Bakat seni yang mengalir dalam diri pelakon terkenal, Aprena Manrose diwarisi dari ibu bapanya yang suatu ketika dulu pernah berada di puncak populariti.
Siapa yang tidak kenal dengan bapanya, Iwan Syahman yang pernah bergelar penyanyi dangdut terkenal.
Aprena bersama bapanya, Iwan.
Manakala arwah ibunya, Rosnah Mohd Noor merupakan pelakon filem jelita era 80an kelahiran Pasir Puteh, Kelantan. Antara filem lakonan arwah Rosnah yang terkenal ialah Kisah Seorang Biduan dan Di Ambang Kasih.
Hasil perkahwinan pertamanya bersama Iwan, arwah Rosnah dikurniakan 3 cahayamata iaitu Wan Ramada Putra, Wan Shamira Puteri Octavia dan Wan Shahera Puteri Apreena.
Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman berusia 27 tahun berjaya membuktikan bakat yang dimiliki bukan sia-sia apatah lagi dapat memenuhi impian arwah ibunya yang mahu melihat Aprena berjaya dalam pengajian serta lakonan.
Aprena yang mewarisi kejelitaan ibunya itu merupakan graduan Diploma Penyiaran & Filem dari Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU).
Ads
KERINDUAN
“Walaupun hampir 7 tahun arwah Mama ‘pergi’ akibat kanser payudara dan komplikasi penyakit, setiap kenangan bersamanya masih segar dalam ingatan. Banyak sebenarnya kenangan berdua kerana kami memang rapat.
Pergi ke mana-mana pun mesti berdua termasuklah tidur pun berdua. Bagi saya, arwah Mama seorang wanita yang sangat baik dan penuh sifat keibuan. Walaupun lembut namun tegas dalam didikan.
Ads
Arwah Mama seorang wanita yang sangat kuat dalam menghadapi ujian sampailah ke nafasnya yang terakhir. Saya menginspirasikan kekuatan yang ada dalam diri arwah Mama. Apa pun yang kita buat jangan mudah putus asa. Jiwa kena kental.
Cara saya, kalau buat sesuatu mesti sampai habis. Yang penting yakin dengan diri sendiri, mesti cuba yang terbaik,” kongsi Aprena yang pernah menjadi penghias muka hadapan Nona Jun 2019 bergandingan dengan Dato’ Jovian Mandagie.
NONA JUN 2019.
SOKONGAN SUAMI
Gelaran isteri kepada Mohd Afiq Hazman bukan penghalang buat Aprena untuk menggapai impian bergelar pelakon terkenal. Aprena juga tidak pernah menyembunyikan status perkahwinan mereka kerana baginya restu dan sokongan suami sangat penting dalam apa jua perkara yang dilakukan.
Aprena dan suami, pasangan bahagia.
Ads
“Saya bersyukur kerana suami sentiasa memberi sokongan kepada saya dan paling penting sangat sporting. Selalunya sebelum pergi ke set saya akan selesaikan dulu kerja-kerja rumah. Memandangkan kami masih belum mempunyai anak, saya fokuskan kepada tanggungjawab sebagai isteri.
Bercakap tentang cabaran sepanjang bergelar pelakon pula memang banyak. Bukan mudah sebenarnya nak kekal dalam industri kerana sentiasa ada pendatang baru. Apa pun berbalik kepada rezeki masing-masing, tak kiralah pendatang baru atau lama.
Seorang pelakon tak boleh berhenti belajar. Saya memang rajin bertanya termasuk ‘ringan mulut’ untuk bertanya kepada pelakon-pelakon senior termasuk pengarah demi mendapatkan ilmu. Saya percaya jika reputasi seorang artis itu baik maka rezekinya tetap ada dalam industri.
Cara reward diri pula dengan memberikan hasil yang terbaik dan berkongsi rezeki dengan suami dan ibu bapa. Insya-Allah, hidup kita akan lebih berjaya,” ujar Aprena yang bercita-cita untuk bergelar pelakon teater termasuk mencuba bidang nyanyian dan pengacaraan.
Bersama kakak dan sepupu-sepupunya yang juga pelakon popular. Dari Kiri: Uqasha Sensore, Octavia Manrose, Aprena Manrose, Nelydia Senrose dan Raysha Senrose.
