Orangnya bukan sahaja cantik tetapi juga bergaya, bijak dan suka berdikari. Meskipun lahir dalam keluarga berada yang memiliki perniagaan berasaskan berlian dan emas
permata namun Marissa Dato’ Seri Meer Sadik Habib tetap merendah diri. Melihat personaliti Marissa yang cukup menyenangkan jelas terbukti dia mendapat asas didikan yang sempurna daripada kedua-dua ibu bapanya.
Bergelar anak dan juga pewaris legasi Habib nyata bukan satu tiket mudah untuk Marissa hidup mewah. Sebaliknya wanita yang gemar tersenyum ini mengakui dia perlu bekerja keras demi mengejar sebuah kejayaan peribadi. Melewati usia 26 tahun, Marissa sudah tahu hala tuju hidup dan memutuskan untuk mengikut jejak langkah bapanya yang berkecimpung dalam perniagaan barangan kemas.
Difahamkan, empayar Habib mula diasaskan oleh datuk Marissa iaitu Datuk Haji Habib sejak lebih 60 tahun yang lalu. Bersandarkan kualiti dan harga yang ditawarkan Habib, jenama barang kemas ini sudah sinonim dan dikenali dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Di samping ayahanda tersayang ketika pelancaran koleksi Stephen WebsterBersama ibunda tersayang
Mengintai latar belakang Marissa, figura berwajah manis ini sebenarnya merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda bidang perniagaan dan ekonomi dari University of Edinburgh, Scotland. Kira-kira dua tahun lalu, Marissa telah berjaya menamatkan pengajiannya dalam bidang Gemologi.
Ads
Mengulas lanjut mengenai bidang yang dipelajari, Marissa berkata, “Saya melanjutkan pelajaran di Gemological Institute of America (GIA), California selama setahun yang memerlukan saya untuk mengkaji dan klasifikasikan kualiti terhadap berlian. Bidang ini juga sebenarnya memerlukan saya untuk mengenal pasti batu Ruby yang asli mahupun tiruan dan daripada mana ia wujud.”
Minat yang mendalam dalam bidang Gemologi ini membuatkan Marissa terus bersemangat meneruskan pengajian dalam lapangan yang sama seperti ayahnya, Dato’ Seri Meer Sadik Habib yang juga Pengarah Urusan Habib Jewels Sdn Bhd.
Ads
Ujarnya lagi, “Tiada paksaan daripada ayah sebab memang saya sendiri yang berminat menceburkan diri dalam bidang ini. Tak sangka, saya dan ayah sama-sama belajar bidang yang sama di pusat pengajian yang sama. Bidang ini memang susah dan saya perlu fokus sepenuhnya dalam pelajaran. Tapi syukur sebab saya di kelilingi rakan-rakan kuliah dan keluarga yang memberi sokongan dan membuatkan proses pembelajaran jadi seronok!”
Ditanya adakah dia menerima layanan istimewa kerana bergelar anak kepada pemilik Habib Jewels dan lahir dari keluarga yang kaya, sambil menggelengkan kepala dia menyusun
bicara. “Tidak! Sebenarnya perkara ini saya tak kongsikan dengan ramai orang. Saya berpindah ke Hong Kong selama setahun untuk bekerja di salah sebuah syarikat di sana
untuk mencari pengalaman. Di samping itu juga saya tak mahu hanya terikat dengan syarikat milik keluarga.
Ads
Dalam masa sama, saya mahu belajar berdikari dan mencabar diri berada di tempat orang supaya saya boleh membawa pembaharuan kepada syarikat milik keluarga dan juga industri barangan kemas di Malaysia pada masa akan datang.
Tidak dinafikan apabila bekerja dengan keluarga, saya boleh ‘lari’ daripada sebarang masalah kerana ayah saya ialah boss. Tapi saya tidak mahu jadi seperti itu. Bekerja dengan keluarga juga merupakan satu cabaran kerana saya perlu beri contoh yang terbaik.
