Sekarang cuaca panas yang tak menentu mengundang bermacam masalah kesihatan antaranya selesema, demam dan batuk. Bukan saja anak-anak yang menderita dengan gejala ini bahkan dewasa juga. Biasanya batuklah yang paling memakan masa yang lama untuk sembuh.
Batuk merupakan tindak balas semula jadi badan bagi menyingkirkan berbagai zat penyebab iritasi di saluran pernafasan. Jenis batuk ialah berkahak bercampur lendir dan batuk kering. Kedua-duanya cukup mengganggu terutama waktu malam sehingga menjejaskan kualiti tidur.
Salah satu punca batuk ialah merokok atau berada di tempat berudara kering. Batuk juga boleh menjadi gejala kepada mereka yang mengalami masalah kesihatan seperti asma. Banyak cara yang boleh diikhtiarkan untuk meredakan gangguan batuk.
MINUM BANYAK AIR KOSONG
Ini cara paling mudah boleh dilakukan. Sebaiknya ambil yang suam kerana ia dapat membantu mencairkan lendir yang kental sekaligus membersihkan saluran pernafasan.
Ads
PILIH MINUMAN YANG MELEGAKAN
Selain air kosong, boleh juga memilih minuman panas yang lain bagi melegakan sakit tekak akibat batuk. Contohnya secawan teh madu panas bersama hirisan lemon yang dapat membantu melegakan hidung tersumbat dan sakit tekak. Anda juga boleh menghirup jus nanas segar yang membantu menghilangkan lendir di tekak.
BERENDAM ATAU MANDI AIR PANAS
Ads
Sama manfaatnya seperti meminum air suam. Wap yang terhasil dapat membantu melegakan hidung tersumbat sekaligus mengurangkan batuk. Namun begitu ingat, jangan mandi atau berendam terlalu lama kerana boleh menyebabkan kulit kering.
JAGA KEBERSIHAN & KELEMBAPAN UDARA
Ads
Udara yang kering boleh menyebabkan batuk. Salah satu cara untuk anda menjaga kelembapan dan kebersihan udara ialah dengan menggunakan humidifier. Asap rokok juga boleh menyebabkan penghasilan lendir yang berlebihan sehingga mengakibatkan batuk menjadi lebih parah.
MAKAN UBAT BATUK
Jika batuk masih belum reda setelah mencuba cara-cara tadi beralihlah kepada ubat batuk. Anda boleh membelinya di farmasi berdaftar. Namun pastikan dulu, jenis batuk kering atau berkahak bagi memastikan anda membeli ubat yang betul. Salah satu ubatnya Dextromethrophan yang membantu mengurangkan rasa hendak batuk. Jika anda sering batuk pada waktu malam dan tanpa kahak boleh pilih ubat jenis ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Isu tentang seorang wanita yang mengadu dirinya dikasari kekasihnya, seorang bekas pemain kebangsaan yang dipercayai membelasah dirinya sehingga cedera selepas berlaku pergaduhan antara mereka baru-baru ini cukup menggemparkan. Yang pasti, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku.
Memandangkan kes ini sudah pun dalam perhatian pihak polis, NONA enggan memberikan sebarang pandangan serta komen yang lebih namun apa yang lebih menarik perhatian ialah perincian siapakah sebenarnya wanita tersebut, yang dikenali dengan nama Hana Rose.
Melihat pada hantaran di laman Instagamnya, boleh NONA simpulkan Dr Hana Rose ini bukanlah calang-calang juga orangnya. Dikurniakan wajah yang anggun, menawan serta bijak dan boleh dikira sukses, mungkin kisah kejayaan Dr Hana Rose boleh menjadi inspirasi buat wanita di luar sana.
Jadi, NONA menyelidiki siapakah sebenarnya Dr Hana Rose dan ini fakta yang dapat kami jumpa di laman Internet.
Menerusi perkongsian dari FB Malaysian Beauty Pageant Fan Club, Dr Hana Rose atau nama sebenarnya Hani Farhana Binti Hasrul Sani sebelum ini pernah dinobatkan sebagai Mrs Universe Borneo edisi 2019/2020 dan merupakan seorang usahawan yang cukup berjaya.
Malah Dr Hana Rose juga pernah menjadi Ketua Juri untuk pertandingan Ratu Agro Fest pada tahun 2019. Dr Hana Rose juga merupakan ibu kepada dua cahaya mata menurut perkongsian FB Malaysian Beauty Pageant Fan Club.
