Pengarah Urusan Alhumaira Worldwide, Hani Elia Rousli berpendapat apa pun cabaran yang datang pelu ditempuh dengan sabar. Dalam usia 33 tahun Hani sudah mampu memiliki sebuah kehidupan yang sempurna termasuk kerjaya yang stabil sebagai usahawan sukses.
JATUH BANGUN
“Sepanjang lapan tahun penubuhan Alhumaira, pernah jugalah beberapa kali saya mengalami fasa kejatuhan sehingga merasa hampir putus asa. Namun saya sentiasa ingatkan diri, mengapa saya bermula dulu. Saya juga sentiasa berfikiran positif. Jangan sesekali lari daripada masalah.
Paling penting juga ialah fokus kepada kekuatan bisnes,” luah graduan Diploma Graphic & Digital Media UiTM Sri Iskandar, Perak ini. Terdahulu, ibu kepada dua cahayamata ini pernah bekerja sebagai wakil khidmat pelanggan di salah sebuah syarikat telekomunikasi di ibu negara.
Ads
TERSENDIRI
“2019 genaplah usia Alhumaira yang ke-9 tahun dan kami masih diterima. Selaku Head Designer saya juga berperanan bagi memastikan pengeluaran tudung Alhumaira sentiasa mengikut trend semasa.Pada masa sama masih mengekalkan ciri-ciri signature tulen Alhumaira.
Ads
Bagi saya, untuk terus relevan usah bersaing untuk berada di depan atau di belakang sesiapa, tetapi bersainglah di sisi mereka. Cari kekuatan sendiri dan bergerak di landasan sendiri. Sentiasa fahami kehendak pelanggan, rajin buat kajian mengenai trend semasa. Elak meniru hasil usaha orang lain.
Cipta keunikan tersendiri sehingga pelanggan mengenali jenama kita tanpa terkait dengan mana-mana jenama. Reputasi jenama dan kepercayaan pelanggan amat penting untuk kekal lama dalam perniagaan. Sentiasa menjadi yang original,” kongsi Hani yang menjadikan suaminya, Humaidi Fadzil serta anak-anak dan keluarga sebagai pencetus semangat.
Ads
NASIHAT
“Wanita perlu lebih progresif dalam menjana pendapatan sendiri agar dapat melengkapi keperluan diri dan isi rumah. Berusaha mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada kaum lelaki. Lakukan sesuatu yang kita minat dahulu, duit akan datang selepas itu. Keluarga adalah faktor terbaik mengapa kita bekerja atau berniaga.
Superwoman ialah wanita yang mampu menjadi diri sendiri, kuat dan memberikan yang terbaik dalam apa jua dilakukan di samping memberi inspirasi kepada wanita lain mengiut versi masing-masing,” akhiri Hani yang berhasrat untuk membawa jenama Alhumaira ke persada antarabangsa. Setakat ini Alhumaira hanya mempunyai reseller di Thailand,Singapura dan Brunei. Impian seterusnya ingin menembusi pasaran Asia dan juga Eropah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Harapan dan impian saya mahu menjadi wanita yang berjaya di dunia dan akhirat, insyaAllah,” tegas Hajirah Jamaah Binti Achyar Osman, 33 tahun. Mempunyai latar belakang pendidikan dalam jurusan komputer dari Institut Generasi, Kuala Lumpur, kini Hajirah aktif mengukuhkan perniagaan makanannya secara online.
“Tatkala, negara dilanda pandemik yang serius, saya terpaksa membatalkan niat untuk meneruskan impian membuka kafe sendiri. Saya khuatir keadaan pandemik yang berpanjangan bakal menyebabkan kami menanggung kerugian besar.
Lalu saya memutuskan untuk meneruskan perniagaan makanan saya secara online di Facebook, Whatsapp dan Foodpanda. Namun ia bukanlah semudah yang disangka kerana saya harus menghadapi cabaran perniagaan yang turun naik, terutama dalam industri pesanan makanan sekarang,” ujar Hajirah memulakan bicara.
