Makanan berasaskan makanan laut sememangnya sering menjadi pilihan untuk dinikmati bersama seisi keluarga. Malah ada yang menjadikan menu berasaskan makanan laut sebagai pilihan utama untuk majlis keraian keluarga. Ditambah pula dengan kegilaan masyarakat kini dengan fenomena makan ala shell out yang berkonsepkan menikmati hidangan makanan laut yang diletakkan di tengah-tengah sehelai kertas yang boleh dikongsi beramai-ramai.
Kini penggemar hidangan berasaskan makanan laut boleh melepaskan keinginan menikmati hidangan makanan laut yang segar di Just Seafood yang terletak di Sunway Giza, Kota Damansara. Menurut pemilik Just Seafood,Terence Ham, restoran yang dibuka sejak penghujung tahun 2014 ini menyajikan hidangan makanan laut yang segar dan berbeza jika dibandingkan dengan beberapa restoran yang mempunyai konsep yang sama.
“Just Seafood mempunyai motto dan memegang pada prinsip menghidangkan hidangan makanan laut yang segar dan berkualiti untuk para pelanggan. Jadi, kami sentiasa memastikan makanan laut yang disajikan adalah dari kualiti terbaik bagi mengekalkan rasa segar dan keenakannya apabila dimasak bersama sos istimewa kami,” ujar Terrence sambil menghidangkan pelbagai makanan laut yang dimasak menggunakan tiga jenis sos istimewanya iaitu Louisiana Cajun, Butter Milk dan Creamy Peanut.
TIGA SOS ISTMEWA
Tambah Terrence lagi, Just Seafood mengetengahkan tiga jenis sos istimewa yang mana setiap sos pastinya menepati citarasa masyarakat Malaysia yang semakin bijak memilih hidangan yang enak dan berkualiti untuk dinikmati.
Ads
“Kami menggunakan tiga jenis sos istimewa iaitu Lousiana Cajun, Butter Milk dan Creamy Peanut untuk dimasak bersama hidangan makanan laut yang terdiri daripada aneka kerang-kerangan, ketam dan udang. Di samping itu, hidangan tersebut turut disertakan dengan aneka sayur-sayuran yang bersesuaian antaranya termasuklah lobak merah, jagung dan ubi kentang. Pelanggan boleh menikmati hidangan ini sama ada memesan nasi atau roti bawang putih,” ujar Terrence yang sememangnya menjalankan penyelidikan yang berterusan untuk memastikan kualiti sos yang dihasilkan menepati citarasa pelanggan.
Menyentuh mengenai penyelidikan dan pembangunan sebelum sos tersebut diperkenalkan kepada para pelanggan, menurut Terrence lagi dia dan rakan kongsi mengambil masa selama beberapa bulan untuk mencuba sos seperti Lousiana Cajun bagi mendapatkan konsistensi yang sama di samping menepati citarasa masyarakat Malaysia. Sos yang dihasilkan mendapat inspirasi dari pelbagai citarasa antaranya termasuklah Amerika Syarikat, Vietnam dan citarasa tempatan. Sos Lousiana Cajun popular di kalangan masyarakat Vietnam di Lousiana, Amerika Syarikat.
“Saya dan rakan kongsi mengambil masa kira-kira dua bulan untuk makan hidangan yang sama setiap hari untuk memastikan rasa yang sama untuk sos tersebut. Kami mahukan yang terbaik untuk para pelanggan. Jadi, kami sanggup melakukan beberapa perubahan untuk mendapatkan rasa yang terbaik untuk para pelanggan. Malah sos Creamy Peanut diinspirasikan dari kuah sate yang sememangnya popular di kalangan masyarakat Malaysia,” ujar Terrence yang amat mementingkan kualiti terhadap setiap hidangan yang disediakan di Just Seafood.
Ads
PILIHAN SET HIDANGAN
Jika anda datang menikmati makanan laut di sini, anda boleh memilih set makanan laut untuk satu hingga dua orang, tiga atau empat orang dan lima hingga tujuh orang. Setiap set mengandungi makanan laut seperti ketam bersaiz besar, udang, udang bersaiz besar, aneka kerang-kerangan, sotong, ubi kentang, lobak merah dan jagung yang dimakan bersama pilihan nasi atau roti bawang putih.
Tambah Terrence lagi, dia mendapat inspirasi membuka restoran ini selepas ingin beralih angin dari pekerjaannya yang terdahulu yang mengusahakan perniagaan berasaskan pinggan mangkuk Chinaware. Ingin lari dari kebiasaan dan formal menikmati hidangan menggunakan kutleri dan peralatan kaca dan pinggan mangkuk, dia tertarik untuk cuba menikmati hidangan dengan cara yang berbeza. Dengan cara itu, ia dapat merubah persepsi menikmati makanan dengan lebih fokus terhadap makanan dan menikmati hidangan dalam suasana santai dan lebih kasual.
