Hati wanita mana tidak tersentuh sekiranya melihat sekujur tubuh kanak-kanak menderita akibat penyakit, apatah lagi penyakit yang paling jarang dijumpai dalam dunia. Begitu juga buat selebriti dan ibu kepada dua orang cahayamata, Anzalna Nasir yang berkongsi kisah yang dilalui oleh adik Mas Muhammad Luth menderita menghidap high grade glioma peringkat empat awal tahun ini. Lebih membimbangkan, penyakit ini juga merupakan antara penyakit paling jarang dijumpai di dalam dunia.
Sedih dengan derita yang menimpa kanak-kanak tersebut yang juga merupakan anak kepada sahabatnya, Anzalna Nasir mengambil inisiatif untuk mengumpulkan sejumlah dana bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga berkenaan.
Mas Muhammad Luth, 4 tahun menderita menghidap high grade glioma peringkat empat awal tahun ini. Ia juga merupakan antara penyakit paling jarang dijumpai di dalam dunia.
“Hati siapa yang tidak luluh apabila melihat kanak-kanak yang ceria tiba-tiba jatuh sakit. Paling menghibakan apabila penyakit tersebut jarang dijumpai dan amat sukar untuk diberikan rawatan.
“Saya memang sudah mengenali Luth sejak dari kecil lagi. Dia pun lebih kurang usia anak saya dan pastinya apa yang berlaku membuatkan saya terpanggil untuk mencari dana membantu dia mendapatkan rawatan sewajarnya untuk kembali pulih,” katanya.
Tambahnya lagi, ibu kepada Luth yang mahu dikenali sebagai Hazirah merupakan kenalan rapatnya. Apa yang menimpa wanita berkenaan begitu merenggut emosinya memandangkan dia juga merupakan ibu tunggal kepada tiga orang cahaya mata.
Tentunya dugaan yang menimpa dirinya, membuatkan sesiapa sahaja akan terasa hati memandangkan beban yang ditanggung ketika ini amat berat.
High grade glioma merupakan sejenis tumor yang ‘hinggap’ di kepala begitu agresif dan perlu dirawat dengan segera. Sejak didiagnos pada 31 Januari lalu, Luth sudah menjalani pembedahan bagi membuang bahagian tersebut.
“Memang dia sudah menjalani pembedahan dan rawatan susulan termasuklah radioterapi dan kemoterapi. Namun keputusan ujian MRI baru-baru ini menunjukkan keputusan yang kurang memberangsangkan.
“Paling menyedihkan apabila doktor memaklumkan bawasanya kes yang berlaku kepada Luth amat jarang berlaku dalam dunia terhadap kanak-kanak.
“Hanya 10 peratus sahaja mampu bertahan dan peluang untuk hidup hanya satu tahun sekiranya tidak mendapat rawatan,” katanya yang berharap dapat mengumpulkan sejumlah dana bagi membawa Luth mendapatkan rawatan di luar negara.
Terkini keadaannya semakin lemah dan Luth perlu segera di bawa berjumpa dengan doktor pakar di United Kingdom (UK) memandangkan hanya mereka yang mempunyai kepakaran mengendalikan penyakit sebegini.
“Ibunya sendiri sudah mengeluarkan segala simpanan yang ada bagi mengumpulkan dana namun masih belum mencukupi. Jadi saya minta jasa baik semua pihak untuk membantu meringankan beban mereka.
“Dengan rendah hati dan keprihatinan rakyat Malaysia, saya yakin kita mampu mengumpulkan dana yang diperlukan. Hari ini mungkin mereka diuji, dugaan untuk kita belum tentu lagi. Semoga usaha kecil kita semua mampu menyelamatkan nyawa Luth,” katanya lagi.
Sumbangan boleh diberikan secara terus melalui :https://bantuan.hollow-web.com
Rujukan: https://instagram.com/luthfighterboy?igshid=MzRlODBiNWFlZA==