Pertemuan dengan Datin Umi Kalsom Abdol Latif sekitar awal Mac tahun lalu sememangnya sukar dilupakan. Beliau merupakan seorang wanita yang cukup menyenangkan kerana sangat mesra, penyayang, berjiwa besar dan cantik dalam kelas tersendiri. Meskipun baru pertama kali bersua namun sepanjang berada bersama ibu Dato’ Fazley Yaakob ini bermacam-macam petua dan pengalaman hidup dikongsikan Datin Umi kepada penulis. Yang pasti, beliau tidak lokek berkongsi rahsia!
Melihat susuk tubuh dan raut wajah Datin Umi pasti ramai yang tidak menyangka ibu empat anak ini sebenarnya bakal meniti usia 68 tahun pada 13 April depan. Bersandarkan
rupa paras cantik dan pesona anggun yang dimiliki, Datin Umi kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenar. Apatah lagi beliau masih kekal cergas dan bijak bergaya. Sambil mengaku gemar berfesyen tetapi masih berpegang kepada penampilan sopan seorang muslimah, Datin Umi terbuka berkongsi rutin harian.
Saat ditanya petua cantik yang diamalkan hingga mampu kelihatan menarik pada usia lewat 60an, ini jawapan jujur beliau. “Mungkin sebab jiwa saya tak suka simpan apa-apa. Maksudnya, ada orang kalau ada sesuatu yang tidak kena… mereka suka simpan dan pendam tapi saya tak. Saya orangnya cukup terbuka tidak kira sama ada dengan arwah suami ke, anak-anak mahupun kawan-kawan. Kalau saya ada rasa kurang senang dengan sesuatu perkara, saya akan cakap dan tak simpan.
Dari situ, tiada lagi perasaan curiga dan mungkin salah satunya juga… saya tak kata yang saya alim tapi saya amal baca Al-Quran hari-hari. Tambahan lagi bila arwah suami dan emak dah tak ada. Bayangkan, lepas satu bulan suami meninggal dunia selang dua minggu kemudian emak pula pergi menghadap ilahi.
Kalau saya pergi luar negara pun, saya ada apps yang membolehkan saya sentiasa mengaji. Sejak arwah tak ada, saya mula catit berapa banyak kali saya dah khatam selama empat tahun ini. Dalam sehari saya akan peruntukan sekurang-kurangnya sejam untuk baca Al-Quran dan target berapa lama saya boleh habis baca satu Al-Quran.
Selain mengamalkan rutin itu sebenarnya tak ada pun petua lain sebab saya tak makan jamu. Saya ingat lagi arwah suami pernah pesan dulu. Katanya, “Ibu, biar ibu setua tu. Jangan ‘cucuk-cucuk’, bapak tak bagi. Kalau ibu buat facial, itu tak apa.”
Kenangan Datin Umi dengan arwah suami
Ads
Ujar Datin Umi lagi, “Masa muda-muda saya rajin juga buat jus. Paling saya suka ialah jus tomato dan carrot tapi saya minum berselang-selang. Tapi selepas arwah meninggal, saya kena asid refluks sebab trauma, murung dan depress kerana terkejut dengan pemergian suami. Saya tak boleh tengok makanan dan masuk dapur selama setahun. Padahal saya suka masak dan selalu masakkan untuk keluarga dan anak-anak. Saya tak boleh buat semua tu sebab teringat arwah sampaikan tak lalu makan dan masuk hospital.
Pada mulanya doktor ingat saya gastrik tapi lepas buat prosedur, asid refluks rupanya. Alhamdulillah, dah berkurang 10 peratus cuma saya tak boleh minum jus seperti tomato dan nanas macam dulu. Ikutkan masa muda, semua jus saya buat sendiri termasuk pucuk pegaga tapi sekarang kena kawal.
Ads
Memang saya teliti dan jaga pemakanan, tak ambil makanan manis, minuman kafein dan susu. Hanya jus tertentu je boleh dan banyak minum air kosong. Nasi pun makan sedikit. Apa-apa pun saya bersyukur sebab mewarisi gen cantik daripada arwah mak. Arwah dulu walaupun dah 82 tahun tapi kulit dia cantik.”
