
Baru-baru ini berlangsungnya Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) yang bersiaran secara langsung di Encore Melaka. Tular di laman media sosial di mana Maya Karin mendedahkan yang dirinya diserang ‘panic attack’ atau serangan panik ketika menyampaikan anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.
Menerusi video tersebut, kelihatan pelakon jelita tersebut secara tiba-tiba menggigil dan gagal menyeimbangkan badan ketika membacakan anugerah bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik ketika itu, lalu bertindak membuka kasutnya. Walau bagaimana pun, ramai yang mengagumi kecekalan Maya yang masih mampu mengawal diri menyelesaikan amanah yang diberikan sambil mengucapkan kata maaf kepada penonton.
@zalsmax Replying to @sxnannwoo19 Kenapa eh dengan Maya Karin ? #MayaKarin #FFM32 ♬ original sound – Zal H
Melalui laman sosial Instagramnya, Maya bagaimanapun berkata, rakan artis, Faizal Hussein yang pada ketika itu turut menjadi pasangan penyampai anugerah menyelamatkan dia daripada terjatuh di pentas.
“Hero saya semalam, sangat ‘gentleman’, siap kutip kasut saya yang tertinggal di pentas,” tulisnya di Instagram.
Rata-rata pengikut bersimpati dengan keadaan kesihatannya dan berterima kasih kepada Faizal yang sentiasa memastikan pelakon kesayangan itu berada dalam keadaan baik.
Maya Karin sebelum ini memang diketahui pernah beberapa kali diserang panic attack ketika di set pengambaran. Dalam pada itu, Maya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu berkata, dia kini berada dalam keadaan baik, namun masih trauma dengan kejadian.
“Keadaan saya semakin baik. Namun, saya masih trauma. Sudah tentu saya berharap ia tidak pernah berlaku,” jelasnya.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Penambah SERI MUKA @ Petanda PENYAKIT, Fakta TAHI LALAT Yang Perlu Ambil Tahu!

Bagi kebanyakan orang, tahi lalat dianggap seperti ‘penyeri’ wajah. Namun, ada juga yang berpendapat sebaliknya dan disifatkan petanda sesuatu penyakit. Saintifiknya, tahi lalat merupakan gangguan pigmen di kulit yang sering didapati dalam warna kecoklatan, hitam atau senada warna kulit. Seperti perbezaan warnanya, pembentukan tahi lalat juga muncul secara rata di kulit dan ada yang tumbuh lebih tinggi daripada kulit di sekitarnya.
Sebahagian besar tahi lalat tidak mengganggu kesihatan sama sekali. Pun begitu, kajian turut tidak menolak kemungkinan tahi lalat yang terbentuk dengan sifat tertentu boleh menjadi tanda kanser kulit.
SEBAB TAHI LALAT TERBENTUK
Ia disebabkan sel yang memproduksi pigmen kulit berkumpul di satu-satu bahagian di kulit. Hal ini menyebabkan pigmen kulit di daerah tersebut menjadi lebih banyak sehingga warna kulitnya berbeza dengan kulit di sekeliling. Umumnya, tahi lalat tidak menimbulkan sebarang gejala berbahaya kepada kesihatan.
Individu berkulit cerah akan lebih cenderung memiliki banyak tahi lalat berbanding mereka yang berkulit gelap. Jika jumlahnya kian bertambah, tidak perlu khuatir kerana ia adalah situasi biasa di kalangan wanita hamil atau sudah berusia.
MULA MENJADI BAHAYA
Tahi lalat yang terbentuk kerana akibat pendedahan yang terlalu lama kepada sinaran matahari boleh menjadi salah satu punca kanser kulit. Apabila terjadi gejala tahi lalat seperti rasa sakit, anda harus berwaspada dengan simptom-simptom berkenaan.
Antara simptom yang boleh membawa kepada penyakit kanser kulit termasuk:
- Tahi lalat berubah warna menjadi lebih gelap atau memiliki lebih daripada dua warna
- Tahi lalat mengalami perubahan ukuran
- Rasa gatal, berdarah, sakit seperti terbakar dan membesar dengan cepat
- Tepi tahi lalat tidak rata kerana tahi lalat normal berbentuk simetri bulat atau oval
BAGAIMANA PULA JIKA DITUMBUHI RAMBUT?
Menurut laporan Men’s Health, rambut yang tumbuh di tahi lalat adalah satu proses normal dan rambut yang tumbuh di kawasan tersebut mempunyai kulit sihat dan tidak bermasalah.
- Tahi lalat yang ditumbuhi rambut yang banyak bukanlah satu tanda pasti kepada kanser
- Berdasarkan pemerhatian ahli akademik dari University of Wisconsin School of Medicine and Public Health, kanser tidak tumbuh di struktur normal tetapi pertumbuhan rambut di tahi lalat bukan kejadian asing.
“Saya Cuma Kisah Pendapat DIA SEORANG Saja. Saya Puas Bila Dia Kata, Tombiruo Menjelma Depan Mata!” ZUL ARIFFIN

Gara-gara watak Tombiruo, semua peminat Zul Ariffin tahu bahawa aktor kacak ini terpaksa ‘membina badan six-pack’ agar mirip sang Penunggu Rimba.
