Ajarlah hati untuk jangan cemburu dengan kehidupan atau kejayaan orang lain. Bersyukur dan bergembiralah terhadap kejayaan dan kemajuan yang dicapai oleh orang lain dan jangan sesekali anda merasa iri hati terhadap mereka.
Ikhlas menerima kehidupan yang ada di sekeliling kita dan ambil setiap satunya sebagai semangat untuk kita turut sama boleh berjaya seperti mereka. Dunia ini umpama lautan yang luas rezekinya, kita perlu bijak mengambil peluang dan berusaha untuk memperoleh kejayaan di dunia serta akhirat.
Datin Rauzawani Abdul Hadi, CEO Eniq World Sdn. Bhd yang merupakan pengasas Glow Glowing dan O’Betty terus mengorak langkah mengukuhkan empayar perniagaannya. Strategi pemasaran di radio, menjadi saluran utama untuk memastikan produk ini agar sentiasa konsisten di pasaran, selain aktif di media sosial mengikut trend semasa.
“Semuanya bermula dari bawah. Saya dibesarkan dalam keluarga yang suka berniaga, arwah mama buka kedai makan. Saya dan adik-beradik lain melihat bagaimana mama bersusah-payah membesarkan kami dengan hanya menjual nasi. Semangat arwah mama itulah memberi banyak kekuatan dalam diri saya untuk meneruskan perjuangan dalam perniagaan.
Walaupun saya sedikit terkilan, arwah mama meninggal tiga tahun lalu disebabkan masalah kesihatan. Belum sempat mengecapi segala kejayaan dan kesenangan saya. Namun saya bersyukur, sedikit sebanyak sebelum ini dapat jugalah membahagiakan arwah mama walaupun tidak secara keseluruhan,” jelas Datin Rauzawani atau lebih popular dikenali sebagai CikZaa Glow Glowing di media sosial.
Tiada jalan singkat untuk berjaya, Datin Rauzawani terus berbicara. “Saya mula dengan membuka salun kosmetik. Menawarkan perkhidmatan rawatan rambut, penjagaan wajah dan jual produk kecantikan jenama lain. Selepas setahun, barulah saya mengatur langkah memberanikan diri untuk mengeluarkan produk sendiri, Jamu Dara Anggun.
Waktu itu, permintaan terhadap produk jamu sangat tinggi. Saya jual produk orang lain, alhamdulillah laku. Ini membuatkan saya yakin untuk lebih berusaha dengan menjual produk sendiri. Saya pernah melalui saat kesukaran waktu itu menjual jamu di pasar malam, pasar borong dan buka booth di serata tempat.
Pernah kami diuji, berlakunya hujan ribut dan banyak produk habis rosak. Dengan bayaran tapak yang mahal, saya terpaksa menanggung banyak kerugian. Sebenarnya pelbagai peristiwa duka yang dilalui dan sikit sebanyak mematahkan semangat untuk berniaga.
Namun, saya tetap bangkit dan tidak mahu mengalah. Orang luar mungkin melihat segala keindahan dan kejayaan yang ada sekarang tetapi realitinya proses untuk sampai ke tahap sekarang, bukanlah semudah itu,” ujar Datin Rauzawani.
Selepas dua tahun, jualan jamu mendapat sambutan. Barulah tercetusnya idea untuk mengeluarkan produk skincare, Glow Glowing pada tahun 2013. “Dengan membawa tagline ‘Glow Glowing, Cantik Weyy!’ Alhamdulillah, Glow Glowing mendapat sambutan dengan strategi marketing yang berterusan di media sosial, radio dan televisyen.
Istimewanya produk ini boleh membantu mencerahkan kulit dan kesannya dapat dilihat seawal tujuh hari. Ia dapat mengatasi masalah kulit seperti jerawat, jeragat dan sebagainya bergantung pada jenis kulit seseorang. Paling utama skincare ini sangat mementingkan kualiti dan selamat digunakan oleh semua lapisan masyarakat.”
Kini Glow Glowing telah berada di pasaran hampir 8 tahun. Biarpun lambakan produk kecantikan di pasaran, Datin Rauzawani tidak pernah takut dengan persaingan. Tidak sesekali menganggap persaingan itu boleh menjatuhkan kita dan sentiasa percaya Allah telah mengatur rezeki kita sebaiknya. Baru-baru ini, Glow Glowing menerima anugerah NONA Best Beauty Brand Award di NONA Superwoman 2022.
Tanpa menoleh ke belakang, Datin Rauzawani terus mengorak langkah dengan mengeluarkan rangkaian produk kosmetik di bawah label O’betty.
“Bila kulit wajah cantik dan berseri, saya pasti setiap wanita ingin tampil sempurna dengan solekan menarik. O’betty tampil dengan rangkaian produk kosmetik bagi melengkapi penampilan wajah setiap wanita,” ujarnya yang kini dalam perancangan untuk mengeluarkan satu lagi produk R2Fit tidak lama lagi.
Di sebalik kejayaan Datin Rauzawani, Dato’ Mohd Rowi merupakan mentor utama bagi kejayaan syarikat Eniq World Sdn. Bhd. Pesan suami buat isteri tercinta, “Kalau ingin berjaya jangan iri hati dan dengki dengan orang. Jika kita ingin sukses seperti mereka, kita sendiri perlu buat seperti mana mereka lalui dan usaha sehingga berjaya.”
Akhir kata buat semua wanita Malaysia yang ingin berjuang dalam bidang perniagaan, “Buat semua wanita yang baru mula nak berniaga, anda perlu persiapkan diri dengan kekuatan mental serta fizikal bagi menghadapi segala cabaran yang bakal menanti. Jangan mudah putus asa, jika terjatuh dan terduduk, bangkit kembali.
Sentiasa lihat kesilapan yang mungkin kita lakukan dalam perniagaan dan belajar daripada mereka yang berpengalaman. Kejayaan itu bukan datang bergolek dengan pantas atau setahun dua. Semuanya mengambil masa untuk kita naik dan bergantung juga kepada usaha yang telah kita curahkan. Tiada jalan mudah untuk berjaya!”