“Sebelum saya berjinak dalam perniagaan, saya pernah bekerja di Pejabat Pos Mini Kinrara. Selepas beberapa tahun berkahwin, saya membuat keputusan untuk berhenti dan cuba berniaga tudung. Malangnya, sambutan tidak menggalakkan.
Bermacam-macam perniagaan yang saya ceburi sebelum ini tetapi gagal. Saya hampir berputus asa untuk meneruskan niat di dalam bidang perniagaan. Kekecewaan dalam perniagaan yang tidak berjaya saya buat sebelum ini, telah melumpuhkan semangat saya sebenarnya. Namun begitu, Allah adalah sebaik-baik perancang. Dia berikan saya petunjuk dan jalan untuk kerjaya saya.
Sebenarnya saya dibesarkan dalam keluarga yang mencari rezeki melalui perniagaan makanan. Ibu bapa saya merupakan salah seorang pemegang tender kantin TUDM Kinrara pada suatu ketika dahulu.
Selepas berpisah, ibu saya Puan Kamariah@AcikYah membesarkan kami tujuh adik-beradik termasuk salah seorangnya anak istimewa (syndrome down) dengan hasil meniaga di kantin Sekolah Agama Puchong dan bekerja di sebuah kilang iaitu Malaya Spring Puchong Utama.
Selepas berpisah, ibu terpaksa menjual rumah demi menanggung bebanan hutang dan membesarkan kami adik-beradik. Dari situ, kehidupan yang dulunya selesa bertukar dengan rintangan dan dugaan satu-persatu yang menghantui kami sekeluarga.
Bila terkenang kepayahan ibu yang kuat semangat dan tidak pernah berputus asa untuk meneruskan kehidupan, saya bangkit dan kuatkan semangat untuk meneruskan bidang perniagaan makanan secara langsung mahupun talian. Alhamdulillah, kini Mee Curry Delightful Resipi Ibunda Acik Yah mendapat sambutan yang menggalakkan,” jelas Hajirah yang amat bersyukur dengan rezeki yang diperoleh sekarang.
Di dalam perniagaan, sudah semestinya kita akan menempuh suka dan duka sebelum menemui titik kejayaan. “Ya, kita harus bersiap sedia untuk mengharungi jatuh dan bangun di dalam bidang yang kita ceburi tanpa mengalah dan bersiap sedia dari segi fizikal dan mental. Jika kita dapat menjalani ujian ini, insyallah kita akan berjaya untuk melalui liku kehidupan seterusnya.
Saya selalu ingat pesanan ibu, jaga maruah keluarga. Bila sudah berjaya jangan lupa diri dan jangan bermusuh dengan sesiapa yang pernah buat kita susah.
Saya juga bersyukur dikurniakan suami yang sangat kuat memberi sokongan, sentiasa berada di saat saya jatuh dan bangun. Walaupun saya pernah menceburi bermacam jenis perniagaan sebelum ini, suami saya tidak pernah merungut dengan apa yang saya lakukan. Dialah teman setia di saat saya memerlukannya.”
Memegang prinsip, tidak mudah mengalah, Hajirah terus melangkah walaupun dihujani dugaan dan cabaran yang menghantui hidupnya. Beliau belajar dari kegagalan untuk terus bangkit. “Saya pecaya Allah tidak akan menguji hamba-Nya di luar kemampuan. Selebihnya berserahlah kepada Allah.
Nasihat saya pada mereka di luar sana, yang masih kecewa dengan dunia perniagaan hingga membuatkan ada ingin gulung tikar, jangan pernah cepat berputus asa. Awan tidak selamanya mendung pasti ada matahari yang bersinar. Berusaha, berdoa dan tawakal adalah hasil kejayaan yang sebenar, insyaAllah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ujian kehidupan akan membuahkan kekuatan yang luar biasa, buat mereka yang kuat dan sabar melaluinya. Umi Sarah Binti Kamaruddin, 37 tahun, merupakan pemilik Ummi Tradisional & Spa. Pengalaman hampir 10 tahun dalam bidang urutan dan didikan ibu dalam perbidanan, beliau kini mampu tersenyum dan bersyukur dengan rezeki yang diperoleh setelah melalui pelbagai kesukaran hidup.
