Bagi kaum wanita puasa bulan Ramadan memang jarang dapat berpuasa sehingga 30 hari. Walaupun telah diberikan ‘keistimewaan’ tetapi puasa yang ditinggalkan perlu diganti atau qada.

Foto: Gambar hiasan

Berpuasa 6 di bulan Syawal dijanjikan pahala umpama berpuasa setahun. Jadi kaum wanita juga tidak mahu ketinggalan untuk merebut pahala berpuasa 6. Kena ganti puasa 12 hari, campur puasa 6 bersamaan dengan 18 hari. Belum sempat nak habiskan puasa ganti ‘uzur’ datang semula.

IKLAN

Adakah kaum wanita tidak mempunyai peluang untuk mendapat pahala puasa 6? Mantan Mufti Wilayah Persekutuan yang kini menjawat jawatan sebagai Menteri Hal Ehwal Agama, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri merungkaikan persoalan yang tiap-tiap tahun menghantui kaum wanita.

Firman Allah SWT: (Surah al-Baqarah:183)

Berbuka Puasa Di Bulan Ramadan Tanpa Ada Sebarang Keuzuran

Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya menqadakannya serta merta selepas tamatnya Ramadan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qada.

Adapun sekiranya dia tidak berpuasa pada bulan Ramadan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qada kerana qada waktu puasa qada adalah muwassa` (luas).

Foto: Gambar hiasan

Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala menyebut: “ (Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat Syawal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqada Ramadan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dahulu.” (Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, hlm. 128)

Foto: Gambar hiasan

Isu Menggabungkan Dua Ibadat Dengan Satu Niat

Masalah ini dikenali di sisi para ulama sebagai masalah tasyrik (mengabungkan dua ibadat dengan menggunakan satu niat) hukumnya :

Sekiranya ia adalah termasuk dalam wasilah atau perkara yang bercampur maka hukumnya sah. Terhasil apa yang dihajatinya daripada kedua ibadat tersebut. Misalnya, jika seseorang itu mandi junub pada Hari Jumaat untuk melakukan Jumaat dan juga mengangkat junub.

Foto: Gambar hiasan

Sesungguhnya junubnya terangkat dan pahala mandi jumaat tersebut pun terhasil. Walaupun salah satu daripada dua ibadat tersebut tidak diniatkan manakala yang lain pula diniatkan dengan zatnya maka sah himpunan atau gabungan tersebut dan tidak mencederakan ibadat tersebut misalnya solat tahiyyah masjid dilakukan berserta solat fardhu atau solat sunat yang lain.

Adapun menghimpunkan atau gabung di antara dua ibadat yang diniatkan dengan zatnya seperti puasa qada atau kaffarah, atau nazar berserta puasa sunat seperti puasa sunat 6 hari pada Bulan Syawal maka tidak sah tasyrik tersebut mengikut pendapat yang muktamad kerana setiap ibadat itu berasingan daripada ibadat lain yang diniatkan dengan zatnya dan tidak pula berada di bawah ibadah yang lain.

Foto: Gambar hiasan

Persoalannya, adakah berpuasa dengan niat qada bulan Ramadan dan niat puasa 6 pada bulan Syawal yang digabungkan sah keduanya? Atau salah satu sahaja sah? Jika dibuat secara ithlaq (Umum) berhasil keduanya atau salah satu sahaja?

Gabung Niat Puasa Qada Ramadan Dan Puasa 6 Syawal

Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat di antara puasa qada Ramadan dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.

Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala: “Jika seseorang berpuasa pada Bulan Syawal untuk qada bagi puasa Ramadan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya.

Foto: Gambar hiasan

Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada 6 hari daripada bulan Syawal tetapi, dia tidak akan memperoleh pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk 6 hari pada bulan Syawal sahaja.

Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadan dan seterusnya berpuasa 6 hari di bulan Syawal” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)

Foto: Gambar hiasan

Imam Ramli Rahimahullahu Taala menyebut bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadan dan qada di bulan Syawal, adakah berhasil qada puasa Ramadan dan pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal, ada ke tidak dalam masalah ini sebarang nukilan?

Imam Ramli Rahimahullahu Taala menjawab: “Bahawa berhasil puasa qada Ramadannya walaupun dia gabung niat puasa qada Ramadannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).” (Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/339)

Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)

Kesimpulannya; mengikut pendapat yang muktamad, afdal seseorang itu menjadikan puasa qada berasingan dengan puasa 6 pada bulan Syawal. Namun begitu, menyatukan puasa qada dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang daif. Namun begitu, menyegerakan qada puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Semoga kita termasuk bersama-sama dengan orang bertaqwa.

Sumber: muftiwp.gov.my