“Penghuni wanita di syurga majoritinya wanita solehah yang kuat bersabar. Merekalah inspirasi saya. Dari kisah mereka saya belajar agar janganlah terlalu berkeras, kalau diuji kita kena sabar, reda dan bersyukur.” Dr Wan Azizah

Nama bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga kini isteri Perdana Menteri Malaysia ke-10, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sentiasa segar di jiwa rakyat. Bicaranya lembut seperti air tapi sifat air yang tenang itu mampu memadamkan api.

IKLAN

Beliau memimpin dengan meletakkan akhlak di depan, sekaligus membuatkan ahli politik wanita berusia 70 tahun itu amat disegani.

Letakkan Akhirat Di Depan Mata, Kekuatan & Kesabaran Jiwa Dato’ Seri Dr Wan Azizah Suntik Inspirasi

 

Sepagi di kediaman Dr Wan Azizah di Kajang, serasa seperti dilayan ibu sendiri. Dari belakang rumah, angin berpuput lalu, pemandangan hijau lapangan golf pula menyejukkan mata. Di dalam, masih ada ruang perpustakaan berisi buku-buku berbilang tajuk.

Semuanya tersusun rapi persis suasana rumah agam pasangan ini di Bukit Segambut. Kenyamanan dan suasana cozy juga serupa.

Sambil meninjau kamar bekerja Dr Wan Azizah, sempat penulis bertanya pada ‘Mak Tok’ yang juga nenda bercucu 11 itu kalau-kalau beliau rindukan kenangan di rumah lama.

 

Sambil temu bual, sempat penulis rakamkan suasana di belakang tabir. Cantik pemandangan dari belakang rumah Dr Wan Azizah di Kajang ni…

 

“Lepas setahun pindah, sekali-sekala rindu tu adalah. Tapi kenangan yang paling banyak sebenarnya di rumah Bukit Damansara.

Momen anak-anak membesar dan seribu satu kisah lagi berlaku di rumah itu. Ada kenangan yang manis, tak kurang juga yang perit ditelan.”

Letakkan Akhirat Di Depan Mata, Kekuatan & Kesabaran Jiwa Dato’ Seri Dr Wan Azizah Suntik Inspirasi

 

Letakkan Akhirat Di Depan Mata, Kekuatan & Kesabaran Jiwa Dato’ Seri Dr Wan Azizah Suntik Inspirasi

 

Ketokohan Dr Wan Azizah sebagai pemimpin dan ibu yang cekal membesarkan anak-anak sewaktu suaminya di Penjara Sungai Buloh, cukup menggambarkan karakter beliau yang sebenar.

Hampir 20 tahun, beliau berseorangan membesarkan enam permata hati – Nurul Izzah, Nurul Nuha, Mohd Ihsan, Nurul Iman, Nurul Ilham dan Nurul Hana dengan seluruh sisa kekuatan yang ada. Dialah ibu, dialah bapa sewaktu Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjalani hukuman.

 

KETABAHAN

Mengimbau kronologi hidup Dr Wan Azizah sejak zaman anak gadis hingga sekarang, pastinya banyak yang perlu diringkaskan.

Dilahirkan di Singapura (ketika itu masih Tanah Melayu) pada tanggal 3 Disember 1952, wanita hebat ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent St. Nicholas, Alor Setar sebelum meneruskan pengajian ke Kolej Tunku Kurshiah di Seremban.

Kisah kepintaran Dr Wan Azizah dalam bidang perubatan pernah menjadi buah mulut masyarakat. Heboh kisah ini apabila nama beliau dilihat terpahat sebagai Pelajar Terbaik 1977 di Royal College of Surgeons, Ireland, malah turut menerima anugerah Pingat Emas MacNoughton-Jones.

IKLAN

Hebat, nama wanita Malaysia ini sebaris dengan nama doktor-doktor bertaraf antarabangsa!

Letakkan Akhirat Di Depan Mata, Kekuatan & Kesabaran Jiwa Dato’ Seri Dr Wan Azizah Suntik Inspirasi
Dr Wan Azizah sebagai penerima anugerah Pingat Emas MacNoughton-Jones 1977

 

“Alhamdulillah, saya juga membesar sama seperti orang lain. Cuma semasa melanjutkan pengajian ijazah perubatan dalam kepakaran obstetrik dan ginekologi di Ireland, saya mula belajar hidup berdikari.

Yang manisnya bila dapat pengiktirafan, terasa sangat bangga membawa nama negara. Seronok bila dengar anak-anak muda di sana cakap, ‘Auntie, I saw your name!’. Mungkin itu boleh memberikan mereka semangat untuk terus mengejar ilmu.”

 

Sekembalinya ke Malaysia pada 1978, Dr Wan Azizah diterima sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Kuala Lumpur dan kemudian bekerja di Hospital Universiti, Universiti Malaya.

Bibit-bibit perkenalan di antara dirinya dengan suami pun berputik, meskipun ketika itu tumpuan hidup beliau hanyalah untuk kerjaya semata-mata.

“Saya dah bekerja, jadi setiap masa sibuk dan tiada ruang langsung untuk bersosial macam orang lain. Tapi akhirnya selepas beberapa tahun, hubungan kami ke jenjang pelamin pada tahun 1980, walaupun pada awalnya berdepan banyak tentangan.

IKLAN

Sebetulnya sejak awal perkahwinan lagi, saya dah rajin bekerja. Saya komited mahu membantu masyarakat melalui kepakaran yang ada.

Namun selepas punya cahaya mata, sentiasa dalam fikiran ini, macam mana pelajaran anak-anak, macam mana nak besarkan mereka menjadi insan yang berguna.

Letakkan Akhirat Di Depan Mata, Kekuatan & Kesabaran Jiwa Dato’ Seri Dr Wan Azizah Suntik Inspirasi

 

Masa tu Anwar jadi guru kepada anak kami. Saya ingat lagi katanya mahu mendidik untuk menjadi insan yang kamil. Kemudian dia masuk pilihan raya.

Saya pula ambil cuti dua minggu bagi membantu dalam kempen sambil menjaga si kecil (Izzah) yang sedang membesar. Tahun 1982, suami jadi Ahli Parlimen di kerusi Permatang Pauh.” Dr Wan Azizah

 

Perjalanan hidup Dr Wan Azizah semakin sibuk sebagai seorang ibu. Tahun 1993, beliau meletakkan jawatan sebagai doktor apabila suaminya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Rentak kerjaya politik Dato’ Seri Dr Anwar Ibrahim pula ketika itu semakin selesa, malah pernah dinobatkan sebagai Menteri Kewangan Terbaik Asia 1996.

Semuanya serba sempurna, sebelum peristiwa pahit suaminya diheret ke tirai besi, merampas kebahagiaan mereka seisi keluarga pada tahun 1998. Apakah yang menjadi kekuatan semangat beliau ketika itu?

Baca artikel eksklusif Majalah Nona bersama isteri Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.

Letakkan Akhirat Di Depan Mata, Kekuatan & Kesabaran Jiwa Dato’ Seri Dr Wan Azizah Suntik Inspirasi

 

Penulis: Norzalina Mohd Alias
Konsep: Azniza Aziz
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Ann Karim

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI