Personaliti yang menyenangkan, sopan dan tabah mengharungi cabaran cukup mencerminkan kejayaan dirinya yang mutlak. Sifat diri melalui cara berfikir, beraksi, beremosi, persepsi, kekuatan mental dan aura dalaman memainkan peranan yang penting dalam melahirkan pesona pada kejayaan Datin Adzliana Dato’ Sri Dr Hasan.
“Tiada istilah ‘goyang kaki’ dalam usaha mencapai cita-cita yang diinginkan. Mungkin pada dasarnya orang nampak mudah hanya kerana saya lahir daripada keluarga bisnes. Tapi bekerja dengan ayah sendiri yang mempunyai disiplin tinggi dalam bidang perniagaan sebenarnya lebih sukar. Saya perlu bermula dari bawah untuk lebih memahami selok-belok dunia bisnes sebenarnya,” jelas Datin Adzliana, pemegang Ijazah Perniagaan Antarabangsa di Multimedia University.
“Ayah menguruskan perniagaan berkaitan bidang keselamatan dan ia bukan bidang yang mudah untuk saya fahami pada awalnya. Apatah lagi sebagai seorang wanita. Namun ia bukan halangan untuk saya buktikan kepada keluarga yang saya mampu melakukannya. Saya tanam semangat untuk buktikan pada diri sendiri, saya mampu untuk berdiri sama dengan kaum lelaki yang memonopoli bidang keselamatan ini. Alhamdulillah, saya terus bertahan dan komited sehingga sekarang,” ujar wanita cantik berusia 37 tahun ini yang lebih mesra dipanggil sebagai Nana.
Sebagai wanita yang sukakan kecantikan, Datin Nana juga tidak mahu mengetepikan minatnya dalam bidang tersebut. “Pada tahun 2008, saya membuka butik dan salun kecantikan Nana Bridal Boutique. Kemudian tahun 2017, saya melancarkan siri produk kecantikan di atas jenama Amber sebagai kesinambungan usaha untuk semua wanita kelihatan cantik dan sihat secara dalaman. Alhamdulillah, sehingga sekarang ke semua perniagaan yang saya uruskan masih berjalan dengan baik seiring bersama kerjaya saya dalam bidang kawalan keselamatan.”
Ads
DATIN ADZLIANA DATO’ SRI DR HASAN – PENERIMA ANUGERAH NONA BEST STRATEGIC BUSINESS THINKER AWARD
Selepas 14 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan, sudah tiba masanya untuk berbakti kembali kepada masyarakat. Pengalaman Datin Nana yang sering mengendalikan urus niaga di dalam dan luar negara dijadikan senjata paling ampuh untuk membantu para usahawan muda khasnya wanita. “Saya sedar semakin ramai anak muda yang mencuba nasib untuk berniaga. Bagaimanapun majoritinya gagal walaupun belum separuh jalan. Apabila kita melihat orang berjaya, kita juga mahu menjadi seperti itu tetapi kita tidak mahu melalui kesusahan seperti yang dilaluinya.
Sebenarnya ia boleh dilakukan andai kita mempunyai ilmu atau kebolehan. Ia mampu dicapai sekiranya kita tahu selok-belok serta saluran untuk berniaga dengan betul. Justeru saya telah menubuhkan Koperasi Usahanita atas landasan objektif ingin membantu para usahawan bumiputera mencipta keuntungan dan mensifarkan kerugian. Saya ingin mengajak seramai mungkin anak muda dan kaum wanita yang berminat dalam bisnes untuk sama-sama berniaga di bawah satu bumbung secara kolaborasi dan bersaing secara sihat,” ujar Datin Nana dengan penuh semangat.
Tambahnya lagi, “Saya punya misi dan visi yang jauh untuk koperasi ini. Saya ingin sama-sama dengan semua ahli untuk lebih maju dan mampu menjana pendapatan untuk meningkatkan taraf hidup terutama yang berada di bandar, agar dapat mengurangkan isu kemiskinan bandar.”
Ads
Bagi mengukuhkan empayar perniagaan, pasti punya cabaran dan dugaan. “Jatuh bangun itu lumrah dunia perniagaan tetapi bidang keselamatan antara paling ‘tough’ buat saya kerana saingannya bukannya perkara kecil. Untuk kekal dan relevan dalam industri, kita harus bijak mencari peluang dan memberi perkhidmatan terbaik. Minda perlu sentiasa positif dan sokongan daripada suami, ayah dan ibu serta keluarga banyak memberi kekuatan kala terjatuh,” jelas Datin Nana yang mengagumi prinsip hidup ayahnya Prof. Dato Sri’ Dr. Hj Hasan bin Yusoff.