Bercerita mengenai rutin harian pula, Datin Umi menjelaskan beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pegawai kerajaan. Namun terpaksa berhenti kerja kerana mahu memenuhi permintaan anak sulungnya, Dato’ Fazley Yaakob.
“Saya pernah berkhidmat dengan kerajaan selama 30 tahun tapi berhenti kerja bila anak saya, Fazley balik dari belajar luar negara. Dia anak pertama saya dan waktu tu saya baru 40an. Fazley kata dia jemu tengok saya bekerja dan berkorban untuk anak-anak jadi dia mahu saya berehat.
Ads
Bila dah berhenti, saya isi masa dengan aktiviti yang saya suka seperti masuk kelas memasak, belajar mengait, buat flower arrangement dan decoration. Sekarang, hobi saya ialah tanam bunga orkid. Awal dulu memang saya tak pandai tanam tapi lepas beli buku dan belajar alhamdulillah pokok orkid saya kalau berbunga boleh bertahan sampai 3 hingga 4 bulan.
Bila anak-anak dah besar, saya sibukkan diri dengan benda yang saya minat macam mengait, menyulam dan tanam pokok. Waktu bekerja dulu, balik je rumah saya akan buat makanan seperti piza, kek, roti dan masak semuanya sendiri. Jarang beli di luar.”
Mengakui budaya wanita hari ini yang lebih berdikari dan memiliki kerjaya sendiri, Datin Umi bagaimana pun menitipkan pesan berikut kepada seluruh wanita demi mengimbangi
kehidupan berkeluarga. “Ibu saya ajar, macam mana tinggi pangkat kita sebagai seorang wanita tapi bila kita dah berkahwin dan ada di rumah… kita adalah isteri dan ibu.
Sebagai seorang wanita, macam mana sibuk kerjaya sekalipun menjaga suami dan anak-anak juga adalah tanggungjawab. Paling penting, pastikan anak-anak dapat didikan agama,” akhirinya.
Kredit foto: Instagram Datin Umi Kalsom
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selaku pewaris empayar besar dan terkenal dunia, nama Annabel Yao tidak pernah sepi daripada perhatian media di China dan antarabangsa. Mungkin ramai yang tidak mengenali wanita cantik bernama Siwei atau Annabel Yao ini. Tapi kalau sebut jenama telefon pintar, Huawei pasti ramai yang sudah mengenali produk teknologi berasal dari negara tembok besar tersebut.
Apa kaitan Annabel Yao dan Huawei? Sebenarnya Annabel Yao merupakan puteri bongsu daripada tiga beradik yang juga pewaris empayar Huawei milik usahawan Ren Zhengfei!
Annabel yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-24 pada 14 Januari lalu dilahirkan di Hong Kong dan anak kepada Yao Ling iaitu isteri kedua kepada jurutera, Ren Zhengfei.
Pengasas Huawei yang terlibat secara langsung dalam pembangunan ekonomi serta politik di China itu dikurniakan dua anak perempuan dan seorang anak lelaki iaitu Meng Wangzhou dan Ren Ping, hasil daripada dua perkahwinannya.
Meskipun perniagaan telefon pintar Huawei kian dikenali dan digunakan di serata dunia namun selaku pengasas, Ren Zhengfei di negara kelahirannya disifatkan seorang yang low profile. Dia jarang muncul di majlis-majlis rasmi dan sukar ditemubual para media.
Mendekati peribadi dan gaya hidup anak perempuan bongsunya, Annabel merupakan pelajar jurusan Sains Komputer di Harvard University dan telah berjaya menamatkan pengajian pada Jun 2020.
Bercita-cita mahu mempunyai kerjaya dalam bidang perniagaan dan ekonomi, Annabel bukan hanya cemerlang dalam akademik bahkan aktif dalam seni terutamanya sebagai penari balet profesional di Harvard Ballet Company.
Menurut laman web Harvard Ballet Company, gadis cantik ini mula berjinak dalam tarian balet ketika usianya baru 15 tahun di Shanghai. Dari situ, Annabel kemudian meneruskan minatnya dan mendalami seni tarian indah tersebut di sebuah akademi berprestij di United Kingdom.
Ketika sambutan ulang tahun kelahiran ke-23 tahun lepas, Annabel membuat kejutan apabila menerbitkan single pertamanya ‘Backfire’. Video muzik Annabel itu dikatakan berjaya menarik berjuta tontonan dan menjadi topik hangat di platform media sosial China iaitu Weibo dan Douyin.