Apa yang paling penting dalam kehidupan ialah kena cari apa yang anda minat, yang boleh buatkan kita teruja untuk bekerja dan lakukan sesuatu pekerjaan bukan kerana paksaan. Asah bakat anda dalam apa jua bidang dan terus belajar perkara-perkara baru,” pesan Marissa.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wawa Zainal dan Aeril Zafrel antara pasangan selebriti yang kekal bahagia hingga kini biarpun usia perkahwinan menjangkau 11 tahun.
Selain dikurniakan anak-anak yang comel, rezeki mereka dalam perniagaan semakin melimpah ruah. Sesungguhnya rezeki itu tak salah alamat.
Wawa bertuah kerana dikurniakan seorang suami yang sangat penyabar seperti Aerl. Sehinggakan Wawas sendiri terinspirasi dengan sikap Aeril yang sentiasa bertolak ansur jika berlaku perselisihan faham.
“Walau banyak dugaan, pengalaman mengajar kami erti hidup. Sekarang adalah fasa sedekad untuk perkahwinan kami.
“Bukan lagi masa untuk bergaduh, merajuk apatah lagi cemburu. Masing-masing sudah matang dan kami mahu kehidupan yang tenang.
“Fokus utama kami, membina empayar perniagaan. Sekarang umur saya 30 tahun manakala Aeril 34 tahun.
“Impian saya nak pencen sebelum umur 40 tahun. Kalau diizinkanNya, lepas umur 40 tahun saya nak travel ke destinasi impian.
“Sementara masih ada kudrat untuk cari rezeki, kami akan terus kembangkan perniagaan. Ini juga demi kesenangan anak-anak kerana niat kami berniaga untuk jangka masa panjang.”
Menurut Wawa, kalau dulu mereka kerap ‘mencuri masa’ anak-anak degan kesibukan kerja dalam perniagaan. Namun kini Allah SWT mengembalikan masa yang ‘hilang’ itu.
“Apabila ada masa yang fleksibel kami dapat meluangkan masa yang banyak bersama anak-anak. Sebelum ini kami terlalu sibuk dan tiada masa untuk anak-anak.
“Sehinggakan saya rasa sangat berdosa apabila sering ‘mencuri masa’ anak-anak dengan kerja-kerja kami. Waktu balik kerja mereka sudah tidur, kalau ada masa pun sekejap sahaja.
“Sekarang ini kami bersyukur kerana dapat bersama anak-anak pada bila-bila masa terutama pada hujung minggu. Saya lebih suka duduk di rumah sambil layan anak-anak.”
Kongsi Wawa, cara didikannya dan Aeril sedikit berbeza. Dia agak tegas dengan anak-anak manakala Aeril seorang yang tegas dalam kelembutan serta tidak pernah berkasar atau marah dengan anak-anak.
“Aeril mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang, lembut serta gemar bergurau dan berjenaka.
“Seperti mana yang dikongsikan oleh Aeril di laman sosial itulah realitinya, bukan dibuat-buat.”
Secara tidak langsung sikap Aaeril itu telah memberi contoh dan inspirasi kepada Wawa dalam mendidik anak-anak.
“Apa yang saya belajar adalah bagaimana untuk menjadi seorang ibu yang penyabar dalam melayan karenah anak-anak.
“Dengan masa yang fleksibel kini dapatlah saya meluangkan masa dengan anak-anak termasuklah menyelami jiwa dan perasaan kecil mereka.
“Harapan kami semoga anak-anak membesar dengan penuh kasih sayang dan selagi termampu kami akan sentiasa memberikan yang terbaik buat mereka, Insha-Allah.
“Untuk anak-anak, selain meninggalkan legasi perniagaan kami juga sudah membuat extra care dengan menyediakan pelan insuran masing-masing termasuk simpanan masa depan,” kongsi Wawa.
