
Kerjaya sebagai seorang peguam sememangnya menjadi dambaan ramai wanita kerana kerjaya tersebut mempunyai auranya yang tersendiri. Bagi Datin Dr Nik Sarina Hashim, setelah beberapa tahun memilih karier dalam bidang perundangan, siapa sangka pintu hatinya terbuka untuk membuka perniagaannya sendiri.

Dek kerana minat dalam bidang perniagaan menjadi asbab mengapa Datin Dr. Nik Sarina Hashim sanggup melepaskan jawatan sebagai peguam setelah bertahun lamanya berkecimpung dalam kerjaya tersebut. Sekaligus, mengasaskan SLAE Cosmetics.

“Setelah banyak menguruskan produk-produk di bawah jenama tempatan di bawah amaxMALL, saya memasang impian untuk mengeluarkan jenama sendiri. Memandangkan saya suka kepada kecantikan, apatah lagi produk berasaskan kosmetik, maka lahirlah SLAE Cosmetics.

Produk kosmetik SLAE Cosmetics mementingkan kualiti dan datang dalam pembungkusan yang menarik berunsurkan alam semulajadi. Nama itu diperolehi setelah sekian lama memerah otak memikirkan nama yang bersesuaian dan menarik untuk penjenamaan produk SLAE dan juga what it stands for,” ujar Datin Dr Nik Sarina yang juga penerima NONA BEST PROFESSIONAL BEAUTY AWARD.
Berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Kings College London serta Sarjana Perbankan (Undang-Undang) dan Doktor Falsafah dalam Islamic Finance, wanita inspirasi ini pernah bertugas sebagai Majistret dan Timbalan Pendakwa Raya serta peguam sebelum menceburkan diri dalam dunia perniagaan.Segala pengalaman yang pernah dilaluinya dijadikan inspirasi untuk memastikan jenama kosmetik yang diasaskannya mampu bersaing bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara.

“Entah macam mana, bila sudah lama bekerja dalam bidang perundangan, hati ini teringin pula nak ada sebuah bisnes sendiri. Maka, bermulalah titik tolak saya dalam bidang perniagaan kosmetik,” katanya hadir ke studio Ideaktiv baru-baru ini.
SLAE Cosmetics menggunakan tagline The Makeup For Work ini menjadikan wanita berkerjaya sebagai inspirasi dalam menghasilkan produk kosmetik yang menggunakan bahan semulajadi, bebas alkohol, tiada parabendan wangian sekaligus sesuai untuk digunakan seharian.

Berkongsi mengenai cabaran yang dilalui sepanjang mengasaskan SLAE Cosmetic, Nik Sarina yang kini menggalas tanggungjawab sebagai pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat memberitahu persaingan adalah lumrah dalam dunia perniagaan.
“Pada pandangan saya, setelah memulakan perniagaan kosmetik ini, masalah penghantaran barang oleh pihak ketiga menjadi cabaran pertama. Kadang-kadang penghantar kurang prihatin bahawa apa yang dihantar ialah amanahnya sebagai penghantar dan mereka perlu memastikan bungkusan dikendalikan dengan cermat,” katanya.

Tambah Nik Sarina lagi, pada tahun 2023 SLAE bakal melancarkan pelbagai rangkaian produk demi memenuhi keperluan dan permintaan pelanggan yang semakin menggemari produk di bawah jenamanya.
“Harapan kami bukan setakat menjalankan perniagaan secara fizikal tetapi juga melakukan jualan ke negara secara luar secara dalam talian, InsyaAllah”, ujarnya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ada Sarjana & Belajar Di Kolej Muzik Terunggul Dunia Kini Dr. Soo Wincci BURU PhD Ke-2

Walaupun Dr. Soo Wincci sepatutnya boleh tersenyum bangga melihat pencapaiannya dalam pendidikan tetapi masih terus ghairah menuntut ilmu. Memperoleh Ijazah Undang-undang (University of Reading, United Kingdom), Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Universiti Sunshine Coast, Australia) dan PhD dalam Pentadbiran Perniagaan (Open University, Malaysia) dan kini Dr. Soo Wincci sedang memburu PhD keduanya dalam jurusan Artistic Produksi di University of Polytechnic di Sepanyol.