Kredit Foto: Instagram Aprena Manrose
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
MasyaAllah, kuat semangat dan tabah hati ibu bapa Datin Nur Heliza Helmi dan Hazwani Helmi. Sebagai ibu bapa pastinya bukan mudah melepaskan anak tersayang menyertai misi kemanusiaan di negara bergolak. Apatah lagi bukan seorang saja yang turun berjuang sebaliknya dua puteri kesayangan Helmi Hasbi dan isteri, Latifah Muhammad tekad menjadi antara 34 delegasi Global Sumud Flotilla (GSF).
Pasangan suami isteri ini mempunyai empat orang anak. Datin Seri Nur Heliza yang kini berusia 39 tahun merupakan isteri kepada usahawan, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman. Manakala Hazwani Helmi pula berumur 28 tahun dan merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan jurusan Psikologi.
Berita penahanan kapal yang dinaiki mereka iaitu Hio pada 2 Oktober lalu selepas memasuki zon merah perairan Palestin nyata mengundang cemas dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia.
Memetik kenyataan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Commad Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, beliau mengesahkan kesemua delegasi Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan rejim Israel selepas lebih 20 jam insiden pintasan berlaku.
Katanya, mereka sudah terputus hubungan dan ada visual mereka telah pun ditahan oleh pihak rejim berkenaan.
Terdahulu ketika masih dalam misi pelayaran menuju Gaza, Heliza dan Hazwani Helmi atau nama penuhnya Nur Hazwani Afiqah Helmi menerusi media sosial miliknya menitipkan ucapan terima kasih dan penghargaan buat kedua-dua ibu bapa tersayang atas didikan dan sokongan yang diberikan selama ini.
“Terima kasih mama abah sebab menyokong kami, mendoakan kami dan mendidik kami sampai ke tahap ini. Kami tahu bukan mudah mama dan abah nak merelakan dua orang anak perempuan sekaligus untuk misi macam ni.
Tapi kami yakin sebab mama abah antara orang yang sangat yakin dengan kuasa doa. Macam mana Allah jaga kami masa misi di Syria, Gaza dan negara bergolak yang lain. InshaAllah mudah-mudahan untuk misi kali ni juga.
Kami tahu mesti tak lena mama abah. Especially malam ni sebab kami dah masuk red zone. Sangat dekat dah dengan Gaza. Banyak berangkalian akan berlaku. Tapi inshaAllah reda mama abah menjadi payung penyelamat kami.”
Paling meruntun jiwa apabila dia menyatakan, “Mama abah.. terima kasih menjadi ibu ayah yang terbaik buat kami. Halal segalanya. Maafkan segala salah silap kami. Moga Allah ganjarkan syurga tertinggi untuk mama abah. Aamiin.”
Perjuangan Heliza & Hazwani Helmi
Difahamkan misi GSF melibatkan 53 buah kapal flotilla dengan tiga kapal observer dari 45 buah negara. Ia turut mendapat penyertaan seramai 34 delegasi dari Malaysia terdiri daripada 25 delegasi lelaki dan sembilan delegasi wanita.
Antara selebriti dan influencer yang menyertai misi GSF ini termasuklah Zizi Kirana, Ardell Aryana, Farah Lee, Nadir Al Nuri, Haroqs, Zainal Rashid dan ramai lagi.
Marilah kita sama-sama mendoakan kesejahteraan wira dan wirawati di sana serta usaha murni mereka ini memberi inspirasi kepada masyarakat untuk membela nasib golongan yang ditindas.
Nona juga mendoakan agar kesemua aktivis ini dapat segera pulang ke pangkuan keluarga.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bagi yang mengikuti perkembangan Siti Nordiana bersama lima orang rakannya tentu sudah maklum tentang perkara ini. Kegagalan proses mediasi tuntutan kes saman fitnah pelakon dan penyanyi itu terhadap lima rakannya dilanjutkan kepada perbicaraan penuh di Mahkamah Seksyen.