Ads
Konsep dapur terbuka di Just Seafood juga merupakan antara tarikan yang mendapat pujian di kalangan pelanggan setianya. Mana tidaknya, sambil menunggu hidangan disajikan di meja, pelanggan dapat melihat sendiri proses memasak hidangan tersebut. Konsep dapur terbuka ini amat baik bagi memastikan pihak penyedia makanan menjaga tahap kebersihan dan memastikan hidangan yang dihasilkan memenuhi standard piawaian hidangan. Selain itu, konsep restoran yang terbuka juga amat menarik untuk menikmati hidangan makanan laut secara berkeluarga dan berkumpulan. Anda boleh memilih untuk menikmati hidangan di tingkat bawah dan tin gkat atas yang boleh memuatkan sehingga 200 pelanggan pada satu masa.
Jadi, jika anda penggemar hidangan makanan laut, jangan lupa mencuba hidangan yang disajikan di Just Seafood. Selain hidangan yang segar, kualiti hidangan yang tiada kompromi menjadikan ianya salah sebuah restoran yang sesuai untuk dikunjungi seisi keluarga!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pernahkah anda mendengar tentang pengambilan coklat yang boleh menyebabkan penyakit terhadap kesihatan? Pasti sering didengari bukan. Ada yang menyatakan makanan yang dihasilkan daripada buah koko ini mengakibatkan kerosakan gigi, merangsang pembentukan jerawat, meningkatkan berat badan dan tidak kurang juga menjadikan kanak-kanak hiperaktif. Realitinya, tahukah anda bahawa coklat membawa berbagai-bagai manfaat penting kepada tubuh badan anda?
Meskipun coklat lazimnya dilabel sebagai makanan tidak sihat,tetapi kandungan jenis zat yang terkandung di dalamnya membekalkan sejumlah tenaga yang diperlukan tubuh. Selain menyihatkan tubuh, coklat turut berfungsi memperhebat aktiviti perkembangan otak dan degupan jantung yang kuat. Malah, setiap pengambilan coklat dalam diet harian dengan jumlah yang tertentu dapat menurunkan tekanan darah. Coklat hitam atau dark chocolate misalnya menjadi pilihan penggemar coklat masa kini kerana kandungan antioksidan yang tinggi di samping mengurangkan pembentukan radikal bebas.
KATEGORI COKLAT
Empat kategori coklat yang perlu anda tahu adalah coklat tulen atau couverture, coklat tiruan atau masakan, coklat tanpa gula dan coklat berperisa.
COKLAT MASAKAN
Turut dikenali sebagai chocolate compound, coklat masakan diperbuat daripada gula, lemak sayur, esen, lesitin dan susu. Ia hanya digunakan dalam masakan seperti membuat kek termasuk brownies dan biskut.
COKLAT COUVERTURE
Digunakan secara meluas oleh pembuat coklat profesional. Ia merupakan coklat asli yang paling sedap dan berkualiti namun sangat sensitif terhadap suhu.
COKLAT TANPA GULA
Juga dikenali di kalangan penghidap diabetes. Ia tidak mengandungi gula biasa kerana menggunakan pemanis tiruan seperti stevia.
COKLAT BERPERISA
Coklat yang sering dinikmati sebagai snek seperti coklat susu, coklat putih dan coklat hitam.
Kandungan antioksidan yang ada pada coklat adalah 3 kali lebih tinggi daripada teh hijau. Umum mengetahui dan mampu membezakan jenis coklat yang dijual di pasaran namun pasti ramai yang tidak peka akan khasiat dan kandungan yang ada.
COKLAT SUSU
Mengandungi kira-kira 12% ramuan susu, 25% koko dan gula yang tinggi. Ia menjadi kegemaran kerana rasanya yang manis dan lembut. Coklat susu mudah hangus saat dicairkan dan mengandungi antioksidan terendah kerana kombinasi bahan-bahan di dalamnya.
COKLAT PUTIH
Atau lebih dikenali sebagai white chocolate memiliki sekurang-kurangnya 33% kandungan koko dan selebihnya adalah campuran gula, susu dan vanila. Pengambilan berlebihan boleh menyebabkan penyakit diabetes.
COKLAT HITAM
Rasanya lebih pekat, berwarna lebih gelap dan mengandungi lebih banyak kandungan berkhasiat untuk kesihatan. Ia tidak mengandungi susu sebaliknya terdiri daripada 70% koko tanpa lebihan gula, lemak tepu atau minyak sayuran terhidrogenasi (HVO).
