Pelakon kecil molek Noorkhiriah Ahmad Shapie bukan asing kepada peminat drama dan filem tempatan. Namun, namanya kembali mekar setelah membawa watak sebagai Aishah dalam drama rantaian, Nur dan Nur 2.
Tidak seperti wataknya dalam drama, Noorkhiriah bahagia bersama suaminya, Azfaizul Ahtan dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Hudhaifah dan Muhammad Yusoff. Pada tahun lalu, Noorkhiriah telah mengambil seorang bayi perempuan sebagai anak angkatnya.
Namun, apa yang mencuri perhatian apabila Noorkhiriah telah bermurah hati untuk menukar kereta mewahnya, MPV Hyundai Grand Starex menjadi van jenazah seperti yang telah dikongsinya di laman media sosial.
Ads
Foto: Instagram @khiriah17
“Alhamdulilah lepaskan kerana Allah. Saya sayang, maka saya jadikan kereta ini sebagai van jenazah,” coret Noorkhiriah di laman Instagramnya.
Menurut Noorkhiriah perkhidmatan van jenazah itu akan diberi secara percuma kepada yang memerlukan. “Bagi yang memerlukan dialu-alukan. InshaAllah dah siap sepenuhnya nanti saya akan beritahu. Terima kasih juga pada yang menyumbang,” kata Noorkhiriah tentang niat murninya itu.
Noorkhiriah mengharapkan orang ramai mendoakan agar dirinya terus istiqamah dalam melakukan perkara baik. “Saya tak kaya tapi sebelum meninggal dunia saya nak tinggalkan sesuatu buat semua. Semoga kita istiqomah dalam perjuangan diri sendiri, amin,” coretnya lagi.
Mulia sungguh hati Noorkhiriah sanggup memberi apa yang dia sayang untuk kegunaan perkara yang baik. Semoga lebih ramai lagi insan berhati mulia seperti Noorkhiriah ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tiada kata yang dapat membayangkan kepiluan saat melihat penderitaan ditanggung rakyat Palestin. Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri tidak terkecuali. Selain doa dan solidariti, mantan Mufti Wilayah Persekutuan dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ini juga tekad menyalurkan bantuan menerusi penjualan jam berjenama Rolex yang dihadiahkan kepada beliau.
Jam jenama Rolex berkenaan adalah cenderamata diterima Dr Zulkifli daripada Raja Saudi, Raja Salman Abdulaziz pada tahun 2017.
“Kisahnya bermula pada Februari 2017 apabila saya mendapat panggilan mengejut ketika sedang menghadiri mesyuarat sebagai Panel Penasihat Syariah Bank Negara.
Saya diminta oleh Kerajaan Malaysia, selaku Mufti Wilayah Persekutuan untuk mewakili semua para mufti dan para ulama Malaysia, menyampaikan ucapan di hadapan Raja Saudi, Duli Yang Maha Mulia Al-Malik Salman bin Abdulaziz dalam kunjungan hormat ke Malaysia.
Beberapa hari selepas majlis berkenaan di St. Regis Hotel, saya dihubungi pihak Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia.
Ada cenderamata yang dikirimkan daripada Raja Saudi kepada saya. Lantas saya minta pegawai saya Dr Aizam untuk mengambilnya,” Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri
Biarpun menerimanya pada tahun 2017, Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri membiarkan kotak hadiah berkenaan tidak dibuka sehinggalah meletakkan jawatan sebagai menteri.
Tulisnya lagi di Facebook, kotak tersebut tidak terus dibuka sebaliknya disimpan di pejabatnya di Putrajaya sehinggalah beliau dilantik sebagai Menteri.
“Semasa saya menjawat jawatan Menteri, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat kedua saya di Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur.
Selepas meletakkan jawatan sebagai Menteri pada 2021, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat peribadi saya.
Di sana, barulah saya membukanya dan memakainya sebagai tanda penghargaan atas derma kurnia daripada Raja Saudi.”
Menghargai kurniaan berkenaan dan mengambil pengajaran daripada titah baginda dalam mengutamakan perpaduan ummah dan memartabatkan agama, Dr Zulkifli dalam hantaran di laman sosial membuka bidaan jam berkenaan pada harga RM40,000 dengan kenaikan RM100 ke atas.
