Setiap penghijrahan yang berlaku dalam diri manusia umpama rama-rama yang keluar bebas dari kepompong. Lebih segar dan baru. Dalam Islam sekalipun, penghijrahan itu dilihat sebagai perkara sunat yang memberi kebaikan kepada diri, untuk menjadi versi yang lebih baik dari semalam.
Berbicara soal penghijrahan, figura ini seringkali mencurah inspirasi juga aspirasi mengenai perubahan dirinya. Nama Mizz Nina atau Shazrina Azman, 42, bukanlah nama yang perlu diberi introduksi yang panjang. Usaha dakwahnya dalam pembangunan Islamiah tidak perlu dipersoalkan lagi. Seringkali berkongsi pengalaman hijrahnya serta perjalanan hidupnya, Mizz Nina diibaratkan satu dalam sejuta.
Baru-baru ini, menerusi laman Instagramnya, Mizz Nina berkongsi tentang satu sesi temubual bersama Islam Channel di London bagi program Salaam Britain. Apa yang menarik tumpuan NONA berkaitan hantarannya itu ialah perkongsian jawapannya kepada soalan yang diajukan kepadanya;
“Saya ingin tahu dari Nina yang sebenar, apakah satu perkara yang anda suka mengenai diri anda?”
Menurut Nina, dia tergamam sebentar saat Sr Jennifer, pengacara bagi program Salaam Britain mengajukan soalan itu. Nina yang ketika itu terdiam sebentar, kaku untuk memberikan jawapan. Tidak tahu apa untuk dibalas.
View this post on Instagram
Kadang-kala apabila anda dilanda kesusahan, kehilangan ataupun sentiasa mengutamakan orang lain, anda terlupa tentang perkara yang anda suka mengenai diri sendiri. Anda lupa tentang kebolehan diri. Ada masanya, anda tidak yakin dengan diri sendiri.
Sebenarnya, kita harus merenung dan fikir kembali mengenai hal ini. Bukan hanya sekadar pergi ke spa untuk memanjakan diri demi mendapatkan ketenangan diri dari aspek spiritual, emosi dan mental. Hakikatnya, ia berkaitan dengan rasa syukur pada Allah dengan segala pemberiannya yang tidak terhingga.
Benar. Kadang-kala hati jadi kosong disebabkan terlalu menahan diri menghadapi segala cabaran yang hadir. Namun, seperti kata Nina, kita terlupa untuk menghela nafas lega, meluahkan rasa syukur kepada ALLAH SWT dengan segala pemberian-Nya.
Selepas beberapa saat terdiam, Nina menjawab, kekuatannya untuk bangun dan memulakan perjalanan hidupnya, merupakan perkara yang disukai tentang dirinya. Biarpun langkah pertama itu amat sukar, namun dia percaya, ALLAH SWT sentiasa akan membantunya.
Kekuatan dan keupayaan saya untuk bangun dan mulakan hidup saya sekali lagi, itulah jawapan yang diberikan. Langkah pertama sentiasa akan sukar, namun Allah membantu saya setiap masa.
Itulah keindahan Islam. Kita seringkali diberi peluang saat ingin berubah menjadi versi yang lebih baik. Ada ketikanya, cabaran terlalu sukar dan ada harinya saya murung. Kita semua sentiasa berusaha inginkan yang terbaik. Oleh itu, terima dan sayangilah diri anda, samaada yang baik mahupun yang buruk. Apabila kita kenali diri dengan lebih dekat, ia merupakan kunci kepada sebuah perubahan yang baik.
Sudah terang lagi bersuluh, Nina bukan sahaja mempunyai hati yang murni , malah setiap bibit bicaranya mampu untuk membuat para pendengar menitiskan air mata.
Meninjau di ruangan komen, ramai yang terpegun dengan jawapan dari pengasas aplikasi Qalby ini. Mereka menyifatkan ia sebagai pencetus semangat serta memberi inspirasi kepada semua.
Semoga Mizz Nina tidak henti menjadi sumber rujukan terutamanya kepada kaum hawa untuk menjadi lebih yakin, postif dan cekal menghadapi dugaan.
Sumber gambar: Instagram Mizz Nina