Banyak penyebab yang dikaitkan dengan kerosakan buah pinggang, namun paling utama adalah penyakit kencing manis (diabetes mellitus) dan tekanan darah tinggi (hipertensi). Selain itu, ancaman penyakit darah seperti Glomerulonefritis, Sistemik Lupus Eritematosus atau SLE, kehadiran batu karang, jangkitan salur kencing dan kanser juga boleh menyebabkan masalah kegagalan buah pinggang yang serius.

IKLAN

TANDA AWAL

Proses kerosakan berlaku secara senyap dan mengambil masa yang lama. Penyakit ini kerap berlaku terhadap golongan berumur sehingga meningkat tiga kali ganda berbanding golongan muda. Petanda yang ditunjukkan merupakan simbolik awal bahawa buah pinggang tidak berdaya lagi menyingkirkan bahan toksik dalam darah. Biasanya, gejala hanya disedari sebaik mereka menjalani pemeriksaan kesihatan. Antara tanda bahaya:

  • Air kencing bercampur darah.
  • Kerap sakit belakang.
  • Rasa tidak selesa atau sakit ketika membuang air kecil.
  • Kerap membuang air kecil terutamanya pada waktu malam.
  • Kaki membengkak di pergelangan kaki.

RAWATAN

Untuk kelangsungan hidup, terdapat dua jenis rawatan untuk merawat pesakit buah pinggang iaitu pemindahan buah pinggang atau dialisis darah. Walau bagaimanapun, pilihan pemindahan organ menuntut kos di sekitar RM50,000 hingga RM100,000 tetapi masalah utama di sini adalah mendapatkan penderma dan organ buah pinggang yang sesuai.

Manakala pilihan dialisis darah ternyata lebih popular dan perlu dilakukan tiga kali seminggu. Ini memberi peluang kepada pesakit untuk menjalani kehidupan normal seperti orang lain. Pun begitu, kos dialisis juga bukan murah iaitu sekitar RM3,000 sebulan untuk rawatan di hospital swasta. Mujurlah kini terdapat banyak pusat hemodialisis di seluruh negara yang disediakan oleh pihak-pihak tertentu seperti Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) untuk membantu meringankan beban pesakit.

PENCEGAHAN

IKLAN
  1. Amalkan gaya hidup dan pemakanan seimbang.
  2. Jangan merokok.
  3. Jalani pemeriksaan buah pinggang
  4. Ambil ubat mengikut nasihat doktor dan elakkan ubat-ubatan yang tidak perlu kerana dikhuatiri boleh merosakkan buah pinggang.
  5. Kekalkan berat badan seimbang dan bersenam 30 minit setiap hari.

AWAS PETANDA KANSER!

Statistik yang diperoleh daripada Majlis Kanser Nasional menunjukkan lebih daripada 380 orang di Malaysia telah didiagnosis dengan kanser buah pinggang (2002). Turut dikenali sebagai antara 10 penyakit pembunuh yang utama di seluruh dunia, jawapan untuk mengenal pasti punca-punca penyakit ini masih samar serta sukar diterangkan. Di antara jenis kanser yang boleh berkembang di dalam buah pinggang ialah kanser sel renal, kanser sel karsinoma, kanser pundi kencing dan Tumor Wilm yang lazimnya berlaku pada buah pinggang kanak-kanak.

IKLAN

Seperti juga dengan kebanyakan jenis kanser yang lain, kajian menunjukkan bahawa risiko kanser buah pinggang tercetus seiring peningkatan usia. Ia terjadi hampir biasanya di antara usia 50 – 70 tahun. Malah ia juga menjejaskan dua kali ganda kepada lelaki berbanding wanita. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

 

 

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI