Pasangan pengantin Muhammad Haiqal Mohd Ali dan Raja Aisyah Maryam Raja Dato’ Mufik Affandi telah mengangkat konsep tradisional Melayu, warisan budaya yang semakin dilupakan oleh generasi moden.

Kediaman yang dihuni oleh keluarga pengantin perempuan ini hampir berubah wajah dihias sempurna dengan warisan Melayu Perak yang tidak lapuk dek zaman bagai merestui ikatan dua hati yang hangat memadu kasih ini.

IKLAN

Dekorasi hiasan pelamin yang dihias indah dengan tekat benang emas warisan kraf tangan negeri Perak benar-benar mencuri tumpuan bagi acara akad nikah. Keindahan warisan ini telah mengimbau kegunaan pakaian dan kelengkapan keluarga raja-raja atau istana dahulu.

Tergambar kegembiraan di wajah pengantin lelaki, saat usai melepasi tempoh debaran melafazkan akad dan nikah yang berwalikan bapa pengantin perempuan.

Hanya dengan sekali lafaz, kedua-duanya sah sebagai pasangan suami isteri dan dalam masa yang sama, Haiqal menyerahkan wang mas kahwin sebanyak RM300 dan wang hantaran berjumlah RM20,000 berserta tujuh dulang hantaran berbalas sembilan daripada pihak perempuan.

Raja Aisyah yang kini bertugas sebagai Pakar Analisis Ekuiti di sebuah syarikat perbankan telah memilih konsep moden bagi merealisasikan majlis resepsi yang telah berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur pada 8 Julai lalu.

IKLAN

Anak gadis kepada pasangan Raja Dato’ Mufik Affandi dan Datin Mokhzidah Mokhtar ini anggun dalam persalinan baju kurung songket karya Adila Long dan tambah berseri dengan sentuhan magis jurusolek terkenal Khir Khalid. Haiqal juga tidak kurang hebatnya, segak dalam persalinan baju Melayu songket juga dari Adila Long.

Terserlah keanggunan pasangan sama cantik sama padan ini saat berarak masuk ke dewan yang dihias indah ketika di majlis resepsi keluarga pihak pengantin lelaki.

Pihak keluarga pengantin lelaki sebulat suara mengangkat martabat konsep tradisional sebagai tema utama. Persalinan songket warisan negeri Johor nampak cantik terletak ketika digayakan kedua-dua mempelai ini.

IKLAN

Menurut Raja Aisyah, dia tertarik dengan Haiqal kerana personaliti dalam dirinya telah berjaya membuka pintu hatinya untuk menyahut lamaran cinta seorang lelaki.

Tambah pengantin perempuan yang gemar membaca ini, selain daripada raut wajah Haiqal yang kacak, karakter yang bertanggungjawab, penyayang, romantis, pandai memberi nasihat dan gemar berlawak telah memikat hati kecil wanitanya.

Manakala Haiqal yang mempunyai kelulusan dari University College London, dalam jurusan Kejuruteraan Kimia ini, terpikat dengan keperibadian isterinya yang sentiasa ceria, peramah, baik hati, minda yang tajam dan rupa paras sangat cantik.

Tambah anak sulung ini, dia mengharapkan agar hubungan yang baru dibina akan berkekalan hingga hujung nyawa. Hamizatul Maizan Mohamed