Mungkin ramai yang masih tidak faham apakah itu proses mediasi seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro tersebut. Mediasi merupakan alternatif penyelesaian kes tanpa melalui proses perbicaraan penuh yang menawarkan faedah-faedah seperti yang berikut:
Perkhidmatan mediasi adalah percuma;
Mediator terdiri daripada Hakim dan Pegawai Kehakiman yang mempunyai pengalaman dan berpengetahuan;
Tiada pihak yang kalah kerana persetujuan untuk penyelesaian dicapai secara sukarela. Win-win situation;
Perjanjian penyelesaian juga mengikat pihak-pihak mengikut undang-undang kontrak;
Mediasi dapat menjimatkan masa;
Proses mediasi adalah tidak formal dan fleksibel. Pihak-pihak lebih selesa untuk berbincang;
Mediasi dapat mengeratkan hubungan antara pihak-pihak yang bertelingkah kerana memberi peluang kepada pihak-pihak untuk menjelaskan keadaan masing-masing;
Fasiliti di Pusat mediasi yang menyediakan bilik mediasi dan bilik caucus memberikan keselesaan kepada pihak-pihak untuk berunding dengan selesa dan mengurangkan perasaan risau untuk hadir ke mahkamah terbuka;
Mediasi adalah sulit dan amat berguna bagi tujuan menjaga nama baik seseorang, perniagaan dan lain-lain.
Foto: Koleksi Majalah Nona
Dalam pada itu, wanita yang berkelulusan LLB (Hons) United Kingdom dan Mediator in Civil and Commercial Matters (ADR GROUP, London) serta sedang dalam proses menamatkan MA Global Diplomacy dari SOAS London ini merupakan salah seorang peguam yang memperjuangkan proses mediasi ini.
“Semasa saya di sekolah guaman, The Honourable Society of The Inner Temple, saya diperkenalkan kepada bidang Alternative Dispute Resolution (ADR) iaitu kes-kes tidak ke mahkamah malah menggunakan cara alternatif untuk diselesaikan.
Justeru, saya mula mengenali dan mendalami bidang mediasi (mediation) ini. Oleh kerana saya mempunyai bakat dan sering menjadi pelajar terbaik dalam bidang ini, pensyarah menggalakkan saya untuk mengambil lesen akreditasi untuk menjadi mediator dalam bidang sivil dan komersial,” terang Intan Amalina Dato’ Sri Mohd Sarit.
Foto: Koleksi Peribadi Intan Amalina Dato’ Sri Mohd Sarit.
Cabaran yang dihadapi oleh peguam ini nyata telah menguatkan semangatnya untuk terus berjuang. “Setelah pulang dari London, Tan Sri Apandi Ali (Peguam Negara ketika itu) telah mengundang saya untuk menimba pengalaman di Jabatan Peguam Negara.
Saya masih berpegang teguh dan komited untuk melebarkan sayap dalam bidang mediasi semasa saya menceduk pengalaman di sana. Namun, saya tidak sangka betapa peritnya untuk mendapat peluang kerana kes-kes mediasi sangat terhad di Malaysia.
Foto: Koleksi Majalah Nona
Demi menguar-uarkan tentang proses mediasi, saya dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa, Young Practitioner’s Group di Asian International Arbitration Center (AIAC) yang dulu lebih dikenali sebagai Kuala Lumpur Regional Center for Arbitration (KLRCA).
Salah satu tugas saya adalah untuk bercakap tentang proses ADR dan mediasi kepada bakal-bakal peguam yang masih menuntut seperti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA),” ucap Intan bersemangat.
Setelah hampir berputus asa menghadapi cabaran yang diluar jangkauan, Intan bersyukur kerana telah dipertemukan dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menyuntik inspirasi untuk terus berjuang.
“Rezeki datang tanpa disangka apabila saya diperkenalkan kepada Mediators Beyond Borders International (MBBI) yang merupakan NGO mediasi antarabangsa yang berpusat di Washington. Saya telah dilantik menjadi wakil dari Malaysia dan juga Pengasas MBBI Malaysia.
Foto: Koleksi Majalah Nona
Melalui NGO ini, saya diberi banyak pendedahan kepada dunia mediasi, terutama sekali bidang informal mediasi di mana kemahiran mediasi digunakan untuk menyelesaikan masalah perbalahan dalam komuniti, masyarakat sejagat, serta politik dan juga kemahiran mediasi digunakan sebagai cara menyokong isu-isu yang perlu diketengahkan.
Misalnya, pada tahun 2019, saya telah diundang untuk menyertai dan bercakap di United Nation Women Insider Mediator di Davao, Filipina. Di sana saya berkumpul bersama-sama wanita dari kawasan pedalaman Filipina yang terpaksa berdepan dengan guerilla. Mediator-mediator dipanggil untuk berkongsi kemahiran dengan mereka untuk berkomunikasi secara efektif dan aman,” bicara Intan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Figura bapa disifatkan sebagai seorang hero kepada anak-anaknya. Lelaki yang menjadi pelindung dan membuatkan si anak rasa selamat di sisinya. Tular di media sosial baru-baru ini apabila wajah Timbalan PM, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelihatan sedikit berbeza apabila muncul di kaca TV menerusi Buletin Utama, menyaksikan mata beliau yang kelihatan sedikit bengkak dan lebam.
