tersebut disebabkan faktor kemiskinan, kurang upaya, cacat mental, masalah sosial, perubatan, kesihatan dan sebagainya.
Namun, tinggal di tempat sedemikian bukanlah penyelesaian terbaik kerana mereka mungkin tiadak berpeluang menikmati usia muda seperti kanak-kanak lain. Kesannya mereka mungkin menghadapi masalah sosial, emosi dan psikologi ketika membesar. Maka pentingnya sumbangan ini bagi menyediakan bantuan pendidikan, penyelidikan serta kewangan.


“Sewajarnya, kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini berhak mendapat perhatian dan bantuan apatah lagi dalam keadaan sukar menghadapi pandemik COVID-19,” ungkap Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Menurut Pengarah Urusan Alpha IVF, Dato’ Dr Colin Lee, bersempena ulang tahun Alpha IVF ke-10 mereka amat komited untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik dengan memberikan sokongan emosi dan kasih sayang. Bagi beliau setiap kanak-kanak berhak untuk merasainya.
Sumbangan akan disalurkan ke Yayasan Nurjiwa sekaligus penderma mendapat pengecualian cukai. Sumbangan akan diserahkan kepada OrphanCare sebagai wakil yang menguruskan dan mengagihkanya kepada kanak-kanak serta keluarga yang terlibat.
OrphanCare merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Antara misinya ialah melaksanakan proses deinstitutionalisation seterusnya membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik menerima akses pendidikan, penjagaan kesihatan yang berkualiti, sokongan serta perlindungan daripada komuniti.
Sumbangan boleh disalurkan dalam bentuk tunai atau cek selewat-lewatnya pada 30 Jun 2021 ke akaun YAYASAN NURJIWA (Maybank 5144 8610 6455). Kemudian emailkan slip bayaran ke yayasannurjiwa2021@gmail.com
Kempen Perfect 10, Perfect Love ini turut menerima sokongan padu daripada syarikat perubatan terkemuka seperti Cryocord, Merck Sdn Bhd dan EP Plus Group Sdn Bhd.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kelahiran Semula Kaum Nabi Luth, Kes Bapa Liwat Anak 626 Kali Bukti Salah Seorang Daripadanya

Satu demi satu jenayah seksual melibatkan hubungan sejenis dan liwat dilaporkan saban hari. Dan di antara yang paling tular mengejutkan rakyat Malaysia adalah kes penderaan seksual seorang bapa terhadap anak daranya sendiri yang kini berumur 15 tahun.
Naluri seorang ibu, Nona sendiri cukup terkesan dengan laporan kes keji ini. Heboh diperkatakan, suspek telah didakwa dengan 626 pertuduhan termasuk 600 kali meliwat, merogol dan melakukan perbuatan seksual fizikal ke atas anak kandungnya hari ini.
Kegilaan bapa itu memang di luar jangkauan fikiran, apabila dia tergamak melakukan perbuatan keji tersebut hampir setiap hari di bulan Ramadan termasuk pada 1 Syawal. Lelaki durjana tersebut turut dilaporkan meliwat anaknya tiga kali sehari bermula Januari lalu.

Apakah manusia semakin hilang pertimbangan dan perikemanusiaannya? Tidakkah kita belajar dari sejarah kaum Nabi Luth dan azab bencana yang Allah turunkan kepada mereka?
Kaum Nabi Luth Lahir Semula?
Kes hubungan songsang, perkahwinan sejenis dan LGBT kini merupakan fenomena sosial yang amat menakutkan. Barangkali sudah ramai yang lupa kisah kaum Nabi Lut ini? Ayuh ulang kaji malam ini.
Luth bin Haran bin Tarah (Azar) adalah anak saudara Nabi Ibrahim. Luth adalah antara orang beriman yang mengikut Nabi Ibrahim berpindah dari Babylon ke Palestin dan Mesir. Kemudian Nabi Luth mendiami kota Sadum (Sodom) di wilayah Jordan.
Namun, penduduk kota itu berakhlak keji, malah mereka derhaka dan kufur dengan nikmat Tuhan. Kegiatan merompak barangan yang dibawa kafilah dan mengunjungi pusat maksiat menjadi darah daging mereka. Lebih menjijikkan mereka mengamalkan liwat (homoseks).
Nabi Luth menasihati kaumnya supaya meninggalkan perkara maksiat, sebaliknya beriman kepada Allah dan mengingatkan mereka mengenai azab yang bakal diturunkan jika terus bergelumang dengan perbuatan keji itu.