TIP MEMILIH COKLAT BERKUALITI
Agak sukar untuk mengenal pasti keadaan coklat yang dibeli kerana coklat yang dijual telah dibungkus kemas tanpa boleh membuka isi di dalamnya. Hanya boleh melihat jenis dan kandungan coklat yang tertera pada label berserta tarikh luput. Pun begitu, anda masih boleh mengetahui kualiti coklat berkenaan setelah membuka bungkusan seperti ciri-ciri yang dinyatakan di bawah.
Permukaan coklat halus dan berkilat
Coklat hitam memiliki warna coklat yang lebih gelap berbanding coklat lain dan bukan berwarna hitam
Saat coklat dipatahkan terdapat beberapa serpihan halus dan bertekstur padat
Menghasilkan rasa berkrim tetapi tidak berminyak
Cepat mencair kerana kandungan coklat mentega yang tinggi
Tidak meninggalkan rasa kelat atau sebarang rasa kurang menyenangkan apabila memakannya
CARA MENYIMPAN COKLAT
Simpan coklat di tempat kering dan dingin di bawah suhu 16 hingga 18 darjah Celsius. Coklat yang disimpan pada suhu kurang daripada itu menyebabkan penghasilan sugar bloom dan seakan mengeluarkan ‘peluh’ apabila disimpan pada suhu bilik. Manakala jika ditempatkan pada suhu tinggi akan mengubah kandungan lemak dan kelihatan sangat berminyak.
Setelah membuka bungkusan, pastikan coklat dibungkus kemas semula agar ada udara yang masuk. Untuk menjaga kualiti coklat ada baiknya ia dipindahkan ke dalam bekas kedap udara.
Elakkan menyimpan coklat dalam peti sejuk. Coklat yang diletakkan di dalam peti sejuk perlu dibiarkan seketika pada suhu normal atau suhu bilik sebelum ia digunakan.
Percaya atau tidak coklat yang disimpan dengan baik boleh tanah selama lebih kurang satu tahun. Walau pun terhasil bintik putih di permukaan coklat namun ia masih selamat digunakan untuk membuat biskut dan sebagainya. Asalkan tidak melebihi tempoh tarikh luput.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Selangor dan segala kehidupan yang bernafas di dalamnya. Bagi mereka yang tinggal di Selangor, bumi bertuah ini bukan saja menjadi tempat bermastautin, tapi rumah keluarga membesar dan lubuk rezeki yang melimpah-ruah.
Disebabkan faktor migrasi dan kemasukan pekerja asing yang telah berpindah mencari peluang pekerjaan, negeri Selangor berkembang dengan kepelbagaian budaya dan makanannya.
Bagi penduduk negeri lain, inilah lima makanan tradisional Negeri Selangor yang menyelerakan. Selain berkhasiat dan lazat, ia juga mudah dibuat sebagai variasi santapan keluarga anda nanti. Cubalah!
(1) Pecal
Foto: Maggi
Pecal sayur yang sangat lazat ini juga dikenali sebagai Salad Jawa. Ia dihidangkan dengan sos kacang dan aneka sayur-sayuran segar. Persediaan untuk membuat pecal ini adalah sangat mudah dan boleh dicuba di rumah pada bila-bila masa! Antara ramuan pentingnya adalah kacang tanah untuk menghasilkan kuah kacang, tauhu, taugeh, kacang hijau dan timun.
(2) Nasi Ambeng
Foto: Nona Manis Kitchen
Sudah menjadi tradisi untuk menghidang Nasi Ambeng dalam satu pinggan yang boleh dikongsi beramai-ramai di antara empat hingga ke lima orang! Semasa menyiapkan menu Jawa-Melayu ini, anda tidak boleh melupakan ramuan utama seperti nasi putih, ayam, mi goreng, kacang panjang, sambal tempe dan daun pisang!
(3) Sambal Taun
Foto: Salamisimon
Makanan tradisional yang berasal dari Jawa ini kerap dimasak pedas dengan penggunaan cili yang banyak semasa penyediaannya. Sering kali di Selangor, kulit lembu akan dijadikan sebagai protein utama sajian ini, akan tetapi ia boleh digantikan dengan kerang, paru lembu atau ikan bilis. Bahan-bahan lain yang diperlukan pula adalah bawang merah, bawang putih, belacan, santan kelapa, minyak, asam jawa, gara dan gula.
(4) Wadai Kipeng
Foto: Friedchillies
Dalam perkataan Banjar, ‘Wadai’ bermaksud ‘Kuih’, sementara ‘Kipeng’ pula merujuk kepada potongan. Sejak dulu lagi, telah menjadi tradisi masyarakat Banjar untuk menyajikan Wadai Kipeng semasa majlis kesyukuran mereka! Satu perkara yang perlu anda ketahui, ia adalah sangat mustahil untuk menyediakan menu yang enak ini tanpa enam ramuan iaitu tepung beras, kelapa muda, gula melaka, gula pasir dan daun pandan!