Rata-rata mereka menyokong bakat terpendam puteri Huawei itu namun tidak kurang juga yang mengkritik nyanyian serta tarian Annabel dalam klip video berkenaan.
Enggan mempedulikan komen negatif warga maya, Annabel meneruskan cita-cita untuk menjadi penyanyi pop terkenal. Malah, rentetan daripada single pertama itu juga dia dilantik sebagai duta bagi syarikat pengeluar kereta China, Great Wall Motors untuk kenderaan jenis SUV. Luar biasa aura Annabel di China!
Empat tahun lalu, Annabel menarik perhatian golongan elit di China dan Eropah apabila terpilih dalam penganjuran majlis tari-menari Le Bal des Debuntantes di Paris pada November 2018.
Ia bukan calang-calang acara kerana hanya gadis sosialit berusia di antara 16 hingga 21 tahun yang memiliki rupa paras cantik, berpendidikan dan lahir dari keluarga ternama khususnya dalam bidang perniagaan, hiburan mahupun politik akan dipilih sebagai peserta majlis tari-menari tersebut.
Daripada 19 gadis cantik yang layak, Annabel ialah salah seorang daripada mereka yang mewakili negara China. Selebihnya berasal dari India, Amerika, Jerman, Hong Kong, Belgium, Perancis, Portugal dan Filipina. Kesemua mereka dilaporkan bertemu dengan jejaka dari keluarga elit lain di serata dunia untuk saling mengenali dan bersosial dalam kelas bangsawan.
Credit : South China Morning PostCredit : South China Morning Post
Kata Annabel, “Bagi individu yang memiliki segala-galanya lebih daripada orang lain, adalah sangat penting bagi anda untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan.
Seboleh-bolehnya saya mahu melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan dan kebajikan serta lebih selesa menganggap diri saya seperti gadis biasa lain. Yang perlu bekerja keras untuk berjaya dan berusaha menjadi individu yang lebih baik setiap hari.”
Menerusi perkongsiannya di media sosial, Annabel dilihat gemar menghabiskan masa bercuti ke luar negara termasuk ke New York, Paris dan beberapa tempat percutian menarik di dunia. Dia juga dilihat sering memakai pakaian dan aksesori berjenama mewah seperti Chanel, Dior, Louis Vuitton dan sebagainya.
Sumber: South China Morning Post
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Isteri kepada kerabat diraja Selangor, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Alhaj ini sememangnya memiliki pesona tersendiri. Walau sudah berkahwin dan bergelar ibu, kecantikan Che Puan Juliana Evans tidak pudar dimamah usia. Mula mencipta nama dalam bidang pengacaraan seawal usia belasan tahun, jelitawan ini tidak hanya berjaya sebagai pengacara bahkan berbakat besar dalam industri seni lakonan.
Aktif berkongsi aktiviti terkini di media sosial, bekas pengacara program popular REMAJA ini juga tidak ketinggalan berkongsi momen sewaktu zaman kanak-kanak. Menerusi perkongsian gambar-gambar Che Puan Juliana, jelas terserlah kecantikan selebriti berusia 32 tahun tersebut.
Difahamkan Che Puan Juliana mendapat pendidikan awal di Sekolah Sri Garden (SSG) yang merupakan sebuah sekolah persendirian pada tahun 1990. Lebih istimewa, bapanya ialah salah seorang guru Bahasa Inggeris di sekolah berkenaan selama beberapa tahun. Malah dalam gambar yang dikongsikan Che Puan Juliana di sekolah kebanyakannya ketika dia berada di pejabat bapa tersayang.
Di samping bapa tersayangDi samping bapa tersayangKetika zaman sekolah
Ujarnya, “So grateful for the moments we had in primary school when everyone used to spend recess together playing all sorts of outdoor games. My favourite was ‘zero point’ or in Bahasa, ‘getah’. Moments like these are what school is all about, socialising, playing, eating, studying together.
Sad that the younger generation now for the past 2 years who don’t get this privilege (due to covid) to have a normal upbringing in school. I just hope that everything will go back to normal again soon so that children can have their school life back!”