Setiap kali ibu tunggal ini melihat wajah empat orang anaknya, setiap kali itulah beliau menarik segala kekuatan dan semangat untuk terus berusaha mencari rezeki terbaik untuk keluarga. Umi Sarah juga memasang niat untuk membantu wanita kembali cantik, sihat luar dan dalam seperti sediakala, terutama ibu berpantang. Beliau juga akan memastikan pelanggannya supaya tidak stres, stabil dari segi emosi sewaktu berpantang sendiri, selain memastikan ibu berkerjaya dan surirumah menjaga kesihatan diri sebaiknya.
Umi Sarah mula bercerita perjalanan kisah hidupnya sehingga ke saat ini. “Saya dibesarkan dalam dunia perniagaan semenjak kecil lagi. Ibu seorang peniaga nasi lemak, kuih-muih di hadapan rumah dan mengambil tempahan dari sekolah-sekolah. Saya dididik oleh arwah mak untuk belajar serba sedikit dunia perniagaan, belajar untuk membuat pengiraan setiap jualan yang dijual dari kos belian, kos jualan dan keuntungan yang diperoleh. Jelas semangat niaga telah lama subur dalam jiwa saya.
Namun saya tidak meneruskan aktiviti niaga setelah berkhidmat sebagai penjawat awam, selama 7 tahun selepas memperoleh sijil SPM. Selepas berkahwin dan melahirkan anak sulung, saya kembali berniaga secara sambilan. Saya bermula dengan menjual t-shirt Muslimah secara online. Ketika itu Facebook masih baru, lalu saya aktif buat jualan di mudah.my dan ke pejabat-pejabat kerajaan.
Sayangnya, tidak lama selepas itu jualan pakaian semakin kurang dapat perhatian. Saya mula buat bisnes lain dengan menjual nasi lemak ayam berpandan, mi kari di hadapan rumah. Alhamdulillah, perniagaan agak laris dengan dibantu oleh bekas suami. Dalam rancak berniaga saya hamil kali kedua, saya berhenti niaga jual makanan kerana alah dengan bau ayam,” jelas Umi Sarah.
HIDUP BERUBAH
Wanita ini cekal dan jiwa niaga terus mengalir laju dalam jasadnya. “Selepas kelahiran anak kedua, saya sudah mula berurut dan mula berminat dengan teknik urutan. Saya mula mengurut dengan orang terdekat sahaja tetapi tidak lagi serius betul-betul sebab keberanian belum cukup untuk menjadikan perkhimatan ini sebagai satu perniagaan.
Saya masih cuba berniaga dengan menjual pakaian bayi. Jualan sangat laris saya mula menjual dari FB Page, FB group bayi, mudah.my dan pejabat kerajaan. Nama Aleesa Collection mula dikenali. Meskipun tanpa ilmu perniagaan formal, saya buat mengikut kehendak diri dengan menyewa sebuah kedai kerana ramai pelanggan ingin datang secara walk-in untuk memilih produk.
Premis ketika itu di Mydin Manjoi, Ipoh dengan kadar sewa yang agak tinggi iaitu RM2,000 sebulan. Saya tetap cuba berniaga dengan harapan jualan dapat menampung kos yang ada. Sewaktu itu saya masih lagi bekerja dan jadikan perniagaan bayi ini sebagai kerja sambilan. Kedai pun dijaga oleh staff. Dari perniagaan ini, saya mula mengenali Datuk Wira Dr. Azizan Osman dan cuba memasuki kursus yang dianjurkan. Sepertinya mendapat sinar baru setelah hadir seminar Dr Azizan. Saya kenal diri, saya kenal apa itu nikmat kehidupan bukan sahaja ilmu perniagaan.
Namun perniagaan saya sekali lagi jatuh kerana kegagalan saya menguruskan staf sehingga berlaku kerugian besar. Saya agak down, bukan senang untuk kembali bangun semula. Bayangkan saya juga telah mengambil cuti tanpa gaji ketika itu. Wang pula cuma tinggal RM1 dalam simpanan!” Ketika itu, suasana seperti gelap seketika buat Umi Sarah.