Nama wanita yang pernah dinobatkan sebagai Miss World Malaysia 2008 ini bukan sahaja gah di persada seni tanah air malah terus melakar sejarah peribadi dalam bidang pendidikan. Dedikasi dan kredibiliti wanita tinggi lampai ini mendapat perhatian sehingga menerima pengiktirafan sewajarnya daripada Malaysia Book of Records sebagai The First Miss World Malaysia To Receive a PhD (2016), Most Number of Academic Degrees Obtained by A Beauty Queen (2019) dan Most Number of Academic Degree Obtained by a Recording Artist (2019).

Pengiktirafan dan penganuerahan diperoleh selayaknya menjadikan Dr. Soo Wincci, 35 tahun, sebagai wanita inspirasi yang wajar diteladani buat wanita lain. Berjaya meletakkan nama di senarai Malaysia Book of Record bukan suatu tugas yang mudah. Wanita yang mesra disapa sebagai Wincci ini akui terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan.

“Kali pertama melihat nama sendiri tersenarai di Malaysia Book of Record memang saya gembira dan bangga. Tapi bila tersenarai untuk kali kedua dan ketiga, benar-benar mengundang rasa sebak di hati bila teringat jerih payah menimba ilmu di negara orang. Sehingga sekarang saya sendiri tidak percaya mampu menamatkan pengajian.
Bayangkan pernah suatu ketika, duit saku saya hanya tinggal 1 Euro sahaja demi kelangsungan hidup. Saya terpaksa bekerja sebagai krew di studio pementasan di sana. Saya melakukan pelbagai kerja seperti menggulung wayar dan menyediakan pentas untuk menambah duit saku.

Jujurnya, saya pernah putus asa untuk meneruskan pengajian apabila terpaksa mengharung pelbagai dugaan terutama dari segi faktor kewangan. Tapi saya bersemangat semula apabila saya ingat kembali impian saya untuk belajar di sini. Saya terpaksa menunggu selama 10 tahun untuk belajar di Berklee College of Music di Valencia kampus Sepanyol ini.

Kolej ini merupakan impian semua ahli muzik untuk masuk belajar dan saya tidak akan sia-siakannya,” tutur Dr. Soo Wincci yang memperoleh Ijazah Sarjana (Master In Music Production, Technology & Innovation) dan Ijazah Sarjana (Post Master In Live Music Production) dari Berklee College of Music.

Dr. Soo Wincci berharap agar lebih ramai rakyat Malaysia terutama wanita akan terus menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi kerana beranggapan pendidikan itu sangat penting dalam kehidupan, “Dulu saya sering diejek ‘gila’ oleh orang di sekeliling dan ramai yang merendahkan saya dengan berkata wanita tak boleh pergi jauh.
Kata-kata begini kadang-kadang boleh mengganggu emosi saya. Tapi saya hanya bersabar dan saya kata pada diri sendiri tidak ada jalan pintas untuk berjaya, biar lambat asalkan tepat.

Bagi saya pendidikan sangat penting kepada generasi sekarang terutama wanita. Kita perlukan lebih ramai wanita untuk memperkasakan sektor pendidikan agar dapat berdikari terutama daripada segi kewangan. Justeru, kita sebagai wanita dapat menyumbang bakti dari segi tenaga intelektual kepada negara.
Hidup dalam era dunia tanpa sempadan kini, arus perkembangan terlalu cepat jadi wanita perlu melengkapi diri dengan ilmu untuk menhadapi apa juga situasi untuk meneruskan kehidupan,” terang Dr. Soo Wincci yang mahu mencipta lebih banyak rekod untuk Malaysia agar menyuntik inspirasi generasi akan datang menjadi lebih kuat dan cerdik.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Malam Glamor & Menginspirasikan, Nona Superwoman Award 2022 Raikan Wanita-Wanita Hebat Malaysia!