Ads
Kejayaan dalam bidang perniagaan sebagai satu simbol kekuasaan kepada wanita, nampak lebih hebat di mata masyarakat. Pandangan Datin Nana, “Saya memandang perniagaan sebagai satu bidang yang mencabar namun boleh diceburi oleh semua kaum wanita pada masa ini. Kita dapat lihat, kebanyakannya telah berjaya dan memiliki empayar perniagaan yang berkembang pesat. Jadi secara automatiknya akan menjadi inspirasi pada masyarakat kini.
Bagi yang baru mula berjinak dalam perniagaan, jangan takut. Bersedia untuk menghadapi cabaran, belajar dan cari mentor terbaik supaya kita tidak terumbang-ambing sendiri. Sentiasa berada dalam persekitaran kawan-kawan yang turut terlibat dalam perniagaan untuk mendapat aura positif. Setiap perniagaan itu ada prosesnya dan setiap proses itu ada progress tertentu untuk berjaya. Pasang niat yang baik untuk diri sendiri, keluarga dan agama, insyaAllah semuanya akan dipermudahkan,” bicara akhir Datin Nana.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Usia bukan penghalang untuk terus berjaya dalam dunia perniagaan. Saleha Mat, 52 tahun telah melibatkan diri dalam bidang perniagaan melebihi 12 tahun. Mempunyai kelulusan Diploma Fashion Design daripada Internation Fashion Training Centre. Saleha Mat mendapat bimbingan awal sebagai usahawan daripada MARA. Mula melibatkan diri dalam bidang perniagaan pada usia 32 tahun sehingga sekarang.
“Pada mulanya, saya hanya berniaga secara kecil-kecilan dirumah memandangkan ketika itu mempunyai anak yang masih kecil dan saya mula secara sepenuh masa pada tahun 2009. Selepas 12 tahun melibatkan diri dalam bidang fesyen dan kini saya telah pun mempunyai akademi fesyen saya sendiri. Alhamdulillah,” jelas Saleha Mat.
“Saya ingin membantu dan melatih remaja lepasan sekolah yang berminat di dalam bidang fesyen untuk membina kerjaya sebagai usahawan fesyen yang mempunyai produk mereka sendiri untuk dipasarkan,” bicara impian murninya dan kini Saleha Mat turut melatih golongan asnaf dalam bidang jahitan seramai 30 orang.
Namun bidang perniagaan bukanlah mudah seperti dulu, “Selain berniaga dan menghasilkan pelbagai produk, saya perlu berlari bersama mengejar perkembangan teknologi sosial media. Dalam usia begini, saya mengambil sedikit masa untuk aplikasikan dunia alam maya ini dalam kehidupan harian. Selain itu cabaran sekarang adalah modul busines terpaksa diubah mengikut keperluan semasa.”
Pernah mengalami kerugiaan dalam perniagaan, “Saya pernah lantik kontraktor untuk buat renovate butik ke 3 dan sudah siap buat full payment. Hanya 10% sahaja disiapkan tidak seperti yang dijanjikan. Saya terpaksa lantik kontraktor baru dan menanggung kerugian besar sebanyak 300k sehingga terpaksa menggunakan simpanan suami. Alhamdulillah juga, ramai yang bantu masa susah tu saudara, sahabat dan suami.
Saya terhutang budi pada mereka semua yang sanggup bantu. Saya seorang yang mempunyai cita-cita dan semangat tinggi, walaupun banyak dugaan yang saya perlu hadapi. Hari ini saya terjatuh tersungkur, esoknya saya akan bangun. Tiada istilah gagal dalam hidup saya. Saya hanya mampu memujuk diri dan bercakap dalam hati, mungkin bukan rezeki saya,” luahan hati Saleha Mat.
“Kalau nak bercakap tentang kepayahan dan dugaan perniagaan, terlalu banyak nak dikongsi. Kisah staff tak jujur, baju pelanggan terbakar dan perlu digantikan dengan jumlah ribuan ringgit. Pernah jaga butik sorang selama setahun tanpa pembantu, semua saya buat sendiri. Ada yang diberhenti dan ada juga yang akhirnya berhenti sendiri.”