Malah dalam posting Instagram milik Timbalan Perdana Menteri itu 2 minggu lalu, beliau lebih banyak mengenakan kaca mata hitam. Tidak gelabah dengan spekulasi yang dilemparkan, anak sulungnya Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dengan tenang tampil menjelaskan bapanya mengalami kerosakan saraf optik dan memerlukan pembedahan.
“Saraf mata dia tak function (berfungsi). Sebab tu mata dia jadi ‘jatuh’. Buat muka buat apa, bukan super star pun. Kalau sampai mudarat sebab saraf mata, kena la buat sesuatu. Tapi biasalah orang lagi seronok fitnah daripada tahu perkara sebenar,” tulisnya membalas komen netizen di Instagram.
Bukan itu sahaja, Nurulhidayah menjelaskan bahawa sebagai ahli politik, ayahnya perlu kuatkan semangat dan tetap bertugas demi rakyat dan negara walaupun sakit kerana ayahnya memikul satu tanggungjawab besar yang diamanahkan.
Nurulhidayah berkata bapanya masih dalam proses pemulihan dan tidak berehat lama selepas pembedahan mata. Pada 22 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengesahkan Zahid bercuti selama dua minggu.
Nona bertandang ke kediaman Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid atau Datuk Nurul pada awal Mei lalu sambil ditemani bapanya secara eksklusif, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Tiada kasih sayang yang lebih besar daripada kasih sayang ibu bapa terhadap permata sulungnya. Anak pertama yang mendidik kita erti keluarga bahagia dan menjadi harapan menjaga adik-beradik yang lain. Selain ibu dan isteri, anak perempuan sulung juga cinta hati sebenar seorang insan bergelar bapa.
Sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, bukan mudah untuk mengatur temu janji apatah lagi dengan kepadatan jadual beliau dalam pelbagai urusan pentadbiran negara.
Namun demi memenuhi permintaan Nona yang ingin mendekati keperibadian Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang bapa, segalanya bagai dipermudahkan. Keluar daripada limelight sebagai ahli politik, NONA menyelami kasih sayang seorang bapa dalam diri pemimpin nombor dua negara ini.
KEPADATAN JADUAL
Pada usia menjangkau 70 tahun, Dato’ Seri Ahmad Zahid jujur mengakui sukar membahagikan masa untuk keluarga terutama sekali sebagai bapa untuk anak-anak tersayang.
“Sejak 1 Oktober 1987, saya akui berlaku ketidakadilan untuk anak-anak sepanjang saya bergiat aktif dalam politik secara sepenuh masa. Ketika itu saya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan.
Tapi Alhamdulillah isteri, anak-anak dan cucu-cucu faham. Yang penting, sebagai seorang bapa dan datuk, saya perlu bijak bahagikan masa untuk mereka. Mungkin masa tidak panjang, tapi saya manfaatkan masa tersebut sebaik mungkin bersama-sama,” ujar Dato’ Seri Ahmad Zahid memulakan bicara.
Kata bapa kepada 5 cahaya mata itu lagi, keperibadian dirinya banyak dipengaruhi oleh bapa tersayang, Raden Hamidi Abdul Fatah yang menjadi role model kehidupannya.
“Tak seperti anak-anak lain yang dapat selalu berjumpa bapa setiap hari, saya pula kurang bernasib baik. Sebaik menamatkan persekolahan darjah enam, saya ‘melangkah keluar rumah’ untuk menyambung pelajaran di peringkat menengah dan seterusnya sehingga menamatkan pengajian di universiti. Tetapi arwah bapa merupakan seorang guru agama yang tegas dalam mendidik anak-anak. Dalam ketegasan itu, penuh sifat kasih sayang.
Saya masih ingat kenangan ketika ‘mengubah suai’ motor yang beliau gunakan untuk pergi mengajar. Tanpa background mekanikal, saya dan adik overhaul motor tersebut.