Dari lantai President Ballroom M Resort & Hotel Kuala Lumpur, suasana temasya malam Nona Superwoman Award 2022 bergemerlapan dengan ketibaan tetamu-tetamu hebat. Bertemakan ‘The Oscar Glam’, hampir 500 individu sukses berhimpun pada malam luar biasa ini bagi meraikan kejayaan dalam bidang masing-masing sepanjang tahun 2022.
Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan, Che Puan Sofie Louise Johansson Petra telah hadir bagi merasmikan majlis Malam Pengiktirafan Nona Superwoman Award 2022 serta bersama-sama meraikan tokoh usahawan dan juga penerima anugerah Majalah Nona pada malam ini.
Yang Amat Mulia Tengku Puteri Dato’ Sri Hajah Zahariah, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Raghad Kurdi Taib, Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Mohamad serta Dato’ Sri Suriani Ahmad selaku Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi turut hadir bagi menyerikan malam berprestij ini.
Tidak ketinggalan, Encik Shafiq Abdul Jabbar selaku Pengerusi NISB dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Astro serta Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim selaku Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv menyempurnakan lagi kegemilangan temasya yang diadakan setiap dua tahun tersebut.


MALAM INSPIRASI
Seawal jam 7.30 malam, majlis dimulakan dengan acara karpet merah yang dipancarkan secara langsung di YouTube dan Facebook rasmi Majalah Nona. Laluan yang menjadi tumpuan lensa kamera ini menyaksikan ketibaan semua tetamu yang berbusana elegan dan glamor menepati tema yang ditetapkan.





Tepat jam 8.15 malam, keberangkatan masuk YTM Che Puan Mahkota Kelantan, Che Puan Sofie Louise Johansson Petra serta semua tetamu kehormat menandakan permulaan majlis.
Perhatian tetamu terus tertumpu ke pentas sebaik lontaran vokal Marsha Milan berkumandang serentak acara persembahan fesyen dari koleksi terkini Rizman Ruzaini.
Barisan model-model ternama menambah kehangatan majlis dengan busana makan malam yang memukau.


Acara yang dihoskan oleh Fiza Frizzy ini disusuli dengan penyampaian ucapan oleh Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak serta penampilan tulang belakang karyawan Majalah Nona yang menjayakan acara berprestij ini.
“Inilah sebahagian team Majalah Nona dan Nu Ideaktiv Sdn Bhd yang telah bekerja sepenuh hati dan bertanggungjawab dalam merealisasikan Nona Superwoman Award 2022.
Terima kasih kepada semua di atas komitmen yang diberikan, meskipun ada jua kesilapan dan kekurangan yang berlaku. Biarpun seboleh-bolehnya kami cuba elakkan.
Mohon ampun dan maaf di atas segala kesilapan dan kekurangan yang tidak disengajakan.” Kiffy Razak