Kaumnya tidak pedulikan nasihat itu, Malah berani memberi amaran kepada Nabi Luth: “Jika kamu tidak berhenti memperlekehkan kami, kami akan mengusirmu dari negeri ini.” Luth berkata: “Sesungguhnya aku mengingkari dan benci perbuatan yang kamu lakukan.”
Seterusnya mereka mencabar Nabi Luth dengan berkata: “Jika benar dengan azab yang kamu ancam ke atas kami, segerakanlah dan datangkan ia kepada kami.”
Mendengar perkataan mereka, Nabi Luth berdoa kepada Allah. Dalam Al-Quran dijelaskan, maksudnya: “Luth berdoa, wahai Tuhanku, tolonglah aku dengan menimpakan azab ke atas kaum yang melakukan kebinasaan itu.” Doa Nabi Luth diterima Allah, lalu diutuskan-Nya beberapa malaikat untuk menurunkan azab ke atas kaumnya.
Sebelum itu, malaikat berkenaan mengunjungi Nabi Ibrahim dan memberitahu tujuan kedatangan mereka. Nabi Ibrahim berkata: “Ya Allah, di dalam negeri itu ada Luth dan bagaimana dengan beliau jika negeri itu dimusnahkan?”
Perkara ini dapat diperhatikan melalui al-Quran, maksudnya: “Berkata Ibrahim; sesungguhnya di kota itu ada Luth. Malaikat berkata: “Kami lebih mengetahui siapa yang ada di kota itu. Kami akan menyelamatkan dia dan pengikutnya, melainkan isterinya, dia termasuk orang yang tertinggal, dibinasakan.”
Setelah mengunjungi Nabi Ibrahim, tidak berapa lama selepas itu malaikat dengan menyamar sebagai lelaki yang tampan pergi ke Sadum. Sampai di Sadum, mereka berjumpa dengan anak perempuan Luth.
“Wahai saudari, sudikah saudari menerima kami sebagai tetamu keluargamu?” ujar salah seorang daripada tiga malaikat yang menjelma sebagai pemuda tampan bertubuh sasa itu.
Si gadis yang sedari tadi begitu leka mencedok air dari perigi itu terkejut. Hampir sahaja timba yang sedang dipegangnya lucut ke dalam perigi. Wajahnya menjadi pucat. Lidahnya serta-merta kelu.
Dia tidak dapat berkata apa-apa. Hatinya tiba-tiba diserang bimbang. Kebimbangan yang bukan disebabkan oleh kehadiran pemuda-pemuda kacak di hadapannya itu. Tetapi kerana dia telah dapat mengagak apa yang bakal berlaku sekiranya mereka diterima bertamu di rumahnya.
Anak gadis Nabi Luth itu cukup arif dengan amalan buruk warga Sadum yang pantang melihat lelaki muda, berwajah tampan dan bertubuh sasa.
Demi mendengar kedatangan tiga tetamu muda remaja itu, Nabi Luth mula gusar dan berasa tidak tenteram. “Ini adalah hari yang amat sulit bagiku,” kata Nabi Luth.
Nabi Luth yang pada mulanya tidak mengetahui tetamu itu adalah malaikat berasa cemas kerana bimbang mereka yang berwajah lelaki begitu tampan itu menjadi mangsa kaumnya yang bernafsu gila iaitu homoseksual.
Kepada isteri dan puteri-puterinya dipesan agar perkara itu dirahsiakan, jangan sampai tersebar kepada orang ramai. Kelak mengundang bahaya yang besar.
Malangnya, si isteri tidak mampu berlaku setia. Dihebahnya berita perihal tetamu-tetamu mereka kepada kaumnya. Berita kedatangan tetamu (malaikat) itu diketahui kaumnya, lalu ramai kalangan mereka pergi ke rumah Nabi Luth, semata-mata untuk melakukan perbuatan terkutuk itu dengan tetamu Nabi Luth.
Apabila kaumnya berkumpul di pekarangan rumahnya, Nabi Luth cuba menghalang mereka daripada melakukan perbuatan terkutuk itu dengan menawarkan anak perempuannya untuk diperisterikan, supaya tetamunya itu tidak diusik.
Kaum Luth langsung tidak mengendahkan larangannya, malah berkata: “Sesungguhnya kamu tahu kami tidak mempunyai selera sedikit pun terhadap anak perempuan kamu. Sesungguhnya tidak ragu-ragu lagi, kamu tahu apa yang kami inginkan.”
Seketika keadaan di pekarangan rumah Nabi Luth kacau-bilau. Nabi Luth gagal mententeramkan kaumnya yang dahagakan hubungan sejenis daripada tetamunya itu. Tanpa berlengah malaikat yang menyamar sebagai tetamu itu terus membutakan mata mereka.
Perkara ini diceritakan Al-Quran: “Dan sesungguhnya mereka telah memujuknya (agar menyerahkan) tetamunya (kepada mereka), lalu Kami butakan mata mereka, maka rasakanlah azab-Ku dan ancaman-Ku.”
Selepas itu tetamu berkenaan memperkenalkan diri kepada Nabi Luth mereka sebenarnya malaikat. Kedatangan mereka semata-mata untuk menghancurkan kaum Luth. Ketika itu juga Luth diminta membawa bersama ahli keluarganya keluar dari negeri berkenaan pada waktu malam.


Al-Quran memperjelaskan: “Utusan malaikat berkata; wahai Luth, sesungguhnya kami adalah utusan Tuhanmu. Sekali-kali mereka tidak dapat mengganggu kamu. Oleh itu, pergilah dengan membawa keluarga dan pengikut kamu pada lewat malam.
Dan janganlah ada seorang pun antara kamu yang tertinggal, melainkan isterimu. Sesungguhnya dia akan ditimpa azab kerana saat jatuhnya azab ke atas mereka adalah pada waktu Subuh. Bukankah Subuh itu sudah dekat?” Kaum Luth ditelan bumi
Kemudian azab yang ditunggu kaum Luth menimpa mereka. Kehancuran mereka pada waktu Subuh dalam keadaan sungguh dahsyat kerana bumi negeri itu diterbalikkan.
Mereka turut ditimpa batu daripada tanah keras dan terbakar. Al-Quran menyebut azab yang menimpa mereka: “Maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang keras.” Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