Kredit Foto: Instagram Wawa Zainal
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Allah adalah sebaik-baik perancang. Biarpun Nurul Adlinna Mohd Bakri mempunyai kelulusan Kejuruteraan Mekanikal tetapi takdir Tuhan telah membawa anak kelahiran Rawang, Selangor ini jauh menempa kejayaan dalam bidang keusahawanan.
Tidak menyangka dunia perniagaan membuka pintu rezeki yang luas buat dirinya, wanita berfikiran optimis ini bagaimana pun enggan mensia-siakan ilmu kejuruteraan yang diperoleh begitu sahaja. Sebaliknya memanfaatkan pengetahuan tersebut untuk kegunaan firma perniagaan yang diusahakan hari ini.
Ternyata gabungan minat berniaga sejak kecil dan kecintaan wanita berusia 37 tahun ini terhadap dunia kecantikan serta inovasi menjadi kelebihan untuk beliau berdiri teguh dan berdaya saing dalam industri. Hasilnya, Nurul Adlinna atau mesra disapa Kak Lin kini pencetus revolusi bidang kecantikan menerusi jenama Bartech Beautee.
“Kalau ikutkan bidang kejuruteraan dengan kecantikan ini memang jauh sangat. Tapi sebab naluri seorang wanita yang suka benda cantik, saya tertarik untuk ambil jurusan beautician masa masih belajar dulu.
Tambahan pula, saya ialah orang yang sukakan inovasi dan akan innovate sesuatu benda itu jadi benda baharu. Misalnya kalau orang buat produk, saya juga hasilkan tapi dengan cara dan kreativiti sendiri,” ujarnya memulakan bicara.
Jelas Pengasas Bartech Beautee ini, beliau mendapat pendedahan awal mengenai bidang perniagaan daripada bapa tersayang yang juga usahawan automatif dan mempunyai latar belakang kejuruteraan.
“Sebelum ada bisnes sendiri, saya mula bantu ayah di syarikatnya yang menguruskan trading and supply barang-barang kereta kepada pembekal kenderaan di Perodua, Naza, Honda, Proton dan banyak lagi. Kami juga ada kilang sendiri untuk buat auto parts kereta.
Semasa masih belajar di universiti, saya pernah kerja separuh masa di kedai serbaneka untuk kumpul duit. Habis saja belajar, saya kerja sebagai beautician. Kemudian jadi ejen insuran dan pelaburan. Dari situ saya belajar cara berkomunikasi dengan klien dan budaya orang berniaga.
Tak lama lepas itu, ayah minta saya kerja balik dengannya. Sambil kerja di syarikat ayah dan semangat berkobar-kobar nak berniaga, saya dalam masa sama jadi reseller barangan pakaian, fesyen dan kosmetik termasuklah food and beverages (F&B). Asalnya sekadar suka-suka saja sebab nak dapat extra income,” dedah Kak Lin yang memiliki pengalaman berniaga selama 15 tahun.
Mengulas mengenai Bartech Beautee, jenama ini secara rasminya berada di pasaran pada tahun 2023. “Pada tahun 2019, suami saya menjalankan bisnes kecergasan yang dinamakan Bartech Fitness. Waktu itu, saya urus bahagian jualan dan operasi. Nak dijadikan cerita, satu hari suami beli energy bar berperisa dan saya makan.
Disebabkan saya suka inovasi, saya buat R&D cara hasilkan energy bar versi sendiri. Tak terfikir nak jual pun. Selepas dua ke tiga kali R&D barulah jadi seperti yang saya inginkan dan tak sangka laris terjual beribu-ribu unit setiap hari.
Nama Bartech itu sebenarnya berasal daripada ‘Bar’ yang merujuk ‘Energy Bar’ ciptaan kami. Manakala ‘Tech’ pula singkatan daripada perkataan ‘Technology’ sebab saya dan suami masing-masing dari bidang engineering. Memandangkan masa itu tak ada idea lagi nak letak nama apa untuk bisnes kecantikan saya, maka lahirlah jenama Bartech Beautee.”
Tambah Kak Lin lagi, idea menghasilkan produk kecantikan berkenaan tercetus selepas anak perempuannya berusia 13 tahun berdepan insiden di sekolah.
