Lontong, antara menu popular yang sering dihidangkan semasa menyambut musim perayaan. Tetapi kini, hidangan lontong boleh dinikmati sebagai salah satu menu untuk sarapan pagi sehinggalah ke makan malam.
Bagi pakar estetik dan pemilik The Life Clinic yang terletak di Damansara Heights, Datin Dr Serina Abdul Latif, menu lontong yang menjadi pilihannya diubah suai mengikut citarasanya yang mementingkan kesihatan.
“Kebiasaannya, ibu mentua saya akan menyediakan pelbagai juadah istimewa untuk dinikmati bersama keluarga. Antara juadah yang sering disediakan termasuklah nasi dagang, rendang, nasi minyak dan sebagainya.
Memandangkan keluarga suami berasal dari Terengganu, sudah tentu menu seperti nasi dagang menjadi menu wajib jika berkumpul sekeluarga. Saya juga banyak belajar memasak dari kawan-kawan yang berkongsi menu masakan Melayu yang ringkas. Antara menu yang menjadi pilihan saya termasuklah Nasi Tomato, Rendang Ayam, Ayam Masak Merah dan Lontong Sayuran,” ujar wanita yang anggun ini.
Istimewa untuk pembaca NONA, Datin Dr Serina berkongsi resipi Lontong Sayuran versi sihat yang menjadi kegemarannya. Selamat mencuba!
LONTONG SAYURAN
BAHAN-BAHAN:
2 keping tauhu| dihiris dan digoreng
20 batang kacang panjang| dihiris setebal 1inci
450gm kobis
2 batang lobak merah
1 kiub pati ayam
200ml santan
2 cawan air
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
BAHAN-BAHAN KISAR:
2 sudu besar udang kering| direndam seketika
6 batang cili merah
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
2 batang serai
4 biji buah keras
1 sudu serbuk kunyit
CARA MEMBUAT:
Panaskan minyak. Kemudian tumis bahan-bahan yang telah dikisar sehingga naik baunya. Apabila bahan-bahan tumisan telah sekata dan naik bau, masukkan pula santan. Kacau sehingga sebati. Masukkan sayur-sayuran yang telah dihiris dan digoreng terlebih dahulu. Kacau sehingga sebati. Tambahkan garam dan gula secukup rasa sebelum dihidangkan.