Nurheliza Helmi, bekas peserta program realiti Akademi Fantasia ini bukan hanya aktif dalam bidang nyanyian berbentuk keagamaan, bahkan namanya juga kini cukup sinonim dengan bermacam-macam aktiviti kebajikan. Pernah menyertai misi kemanusiaan ke luar negara seperti Syira dan Palestin, selebriti berusia 32 tahun ini juga sebenarnya tidak lupa untuk membantu kanak-kanak dan golongan yang memerlukan di dalam negara. Satu usaha murni yang patut diteladani rakan artis dan masyarakat.
Tidak sekadar menyumbang tenaga dan melawat golongan terlibat, Heliza turut menggunakan platform perniagaan tudungnya Heliza Guzelhive sebagai ‘jambatan’ untuk merealisasikan usaha itu. Sebahagian hasil jualan label hijab eksklusif berkenaan akan diagihkan untuk membantu pesakit jantung kronik menerusi Yayasan My Prihatin.
Ads
Kongsinya, “Teringat Kak Ja pernah pergi kursus dulu, ustaz ada share, kalau nak buat bisnes, rancangkan bisnes itu autopilot untuk infaq. Moga apa kita buat dapat keberkatan, Allah reda. Selain dari sedekah yang kita semua bagi, jalankan bisnes juga boleh sedekah secara automatik dan pembeli juga bersedekah bersama. BESTKAN!
Tudung HelizaGuzelhive adalah untuk mengumpul dana bagi membantu pesakit jantung kronik kanak-kanak di Institut Jantung Negara (IJN) dengan kerjasama Yayasan My Prihatin. Setiap pembelian tudung oleh HG Lovers akan ada bahagian disalurkan ke Tabung Myheart. HG Lovers juga boleh menderma secara terus ke Tabung Myheart ini menerusi akaun MAYBANK – YAYASAN MYPRIHATIN 5648 0164 8485.
Ads
Ads
Ataupun menerusi website http://www.myprihatin.org.my/derma.html. InsyaAllah dalam masa terdekat ini Kak Ja akan melawat pesakit jantung kanak-kanak di IJN bagi menyampaikan sumbangan serta berinteraksi dengan pesakit dan keluarga mereka.
Nantikan update daripada Kak Ja dan teruskan menyumbang. Jazakumullahu khairan kathira.”
Tersentuh dengan niat Heliza yang tidak mencari keuntungan semata-mata sebaliknya turut mengejar keredaan Allah SWT. Bagi yang ingin menderma dan menggayakan hijab Heliza Guzelhive, terdapat 4 koleksi menarik yang ditawarkan iaitu Si Manis Raya Collection, Stella Shawl Collection, Lubna Shawl Collection dan Lubna Bawal Collection. Yang penting, koleksi hijab ini menepati piawaian syariah dan selesa digayakan.
Sumber: Instagram Nurheliza Helmi
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ogos lalu, isteri kepada pelawak terkenal Achey Bocey mendedahkan kepada umum pengalaman pertamanya menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF) pada 6 Ogos 2022 di sebuah pusat perubatan sekitar Johor. Lebih bermakna lagi, perkongsian itu juga sebagai ‘hadiah terindah’ buat Achey sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-36.
Nur Hassanah Yahya atau panggilan mesranya Anne, teruja berkongsi ‘perjalanan’ pertamanya itu dalam usaha mendapatkan zuriat setelah 11 tahun usia perkahwinan.
Untuk info, Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah mendirikan rumah tangga dengan Anne pada 2011. Mereka memiliki seorang anak angkat perempuan, Nur Tiara Zinnirah yang kini berusia empat tahun.
Memetik kata-kata indah Anne di Instagramnya:-
“Happy birthday sayang, tahun ini hadiah terindah saya bagi dekat awak. Semoga Allah permudahkan urusan kita dunia akhirat. Terima kasih menjaga saya dari dulu hingga sekarang. 11 tahun penantian kita, InsyaAllah kita usaha, Allah yang tentukan.”