Tambah beliau, kolaborasi Majalah Nona dan USANITA bukanlah yang julung-julung kalinya kerana USANITA pernah menjadi penaja rasmi untuk program realiti TV – Pencarian Nona Superwoman sejumlah 8 episod di ASTRO PRIMA.
“Terima kasih tidak terhingga kepada IDW Design & Build selaku penaja bersama Nona Superwoman Award 2022. IDW Design & Build yang merupakan pencetus dimensi baru dalam dunia reka bentuk dan pengubahsuaian dalaman yang terkemuka di Malaysia juga pernah menjayakan program Nona Superhero Award 2021.
Tidak lupa M Resort & Hotel, Kuala Lumpur serta penaja-penaja lucky draw iaitu Rizman Ruzaini, Dexandra, Wawa Cosmetics dan Christy Ng.”
Ucapan tulus dan penuh bersemangat Kiffy Razak itu jelas menyuntik inspirasi dan menerima tepukan gemuruh.
PENERIMA ANUGERAH
Penganjuran Nona Superwoman Award 2022, diteruskan sekali lagi bagi mengiktiraf para wanita yang telah banyak berjasa dan cemerlang dalam pelbagai bidang sepanjang tahun 2022 melalui 48 kategori anugerah.
Selari dengan visi dan misi Majalah Nona bagi memperkasakan golongan wanita, anugerah pengiktirafan ini telah diadakan buat julung kalinya pada tahun 2018, seterusnya pada tahun 2020 dan terbaharu, bagi tahun 2022 sebagai kesinambungan pada kejayaan yang lalu.
Seramai 50 individu daripada pelbagai kerjaya diraikan dalam satu majlis makan malam yang diadakan di M Resort & Hotel Kuala Lumpur. Individu yang dipilih adalah berdasarkan kecemerlangan dan sumbangan yang diberikan kepada komuniti dan negara sepanjang tahun 2022.
SENARAI PENUH:
1. YM Tengku Asra Jehan : Nona Royal Award
2. Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib : Nona VIP Award
3. Che Puan Juliana Evans : Nona Beauty Award
4. Dato’ Sri Siti Nurhaliza : Nona Celebrity Business Award
5. Datuk Nora A Manaf : Nona Professional Award
6. Datuk Faridah Hanim : Nona Business Strategist Award
7. Datuk Leong Mun Yee : Nona Active Award
8. Dato’ Dr Hartini Zainudin : Nona Charity Award
9. Dr Malar Santhi : Nona Health Influencer Award
10. Ustazah Asma’ Harun : Nona Motivator Award
11. Dzuleira Abu Bakar : Nona Corporate Award
12. Ifa Raziah : Nona Entrepreneur Award
13. Nur Fazura : Nona Hijab Business Award
14. Ziana Zain : Nona Legend Award
15. Wawa Zainal : Nona Online Entrepreneur Award
16. Marion Caunter : Nona Fashionista Award
17. Christy Ng : Nona Fashion Brand Award
18. Sofizah Mousin : Nona Outstanding Achievement Award
19. Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan (USANITA) : Nona Best Business Development SME Award
20. Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan (USANITA) : Nona Best Emerging CEO Award
21. IDr Rabiatul Adawiyah Rasol: Nona Interior Designer of Distinction Award
22. Datin Sri Dr Yetti Murni Zamris : Nona Best Entrepreneur In Healthcare Industry Award
23. Datin Dr Nik Sarina Hashim : Nona Best Professional Beauty Award
24. Datin Amelia Hassan : Nona Best Fashion & Emerging Healthcare Award
25. Datin Rauzawani Abdul Hadi : Nona Best Beauty Brand Award
26. Tengku Norhanim Tengku Othman : Nona Best Crispy Chocotub Brand Award
27. Dr Che Fatimah Dinna & Datuk Wan Azmir Wan Majid: Nona Inspirational ‘Mom & Son’ Award
28. Dr Adibah Abd Bari & Julia Lah : Nona Best Halal Skincare Award
29. Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal : Nona Best Homegrown F&B Award
30. Ain Fatin Liyana : Nona Best Cosmetic Brand Award
31. Ernayanee Nur Julaimi : Nona Best Fragrance Entrepreneur Award
32. Erna Elliyana : Nona Trusted Beauty & Health Brand Award
33. Farah Nadhirah Ibrahim : Nona Best Hair Care Award
34. Mas Haryati Baharudin : Nona Best Halal Slimming Supplement Award
35. Nazrin Shahnaz Peer Mohamed : Nona Best Healthcare Interior Design Award
36. Nik Amirah Syamimi : Nona Best Local Cosmetics & Skincare Award
37. Nor Farahiyah Kamal Bharin : Nona Best Natural Skincare Award
38. Norzira Syarini Mohammed Pauzi : Nona Most Outstanding Advertising & Public Relation Consultant Award
39. Nur Adila Manshor : Nona Best International Organic Honey Award
40. Nur Aini Zolkepeli : Nona Best Halal Cosmetics Award
41. Nur Bashirah Hussin : Nona Best Effective & Scientifically Researched Skincare Award
42. Ony Nurhusni : Nona Best Trusted Beauty & Pharmacy Products Brand Award
43. Rami Zati Najwa Kamarudin Hilmi : Nona Top Trusted OEM Factory Award
44. Ros Liza Yaziz : Nona Best Mom’s Choice Award
45. Sharifah Nur Fakhirah Syed Muhsin : Nona Best Supplement Product Award
46. Shariffah Asdahlina Habib Ahmad : Nona Best Playschool Award
47. Siti Fatimah Adnan : Nona Best Halal Ice Cream Award
48. Syarifah Furaiha Sha’are : Nona Best Halal Henna Award
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dulu Berniaga Tepi Jalan, Kini Dengan Kudrat Sendiri Nurleen Rancak Niaga Atas Talian

