Orangnya bertubuh genit namun memiliki impian besar dan semangat luar biasa. Biarpun dibesarkan sebagai anak peneroka namun cita-cita Noraini Hanipah untuk bergelar usahawan dan membina empayar perniagaan sendiri tidak pernah padam dalam kamus hidupnya. Tegas Noraini, fokusnya hanya satu. Mahu melihat seluruh ahli keluarga terutama ibu bapa tersayang keluar daripada kepompong kesusahan.
Hasil kerja keras, doa ibu bapa, tawakal kepada Allah dan niat murni agar insan kesayangan dapat menikmati kehidupan lebih baik, Noraini kini bukan hanya sukses sebagai ahli perniagaan. Malah berstatus jutawan menerusi empayar yang dibina iaitu Anggun Legacy Global Sdn Bhd.
Berkali-kali ungkapan syukur meniti di bibir wanita hebat berusia 41 tahun ini tatkala bercerita mengenai perjalanan kariernya menjadi usahawan. Dedah anak kepada pasangan Hanipah Saidi dan Hasnah Bani tersebut, beliau tidak menyangka dikurniakan rezeki melimpah ruah meskipun hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sebelum terjun ke dalam dunia perniagaan dan fesyen, Noraini yang berasal dari Mersing, Johor pernah bertugas sebagai kerani di sebuah syarikat pembinaan. Beliau kemudian berjinak-jinak menjual produk tekstil milik usahawan lain secara atas talian selama dua tahun dan mengambil keputusan untuk mengusahakan perniagaan sendiri di bawah jenama Anggun Cotton Collection pada tahun 2014.
“Kenapa pilih jual kain cotton?” soal penulis.
Sambil tersenyum, beliau menyusun bicara. “Saya pilih kain cotton sebab saya memang ‘gila’ kain cotton. Bagi saya, ia melambangkan karakter wanita yang sarat dengan kelembutan dan berjiwa ayu apabila memakai kain cotton. Sebab itu juga bisnes ini dinamakan Anggun Cotton Collection.”
Bermodalkan RM4,000 yang dikongsi dengan adiknya iaitu Norafizah, Noraini membeli 100 pasang kain kapas daripada pembekal dan menjual kain-kain tersebut di platform Facebook.
“Awal bisnes, hanya ada tiga orang saja iaitu saya, adik dan suami. Waktu itu, semua urusan seperti ambil order, packaging, sampailah pos barang dilakukan kami bertiga. Alhamdulillah, dalam masa tiga bulan saja bisnes kami naik mendadak.
Enam bulan berniaga dari rumah, kami pindah menyewa di bangunan MARA Seremban selama kira-kira setahun. Dari satu lot kedai kecil, kami dapat sewa lot kedai di sebelah pula jadi dua shop lot. Sampailah ada warehouse tahun 2018.
Jenama Anggun Cotton Collection mula dikenali ramai pada tahun 2020 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 sebab orang tak boleh pergi mana-mana dan duduk di rumah. Masa itulah kami kuatkan strategi pemasaran online dan aktif promosikan produk. Tahun 2020 juga kami ambil keputusan melantik selebriti Yana Samsudin sebagai duta.
Pun begitu, jualan kami pada tahun 2019 sebenarnya sudah mencecah RM15 juta,” ujar Noraini yang merupakan usahawan bimbingan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan mencatat jualan tertinggi sebanyak RM47 juta pada tahun 2022.
Tambahnya lagi, dari tahun 2014 sehingga ke hari ini Anggun Cotton Collection sudah menghasilkan puluhan ribu item merangkumi pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak. Antaranya baju kurung, kebaya, jubah, blaus dan kurta.
“Produk kami kebanyakannya diambil terus dari China, Vietnam, Jepun dan Korea Selatan. Memang dari mula berniaga lagi produk yang kami keluarkan adalah dalam volume yang besar supaya pelanggan ada banyak pilihan dan dijual dengan harga mampu milik.”
Sedekad mengemudi empayar Anggun Cotton Collection meraih pelbagai pengiktirafan. Ini termasuk The BrandLaureate Emerging SMEs BestBrands e-Branding Award 2020 dan Superbrands Malaysia’s Choice Award 2021.
“Pencapaian terbesar kami ialah pada tahun 2021 apabila berjaya menaikkan 120 billboard di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Pantai Timur, NKVE dan ELITE serta dua unipole billboard di MRR2 berhadapan Ampang Point. Kami juga dapat mempromosikan jenama Anggun Cotton Collection di stesen radio seperti Era FM, Suria FM dan Sinar FM.
Staf juga makin bertambah daripada tiga orang, sekarang melebihi 50 orang. Selain itu, kami juga buka enam buah butik seluruh Malaysia iaitu di Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Kedah.
Ads
Selain itu, kami turut berjaya membina sebuah surau berkapasiti 500 orang pelajar di Sekolah Menengah Warisan Puteri, Negeri Sembilan. Itulah perjuangan kami setelah hampir 10 tahun dan dapat buat satu perkara yang baik dengan membina surau.
Surau ini siap sepenuhnya pada Mac 2024 dan dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun,” dedah Noraini yang turut mengurus perniagaan ini bersama suami tercinta, Mohd Shazrin Yahya.
