Penghidap autisme dari Filipina, Karla Majam diumumkan sebagai Miss UniWorld 2023 dalam Pertandingan Miss UniWorld yang diadakan baru-baru ini di sebuah hotel di ibu kota.
Gadis berusia 17 tahun itu yang berasal dari Santa Rosa, Laguna itu juga turut mencipta rekod sebagai wanita pertama dari Filipina yang memenangi gelaran Miss Uniworld. Karla disarungkan dengan mahkota bergemerlapan Ratu Kilimanjaro selepas panel juri sebulat suara menobatkannya dengan gelaran tersebut.
Pertandingan ini menyaksikan 25 peserta mewakili negara masing-masing berentap bagi merangkul gelaran Miss UniWorld. Dalam pusingan akhir Top 5, Majam berdepan saingan sengit daripada empat rakan pencabarnya dari Turkiye, Jerman, Latvia dan Georgia.
Bagaimanapun ketika sesi soal jawab yang menguji topik isu semasa dan komunikasi peserta, Majam yang juga penghidap autisme ternyata menonjol, memperlihatkan kebijaksanaannya menjawab soalan dengan begitu tenang sekaligus memberi kesan di hati penonton, terutama sekali juri.
Misi pertandingan Miss UniWorld diadakan bagi meningkatkan keunggulan pertandingan ratu dunia itu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Walau pun memiliki sedikit ketidakupayaan berbanding peserta-peserta lain, kejelitaan, keanggunan, kepintaran dan ketabahannya sepanjang menyertai pertandingan ini ternyata menambat hati juri sekaligus memutuskan Majam paling layak dipakaikan mahkota Ratu Kilimanjaro. Pada malam itu, Majam menerima hadiah serta wang tunai bernilai RM460,000.
“Saya amat berbesar hati menyandang gelaran Miss UniWorld 2023 dan memakai mahkota Ratu Kilimanjaro. Kemenangan ini bukan setakat pencapaian peribadi tetapi lebih besar maknanya. Ia juga menjadi satu janji untuk mengangkat martabat Miss UniWorld dan menawarkan khidmat dalam usaha membawa perubahan positif,” jelasnya menerusi sumber Mstar.
Tahun lalu, Niousha Roohbaksh dari Iran diumumkan sebagai pemenang. “Walaupun didiagnosis secara klinikal menghidap autisme, perjalanan hebat Karla menepis halangan sekaligus membuktikan impian boleh menjadi kenyataan tak kira apa jua dugaan yang mendatang,” kata organisasi Miss Uniworld Filipina dalam satu kenyataan yang disiarkan di Instagram.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tahun lalu merupakan detik paling getir buat wanita berusia 40an ini apabila diuji dengan kanser payudara. Sesuatu yang tak pernah terlintas di fikiran kerana tiada sejarah dalam keluarganya yang menghidap kanser yang menjadi ‘musuh’ paling digeruni setiap wanita.
Finalis Anugerah Wanita Cemerlang Nona yang juga pengasas Elite Group of Consultants dan Elite Wealth Advisors, Dr Siti Zainab Mohd Zaini atau terkenal dengan panggilan Bochi ini tidak patah semangat sebaliknya positif dengan apa yang berlaku selain pasrah dan percaya dengan hikmah Allah SWT. Berkat kesabaran dan semangat yang tinggi kini Dr Siti Zainab mampu tersenyum apabila disahkan sembuh sepenuhnya daripada kanser payudara.
“Saya dilahirkan dalam keluarga yang kuat bekerja. Abah seorang petugas kerajaan di siang hari dan berniaga satay pada waktu malam. Begitu juga ibu siang bekerja di kilang, malam membantu Abah menjual satay di samping bekerja sampingan sebagai ejen jualan langsung demi menyara kami 4 beradik. Jelaslah darah workhalic sudah mengalir dalam diri saya sejak kecil.
Ceritanya bermula apabila tahun lalu, saya melakukan rutin pemeriksaan kesihatan termasuk mammogram dan pap smear di KPJ Ampang Puteri. Keputusan secara keseluruhannya perfect tapi keputusan mammogram dan ultrasound pula sebaliknya. Terdapat satu ketulan kecil di payudara kanan. Saya dirujuk kepada pakar dan disyor melakukan pembedahan kecil iaitu biopsy bagi mengenal pasti ketulan itu dengan lebih terperinci.
Hari pertama saya didiagnos kanser, doktor mencari punca dengan interview saya lebih mendalam kerana tiada dalam sejarah keluarga saya yang mengidapnya. Point seterusnya doktor kaitkan dengan cara hidup saya. Menurutnya seorang yang workaholic, kurang rehat, pemakanan tak seimbang dan kurang bersenam antara sebab. Begitu juga dengan kerohanian semuanya perlu seimbang.