Bila arwah tahu, kami kena marah tapi itulah momen yang tak boleh saya lupakan,” imbau beliau sambil tersenyum mengingati momen bersama bapanya yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun, 9 tahun yang lalu.
PANGLIMA KELUARGA
Sering dilabel sebagai individu lantang di media sosial, sosok Datuk Nurul Zahid sememangnya menjadi sebutan apabila timbul isu berkait dengan bapanya. Melihat keakraban dua beranak ini sepanjang sesi fotografi berlangsung, tidak hairanlah mengapa kedua-duanya mempunyai bonding yang kuat dan menyokong antara satu sama lain.
Melihat kesibukan jadual tugas sang bapa, Datuk Nurul Zahid mempunyai pandangannya tersendiri. Beliau menyifatkan sudah menjadi lumrah seorang bapa untuk mencari rezeki untuk keluarga. Justeru, wanita hebat ini cukup mengagumi pengorbanan lelaki bergelar bapa di mana-mana sahaja.
“Sebenarnya Abah selalu berlaku adil pada kami. Kalau bukan ahli politik pun, Abah tetap akan sibuk dengan kerjaya. Jadi sebagai ‘panglima’ keluarga, saya akan ke depan untuk menjaga air muka dan maruah keluarga kami. Saya ambil pendekatan saya sendiri yang lebih mengetahui tentang keluarga serta tak endah dengan kata-kata orang,” akui Datuk Nurul Zahid tanpa berselindung.
Ketika ditanya tentang penglibatan anak perempuan sendiri dalam dunia politik, sebagai seorang bapa, Dato’ Seri Ahmad Zahid mempunyai pandangan yang tersendiri.
“Saya tak galakkan Nurul masuk politik, tapi tak juga melarang. Malah saya juga selalu melarang dia daripada bersusah-payah mempertahankan diri saya. Biarkan masyarakat melihat realiti sebenar. Bagi saya, yang penting realiti politik yang sangat dinamik dan tiada batas sempadan. Kebebasan media perlu ada etika,” tutur si bapa sambil melirik anak kesayangan yang mesra disapa Kak Long dalam keluarga itu.
Tambah Dato’ Seri lagi, sempena Aidilfitri lalu, ramai yang datang memohon maaf pada beliau secara terbuka, mungkin kerana terlajak mengatanya secara terang-terangan tanpa perasaan.
“Maka sempena sambutan Aidiladha ini, saya maafkan semua. Asalkan tak buat lagi,” pinta Dato’ Seri Ahmad Zahid yang turut mengambil pendekatan memaafkan lebih besar ertinya dalam kehidupan.
Ketika ditanya mengenai perangai mereka yang saling mempengaruhi satu sama lain, dua beranak ini rupa-rupanya mempunyai persepsi yang tulus mengenai perwatakan yang banyak mempengaruhi keperibadian keluarga ini.
“Minda dan sikap saya on & off… Saya tak suka bawa masalah politik balik ke rumah dan sebaliknya. Alhamdulillah saya dapat tidur dengan lena. Saya tak fikirkan masalah,” ujar Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid.
“Pada pandangan saya pula, Abah merupakan seorang yang pandai reset perasaan. Dia sangat profesional terutamanya dari segi emosi. Saya juga banyak mengikut cara Abah dari segi priority hidup. Utamakan apa yang penting dalam kehidupan iaitu mak, abah, suami dan keluarga,” balas Datuk Nurul Zahid.
Generasi berganti, harapan Datuk Nurul Zahid sebagai seorang anak ini mencuit perasaan.
“Abah sudah menjangkau usia 70 tahun. Kalau boleh saya nak Abah hidup tenang dan habiskan sisa hidupnya di samping anak-anak. Kami adik-beradik boleh berbakti untuk Mak dan Abah.
Seandainya Allah bagi ujian Mak atau Abah sakit, saya sendiri akan berkorban menjaga mereka hingga ke akhir hayat. Sebab bagi saya, tak guna jika kita ada harta di dunia tapi tak boleh berbakti dan beri kasih sayang pada ibu bapa.
Saya tahu dari segi harta, Abah boleh cari sendiri. Apa sahaja Abah dan Mak boleh cari sendiri. Tapi kasih sayang anak memang Abah dan Mak tak boleh cari di mana-mana. Dan saya juga tak boleh dapat Abah atau Mak seperti itu kerana mereka tiada galang gantinya,” akhiri Datuk Nurul Zahid seraya mengakhiri perbualan.
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.