Terbaharu, Achey berkongsi perkembangan ‘perjalanan’ rawatan IVF isterinya itu di Instagram.
Menerusi perkongsian video ringkas itu, Achey berkata kini isterinya sedang melalui fasa penting dalam rawatan IVF iaitu memasukkan embrio matang ke dalam sistem peranakan.
“Bismillah bermula dari Ogos dan kini, proses penting telah tiba…memasukkan embrio matang ke tubuh ibunya.
“Mudah-mudahan berjaya, doakan proses ini berjalan dengan lancar.
“Tak mudah proses ini, positif kita jalani, positif la kita dapat.
“Usaha sebaik yang boleh, Allah juga yang menentukan berjaya atau tidak, doakan kami terus kuat.”
Achey turut meminta para peminat dan pengikutnya mendoakan agar isterinya diberi kekuatan memandangkan kini bermulanya fasa penting dalam rawatan IVF.
Menjengah ke ruangan komen, rakan-rakan artis seperti Datuk Fizz Fairuz, Datin Suliza Salam, Izzue Islam dan Ezzaty Abdullah turut menitipkan doa buat pasangan ini agar proses tersebut berjalan lancar serta dipermudahkan.
Kredit Foto: Instagram Achey & Anne
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan mudah untuk bangkit dari kesakitan apalagi bila ia adalah barah payudara. Tetapi kesungguhan Dr Siti Zubaidah untuk kembali sihat sangat memberi inspirasi. Malah, dia kini begitu aktif mengendalikan klinik estetik sendiri, Cosmoglam Clinic yang terletak di Cheras. Kisahnya dikongsikan bersama majalah Nona.
“Saya berada di Moscow untuk sambung pengajian. Ketika sedang mandi, saya perasan ada ketulan di bahagian puting menyebabkan saya terus terfikir untuk lakukan pemeriksaan.
Sebagai seorang pelajar perubatan, pensyarah adalah tempat untuk kami membuat pemeriksaan dan nyata, selepas scan, pensyarah saya mencadangkan untuk membuat biopsi kerana ia nampak seperti sedang merebak.
Saya terus hubungi keluarga di Malaysia dan petang itu juga saya dipaksa pulang ke tanahair. Kebimbangan kedua ibu bapa saya membuatkan otak ini ligat berfikir. Entahlah, macam-macam bermain di fikiran. Di Malaysia, temujanji sudah pun ditetapkan di salah sebuah hospital swasta. Pembedahan membuang ketulan terus dilakukan sebanyak dua kali,”ujar Dr. Siti.
Semuanya berlaku terlalu cepat. Kehadiran ketulan sebesar 3×4 sentimeter itu tidak langsung memberikan rasa sakit. Benarlah, setiap perubahan yang berlaku pada tubuh tidak hanya datang dengan kesakitan, kerana yang sakit itu adakalanya tidak membimbangkan.
“Pembedahan kali kedua dilakukan untuk membuang ketulan yang sudah merebak ke bahagian bawah lengan dan payudara. Sebaik selesai, saya menjadi sangat lemah dan sakit.
Ketika itu bohonglah jika saya tak terfikirkan soal kematian. Tidak cukup dengan pembedahan, saya juga melalui radioterapi. Ya Allah, lembik sungguh badan selepas itu sehingga ayah terpaksa mengangkat saya. 42 saat radioterapi terasa seperti 42 minit!
Saya teringat kembali ketika doktor beritahu pada saya dan ibu bapa mengenai kanser ini, ayah saya terduduk di hadapan pintu lif. Ibu pula menangis sehingga saya memaksa diri menjadi kuat untuk mereka.