Menurutnya, bidaan tersebut akan ditutup pada 31 Oktober 2023, jam 12.00 tengah malam.
Nama Dr Amalina Che Bakri sekali lagi menjadi fenomena atas usaha membantu adik Ainul Mardhiah menempuh prosedur pembedahan pembuangan tumor yang dideritai sejak lahir.
Terima kasih yang tidak terhingga buat Dr Amalina kerana telah melorongkan usaha kepada ibu bapa adik Ainul untuk mendapatkan rawatan di Kota London. Usaha yang dilakukan oleh Dr Amalina juga bukan sedikit kerana perlu menyakinkan pegawai perubatan di sana.
Bekas Pelajar Cemerlang 17A1 SPM 2004 ini memang begitu istimewa kerana dilahirkan sangat cemerlang dalam pendidikannya. Ke mana sahaja Dr Amalina pergi menuntut ilmu apa yang pasti keputusan cemerlang pasti menjadi miliknya.
Mengimbas kembali twitter yang telah dimuat turun oleh wanita ini sekitar tahun 2017 lalu benar-benar membuatkan semua orang kagum dan mahu menyuntik inspirasi darinya. Sejuk perut ibunya mengandung dan pasti bangga melihat pencapaian anak yang dikandung selama 9 bulan ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam meraikan kejayaan manis ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, pasti peminat sukan gimnastik pernah mendengar nama Nadia Comaneci yang turut digelar wanita teragung sukan gimnastik abad ke-20.
Mana tidaknya, Nadia Comaneci merupakan gimnas pertama yang menerima markah sempurna sebanyak 10 markah dalam sukan gimnastik yang diperolehinya ketika menyertai Sukan Olimpik.
Nadia Elena Comaneci dilahirkan pada 12 November 1961. Dia merupakan seorang ahli gimnastik Romania yang memenangi lima pingat di Sukan Olimpik dan yang pertama menerima markah sempurna sebanyak 10 markah dalam sukan gimnastik di Sukan Olimpik.
Dia dianggap oleh sebahagian sebagai ahli sukan teragung bagi abad ke-20 dan salah seorang ahli gimnastik terbaik sepanjang masa.
Dilahirkan di Onesti, Romania, Comaneci merupakan anak kepada pasangan Gheorghe dan Stefania-Alexandrina. Dia dipanggil Nadya, singkatan dari ‘Nadyezhda’ yang bermaksud harapan, wirawati dalam filem Rusia.
Nadia Comaneci pertama kali bertanding pada peringkat kebangsaan Romania pada tahun 1970, sebagai ahli pasukan bandar tempatannya.
Dia kemudiannya dilatih oleh Bela Karolyi dan isterinya Marta, yang kemudian berpaling tadah ke Amerika Syarikat dan menjadi jurulatih kepada ramai ahli gimnastik Amerika Syarikat.
Setelah menjadi seorang remaja yang berumur 13 tahun, kejayaan pertama Comaneci adalah pada tahun 1975 di Pertandingan Eropah (European Championships) di Skien, Norway, memenangi tiga pingat emas dan satu perak.
Pada pertandingan Pra-Olimpik di Montréal pada tahun 1975, Nadia memenangi gelaran Keseluruhan (All-Around). Pada tahun yang sama Associated Press menamakannya sebagai Athlete of the Year.
Pada usia 14, Comaneci menjadi bintang pada Sukan Olimpik 1976 di Montréal, Québec. Bukan sahaja dia menjadi ahli gimnastik pertama di Sukan Olimpik yang menerima markah penuh 10 markah (yang diulanginya sebanyak 6 kali), dia juga memenangi tiga pingat emas keseluruhan, individu, tiang imbangan (balance beam) dan bar tidak selari, pingat perak untuk (pasukan keseluruhan) dan pingat gangsa untuk senam lantai.
Di negaranya, kejayaannya menjadikan dia dinamakan ‘Hero of Socialist Labor’, orang Romania termuda menerima pengiktirafan tersebut. Nadia mendapat 19 markah penuh sebelum ke Montreal.