Walaupun mulanya agak terkejut namun saya pasrah dengan ketentuanNya. Saya mesti berjuang dan positif untuk beri semangat kepada keluarga. Saat merasa sakit, saya ingatkan diri ia hanya sementara dan membayangkan masa depan yang sihat dan bahagia. Maka bermulalah perjalanan saya sebagai pesakit kanser payudara yang perlu menjalani rawatan susulan dan pembedahan sehinggalah disahkan sembuh baru-baru ini.
SEMBUH
Syukur, pada Julai 2020 doktor memaklumkan saya sudah sembuh setelah melalui 6 cycle kemoterapi, 15 kali radioterapi dan setahun rawatan susulan. Satu pengalaman ‘perit’ yang tiada seorang pun mahu melaluinya. Namun, ia mengajar saya agar menghargai kehidupan sebaiknya. Sepanjang bergelar seorang pejuang kanser inilah 7 prinsip yang saya amalkan.
Pertama, pentingnya pemeriksaan kesihatan menyeluruh dibuat setiap tahun. Kebanyakan penyakit dalaman tidak menunjukkan tanda-tanda sehinggalah dah sampai ke peringkat serius. Bagi wanita bila dah berumur 40 tahun perlu menjalani pemeriksaan mammogram bagi mengesan kanser payudara di peringkat paling awal iaitu sebelum ketumbuhan dapat dirasai.
Kedua, peka dalam pemakanan. Tukar kepada yang lebih sihat agar lebih bertenaga dan dapat menstabilkan berat badan ke paras ideal. Saya juga bertemu dengan pakar diet. Selain belajar tentang pemakanan sihat saya juga belajar mengira kalori.
Saya juga jadikan senaman sebagai rutin seperti Zumba atau latihan regangan, minimum 20 minit sehari. Saya rasa lebih kuat, badan lebih ‘ringan’ dan mudah tidur lena di waktu malam. Bersenam menjadikan jantung kita lebih sihat, awet muda, mengurangkan risiko penyakit dalaman, menguatkan tulang dan stamina.
Seterusnya, tidur yang cukup. Dulu saya terlalu workaholic, kerja sampai 16 jam sehari pun ada. Kini saya tidur dalam 4 ke 5 jam sehari saja. Atas nasihat doktor saya mula berehat dan tidur pukul 11 malam. Keesokannya bangun pada pukul 5 pagi.
Urusan perniagaan saya hadkan kurang dari 8 jam sehari agar banyak masa dengan keluarga termasuk aktiviti bersama rakan-rakan, persatuan dan kebajikan. Saya amalkan work ife balance, bukannya berapa banyak masa yang kita kena fokus untuk sesuatu urusan. Yang penting kualiti kerja dan usaha kita.
Secara tak langsung saya belajar bagaimana menguruskan stres termasuk kurangkan banyak berfikir sebab saya ini pemikir orangnya. Jadi, dugaan kanser mengajar saya untuk nikmati kehidupan dengan lebih ceria, gelak tawa, menganggap sesuatu masalah kecil saja serta sayangi keluarga, rakan dan orang di sekeliling.
SUAMI SENTIASA DI SISI
Dari hari pemeriksaan sehingggalah keluar keputusan pemeriksaan dan biopsy suami sentiasa di sisi. Suami banyak memberi nasihat, dorongan dan kata-kata semangat agar saya terus berjuang dan kembali sihat.
Antara kata-kata semangat suami kepada saya ialah “Kita cari ubat, kita ikut cakap doktor”. Suami turut membawa saya bertemu dengan sahabat baik saya, Dr. Nor Aniza yang juga seorang pejuang kanser bagi bertanyakan pendapat dan nasihat. Selain suami, dua anak saya iaitu Iskandar dan Natasha juga sumber kekuatan saya.
Selain itu, semangat dan perkongsian yang diberikan oleh para pejuang kanser yang lain turut menjadikan saya semakin kuat. Saya terus memberikan inspirasi, semangat dan ilmu kepada orang lain melalui persatuan-persatuan kanser serta taklimat kesedaran tentang barah payudara di sosial media dan jemputan di majlis-majlis ilmu.
KERJAYA
Syarikat saya baru melancarkan Pelan IFP dan Elite Perihatin sempena meraikan 20 tahun berada dalam industri pengurusan kewangan. Pelancaran itu sejajar dengan permasalahan semasa iaitu perancangan kewangan yang efektif di kala COVID 19 dan bantuan serta idea menambah baik kewangan kepada mereka yang terjejas teruk. Selari dengan projek Penjana, saya juga menyambut baik saranan kerajaan untuk mengambil dan melatih seramai mungkin mereka yang telah hilang pekerjaan.