“Selepas PKP tahun 2022, saya dan anak perempuan sulung ada sesi meet and greet dengan guru dan ibu bapa di sekolah. Dulu kami duduk di Kajang dan kemudian pindah ke Rawang. Jadi, anak saya kena tempuh persekitaran baru dan tak ada kawan lagi.
Sampai saja di sekolah, kawan-kawan baru ini pelik tengok beza kulit anak dengan saya. Mereka cakap, “Kenapa kau hitam? Mak kau tak hitam pun.” Tak sangka, anak saya ambil serius kata-kata itu dan berubah kelakuan daripada seorang yang ceria dan suka berkawan terus jadi pendiam dan suka menyendiri.
Sejak peristiwa itu dia mula hantar link produk-produk supplemen kecantikan yang dijual di TikTok dekat saya sebab nak cantik. Sampaikan mahu berniaga online sebab nak duit beli produk tersebut. Bila tengok keadaan anak yang terdesak macam itu, saya pergi jumpa seorang chemist yang saya kenal waktu jual produk mak saya dulu untuk buat produk kecantikan khas buat anak.
Kami hasilkan dengan beberapa bahan untuk dapatkan formulasi terbaik. Lepas saya pakai dan dijamin selamat, baru saya beri dekat anak. Hampir sebulan dia pakai barulah nampak kesan dan kawan-kawan mula perasan perubahan kulit anak saya makin cerah,” telusnya panjang lebar.
Bermula dengan hanya untuk kegunaan anak, Kak Lin akhirnya mengambil keputusan memasarkan produk tersebut ekoran permintaan tinggi daripada pelajar dan guru di sekolah.
CABARAN
Dek sambutan hangat yang diterima, Kak Lin selaku Chief Business Officer (CBO) ligat merancang strategi pemasaran dengan mengaktifkan akaun di TikTok kerana berpandangan pasti ada generasi sebaya anak-anaknya yang berdepan masalah sama.
Percaturan ibu kepada empat cahaya mata ini nyata membuahkan hasil apabila produk Bartech Beautee mendapat tempat di hati pengguna dalam tempoh singkat.
“Bila dah viral, ketika itulah kami berdepan macam-macam cabaran. Salah satunya kecaman netizen yang terlalu negatif hinggakan ada yang kata produk kami ini tak selamat. Bagi saya, inilah asam garam dunia perniagaan. Satu proses yang terpaksa kami lalui sebelum produk kami berkembang.
Jujurnya, saya melihat komen sedemikian dari sudut positif untuk kami lebih improved. Kecaman daripada mereka kami ambil dan hormat. Secara tak langsung buka ruang dan peluang untuk kami perbaiki sebelum jadi lebih baik. Itulah salah satu cabaran besar bila saya masuk dalam industri ini. Walau baru setahun tapi rasa macam dah 10 tahun,” ucapnya sambil tertawa.
Ditanya sama ada produk Bartech Beautee menjadi mangsa eksploitasi dan tiruan pihak tidak bertanggungjawab, ini jawapan jujur Kak Lin. “Sudah tentu, lagi-lagi saat kami belum buat trademark. Jadi senang sangat untuk mereka tiru. Saya sedar bila produk ditiru, ia sedikit sebanyak membantu menaikkan lagi jenama kami. Ibarat macam free publicity.
Maksudnya, brand trust itu dah ada bila orang mula meniru. Kalau jenama kita sendu, mana mungkin orang nak tiru. Alhamdulillah, sekarang kami dah registered Bartech Beautee dan ada trademark. Kalau ada yang meniru lagi selepas ini, kami boleh atasi secara profesional.”
Setakat ini terdapat dua rangkaian produk Bartech Beautee di pasaran iaitu Whitening Gel 20 mililiter (ml) untuk kegunaan wajah dan Whitening Cream 20 gram serta 100 gram bagi kegunaan pencerahan wajah dan badan.