Namun, usahanya tidak berhenti di situ. “Saya fikir apa lagi perniagaan yang perlu saya buat. Saya selalu urut bekas suami saya dan dia kata badan betul-betul rasa ringan, lalu saya mula terfikir untuk belajar urut supaya lebih yakin untuk lakukan perkhimatan ini sebagai satu perniagaan. Selepas belajar ilmu mengurut, saya cuba mulakan perkhidmatan mengurut dengan harga serendah RM40 urutan tradisional rumah ke rumah di kawasan Ipoh. Alhamdulillah, khidmat urut saya mula mendapat perhatian pelanggan, melalui mulut ke mulut.
Saya mula bertekad untuk berhenti kerja untuk menumpukan perhatian sepernuhnya kepada perniagaan urutan ini. Saya terus bersemangat mencari ilmu dan mula hadir pelbagai kursus urutan, spa dan penjagaan pantang buat ibu mengandung anjuran Jabatan Pembangunan Wanita Perak dan pelbagai anjuran pihak swasta. Saya simpan sedikit demi sedkit untuk beli perkakas dan bahan spa.
Tapi panas tidak sampai ke petang. Saya jatuh sekali lagi, bekas suami ditipu oleh syarikat pelaburan dan bermula lagi fasa kesusahan kami sekeluarga. Saya dan keluarga berhijrah ke Klang untuk cuba mencari rezeki di negeri orang, walaupun saya tahu tidak semudah itu orang nak kenal servis urutan saya. Malah bagi mereka, umur saya ketika itu terlalu muda, bisakah urut! Saya hanya diam dan terus melakukan kerja saya mengurut sehingga selesai,” jelas Umi Sarah tenang.
“Saya mula marketing secara offline mengedar flyer rumah ke rumah dan edar ke setiap kereta bersama anak sulung saya. Saya anggap ini semua satu ujian, saya tidak salahkan sesiapa. Dugaan hidup saya ditambah dengan kegagalan rumah tangga, saya anggap jodoh saya setakat itu sahaja. Saya terima takdir ini dengan tenang dan tabah.
Saya down, sangat tertekan dan murung sehingga doktor menyatakan saya mengalami major derpression disorder. Tapi Allah itu Maha Penyayang, saya lulus mendapat premis di Arked MARA, Klang. Saya cuba sekali lagi meneruskan operasi spa, walapun agak kecil tapi saya gembira dapat meneruskan perniagaan spa dan pihak MARA membenarkan saya menyewa di bilik seminar MARA untuk terus mengadakan bengkel-bengkel urutan dan penjagaan pantang.
Setahun berlalu, saya membuat keputusan untuk kembali pulang ke kampung halaman saya di Ipoh, Perak. Alhamdulillah, kini saya masih meneruskan perniagaan spa, penjagaan pantang di lokasi Ipoh dan juga masih mendapat tawaran sebagai tenaga pengajar sambilan di sebuah akademi. Walaupun spa tidak dibenarkan beroperasi termasuk penjagaan pantang juga tidak dibenarkan dalam keadaan pandemik ini.
Saya bisa jadi wanita lebih kuat sekarang dengan pengalaman yang saya lalui selama ini. Perit dari manis saya banyak belajar untuk terus berusaha tanpa mengalah! Saya yakin rezeki Allah itu luas, cuma kita jangan jauhi diri dari Allah. Saya mula dapat idea menjual jus jamu asam kunyit, set pantang, set makanan pantang secara delivery dan juga mengadakan kelas ilmu berpantang secara online untuk meneruskan pencarian rezeki saya,” ujar Umi Sarah yang berharap suatu hari nanti dapat memiliki akademi sendiri dan berharap ilmu perbidanan tradisional Melayu lama ini dikenali di seluruh dunia.