Tidak boleh terlalu kekar dan tidak juga terlalu kurus. Peranan Zul Ariffin sebagai Ejim atau Tombiruo yang menjadi legenda di hutan Keningau turut ‘memaksa’ dia sentiasa bertopeng.
“Memang kali ini produksi filem betul-betul tak menjual rupa. Bayangkan wajah saya tak nampak langsung, sebaliknya mereka banyak close up pada bahagian badan dan mata.
Saya rasa watak Farid Kamil pun lebih menguntungkan sebab sekurang-kurangnya orang tahu juga itu Farid Kamil,” seloroh Zul sambil ketawa.
Katanya kepada Nona, salah satu scene yang paling sukar dilupakan adalah sewaktu mengangkat Nabila Huda, atau pemegang watak Wan Suraya di sungai.
“Rasa menggigil-gigil tangan angkat dia! Bukan saja berat, tambah lagi kena jalan atas batu-batu sungai dan rambut palsu yang menutup topeng muka.
Masa scene tu, kami sama-sama cuak sebab batu licin. Nabila yang ‘konon-konon’ pengsan tu pun asyik minta maaf,” sambung Zul tertawa kecil.
Nona: Tak bawa Mak?
“Saya dengan Mak memang close sangat sebab saya anak bongsu. Kadang-kadang ada juga bawa dia ke lokasi penggambaran sebab nak Mak tengok sendiri bagaimana saya bekerja.
Tapi untuk shooting Tombiruo ni, saya tak cakap langsung sebab kebanyakan scene di hutan. Tak sesuai pula bawa Mak.
Sebenarnya sepanjang penggambaran tu, saya selalu cedera kerana buat stunt sendiri. Nak pakai padding tak boleh sebab Tombiruo tak pakai baju.
Ligamen lutut saya pun cedera sebab dehydrated joint. Itu belum lagi kena slip disc dan macam-macam lagilah! Kalau Mak nampak tentu dia risau. Sebab tu saya rahsiakan,” kongsi lelaki kacak berumur 31 tahun itu.
Nona: Pengalaman baru sebagai Tombiruo?
“Sebenarnya setiap kali berlakon, ada saja benda baru yang saya belajar. Untuk filem ini, salah satunya kena selalu bawa bandage (ketawa).
Tapi sebenarnya I wish I had more time. Walaupun saya dah bagi sepenuhnya, tapi saya yakin kalau ada banyak masa lagi mesti saya akan beri yang sehabis baik.
Penggambaran filem ini dijalankan selama 60 hari iaitu dari bulan Ogos hingga September 2016. Saya selalu dengar macam-macam pendapat… Yang itu yang ini, buat begitu atau jangan buat begini, tapi sejujurnya saya cuma value pendapat yang keluar dari mulut Abang Ramlee saja.
Berkali-kali saya tanya dia, Abang nak role ni macam mana? Sebab bagi saya sebagai penulis cerita Tombiruo yang sebenar, hanya dia yang layak nilai lakonan saya.
Dan momen paling memuaskan hati ini sebagai pelakon adalah bila saya siap pakai kostum, dengar Abang Ramlee cakap, ‘Tak percaya orang yang saya imagine menjelma depan mata!’
Ramlee Awang Murshid Dapat Ilham Sebelum Tidur
Memilih untuk bekerja dari rumah, novelis thriller No. 1 di Malaysia ini mengakui selalu mendapat inspirasi menulis sebelum tidur.
“Yang sebenarnya bila-bila pun idea tu boleh datang. Tapi saya paling tak suka bila ‘dia’ datang sebelum tidur sebab saya akan jadi susah nak tidur!
Jadi cara yang saya buat, saya pujuk-pujuk ‘otak’ supaya keluarkan lagi banyak idea bila saya bangun tidur nanti,” kata Ramlee Awang Murshid yang kini memilih untuk menulis sepenuh masa.
Nona: Abang Ramlee bekerja dari rumah ke sekarang?
“Ya, itu keputusan saya selepas berkhidmat selama 19 tahun di RTM. Sudah sampai satu tahap yang saya mahu bekerja sendiri dan atas kesedaran tak mahu mencuri-curi masa menulis sewaktu bekerja.
Hidayah untuk bekerja sendiri datang pada tahun 2008. Akhirnya saya berhenti pada tahun 2012 dan fokus 100% untuk menulis sepenuh masa.
Setiap hari saya bangun jam 5.45 pagi, solat Subuh dan buat sarapan untuk famili. Kemudian saya hantar anak tunggal ke sekolah, diikuti aktiviti basuh kain dan bersolat Dhuha.
Selepas itu saya mula ‘tenggelam’ dengan dunia penulisan, sebelum tiba masa untuk memasak dan ambil anak dari sekolah,” kongsi Abang Ramlee yang sangat positif terhadap profesion lelaki yang bekerja dari rumah seperti dirinya.
Nona: Novel yang paling dekat dengan kehidupan Abang Ramlee?