SOKONG KEMPEN PINK RIBBON
Tak ramai yang peka tentang kanser serta tabiat dan pola pemakanan yang betul. Kempen ini perlu beri tumpuan kepada pesakit kanser kerana ramai lagi di luar sana masih tak tahu untuk menguruskan dengan betul, baik pesakit mahupun penjaga itu sendiri. Semoga perjuangan saya ini memberi inspirasi kepada para pesakit kanser untuk berusaha ke arah kesembuhan. Usah berputus asa.”
Kredit Foto: Instagram @drsitibochi.skillmentor
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sepagi di Kuala Lumpur, Majalah Nona berbesar hati memenuhi jemputan Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun bagi menyaksikan pra-pelancaran World Women Leadership Summit 2023 (WWLS 2023) yang bakal diadakan pada 2 dan 3 Mac 2023, buat julung-julung kalinya di Malaysia.
Dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Convention Centre), penganjuran WWLS 2023 itu bertemakan ‘New Norms, Fresh Hopes, Big Dreams’.
Ia bakal membincangkan kepimpinan wanita di peringkat global dalam segenap aspek termasuk kesihatan, sains dan teknologi, perniagaan, kewangan, pendidikan, tadbir urus kerajaan dan isu-isu alam sekitar.
WWLS 2023 bakal dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dan menampilkan lebih 20 ikon bertaraf dunia termasuk pemimpin-pemimpin sektor awam, tokoh-tokoh korporat serta ketua-ketua negara dalam kalangan wanita.
Lebih 2000 delegasi dari 30 buah negara termasuk pemimpin wanita tersohor dunia dijangka akan menyertai WWLS 2023.
“Tema WWLS 2023 adalah bertepatan dengan fokus negara selari dengan hasrat Keluarga Malaysia dalam menunjukkan semangat serta agenda untuk wanita bangkit selepas pandemik COVID-19 khususnya memartabatkan peranan wanita dalam menerajui kepimpinan keluarga dan juga dalam komuniti.
WWLS 2023 akan menjadi sebuah pentas global untuk berbincang secara terbuka mengenai kesediaan wanita dalam menghadapi cabaran-cabaran khasnya dalam dunia baharu pasca-pandemik dan sejajar dengan matlamat Kerajaan untuk memperkasakan wanita seta meningkatkan kesaksamaan gender di Malaysia.
WWLS juga akan menghasilkan resolusi yang dijadualkan disytiharkan oleh YAB Perdana Menteri bagi mengetengahkan agenda pemerkasaan kepimpinan wanita hingga ke peringkat global.” Datuk Seri Rina Mohd Harun
Tonton video bersama Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam majlis pra-pelancaran ini…
Pada masa yang sama, KPWKM dan Yayasan Kepimpinan Wanita (Women Leadership Foundation) selaku penganjur bersama juga mengalu-alukan kolaborasi dan sumbangan daripada sektor korporat, kerajaan dan swasta bagi menjayakan WWLS 2023.
Maklumat lanjut berkenaan program in boleh didapati menerusi laman web ini (klik). Majlis Pra-Pelancaran in turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Strategik KPWKM, Chua Choon Hwa; Pengerusi Women Leadership Foundation, Datuk Dr. Hafsah Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Dr. Wan Nur Ibtisam binti Wan Ismail.
Tak ketinggalan temu bual Lensa Nona bersama wanita besi, Datuk Dr Hafsah Hashim! Memang seronok bersembang dengan Datuk…
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tumpang bangga dan gembira melihat kejayaan diraih Nor Farhatul Fairuzah Haji Panut! Atas jasa dan dakwah memartabatkan Al-Quran, Johan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 berkenaan dipilih sebagai penerima Darjah dan Kebesaran Negeri Selangor daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 11 Disember.
Meniti usia 22 tahun, Nor Farhatul Fairuzah atau mesra disapa Farha berkongsi berita gembira tersebut bersama Nona.
Pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan yang Ke-77 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, anak kepada bekas qari dan qariah iaitu Allahyarham Haji Panut Haji Markum dan Hajah Jaliah Haji Simin ini dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S).
“Alhamdulillah Syukur kehadrat Ilahi atas Pengurniaan Darjah dan Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan, Sempena Menyambut Ulang tahun Hari Keputeraan yang ke-77, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Menjunjung Kasih Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-haj diatas penghargaan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S).
Semoga Tuanku dan Permaisuri dipanjangkan usia , sentiasa dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT.”
Anggun mengenakan persalinan kurung rona biru lembut, turut kelihatan menemani Farha ialah ibu dan adik-beradik tersayang.
Mewakili suara anak muda, Farha nekad berusaha menarik minat golongan ini mencintai Al-Quran melalui media sosial memandangkan kebanyakan mereka aktif dan gemar menggunakan platfrom berkenaan.
Pada 2019, Farha dinobatkan Johan Qariah dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61.
Farha yang juga pelajar Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membahagikan masa dengan sebaiknya selepas menerima perlantikan sebagai Ikon Dakwah YADIM 2021 dan Tokoh Belia Negara 2019.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!