“Saya pernah diuji kehilangan semuanya. Tanpa sokongan sesiapa ketika itu yang hanya kekuatan saya dari anak-anak saya. Melihat wajah mereka saya mendapat sinar setiap hari. Saya pernah diuji dengan sakit kemurungan, namun saya tetap bangun untuk teruskan kelangsungan hidup. Saya yakin rezeki Allah itu ada, kita kena selalu memohon padanya dan bersabar, pasti ada jawapan. Setiap dugaan perit itu Allah gantikan yang manis. Percayalah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sesungguhnya kehidupan kita di dunia ini adalah pilihan. Kita sebagai manusia yang membuat pilihan hala tuju masing-masing. Pengasas Hijab by Hanami ini nekad memilih perniagaan tudung berlandaskan patuh syariah sebagai saham akhiratnya.
“Perjalanan kita ke syurga ini bukan senang jadi kita kena lalui dengan berlapang dada. Jadi kita kena pilih, keputusan yang kita buat tu kena betul, tak boleh ambil jalan pintas, kita kena pastikan betul-betul rezeki yang kita cari ini betul-betul halal dan supaya kesannya bukan untuk diri sendiri tapi jemaah, keluarga dan hari akhir kita nanti,” tutur Siti Zaleha Hamzah yang telah membina bisnes hijab ini selama tujuh tahun.
Meninggalkan kerjaya profesional demi membina sebuah empayar perniagaan berlandaskan patuh syariah merupakan jihad yang tiada tandingan. Sempat berkhidmat sebagai pendidik selama tiga tahun di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) wanita yang petah berkata-kata ini terus berani merencana perjalanan bisnesnya.
Bercerita tentang detik awal pembabitannya dalam bisnes hijab, “Mulanya saya buat secara suka-suka kerana waktu itu sukar untuk mencari tudung labuh tapi nampak eksklusif. Bila saya pakai, ramai pula yang bertanya malah menggesa saya untuk menjualnya. Kawan-kawan sepejabat ketika itu adalah golongan pertama membeli tudung rekaan saya.
Mereka sentiasa membakar semangat saya untuk terus maju malah ada yang sanggup menghulurkan wang sebagai modal untuk saya meneruskan perniagaan ini. Bukan itu sahaja, ketika cuti semester ada di kalangan rakan pensyarah saya sudi membantu menggunting kain untuk dijadikan tudung,” tutur wanita yang berbekalkan modal RM600, 13 tudung yang habis terjual pada hari pertama jualannya.
Wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Usuluddin dari Universiti Malaya (UM) ini memegang misi, ‘Kaya dan Berjaya Bersama’ dan bersemangat membantu wanita lain untuk menukar taraf hidup. “Misi saya adalah untuk memberi team di bawah saya Kaya dan Berjaya Bersama. Bukan saya sahaja yang mampu memperoleh pendapatan RM1 juta sebulan tapi team saya juga boleh raih pendapatan RM1 juta sebulan.
Itu adalah harapan saya paling besar untuk tengok orang di keliling saya bahagia, berjaya dan cemerlang. Saya juga menyasarkan agar tahun ini saya boleh dapat 5000 agen Hijabs by Hanami untuk perkenalkan jenama ini kepada lebih ramai orang. Sebab kita ada produk yang berkualiti dan patuh syariah jadi saya rasa berdosa sekiranya saya tak berkongsi produk yang bagus ini dekat orang luar yang masih tak tahu lagi jenama ini.
Saya selalu beritahu staf, kita bukan saja nak buat duit kita ada misi. Jika di Malaysia ini ada 30 juta penduduk tapi sekarang belum sampai sejuta pun yang tahu tentang Hijabs by Hanami, jadi perjuangan kita masih jauh lagi,” kata wanita yang berasal dari Selangor ini.
Bersandarkan tagline Peneraju Tudung Bawal Sarung No. 1, Hijabs by Hanami begitu istimewa kerana fabriknya yang berkualiti tinggi, mempunyai rekaan edisi terhad serta keluaran koleksi baru setiap minggu dan boleh disarung oleh segenap lapisan usia. Malah, Hijabs by Hanami mendahului jenama lain dengan mendapat empat trademark tersendiri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!