Terbaharu, Che Puan Juliana mengacarakan sebuah program perubatan di saluran UnifiTV. Yang pasti, sejak bergelar ibu dan permata hatinya meniti usia dua tahun barulah Che Puan Juliana kembali aktif dengan kerjaya. Iyalah, sebagai ibu pasti beliau mahu memberi yang terbaik dan sepenuh tumpuan kepada anak.
Disember lalu, Che Puan Juliana melakar sejarah tersendiri apabila dilantik sebagai Duta Kempen Promosi Pelancongan ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu’ selama dua tahun! Sebagai anak jati Selangor, ia sudah tentu khabar gembira buat personaliti ini kerana berpeluang mempromosikan negeri kelahiran.
Che Puan Juliana atau nama penuhnya Juliana Sophie Johari Evans sah bergelar isteri Tengku Shariffuddin Shah pada tanggal 30 April 2017 dalam sebuah majlis tertutup. Tahun ini merupakan ulang tahun perkahwinan keempat mereka.
Lebih dua tahun melayari rumah tangga, Che Puan Juliana dan suami akhirnya dikurniakan zuriat perempuan pada 13 Julai 2019. Puteri comel kesayangan mereka ini diberi nama Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah.
Meniti usia 32 tahun pada Julai nanti, pesona dan wajah cantik Che Puan Juliana masih memukau. Tidak hairanlah tahun lalu, namanya tersenarai dalam Top 100 Most Beautiful Woman dalam satu undian yang dilakukan di laman web Starmometer. Antara nama-nama wanita terkenal yang turut tersenarai ialah Taylor Swift, Gal Gadot dan Priyanka Chopra.
Selain mempunyai kerjaya seni, bekas penuntut jurusan Komunikasi Massa ini juga mengusahakan perniagaan Jevans Jewelry.
Kredit: Instagram Juliana Evans
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Hidup tanpa warna umpama melihat sebuah kanvas putih, kosong. Ia perlu diwarnai agar hidup ini ada serinya. Tahukah anda, setiap warna mempunyai kesan dari sudut psikologi? Contohnya kombinasi dekorasi ruang makan dan pilihan warna sedikit sebanyak memberi kesan terhadap selera makan.
Sebab itulah pemilihan warna untuk dekorasi restoran mahupun kafe sangat penting bukan saja untuk menarik perhatian pengunjung bahkan membangkitkan selera mereka. Mungkin ini boleh menjadi alternatif buat mereka yang mempunyai masalah kurang selera makan.
Berikut 3 warna yang boleh anda cuba terapkan di ruang makan bertujuan agar nafsu makan meningkat.
KUNING
Warna ini dianggap baik serta membawa pengaruh positif untuk meningkatkan nafsu makan sekiranya berada dalam ruang makan. Sememangnya warna kuning mempunyai pesonanya yang tersendiri di samping memberikan kesan ceria dan semangat. Warna kuning juga mampu memberikan impak positif untuk meningkatkan nafsu makan. Selain itu, warna ini juga menjadikan suasana di ruang makan menjadi lebih hangat sehingga ketika makanan dihidangkan anda akan terus berselera untuk menikmatinya.
JINGGA
Warna berikutnya ialah jingga. Ronanya yang terang sememangnya membuka selera. Ia mengingatkan kita buah oren/limau yang rasanya sangat sedap terutama jika dibuat jus. Biasanya warna jingga dipadankan dengan warna coklat untuk mencetuskan ambient yang hangat dan intim di ruang makan.
Namun jika anda mahu nuansa makan yang santai dan ringkas maka kombinasi warna jingga dan putih atau kelabu boleh jadi pilihan. Anda boleh mendekor ruang makan dengan hiasan buah oren agar nuansa warna jingganya kian terasa. Selain cerah dan berwarna, jingga juga memberi kesan positif untuk meningkatkan nafsu makan.
MERAH
Warna merah menjadi identiti kepada definisi semangat. Warna merah punya pesonanya yang tersendiri. Selain mempunyai aura berani serta elegan, warna merah juga sesuai untuk diaplikasikan di ruang makan. Ia biasanya akan mencetuskan impak elegan dan mewah. Secara psikologinya warna merah juga mampu meningkatkan nafsu makan.
Kredit Foto: pinterest.com
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!