JUALAN
Sungguhpun menerima permintaan memberangsangkan daripada pelanggan pada awal perniagaan namun demi mengurangkan risiko kerugian, usahawan berjiwa cekal ini nekad mengambil tempahan secara pra pesanan atau pre order.
“Kami bermula dengan jualan di TikTok dan tak sangka dalam tempoh tiga bulan saja dah cecah RM1 juta! Memang terperanjat sebab kami letak sasaran RM1 juta dalam masa setahun. Itu pun kami ragu-ragu sama ada dapat capai sasaran tersebut atau tidak. Tapi Allah adalah sebaik-baik Pemberi Rezeki.
Dari satu juta pertama itu kami susun strategi dan pasang impian. Bukan saya saja tapi satu team bertungkus-lumus dan bersengkang mata untuk capai target tersebut. Sekarang kami boleh achieved sampai tujuh ke lapan angka. Alhamdulillah.
Tak sangka Bartech Beautee melonjak dengan sangat drastik. Lebih utama, saya dapat bantu team kejar impian mereka. Apabila ada perancangan yang rapi dan delegate task kepada team dengan baik, saya percaya kami boleh capai jualan sampai 10 angka.”
Tidak sekadar mempromosikan Bartech Beautee di platform TikTok dan mempunyai puluhan ribu entiti niaga menerusi sistem Affiliate Marketing, Kak Lin turut memperluas jualan dengan menggunakan platform e-dagang seperti Shopee.
“Tak dinafikan, timbul rasa bimbang kalau saya selaku pemilik tak mampu lagi pertahankan bisnes ini satu hari nanti. Iyalah, produk kami naik dengan begitu cepat. Tak mustahil boleh jatuh dalam sekelip mata.
It’s not easy to sustain. Apatah lagi produk viral. InshaAllah, kami merancang misi yang besar untuk tahun 2025-2026 kelak,” ulas peneraju Bartech Beautee berkenaan yang disokong oleh 12 orang kakitangan.
PENGORBANAN
Di sebalik kesenangan dan kejayaan yang dinikmati hari ini, ada kisah duka yang tersimpan kemas di sanubari Kak Lin. Tidak bermaksud mahu membangga diri jauh sekali meraih simpati, isteri kepada Shaharuddin Abdul Karim ini tegas menekankan bahawa perkongsian yang dibuat adalah demi memberi iktibar dan menyuntik inspirasi.
Bergenang air mata figura hebat ini tatkala diaju persoalan mengenai detik terendah dalam hidup yang pernah dialami. Sambil menahan sebak, Kak Lin membuka rahsia.
“Betul, tak mudah untuk sampai ke tahap sekarang. Impian saya sebenarnya mahu jadi suri rumah yang uruskan keluarga dan berniaga kecil-kecilan saja. Saya pernah cakap dengan suami, kalau saya aktif bisnes ada benda yang terpaksa saya korbankan iaitu masa.
Jadi usahawan memang penat. Tambahan pula saya menghidap asma sejak usia lima tahun. Boleh dikatakan inhaler itulah best friend yang saya bawa ke mana saja. Masa buat live pun, asyik dengan pam inhaler sebab cepat rasa penat.
Saya mudah diserang asma bila tak cukup rehat. Kalau tidur, saya rasa macam ruginya. Banyak benda boleh buat. Tapi fikirkan tanggungjawab sebagai majikan untuk jaga staf, saya kuatkan semangat. Apa yang saya dapat sekarang ini pun berkat doa suami, anak-anak dan orang sekeliling.”
Puas menahan tangis, air mata Kak Lin akhirnya jatuh berjuraian apabila mengenang kegagalan rumah tangga dek kerana kesibukan membina empayar niaga.
“Ini merupakan perkahwinan kedua saya. Dalam perkahwinan dulu saya rasa sangat sengsara dengar kata-kata cemuhan orang terdekat yang memperkecil kemampuan saya untuk jadi usahawan berjaya. Kata mereka, saya hanya boleh jadi pekerja terbaik tapi bukan usahawan berjaya sebab saya tak pandai berniaga.
