‘Memasak Terapi Terbaik Rawat Tekanan’ – Datin Shena Mohd

686

Keperibadian yang dimiliki figura Tetamu VIP kali ini cukup mempesona. Sekali imbas, raut wajah pemilik nama, Datin Shena Mohd persis personaliti televisyen popular yang kini bergelar perunding imej dan kecantikan, Datin Sharifah Shawati Syed Mohd.

Dilahirkan pada 1 Februari di Johor Bahru, anak kedua daripada enam beradik ini dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Biarpun ibu dan bapa Datin Shena berkemampuan untuk menghidangkan mereka adik-beradik dengan kesenangan namun realitinya berbeza sama sekali. Tiada istilah mewah dalam mendidik anak-anak sebaliknya mereka diajar untuk memiliki sesuatu dengan usaha sendiri.

RAHSIA KEBAHAGIAAN

Bakal melangkah usia perkahwinan pertamanya pada 31 Disember ini, tiada ungkapan yang mampu diluahkan Datin Shena selain bersyukur kerana dikurniakan suami yang cukup memahami. Biarpun belum mempunyai rezeki untuk menimang cahaya mata namun ia bukan penghalang buat pasangan suami isteri ini terus mengecap nikmat berumah tangga.

Perkahwinan mana yang tidak dilanda badai. Sedangkan pasangan suami isteri yang sudah puluhan tahun pun sering berselisih faham inikan pula mereka yang baru mengenal erti rumah tangga. Tidak gentar untuk menempuh segala kesulitan hidup bersama insan tersayang, Datin Shena percaya ada cara untuk kembali menghangatkan perhubungan.

“Dalam hidup, jangan terlalu serius. Lebih-lebih lagi suami isteri kerana perkahwinan bukan hanya dalam sehari dua tapi seumur hidup. Banyakkan bergurau bersama pasangan, berkomunikasi jika ada selisihan faham, berkongsi suka duka, bertolak ansur dan paling penting, sabar.

Tidak kiralah sesibuk mana pun tugas di pejabat, saya akan pastikan ada masa berkualiti untuk bersama suami. Bila sampai di rumah, urusan dan kerja pejabat letak tepi. Segala gangguan di tempat kerja tak sepatutnya terbawa-bawa sampai ke rumah. Takut nanti jejaskan hubungan dengan suami pula.

Alhamdulillah, suami banyak membantu dalam hal-hal berkaitan kerja mahupun urusan rumah. Bila dia nampak saya murung dan tertekan dengan bebanan kerja atau sebagainya, suami akan sentiasa ada di sisi dan cuba tenangkan keadaan. Macam seorang super hero yang selalu datang selamatkan orang.

Itulah sikap suami yang buatkan saya tertarik kepadanya. Pendek kata, dia tahu cara untuk sejukkan hati saya dan amat menjaga hubungannya bersama keluarganya. Apa yang boleh saya katakan, suami adalah seorang yang penyayang dan tak berkira baik dari segi masa dan wang ringgit.”

HOBI

Ditanya apa aktiviti lain yang sering kali dilakukan pada waktu senggang, bekas penuntut Ijazah Pengajian Perniagaan ini mengakui ada cara tersendiri untuk menghargai diri. Salah satunya adalah dengan memasak.

“Betul, saya suka memasak dan suka menjamu tetamu yang datang ke rumah dengan air tangan saya sendiri. Selain memasak, saya juga suka membaca. Tak kira apa jenis buku sekalipun termasuk novel atau majalah fesyen.

Bagi saya, memasak dan membaca adalah terapi terbaik untuk merawat tekanan. Rasa lega bila masakan kita orang suka dan minda rasa tenang dengan membaca. Dalam sehari, saya boleh baca dua hingga tiga buah buku. Di samping menenangkan minda, membaca juga dapat tambahkan pengetahuan saya tentang sesuatu perkara,” ungkap Datin Shena yang gemar menonton drama bersiri Game of Thrones kebelakangan ini.

Disebabkan minatnya terhadap dunia kulinari begitu mendalam dan memiliki latar belakang pendidikan perniagaan, Datin Shena pantas merebut peluang untuk membina empayar niaga sendiri. Berbekalkan usaha gigih dan sokongan padu daripada suami, dia kini memiliki beberapa rangkaian restoran di sekitar Lembah Klang.

Sebelum mengakhiri perbualan petang itu, Datin Shena sempat berkongsi kunci kejayaan yang digenggamnya selama ini.  “Jangan pernah berputus asa. Jika menginginkan sesuatu pastikan anda bekerja keras untuk mendapatkannya. Ada masa, apa yang dirancang tak seperti yang diharapkan tetapi jangan mengalah. Buat selagi anda mampu dan inshaallah dengan berkat doa dan keikhlasan, pekerjaan yang dilakukan akan berkat dan berjaya satu hari nanti.”