(5) Bahulu Kemboja
Foto: Manis2012
Bahulu Kemboja boleh dihidangkan pada bila-bila masa, sama ada untuk sarapan mahupun semasa waktu minum petang. Walaupun kuih ini sering dijual di pasaran tetapi untuk mencari keasliannya seperti hasil air tangan orang Selangor amatlah sukar untuk dicari. Untuk mengekalkan keenakan dan keunikannya, bahan terpenting yang diperlukan adalah air pandan asli hasil tapisan daun pandan, tepung gandum, tepung beras, susu kelapa, telur, bijan dan sudah pasti, gula dan garam untuk perasa!
Dengan pelbagai pilihan makanan tradisional di negeri ini, tidak hairanlah Selangor terpilih sebagai pusat gastronomi di Malaysia. Sama ada hidangan istimewa seperti lauk-pauk, ataupun kuih-muih yang enak, resipi tradisional seperti yang disertakan dalam senarai ini tentunya harus anda cuba sediakan!
Sumber: Tourism Selangor
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pizza merupakan antara makanan Itali yang mendapat sambutan yang memberangsangkan dikalangan rakyat Malaysia. Malah, dek kerana keistimewaanya, Pizza juga sering dijadiikan pilihan ketika jamuan bagi hari-hari penting seperti Sambutan Ulangtahun Kelahiran, Ulangtahun Perkahwinan atau pn pada smutan keraian.
Jika anda salah seorang penggemar hidangan piza, pasti anda tidak mampu menolak keenakan Pizza Motorino yang didatangkan khas ke Resorts World Genting.
Kepingan piza rangup dengan taburan aneka jenis keju dan adunan sos lazat serta ramuan berkualiti di dalamnya menyerlahkan cita rasa sebenar piza Itali.
Motorino Pizza Diterbangkan Khas Ke Malaysia Dari Brooklyn!
Bahkan, piza yang berasal dari Brooklyn dan East Village ini pernah diiktiraf sebagai restoran piza Itali Neapolitan terbaik di New York tau!
Mula beroperasi di pusat beli-belah SkyAvenue pada Disember 2016, Ketika itu Motorino merupakan antara tarikan terbaru di Resorts World Genting kerana merupakan satu-satunya restoran piza ikonik pertama di Malaysia.
Uniknya, rangkaian restoran yang dimiliki dan dikendalikan lelaki kelahiran Belgium-Itali iaitu Cef Mathieu Palombino ini adalah penghasilan piza Neapolitan yang dimasak dalam ketuhar kayu yang diimport dari Itali.
Melangkah masuk ke Motorino di SkyAvenue, ruang makan seluas 4, 000 kaki persegi dengan bahagian hadapan bangunan memaparkan rekaan tingkap gaya Itali berbingkai emas membuatkan para pengunjung seolah-olah berada di restoran Itali sebenar.
Malah, restoran francais di Malaysiajuga merupakan yang terbesar setakat ini jika dibandingkan dengan beberapa cawangan lain seperti di Hong Kong dan Singapura!
Pizza Dibakar Secara Klasik Atas ‘Ketuhar Dapur Arang’ Untuk Kerangupan Sempurna
Paling mencuri tumpuan tatkala menjamu selera di sini adalah kewujudan dua ketuhar piza yang dibawa masuk dari Naples, Itali semata-mata demi menerbitkan esensi The Motorino.
Begitu juga penyodok piza berbentuk dayung yang diperbuat daripada sekeping kayu dan ditempah khas untuk menghasilkan piza ala Itali.
Di Motorino SkyAvenue, pelanggan tidak sekadar berpeluang menikmati hidangan piza terkenal ini malah disajikan dengan keseluruhan proses pembuatan piza Motorino. Terdapat lebih daripada 20 pilihan inti yang boleh ditambah ke dalam piza.
Ini termasuk ramuan kubis Brussel, dua jenis ikan bilis, arugula segar, keju mozarela, keju fior de latte iaitu mozarela segar yang diperbuat dengan susu lembu, ayam belanda, pepperoni dan kepah.
Harga piza yang ditawarkan bermula dengan harga RM45 hingga RM67 sekeping. Selain itu, terdapat sajian pencuci mulut seperti tiramisu, kek coklat dan gelato.
Jika anda ke Genting Highlands usah lepaskan peluang ke Motorino yang terletak di aras 1, SkyAvenue yang dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari Ahad hingga Khamis dan 10 pagi hingga 12 tengah malam setiap Jumaat, Sabtu dan Cuti Umum.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.