Tiada sekelumit pun rasa benci atau dendam. Saya ambil kata-kata itu sebagai satu perkara positif dan buktikan mereka silap. Kesenangan yang kita tunjuk kepada orang hari ini bukan sebab hendak riak tapi itu sebenarnya satu kepuasan. Mujur saya ada team yang sentiasa menyokong dan suami yang setia menjadi tulang belakang. Bagi saya, success is the best revenge!”
INSPIRASI
Dalam keterujaan memajukan syarikat dan membantu pekerja serta anak didik di bawah jagaannya mendapat kehidupan lebih baik, Kak Lin sentiasa meletakkan Allah SWT di kedudukan teratas untuk menggapai matlamat tersebut.
“Saya sudah ada semua yang saya mahukan dalam hidup. Sekarang adalah masa untuk saya bagi manfaat kepada orang lain pula. Kerja yang kita buat ini ialah ibadah. Berdosa kalau saya abaikan pekerja. Untuk itu, saya akan pastikan mereka dapat hidup lebih baik daripada saya.
Kepada wanita sama ada ibu berkerjaya atau pun tidak dan mereka yang bergelar ibu tunggal, bangkitlah sebab saya juga pernah jadi single mom. Hendak berjaya dalam hidup, kita kena fokus dan jelas dengan apa yang kita nak buat.
Kita juga kena ada energy. Jangan bersedih terlalu lama takut-takut nanti kemurungan. Tak perlu salahkan orang lain. Kita mampu kawal emosi dan diri kita sendiri. Kalau stress, nak menangis dalam bilik air, pergi karaoke atau menari, buatlah!
Bila dah lega, kembali dengan misi. Mana yang boleh datangkan manfaat kepada kita, teruskan buat yang terbaik. Akhir sekali, tawakal dan berdoa. Apa saja yang kita buat kena bersungguh-sungguh ibarat seperti esok kita mati,” pesannya bersungguh-sungguh.
Semoga segala kebaikan dan jerit-perih Kak Lin mengusahakan perniagaan dengan niat untuk membantu lebih ramai orang keluar daripada kepompong kesusahan mendapat keberkatan serta perkenan dari-Nya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagum tengok pencapaian usahawan Kak Nab! Pada usia 31 tahun, empayar niaganya kian berkembang maju. Daripada sebuah butik pakaian, dia kini memiliki pelbagai cabang bisnes lain termasuklah bisnes kosmetik Averly Cosmetics.
Ujar pemilik nama Siti Nabilah Dol Bahrin ini kepada Nona, dia sama sekali tidak menyangka keputusan berhenti kerja kerana mahu mempunyai perniagaan sendiri nyata membuka pintu rezeki luas buat dirinya dan keluarga. Biarpun semakin sukses, dia enggan mendabik dada.
Sebaliknya lebih selesa menjadikan pencapaian tersebut sebagai pencetus semangat buat kaum wanita lain. Malah kejayaan Kak Nab turut mendapat perhatian pelbagai pihak dan agensi kerajaan.
Buktinya pada September lepas, dia menerima undangan untuk berkongsi pengalaman sempena Karnival Usahawan Putrajaya. Tidak cukup itu, anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini juga terlibat dalam Hari Belia Negeri Kedah pada Ogos lepas. Terbaik!
Mengulas pembabitannya sebagai usahawan, Kak Nab mendedahkan dia mula berniaga kira-kira lapan tahun lepas.
“Terdetiknya mahu berniaga sekitar tahun 2014. Dengan modal RM500 dari kawan lelaki yang sekarang dah jadi suami, saya gigih jual tudung dekat Pasar Tani, Pasar Malam termasuk Car Boot Sale.
Sebelum ini saya pernah bekerja di sektor perbankan. Pagi kerja di bank, sebelah malam pula saya berniaga di pasar. Memang letih tapi puas. Alhamdulillah, saya sentiasa dapat support daripada keluarga dan kawan-kawan.