Juga merupakan seorang model, Dr Hana Rose dilahirkan di California, Amerika Syarikat dan dibesarkan di Kyoto, Jepun. Dan beliau dikhabarkan cukup fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris, Jepun dan Bahasa Malaysia.
Dr Hana Rose yang juga merupakan seorang doktor kulit dan estetik bertauliah malah turut memiliki kliniknya sendiri, iaitu Rose Bay Clinic yang berlokasi di Sutera Avenue, Kota Kinabalu Sabah.
Klinik Dr Hana Rose ini memfokuskan kepada penjagaan dan rawatan kulit, transplant rambut, pengurusan berat badan, dan laser pico. Malah Dr Hana Rose juga cukup aktif di laman Youtube di mana Dr Hana Rose banyak berkongsi tip-tip penjagaan wajah ‘Glow Up With Dr Hana’ termasuk di laman media sosial Tik Tok.
Apa-apa pun NONA mendoakan yang terbaik buat Dr Hana Rose dan semoga keadilan berpihak kepada pihak yang benar.
Bukan mudah untuk menjejak kisah terbaru usahawan wanita bertaraf legenda ini. Barangkali di atas faktor umur dan tidak lagi memimpin PT Mustika Ratu, beliau lebih senang menikmati sisa kehidupan jauh daripada perhatian media. Ibu Mooryati juga selesa beristirahat dan menyerahkan urusan dunia kepada para pewaris.
Mesra dan menyenangkan. Seperti masih terbayang momen penulis menemu bual Ibu Mooryati dan anakanda, Putri Kuswinu Wardani saat mereka berkunjung ke Malaysia.
Biarpun sudah sedekad lamanya, kenangan itu kini bertukar rindu terhadap jenama gergasi Indonesia yang cukup sebati di hati. Bayangkan walau berstatus jutawan kosmetik serta memiliki segudang harta yang melimpah-ruah, keluarga ini tetap merendah diri.
Kerana rindu menemukan penulis dengan cucu-cucu Ibu Mooryati iaitu adik-beradik Dr Kusuma Puteri dan Kusuma Anggraini, anak kepada Djoko Ramiadji (anak sulung Ibu Mooryati).
Menerusi akaun Ninik yang memegang posisi Pengarah Hotel Sheraton Mustika, Yogyakarta, perkongsian mereka bersama nenda kesayangan yang dipanggil Eyang Ti, mengubat kerinduan. Paling seronok tengok sambutan hari jadinya yang ke-94!
Masih kelihatan sihat dan bertenaga pada usia mencecah seabad, rahsia pengasas Mustika Ratu itu tak lain dan tak bukan hanyalah amalan minum jamu.
“Dari masih muda saya rajin minum jamu, saat ini pun saya masih rajin. Saya biasanya minum beras kencur yang saya buat sendiri di rumah.” Ibu Mooryati
Dengan kulit wajah yang masih licin, Ibu Mooryati membuktikan bahawa jamu adalah rahsia awet muda yang sangat mustajab.
Tengok kehidupan keluarga dan cucu-cucu beliau pun harmoni belaka. Semua cantik-cantik dan tampan, paling penting hidup senang serta berkerjaya bagus. Antaranya dua beradik ini yang bergelar doktor dan pengurus hartanah.
CUCU RAJA JAWA
Barangkali tidak ramai menyedari bahawa pengasas Mustika Ratu, Dr. B.R.A Mooryati Soedibyo ini merupakan seorang cucu Raja Jawa yang juga digelar pahlawan nasional Indonesia, Sri Susuhunan Pakubuwana X.
Dilahirkan pada 5 Januari 1928 di Solo, Ibu Mooryati membesar di istana, atau keraton, di Surakarta yang sarat kebudayaan Jawa. Di sini jugalah beliau mengenal tumbuhan berkhasiat, meramu jamu dan kosmetik tradisional dari bahan semula jadi.
Nenda Ibu Mooryati merupakan pemerintah dari susuhunan kesembilan Kesunanan Surakarta (1893-1939) sekaligus menjadikan keluarga itu susuhunan paling lama memerintah dalam sejarah Surakarta.
Gelaran B.R.A pada pangkal nama Ibu Mooryati adalah singkatan kepada Bendara Raden Ayu yang diberikan oleh kerajaan kepada golongan putera puteri Sultan, cucu cicit hinggalah generasi di bawahnya.