Comaneci berjaya mempertahankan gelaran keseluruhan pada tahun 1977 tetapi pasukan Romania menarik diri dari bertanding dalam acara akhir apabila terlibat dengan kontroversi mengenai bantahan pemberian markah.
Comaneci hadir di Pertandingan Dunia 1978. Dia terjatuh pada acara bar tidak selari sekaligus beliau menduduki tangga keempat terakhir tetapi memenangi acara alang imbangan (beam title).
Pada tahun 1979, Comaneci memenangi gelaran keseluruhan Eropah ketiga berturut-turut menjadi ahli gimnastik pertama lelaki atau perempuan yang melakukannya.
Pada Pertandingan Dunia (World Championships) Disember berikut, Comaneci mendahului selepas pertandingan wajib diadakan tetapi dimasukkan ke dalam hospital akibat keracunan darah pada lengannya dari pengikat genggaman besinya.
Beliau mengingkari arahan doktor lalu dia meninggalkan hospital dan melengkapkan acara tiang alang di mana dia memungut 9.95 markah. Prestasinya memberikan Romania memenangi pingat emas berpasukan yang pertama.
Dia bertanding dalam Sukan Olimpik Musim Panas 1980 di Moscow, Rusia dan mendapat tempat kedua keseluruhan di belakang Yelena Davydova.
Comaneci mengekalkan gelarannya dalam alang imbangan yang seri untuk pingat emas. Dalam acara senam lantai (floor exercise) pasukan Romania menduduki tempat kedua.
Comaneci bersara dari bertanding sejurus selepas pertandingan ini. Pertandingan utama terakhirnya adalah di Perlawanan Universiti Dunia di Bucharest pada tahun 1981 di mana dia memenangi 5 pingat emas. Bagaimanapun terdapat tuduhan berat sebelah di kalangan hakim kerana Romania diwakili separuh daripada hakim di situ.
Antara 1984 dan 1989 dia merupakan ahli Persekutuan Gimnastik Romania – Romanian Gymnastics Federation dan membantu melatih ahli gimnastik muda Romania.
Pada November 1989, dia berpaling tadah ke Amerika Syarikat. Comaneci menghabiskan banyak masa melawat, mengiklankan pakaian dan peralatan gimnastik, mengiklankan pakaian dalam Jockey, peralatan aerobik, dan juga sebagai model pakaian perkahwinan.
Pada tahun 1994, dia bertunang dengan ahli gimnastik Amerika Syarikat, Bart Conner dan kembali ke Romania untuk kali pertama selepas berpaling tadah. Comaneci dan Conner berkahwin di Romania pada April 1996.
Dia kini sibuk dengan gimnastik dan kerja amal seluruh dunia. Dia dan suaminya memiliki Akademi Gimnastik Bart Conner, Syarikat Pengeluar Sempurna 10 dan beberapa kedai peralatan sukan dan merupakan editor majalah International Gymnast. Pada 29 Jun 2001, dia menjadi warganegara (naturalized citizen) Amerika Syarikat.
Comaneci merupakan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Olimpik Khas (Special Olympics) Antarabangsa, Presiden Kehormat Persekutuan Giminastik Romania, Presiden Kehormat Jawatankuasa Olimpik Romania, Duta Sukan Romania, Timbalan Presiden Lembaga Pengarah Persatuan Distrofi Otot, dan Ahli bagi International Gymnastics Federation Foundation.
Dia menerima dua anugerah Olympic Order daripada IOC. Dia juga telah dimasukkan ke dalam International Gymnastics Hall of Fame.
Pada Disember 2003, buku pertamanya Letters To A Young Gymnast, diterbitkan. Buku ini merupakan riwayat hidup, menjawab persoalan yang diterimanya melalui surat peminat. Comaneci memulakan klinik amal di Bucharest untuk membantu anak-anak yatim di Romania.
Kini, pada usia 56 tahun, Nadia masih kelihatan menawan dan minat terhadap sukan gimnas masih mendalam dalam dirinya. Wanita ini merupakan sumber inspirasi gimnas seluruh dunia sehingga kisahnya difilemkan untuk menjadi inspirasi dalam sukan gimnastik! Rosmah Idayu Abu Samah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.