Seronoknya berniaga sebab kita boleh rancang masa sendiri, tambahan pula bila dah ada anak. Sebab itu jugalah saya berhenti kerja dan serius berniaga.
Kira-kira dua tahun kumpul duit jualan tudung barulah saya mampu buka butik dengan kos RM15,000. Itulah detik awal pembukaan Nabella Butik! Dulu butik ini berkonsepkan vendor, tapi bila dah ada modal lebih.. barulah saya bawa masuk barang sendiri seperti baju, tudung, handbag, kasut dan macam-macam aksesori.
Bila dah dapat ramai customer dan orang mula kenal bisnes saya, saya cuba kembangkan perniagaan dalam bidang kosmetik pula. Produk pertama yang saya keluarkan di bawah jenama Averly Cosmetics ialah Beauty Oil,” telus content creator ‘Ohh Mudahnya Makeup By Kak Nab’ ini penuh semangat.
Kini Averly Cosmetics sudah pun memiliki empat produk iaitu Beauty Oil, Foundation, Krim Jerawat dan Magic Gloss.
Sepanjang bergelar usahawan, pelbagai dugaan dialami Kak Nab termasuk mengalami kerugian RM20,000 akibat ditipu.
“Untung hasil jualan di butik, saya labur RM20,000 beli kain untuk koleksi raya. Waktu itu saya ambil khidmat orang tengah. Bila dapat sample, kain memang cantik dan kualiti pun ok. Sebaik saja kain sampai, saya terus hantar jahit tanpa periksa keadaan kain.
Tailor pula tak maklumkan apa-apa. Hampir 30 percent dah siap dan dihantar kepada saya untuk cuba, material kain tersebut mudah koyak dan pecah. Sudahnya, saya terpaksa juga bayar kos jahit dan buang semua kain sebab dah tak boleh pakai.”
Menjadikan Neelofa dan Vivy Yusof sebagai inspirasi dalam dunia perniagaan, ibu kepada dua cahaya mata ini memasang impian untuk memiliki wisma sendiri suatu hari nanti.
Ditanya kenangan yang paling tidak dapat dilupakan selama lapan tahun berniaga, isteri kepada Mohammad Ikhwan ini meluah rasa syukur kerana melalui perniagaan dia belajar erti kesusahan hidup.
“Sejak zaman universiti lagi saya dah mula berniaga kecil-kecilan. Saya jual barang-barang terpakai kepunyaan sendiri secara Door to Door. Ketuk pintu rumah orang untuk menjual sebab kawasan tersebut jauh dari kedai dan supermarket. Jadi, mereka dapatlah beli keperluan dengan mudah dan saya pula dapat jualan.
Sebenarnya sejak awal berniaga, untung yang saya dapat tak adalah banyak mana. Lebih kepada kepuasan dan bantu tampung perbelanjaan yang kurang. Sepanjang berniaga, kenangan paling tak boleh lupa masa saya pergi ke sebuah perkampungan di Bedong, Kedah. Waktu itu saya study di sana.
Niat untuk berniaga terus terkubur bila tengok keadaan penduduk yang hidup susah. Disebabkan modal saya pun tak tinggi dan waktu itu belum ada komitmen, saya beri je barang jualan kepada mereka. Kira macam buat community service. Mungkin sebab dah terbiasa, sampai sekarang pun saya masih buat perkara sama cuma tidaklah selalu sebab dah ada komitmen dan staf.”
Moga kerja keras Kak Nab membina empayar membuahkan hasil dan dalam masa sama menjadi pencetus semangat kepada kaum wanita di luar sana.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Makin bahagia tengok kehidupan pelakon cantik manis, Ainul Aishah. Sejak berkahwin pada 2022 jarang nampak selebriti ini muncul di kaca televisyen dan tidak lagi mengejar karier seninya. Apatah lagi sejak menimang cahaya mata. Seluruh tumpuan Ainul Aishah pastinya kepada buah hati kesayangan dan suami tercinta.