BERNIAGA
Cantik dan pintar. Begitulah gambaran masyarakat terhadap sosok Ibu Mooryati sejak dahulu lagi.
Beliau merupakan alumni Universitas Saraswati, Universitas Terbuka dan Universitas Sebelas Maret Surakarta. Bahkan gelaran Doktor diperoleh dari Universitas Indonesia dalam jurusan Ekonomi.
Bukan itu sahaja, Ibu Mooryati merupakan penerima gelaran doktor tertua di Indonesia dan tercatat dalam The Indonesia World Records Museum (MURI)!
Seorang yang pandai menari, wanita ini menikah saat usianya menginjak 37 tahun. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Soedibyo Purbo Hadiningrat pada tahun 1965, kemudian mengikuti suaminya bertugas di Sumatera Utara.
Sebagai suri rumah, Ibu Mooryati fokus terhadap tugasnya sebagai ibu anak lima. Sambil menjaga Djoko Ramiadji, Putri Kuswinu Wardani, Dewi Nur Handayani, Haryo Tejo Baskoro dan Yulia Astuti di rumah, beliau mengamalkan jamu setiap hari.
Siapa sangka, hobi minum jamu Ibu Mooryati menjadi ikutan wanita lain. Beliau menggunakan resipi asli Keraton Surakarta untuk meracik jamu dan kosmetik dari bahan alami.
Jamu racikan ini mula digemari dan mendapat banyak tempahan. Di situlah bermulanya idea untuk berniaga.
Tanpa mempedulikan komen-komen negatif, beliau merintis perniagaan jamu dari ruangan garaj di rumah. Waktu itu (tahun 1973) Ibu Mooryati hanya sekadar mempunyai modal Rp 25,000 (sekitar RM7) untuk membangunkan Mustika Ratu.
“Trahing kusumo rembesing madu, trahing sinatrio mustikaning ratu.” Peribahasa Jawa
Mengambil nama Mustika Ratu dari peribahasa Jawa, empayar Ibu Mooryati pun berkembang ketika umurnya 45 tahun. Dari bantuan dua orang pembantu menjadi 25 orang dan kemudian meningkat 50 orang. Kesemua pekerja ini mendiami rumahnya.
Ingat lagi nama-nama jamu Mustika Ratu yang pernah kita amalkan dulu? Antaranya Perawatan Remaja Putri, Perawatan Wanita, Kesepuhan dan Sepetan Sari yang sering dijual di toko-toko jamu dan salun kecantikan.
Tahun 1981, Ibu Mooryati membangunkan gedung sendiri hasil pinjaman bank berjumlah Rp100 juta untuk memajukan Mustika Ratu. Sejak itu beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Maju terus dan memartabatkan produk tempatan Indonesia secara holistik.
‘Semangatmu, dedikasimu, karyamu dan kerja kerasmu akan selalu menjadi inspirasi yang berharga untuk wanita Indonesia’ Mustika Ratu
LEGENDA
Ibu Mooryati banyak menjalankan program di peringkat nasional dan antarabangsa dalam mengangkat sosok wanita yang kuat. Salah satunya pertandingan Puteri Indonesia yang berinspirasikan daripada acara Miss Universe yang dihadirinya pada tahun 1990.
Percaya bahawa wanita mampu memimpin dan menguruskan organisasi, beliau menerapkan prinsip Pemberdayaan Perempuan untuk mencapai kesamarataan gender.
Tak hairanlah syarikat beliau terpilih sebagai advocate dalam G20 EMPOWER serta menjadi antara 60 perusahaan di Indonesia dan antara 4,637 perusahaan di dunia yang tergabung dalam Women’s Empowerment Principle.
Kini meskipun Ibu Mooryati tidak lagi bekerja keras seperti dulu namun legasi Mustika Ratu terus menjadi kebanggaan rakyat jiran dan menjana ekonomi rakyatnya. Semoga segala jasa dan usaha keras wanita ini mendapat penghargaan sewajarnya!
Foto: Instagram @ninik102
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hubungan mesra dan romatis di antara Yang di-Pertuan Agong ke-16, Tuanku Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sering mencuri tumpuan rakyat.
Raja Permaisuri Agong memang dikenali sebagai anak raja yang cukup sinonim dengan hobi suka memasak. Tidak kekok di dapur, kisah Raja Permaisuri Agong turun padang memasak juadah untuk petugas barisan hadapan dan mangsa banjir sering kali mendapat perhatian media dan orang awam.