Rezeki tidak pernah salah alamat, di mana sahaja kita berada di bumi Allah, insyaAllah rezeki itu pasti ada buat mereka yang rajin berusaha. Sama ada lambat atau cepat, sikit atau banyak itu semuanya bergantung kepada usaha serta tentunya dengan izin Maha Pemberi Rezeki.
Nurleen Binti Ibrahim, 35 tahun, merupakan pemilik kepada Leenzy Ibrahim Kitchen yang didaftarkan di bawah syarikat Leenzy Ibrahim Enterprise. Menjalankan perniagaan secara ‘online’ melalui Facebook dan Instagram. Diusahakan sepenuhnya dari rumah, Nurleen memfokuskan bidang pembuatan kuih-muih, kek, kek lapis Sarawak, pastri dan makanan bagi katering kecil-kecilan.



Wanita ini juga merupakan pelajar terbaik untuk kursus Masakan dan Pramusaji Giatmara, Stampin Kuching. Dia pernah mengikuti Kursus Pembangunan Rancangan Perniagaan RBC dibawah kelolaaan MARA dan Penerima Geran Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) melalui SME CORP.
“Saya akui pandemik ini menjejaskan banyak perniagaan termasuk saya sendiri. Namun bagi saya ia tidak harus dilihat sebagai satu masalah besar, sebaliknya fokus harus diberikan untuk untuk mencari jalan agar perniagaan dapat diteruskan dalam apa jua keadaan.
Kalau dulu saya akui tempahan bukan hanya tinggi pada hari-hari perayaan sahaja tetapi hari-hari biasa juga. Namun semenjak pandemik, kesan kekurangan tempahan itu dapat dirasai setiap hari malahan terjejas apabila hari demi hari tiada tempahan,” jelas anak Bintulu, Sarawak itu.
Namun keadaan ini tidak mematahkan semangat beliau untuk bertahan dalam perniagaan. “Sebagai orang Islam apa saja yang kita buat dalam kehidupan, jalinan ukhuwah sesama manusia dan perniagaan perlu dilaksanakan dengan reda Allah. InsyaAllah rezeki itu pasti ada jika kita sentiasa menjaga perkara ini.

Rezeki dan hubungan baik dengan keluarga, adik-beradik serta masyarakat luar akan seiring jalan, ditambah dengan kualiti produk yang mesti dijaga agar semua berpuas hati dengan perkhidmatan kita.
Saya selalu pesan kepada diri dan anak-anak, jika dalam keadaan apa sekalipun kita perlu sentiasa jaga hubungan dengan Allah, solat dan sebagainya.
InsyaAllah kalau kita jaga semua tu, Allah akan jaga benda-benda lain untuk kita. Percayalah rezeki dan kesenangan itu datang dari Allah sebab kita baik pada orang lain dan keluarga,” ujar Nurleen sambil tersenyum manis.


“Kita perlu punya perancangan perniagaan yang baik. Jika gagal plan A, perlu ada plan B dan seterusnya. Kuncinya kena terus usaha, banyak mengkaji permintaan pasaran. Cuba lihat apa kekurangan perniagaan yang kita ada sekarang dan berusaha untuk memperbaiki diri.
Jangan meniru hasil kerja orang lain, tapi jadikan apa yang kita lihat itu sebagai satu inspirasi dan cuba untuk jadi lebih baik daripada itu. Jangan lihat satu masalah itu sebagai beban, jadikan ia sebagai semangat untuk bangkit kerana jikalau kita berusaha setiap kesusahan itu akan ada kemanisan di hujungnya, insyaAllah.”
Mengimbas kembali kisah bagaimana Nurleen mula bertapak, bukan mudah perjalanan dilaluinya. “Saya dilahirkan dalam keluarga besar yang memang suka berniaga. Semenjak arwah ayah tamat perkhidmatan beliau di satu syarikat pelantar minyak di Miri, ibu dan ayah balik ke kampung halaman di Bintulu dan membuat keputusan untuk berniaga.
Dari kecil saya membantu mereka. Membungkus dan mengangkat kuih-muih hingga lama-kelamaan ianya menjadi kebiasaan buat saya. Pengalaman inilah membawa saya memulakan perniaga secara serius pada tahun 2012.
Produk pertama yang dihasilkan ialah biskut makmur dan brownies. Niat saya buat hanya untuk suka-suka, tapi tanpa disangka jadi bahan mulut ke mulut pelanggan saya.
Boleh dikatakan setiap hari ada tempahan. Saya tidak hanya fokus pada 2 produk itu sahaja, saya juga menjalankan perniagaan katering untuk syarikat swasta dan juga badan-badan kerajaan dan masa itu pekerja saya adalah di kalangan lepasan GiatMARA, kawan-kawan saya dan juga adik-beradik.