Saya hanya minta kekuatan ibu dan ayah untuk saya bangkit dari perasaan takut dan sedih. Saya mohon agar mereka menyembunyikan rasa sedih di hadapan saya kerana sokongan keluarga adalah kekuatan untuk mana-mana pesakit kanser untuk pulih, atau sekurang-kurangnya untuk menikmati kehidupan yang bersisa,” katanya.
SURVIVOR
Enam tahun menyimpan kisah penyakit dihadapi, baru kini Dr. Siti terbuka hati untuk berkongsi kisahnya pada dunia. Menurut Dr. Siti, ini adalah kali pertama dia menceritakan secara terbuka hal kanser ini kepada umum bersama Nona.
“Selepas lima tahun, saya dikategorikan sebagai survivor. Alhamdulillah saya bebas kanser. Terdapat juga kes di mana kanser datang kembali dan saya sentiasa berdoa agar ia tidak terjadi kepada saya.
Kawan-kawan langsung tak tahu apa yang berlaku, begitu juga saudara-mara. Kali ini saya memilih untuk bersama kumpulan sokongan di Breast Cancer Foundation (BCF) dan berkongsi kisah kehidupan saya.
Saya sungguh tergamam apabila melihat pesakit kanser ini lebih positif daripada saya. Sungguhpun derita yang mereka hadapi lebih teruk, tetapi sikap positif mereka begitu tinggi. Saya sungguh terharu melihat seorang wanita yang botak masih melakukan yoga dan tersenyum dengan senyuman yang amat manis,” hampir menitis air matanya kala mengenangkan kembali nasib yang menimpa pesakit kanser yang ditemui,” ujarnya.
Sesungguhnya, kanser mengubah seseorang dan seluruh keluarga di sekeliling. Sewaktu dalam pengajian dulu dia meletakkan matlamat untuk mendapat senarai dekan dalam setiap peperiksaan tetapi disebabkan apa yang berlaku, dia lebih tenang dan berusaha sekadarnya sahaja.
“Selepas pembedahan, saya sambung pengajian yang tertangguh walaupun dihalang oleh keluarga. Mereka meminta saya sambung pengajian di sini sahaja untuk memudahkan mereka menjaga saya. Tiket penerbangan balik pun saya terpaksa beli sendiri kerana ibu dan ayah langsung boikot, tak mahu saya ke sana.
Tetapi saya ada matlamat. Seandainya saya berada di sini, tak buat apa-apa dan ditakdirkan saya sihat, kan dah rugi kerana tak dapat ijazah kedoktoran. Itu kata-kata saya pada ayah.
Akhirnya, saya berjaya di Moscow. Saya rendahkan aim supaya tidak rasa stres kerana stres dan pemakanan yang tak terkawal membuatkan saya mendapat kanser. Itu hakikat! Saya kembali ke Malaysia dengan cita-cita untuk membuka klinik aestetik dan Alhamdulillah Cosmoglam Clinic, sebuah klinik aestetik yang saya usahakan kini bertapak di Cheras,” katanya.
Sudah lama tidak melihat kelibat Arni Nazira menghadiri majlis-majlis hiburan. Namun, perkembangan terkininya masih dapat dilihat di Instagram peribadi Arni yang aktif di media sosial. Masih cantik, anggun dan langsing pada usia 40an. Aura pelantun lagu Cinta Antara Benua ini masih kuat.
Melayari rumahtangga bahagia bersama suami tersayang, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar pada tahun 2009, Arni memberikan sepenuh perhatian terhadap rumahtangga apatah lagi selepas memperolehi zuriat. Hasil perkahwinan Arni dan Wan Mohd Hazrie, mereka dikurniakan 3 cahaya mata Manakala melalui perkahwinan terdahulu, Arni mempunyai dua anak iaitu Puteri Aleeya Antasha dan Puteri Aleefa Antasha.
Sedar tak sedar dah bergelar anak dara puteri-puteri Arni Nazira ni. Macam kembar pun ada. Semakin cantik dan ayu persis ibu mereka ketika muda. Terpesona dan tak jemu mata memandang!