“Sunan. Mungkin sebab saya tergolong dalam kategori orang-orang yang mahu bertaubat. Sebenarnya saya mengaku di sekolah dulu, saya kurang pandai. Tapi sekarang saya sedar bahawa semua manusia itu pandai cuma kita saja yang tak sedar potensi diri sendiri.
Saya banyak terhutang budi dengan isteri dan arwah ibu. Dua wanita ini memang penyokong kerjaya saya sejak mula. Dan dua orang ini jugalah yang percaya pada kemampuan saya, pada saat saya tak menyedarinya.
Pencarian saya mencari Tuhan baru bermula. Saya selalu sedar graf agama saya turun naik. Bapa saya qari, tapi saya tak manfaatkan ilmunya betul-betul.
Tahun 2000, saya baru tahu bahawa rezeki yang berkat datang daripada solat dan zakat. Sebelumnya saya selalu bingung, kenapa duit royalti selalu habis? Rupanya zakat ni adalah cara Allah mengajar kita tentang rezeki.
Tentang agama, saya masih lagi belajar. Dan saya tak malu untuk terus belajar sampai bila-bila pun,” akui Abang Ramlee yang kini berusia 50 tahun.
Nona: Cerita sedikit tentang Tombiruo?
“Filem adaptasi novel sudah tentunya tak 100% sama dengan novel asal. Jalan cerita masih kekal cuma ada sedikit yang diubah suai bagi menghidupkan filem yang dihasilkan.
Filem aksi ini mengisahkan tentang Ejim, lelaki bertopeng yang digelar Tombiruo oleh penduduk di Sabah kerana menganggapnya sebagai Penunggu Rimba.
Kehadiran Tombiruo penuh misteri dan sering ditakuti serta dicaci oleh penduduk kampung apabila Wong dan kuncu-kuncunya membuat kacau di kampung untuk meneruskan aktiviti empangan.
Ia secara tak sengaja telah melibatkan kematian ayah Tombiruo, Pondolou, dan itu menimbulkan kemarahan Tombiruo.
Sementara itu, insiden kematian Tan Sri Berham dan isteri Amiruddin, Salina telah membuatkan Amiruddin menyimpan dendam dan memburu Tombiruo kerana menganggap lelaki berwajah bukan manusia itu yang melakukan segala kekecohan.
Wartawan Wan Suraya yang mengikuti perkembangan isu syarikat Tan Sri Berham turut menjejak Tombiruo. Wan Suraya dapat rasakan Tombiruo tidak berbahaya seperti yang dikatakan.
Namun apabila Amiruddin dan Tombiruo bertemu, mereka bertarung demi membela nasib orang-orang yang mereka sayangi. Dengan semangat dari hutan, telah mengiringi kekuatan Tombiruo.
Tetapi hakikatnya sebuah rahsia di antara mereka berdua yang telah lama tersimpan terbongkar. Apakah kaitan mereka berdua sebenarnya? Siapakah dalang di sebalik insiden selama ini?
Filem Tombiruo dibarisi pelakon Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein, Hasnul Rahmat, Dato’ M. Nasir, Datin Marlia Musa, Faye Kusairi, Dynas Mokhtar serta ramai lagi. Jom dengarkan promosi dari bibir Zul Ariffin dan Ramlee Awang Murshid sendiri seperti di bawah. Norzalina Mohd Alias
Sweetnya! IMAN TROYE Sumbang Ganjaran RM300 Buat Pelajar Cemerlang SPM 2022

Penyanyi Iman Troye menghadiahkan wang tunai RM300 kepada pelajar yang mencapai peningkatan dalam apa saja mata pelajaran bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan hari ini.
Iman yang juga Duta Pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar SPM, PTTI berkata, kriteria pemilihan berdasarkan pencapain dari keputusan yang sebelumnya G dan naik ke A.
“Tahniah kepada semua calon SPM 2022. Kepada yang berjaya mendapatkan keputusan cemerlang untuk mana-mana subjek yang sebelumnya G naik ke A, saya nak bagi RM300.
“Hadiah ini bukan saja sebagai tanda penghargaan atas kerja keras mereka pada SPM 2022, tapi juga mahu memberikan motivasi supaya mereka terus berusaha di masa akan datang.
“Tawaran RM300 ini terbuka kepada semua termasuk pelajar yang mendapatkan khidmat PTTI,” katanya.
Menurut Iman, kejayaan yang dicapai itu diharap dapat memberikan inspirasi kepada pelajar yang bakal menduduki SPM tahun ini.
“Bagi yang belajar dengan PTTI atau di mana-mana sekolah sekali pun, jadikan kecemerlangan pelajar SPM 2022 ini sebagai pembakar semangat dan dorongan untuk berjaya.
“Kena ingat, usaha tidak mengkhianati hasil. Apa yang penting, jadikan setiap apa yang dipelajari itu bekalan untuk mendidik diri menjadi insan yang lebih baik,” katanya.
Iman berkata, pelajar yang menepati kriteria ditetapkan boleh menghantar mesej (DM) di Instagram PTTI.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***