Kini Saleha Mat terus bangkit dan melangkah dengan semangat baru, mengeluarkan Baju Sekolah Tanpa Gosok. “Brand Saleha.Mat baju sekolah tanpa gosok dan premium kualiti ini dapat menjimatkan tenaga, elektrik dan wang. Idea asal untuk membantu ibu-ibu terutamanya yang bekerja dan sibuk untuk menguruskan pakaian anak-anak, jimat masa.
Baju sekolah ini memudahkan anak-anak terutamanya yang tinggal diasrama, tak perlu lagi berebut-rebut nak gosok baju. Ada juga ibu-ibu yang terpaksa upah cikgu utk menggosok baju sekolah anak mereka di asrama. Alhamdulillah produk ini mula dapat perhatian dan permintaan, Cuma saya perlu kuatkan lagi strategi marketing dan promosinya.”
Semoga wanita superwoman ini terus menempah kejayaan dalam melahirkan ramai usahawan fesyen yang dapat mengeluarkan produk mereka sendiri dipasaran bukan setakat juru jahit biasa!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kekecewaan adalah titik permulaan kejayaan. Inilah yang dipegang Rohani Shamsudin agar terus melangkah dan meneruskan perjalanan. Berusia 47 tahun, wanita ini merupakan seorang pengusaha kantin sekolah agama dan hanya mempunyai pendidikan setakat SPM.
“Saya pernah bekerja sebagai kerani di syarikat swasta sebelum menceburi bidang perniagaan. Disamping itu, pernah juga mengambil tempahan biskut raya dan kuih-muih.
Dulu saya pernah menceburi bidang perniagaan MLM, tapi tidak berjaya kerana kurang pengalaman. Malah pernah memiliki dua perniagaan kantin sekolah dan kedai makan. Namun sekarang hanya tinggal 1 perniagaan di kantin sekolah agama sahaja. Selain itu saya ambil tempahan katering kecil- kecilan serta membuat sendiri produk kuah kacang frozen.
Dua perniagaan lagi terpaksa ditutup kerana saya tidak dapat menampung kos perbelanjaan akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia. Banyak sebenarnya peristiwa yang menyentuh hati saya sepanjang berniaga. Ia bermula sejak semua kantin sekolah terpaksa ditutup akibat pandemik. Ketika itu, saya hilang punca pendapatan dan suami juga tidak bekerja kerana dia juga membantu saya mengurus kantin.
Terdetik dalam hati saya, perasaan buntu dan gelisah kerana memikirkan masalah kewangan, keperluan makanan yang semakin hari semakin susut di samping perlu menanggung 3 orang anak. Bermodalkan wang simpanan, saya ikhtiar membuka restoran namun malangnya tidak bertahan lama.
Orang kata belum ada rezeki. Kami terpaksa menutup restoran itu dan menanggung sisa hutang yang tidak terlunas. Saya mula kecewa namun hati cekal demi anak-anak. Saya ambil tempahan yang dimasak dari rumah dan menjalankan perkhidmatan makanan.
Saya akui, banyak risiko yang diambil terutamanya dari aspek kebersihan. Namun demi bertahan untuk kehidupan anak-anak dan jangka masa panjang, saya beranikan diri untuk menerima tempahan makanan tengah hari. Alhamdulillah dari semasa ke semasa, Perintah Kawalan Pergerakan mula dilonggarkan,” ujar Rohani yang berasal dari Klang, Selangor.
Meneruskan kisah jatuh bangun berniaga, “Bermula akhir tahun 2021, kantin sekolah mula beroperasi seperti biasa tetapi pendapatan tidaklah sebanyak sebelum pandemik berlaku. Alhamdulillah, Tuhan menambahkan rezeki saya di mana saya dan rakan saya berkongsi rezeki sepanjang bulan Ramadan.
Beliau meminta saya untuk menyiapkan makanan untuk juadah berbuka puasa iaitu set nasi untuk pek famili dan juga single set nasi untuk rumah tahfiz dan anak yatim. Sehari tempahannya hampir mencecah 20+ pek famili dan 40+ utk single set.
Walaupun sekarang ini saya masih belum berjaya sepenuhnya tetapi saya bersyukur dengan rezeki Tuhan yang tidak pernah putus.”Segala pengalaman jatuh bangun dalam bidang perniagaan menjadi kepahitan dan kemanisan dalam hidup. “Seandainya kita ditimpa ujian sentiasalah yakin dengan kuasa Tuhan kerana orang yang sabar tidak pernah rugi dan rezeki sentiasa ada untuk mereka yang rajin berusaha.
