Nak Dapatkan Wajah ‘Glass Skin’ Ala Wanita Korea, Konsisten Dengan 8 Cara Mudah Ini

Kini trend kecantikan popular dari Korea dengan gaya solekan memukau menjadi ikutan di pelbagai pelusuk dunia.

Salah satunya ialah glass skin. Kulit yang diibaratkan umpama kaca dianggap bersih tanpa pori-pori, sangat halus, anjal dan berseri.

Kalau tanpa secalit solekan pun, wajah tetap nampak segar dan sihat.

Dipetik daripada Purplle, berikut adalah langkah demi langkah bagi mendapatkan glass skin ala wanita Korea.

DOUBLE CLEANSER
Kaedah double cleansing membantu membersihkan wajah daripada sisa solekan yang melekat atau menyumbat pori-pori kulit.

Dengan menggunakan kapas, bersihkan wajah dengan oil cleanser atau milk cleanser. Kemudian, gunakan pencuci wajah agar lebih bersih secara maksimum.

PENGELUPASAN (EXFOLIATE)
Walaupun wajah dah melalui tahap double cleansing, tetap perlu melakukan proses pengelupasan bagi menanggalkan sel-sel kulit mati dan kotoran yang terkumpul di bawah permukaan kulit.

Kulit akan lebih cerah, bersih, mencegah jerawat dan membantu penyerapan produk penjagaan kulit dengan lebih baik. Lakuan 2-3 kali seminggu.

PENYEGAR (TONER)
Wanita Korea gemar menggunakan toner dalam siri penjagaan kulit mereka.

Selain mencerahkan, toner juga membantu mengimbangi pH kulit, melembapkan dan membantu produk penjagaan kulit lain meresap dengan sempurna ke dalam kulit.

Elak guna toner yang mengandungi alkohol kerana boleh mengeringkan kulit. Pilih toner yang boleh melembapkan kulit dan mengurangkan minyak pada wajah.

ESSENCE
Membantu meningkatkan kelembapan dan memperbaiki tekstur kulit wajah.

Penggunaan pati pada waktu malam dipercayai dapat membuatkan kulit cerah dan berseri bak kaca di waktu pagi.

SERUM
Kunci utama bagi mendapatkan glass skin ala wanita Korea. Serum bukan saja melembapkan kulit, malah dapat memperbaiki tekstur kulit dan mengurangkan tanda-tanda penuaan.

Pilih serum yang mengandungi asid hyaluronik dan Vitamin E bagi membantu melicinkan dan menambahkan kelembapan pada kulit.

PELEMBAP
Sapu pelembap pada waktu pagi dan malam.

Selain melembapkan, pelembap juga boleh membantu mencerahkan kulit dan mempercepatkan penyerapan produk penjagaan kulit lain ke dalam kulit.

KRIM PELINDUNG MATAHARI
Fungsi utama krim ini untuk melindungi kulit daripada sinaran UV dan mengelakkan tanda-tanda penuaan.

Bagi memastikan wajah kekal bersih dan berseri, gunakan pelindung matahari walau berada di dalam rumah.

MASKER WAJAH
Terdapat banyak masker wajah di pasaran yang boleh membantu dengan pelbagai masalah kulit.

Untuk penampilan yang glowing dan melembapkan, gunakan sheet mask pada waktu malam 2-3 kali seminggu.

Kredit Foto: www.pexels.com

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona

IKLAN
Share