Sebagai ibu, Arni tetap melayani anak-anak sama rata dan sentiasa berusaha menjadi ibu yang terbaik. Arni turut mendedahkan, kedua-dua puterinya itu memiliki karakter yang berbeza. Namun begitu, perbezaan itulah yang membuatkan mereka lebih rapat dan saling melengkapi.
“Memandangkan Puteri Aleeya anak yang sulung maka kami menggelarnya Kakak. Dia seorang yang lembut, kakak yang penyayang dan sangat menjaga adik-adiknya. Memang terserlah karakter ‘anak sulung’ dalam dirinya. Puteri Aleeya juga rajin mengambil tahu tentang adik adiknya yang lain. Disebabkan itulah dirinya menjadi lebih matang, bertanggungjawab dan berdikari.
“Manakala Puteri Aleefa pula karakternya sedikit ‘kasar’ berbanding kakaknya. Namun begitu, dia juga seorang yang sangat penyayang dengan adik-adiknya. Saya bersyukur kerana Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa mudah mendengar kata dan berfikiran matang.”
Sebagai ibu, pastinya Arni mengharapkan anak-anaknya diberikan jodoh yang terbaik dalam melayari rumahtangga. Arni juga mendoakan kebahagiaan untuk anak-anaknya dalam apa jua bidang yang diceburi.
”InsyaAllah sebagai ibu, Kak Arni inginkan perkahwinan mereka perkahwinan yang sempurna, majlis yang meriah. Itulah doa saya sebagai seorang ibu, InsyaAllah. Saya serahkan pada anak-anak. Yang mana mereka rasakan baik dan sesuai dengan mereka, dan pada saya yang boleh bimbing mereka, baik, hormat orang tua, pandai ambil hati orang tua, pandai jaga anak-anak saya, InsyaAllah..Itu doa saya.”
Arni atau nama sebenarnya, Arni Nazira Anuar kini bahagia bersama kehidupannya sebagai suri rumahtangga sepenuh masa. Menurutnya, dia sangat bahagia dan selesa dengan rutin hariannya sebagai isteri dan ibu. Walaupun sibuk menguruskan rumahtangga, Arni tetap mengutamakan soal penampilan diri kerana ia merupakan perkara yang penting untuk kesihatan luaran dan dalaman buat dirinya.
“Saya tidak mempunyai apa-apa rahsia atau petua awet muda. Cuma saya kerap minum air masak, makan vitamin dan suka makan ulam-ulaman. serta bersenam untuk kekalkan berat badan ideal. Selain itu, saya memberi perhatian khusus untuk rawatan kulit wajah. Saya juga turut berkongsi tip penjagaan wajah dengan dua anak gadis yang sedang meniti usia dewasa.
Kesimpulannya, tiada sebarang petua yang khusus cuma pesanan saya pada mereka ialah sentiasa menjaga kulit, lebih-lebih lagi di usia remaja sekarang. Kulit akan mudah bermasalah kalau tak jaga dengan betul.”
Harapan Arni buat Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa agar mereka sentiasa menjaga diri dan yang paling penting menjaga solat.
“Kalau bertemu atau sekadar berbual dalam telefon itulah pesanan utama saya buat mereka setiap hari. Kami akan video call atau bermesej di WhatsApp. Saya mendoakan mereka menjadi anak-anak yang solehah, berakhlak mulia, kental jiwanya dan tidak mudah tersasar dari landasan hidup yang sebenar, Insya-Allah. Saya mahu yang terbaik buat anak-anak, bukan saja Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa bahkan anak-anak yang lain juga.”
Kredit Foto: Instagram @arninazira @aleeyantasha @aleefaantashaa
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan sekadar cantik, Joheirry Mola merupakan guru, wartawan dan aktivis pendidikan. Pada usia 24 tahun, beliau mencipta sejarah apabila dinobatkan Miss World 2026.