Pada tahun 2016, saya berkahwin dan kemudian saya berpindah ikut suami ke Negeri Sembilan. Hijrah saya ini menjadi satu cabaran besar bagi saya untuk membuat rangkaian baru di Semenanjung Malaysia. Ia memerlukan perhubungan yang lebih terbuka dan persaingan agak sengit di kalangan para peniaga.
Perlu lebih komitmen tinggi dari segi masa dan tenaga serta usaha. Memang mencabar di awalnya kerana tiada orang yang mengenali saya.
Namun dengan adanya Instagram, Facebook dan rangkaian di media sosial, saya teruskan membuat promosi memperkenalkan produk saya di seluruh kawasan Negeri Sembilan, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor.
Alhamdulillah berkat usaha itu, pelanggan saya bertambah dari hari ke hari,” ujar Nurleen sambil menyatakan biskut makmur air tangannya merupakan salah satu biskut kegemaran Dato’ Rizalman Ibrahim.
Banyak suka duka dalam berniaga yang dilalui…. “Terlalu banyak sebab setelah ayah saya diberhentikan kerja, sememangnya dari kecil saya tahu ayat ‘berusaha’ dan pada tahun 2006 saya pernah melalui keperitan hidup apabila menjadi ibu tunggal kepada seorang anak lelaki.
Pada masa itu, anak sulung saya inilah menjadi kekuatan saya. Memang lama saya nak bangkit balik daripada kekecewaan itu, tapi orang cakap ‘life must go on’ kalau saya tak buat sesuatu tiada siapa yang boleh bantu melainkan diri saya sendiri
Saya ingat ada satu masa itu saya berniaga di tepi jalan, anak sulung saya sentiasa menemani saya sampai tertidur di bawah meja jualan saya.
Tapi anak tak pernah merungut, dia seronok bersama saya. Alhamdulilah saya dikurniakan anak yang sangat baik dan tak menyusahkan.
Kami pernah melalui keadaan dalam hujan lebat basah kuyup sambil angkat barang katering penuh dalam kereta. Saya amat bersyukur Allah memberikan kudrat dan kekuatan yang sangat besar buat saya. Semua pengalaman inilah, menjadi cikgu sebenar untuk saya terus maju dalam bidang perniagaan.

Saya percaya selagi kita rajin berusaha takkan ada benda yang menjadi penghalang. Kita perlu positif dan elakkan diri daripada meminta-minta. Saya kena usaha sendiri demi membesarkan anak saya masa itu. Alhamdulillah saya tak menyusahkan sesiapa, saya mampu bagi kesenangan menyekolahkan anak saya sendiri.
Pengalaman tersebut sangat berharga bagi saya. Kalau dulu saya sedih dan anggap itu semua beban, sekarang saya bangga sebab saya pernah berada dalam situasi tersebut tapi saya berjaya melepasinya,” cerita Nurleen mengimbas kembali perjalanan hidupnya sebelum ini.
Sekarang kebahagiaan mengiringi kehidupan Nurleen bersama suami dan tiga orang anaknya. Nurleen banyak mengikuti kelas online seperti kelas food photography, kelas perniagaan dan kelas Bahasa Inggeris. Ini semua merupakan satu pelaburan untuk perniagaannya di masa hadapan.

“Suatu hari nanti dengan izin Allah saya ingin membuka small café yang menjual pelbagai jenis produk kek, pastries dan kek lapis Sarawak. Saya berharap perniagaan saya ini nanti dapat membantu lebih banyak golongan yang susah dari segi kewangan dan pekerjaan.
Niat saya ingin menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda atau kepada sesiapa yang ingin bekerja secara sambilan. InsyaAllah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