Saya bersyukur sehingga sekarang, perniagaan saya ini dapat memuaskan hati setiap pelanggan dan mereka memberi komen membina untuk saya terus berikan yang terbaik. Doa saya, semoga dapat terus menyediakan makanan infak buat mereka yang memerlukan,” jelas Rohani.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memiliki perniagaan sendiri sememangnya menjadi cita-cita wanita ini. Rami Zati Najwa Kamarudin Hilmi mempelajari adat berniaga ini sejak usianya mencecah 14 tahun lagi. Memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan mengambil upah sebagai pengasuh, Najwa mula menyimpan tekad untuk berjaya dalam bisnes suatu hari nanti.
Berkat usaha dan iltizam yang tidak pernah mengenal erti jemu, kini Najwa boleh berbangga dapat membuka syarikatnya sendiri dan kejayaan baginya tidak datang bergolek kerana dia bermula dari bawah.
“Saya bermula dari bawah. Saya pernah menjadi ejen dropship, pembekal pakaian kanak-kanak sebelum membuka perniagaan sendiri. Saya memberanikan diri menceburkan diri dalam bisnes yang jarang dipelopori oleh individu yang baharu hendak memulakan perniagaan iaitu kilang OEM & kosmetik sendiri,” ujar Najwa yang mempunyai tekad dan azam yang kuat untuk berjaya.
Tambah Najwa lagi, segalanya bermula apabila dirinya menjadi ejen yang dilantik oleh sebuah kilang pembuatan kosmetik yang mempunyai rangkaian di Malaysia, China dan Korea. Bijak merebut peluang yang terbuka di depan mata, Najwa mula belajar mengenai selok belok pembuatan dan penghasilan kosmetik.
“Saya bersyukur kerana diberi ruang dan peluang untuk menjadi ejen sebuah kilang kosmetik. Selepas dua tahun menimba ilmu dan pengalaman, saya menanam azam untuk membuka kilang sendiri. Kini, saya boleh berbangga dengan kilang kosmetik bertaraf GMP, RASSALAB GLOBAL SDN BHD yang mendapat pengiktirafan dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan sijil pengesahan Halal dari JAKIM.”
Ditanya mengenai keperibadian dirinya yang berjaya memimpin sebuah organisasi yang memerlukan pengetahuan terkini dalam dunia kosmetik dan penghasilan produk, Najwa mempunyai pandangan tersendiri mengenai kelebihan yang dimiliki oleh wanita sebagai motivasi untuk dirinya mampu berdaya saing dalam dunia pengilangan yang disifatkan kompetatif dan memerlukan dirinya sentiasa mengikuti arus semasa yang pantas dan mencabar.
Pernah berhadapan dengan situasi getir dek penangan Covid-19, Najwa beranggapan situasi tersebut banyak mematangkan dirinya dalam dunia perniagaan di mana dia perlu bijak mengatur langkah dan aliran tunai agar kesinambungan syarikat berjalan lancar, Najwa memasang strategi untuk memastikan kakitangan dan aliran tunai syarikat berada -dalam keadaan bersiap-siaga untuk berdepan dengan pelbagai kemungkinan.
“Sifat semulajadi wanita yang kreatif dan berdaya saing memberi kelebihan untuk wanita bertahan dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam dunia perniagaan. Itu jugalah yang menjadi misi dan visi saya dalam perniagaan yang dijalankan.
Setiap cabaran dan dugaan pasti akan dilalui dengan matang. Sebagai ketua, saya perlu bijak menghadapi cabaran dan mengurangkan risiko. Saya memegang prinsip percaya pada konsisten dan usaha takkan mengkhianati hasil,” ujar penerima NONA TOP TRUSTED OEM FACTORY AWARD di NONA SUPERWOMAN 2022 baru-baru ini.
Sebelum mengakhiri perbualan, Najwa memasang impian untuk melebarkan empayar perniagaannya dan jika diberi kesempatan, dia ingin menetap di England untuk mempelajari pasaran di sana pula.
“Selain itu, dalam tempoh 5 tahun akan datang, saya ingin membuka lebih banyak cawangan kilang dan membuka kilang memproses makanan dan ubat-ubatan untuk memenuhi keperluan makanan dan ubat-ubatan negara,” ujar Najwa seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.