Raja Permaisuri Agong telah berkongsi potret peribadi yang menjadi kegemarannya.
Pasangan diraja ini sering mendapat perhatian rakyat dan menyifatkan sebagai pasangan romantik. “Dalam mana-mana perkahwinan, kita kena jadi kawan yang baik. Mesti boleh berkomunikasi. Itulah Tuanku dan saya,” titahnya.
Mengimbas kembali perkahwinannya yang disifatkan separa diatur, Tuanku Azizah bertitah pertemuan pertama berlaku di padang polo di Johor ketika usianya 12 tahun dan Sultan Abdullah pula berusia 13 tahun.
Selama 13 tahun berkawan dan bercinta, hanya surat, aerogram dan telefon yang menjadi penghubung setiap minggu. Istimewanya, semua surat itu masih tersimpan rapi sebagai kenangan berharga percintaan jarak jauh baginda berdua.
“Ayahanda saya dulu sangat tegas, betul-betul ikut cara Islam, mana boleh keluar bersama, pergi tengok wayang atau minum kopi. Ya, kami tidak pernah. Apatah lagi pegang tangan. Setiap kali Tuanku nak jumpa saya, kena buat temu janji dan makan tengah hari bersama ayahanda saya.
Nenda saya dan nenda Tuanku mahukan perkahwinan ini. Melihat ayahanda saya yang begitu tegas, nenda saya selalu ajak Tuanku datang Johor untuk bermain polo. Jadi dapatlah kami berjumpa di padang polo, itu pun dengan semua orang keliling.
Saya ingat ketika umur saya 23 tahun, Tuanku pernah tanya adakah saya mahu menjadi isterinya satu hari nanti. Saya jawab, adakah Tuanku anggap saya ni cukup baik untuk menjadi ibu kepada anak-anaknya.
Tapi Tuanku tidak ajak saya kahwin. Tuanku beritahu ayahandanya supaya mengumumkan dia akan mendirikan rumah tangga pada hari keputeraan baginda pada Oktober 1985, tetapi tidak cakap dengan siapa.
Ayahanda saya pula tidak tahu mengenai pengumuman itu. Apabila rombongan Pahang sampai, ayahanda saya tanya, adakah dia nak atau ini perkahwinan yang diatur? Jika diatur oleh ibu bapa, saya tidak terima. Kalau dia sendiri mahu, saya terima.
Selepas tiga hari, barulah ayanhanda kata “Bah lupa nak tanya Azizah nak ke tak nak, tapi Bah dah terima,”. Saya bernikah pada Mac dan bersanding pada 19 Julai (1986). Antara Mac dan Julai, walaupun sudah jadi suami isteri yang sah, tetap tak boleh keluar. Saya di Johor, Tuanku di Pahang.
Majlis perkahwinan diadakan di Johor dengan penuh istiadat kerana anak Agong berkahwin dengan Tengku Mahkota Pahang. Titiek Soeharto selalu kata, itulah satu-satunya majlis perkahwinan yang berlarutan sampai jam 5 pagi,” titahnya.
“Saya tidak rasa kami ni romantik sangat. Media selalu rakam momen yang tidak kami perasan macam masa suapkan lauk. Bagi saya ia adalah perkara natural (melayan suami) seperti letakkan lauk untuk suami.
Kami tak adalah panggil ‘Sayang’, atau sebab kami dah kenal 13 tahun sebelum berkahwin, Tuanku panggil saya Ji (Zizi) dan saya pangil Taunku ‘Alam’ atau ‘Lam’. Tapi saya rasa Tuanku suka bila saya panggil ‘Bah’ (Babah),” titah Raja Permaisuri Agong.
Pasangan diraja ini telah berkahwin pada 6 Mac 1986. Raja Permaisuri Agong bersyukur dikurniakan suami yang baik hati, sentiasa bercakap dengan lemah lembut dan sepanjang 46 tahun mengenali Tuanku Abdullah, tidak pernah didengar baginda meninggikan suara.
“Tuanku ni baik. Hatinya cukup baik, tidak pernah gosip, ‘membawang’, tak pernah cakap orang jahat, tidak pernah komen, sentiasa bercakap lemah-lembut dan tidak kasar. Tuanku juga baik dengan semua orang dan layan orang tidak kira siapa pun mereka, terutama yang susah,” titah Raja Permaisuri Agong.
Sumber: Harian Metro
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.