Ditanya hala tuju syarikat dalam masa lima tahun akan datang, ini jawapan Ketua Pegawai Eksekutif Anggun Cotton Collection berkenaan.
“InshaAllah kita akan tambah beberapa cawangan butik pada masa depan. Setakat ini, kami dah ada enam butik dan berhasrat untuk buka 10 hingga 15 buah butik lagi. Dalam masa sama, kami merancang melebarkan sayap perniagaan dan produk Anggun Cotton Collection menembusi pasaran luar negara seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.”
INSPIRASI
Noraini Hanipah, Anggun Cotton Collection
Pelayaran bahtera tanpa nakhoda yang cekap maka akan karamlah ia. Begitu juga realiti yang perlu ditempuh dalam mengemudi empayar perniagaan. Tanpa kecekapan seorang ketua untuk membimbing anak kapal sampai ke destinasi, pastinya akan membuatkan bahtera tersebut terumbang-ambing dan hilang arah tuju.
Ads
Menyedari tanggungjawab besar yang digalas selaku ketua, Noraini Hanipah sentiasa mempersiapkan diri dengan perancangan dan ilmu pengurusan perniagaan yang ditimba sepanjang menyertai program keusahawaan dan kepimpinan RichWorks bersama Datuk Dr Azizan Osman.
“Untuk mengekalkan bisnes kita kena bijak mengatur kewangan, strategi pemasaran dan menjaga kualiti produk. Sebagai pengasas, saya perlu ambil tahu dan faham semua faktor itu secara menyeluruh supaya bisnes ini berjalan lancar.
Seorang ketua yang baik ialah mereka yang memiliki sikap tidak mudah berputus asa dan tidak lelah belajar ilmu perniagaan. Carilah mentor yang boleh membawa kita ke arah lebih baik untuk menggapai impian. Kita juga perlu circle yang positif supaya kita dapat serap aura positif mereka,” terangnya bersungguh-sungguh.
Sepanjang 10 tahun penubuhan Anggun Cotton Collection, Noraini mengakui berdepan pelbagai kesulitan yang mencabar mental dan fizikal terutamanya apabila mengalami kerugian mencecah jutaan ringgit.
“Ya, saya pernah juga ditipu jutaan ringgit. Dalam bisnes, ditipu dan rugi adalah satu lumrah buat usahawan. Tapi jangan pernah ada perasaan apabila kena tipu kita terus mengalah dan tak mahu berniaga lagi. Ingat, kita sebagai usahawan kena kuat emosi dan kuat mental!
Bila berdepan dengan penipuan, saya akan fikir ia satu ‘kurniaan’ buat diri saya dengan Allah beri sedikit ujian. Saya yakin akan ada rezeki lain. Orang kata ujian itu adalah proses kita belajar untuk menjadi lebih baik.
Saya juga mahu buktikan yang saya mampu berjaya seperti orang lain walaupun tidak mempunyai pendidikan yang tinggi. Saya mahu ‘value’ diri saya ini sama seperti mereka yang sudah berjaya bukan hanya dari segi pendapatan.
Tetapi juga dapat membantu lebih ramai orang termasuklah masyarakat, adik-beradik dan ibu bapa,” akhirinya yang diangkat sebagai Wanita Ikon Negeri Sembilan 2024/2025.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Murninya hati wanita bernama Siti Syasya Rosaelmi Baba atau lebih dikenali sebagai Asyalliee. Kalau arwah ibu dan ayahnya masih ada pasti mereka bangga mempunyai anak yang bukan hanya berjaya dalam kerjaya.
Malah seorang wanita, isteri, ibu dan majikan yang berperibadian tinggi. Walau masih muda tapi kematangan ibu kepada tiga anak ini cukup terserlah.
Genap berusia 25 tahun pada 26 Julai lepas, Asyalliee makin rancak mengurus perusahaan Loveliee Beauty dan Asyalliee Group. Sehingga kini Asyalliee Group sudah pun mempunyai lebih lima koleksi tudung dan pelbagai rangkaian produk penjagaan serta kosmetik Loveliee Beauty.
Ditanya perancangan bisnes, jawapan yang diberikan meluru laju di bibirnya. “Tahun ini saya akan lebih fokus naikkan branding clothing line iaitu Asyalliee Group yang jual tudung dan pakaian ready to wear.
Setelah empat tahun dalam bidang kecantikan, ternyata minat saya lebih kepada fesyen. Sebab itu saya nak fokus kepada branding Asyalliee Group. Saya nak cuba asah kemahiran dan potensi dalam bidang lain pula.
Dalam masa sama mahu ada banyak lebih banyak butik. Tidak kira butik di shop lot mahupun pusat beli-belah.”
FOTO KOLEKSI MAJALAH NONACredit Instagram @asyallieeFOTO KOLEKSI MAJALAH NONA
Bertahun-tahun berniaga rupa-rupanya Asya ada misi besar untuk dilaksanakan. Katanya, dia mahu menjadikan perniagaan ini sebagai ‘penghubung’ kepada tujuan asal berniaga iaitu membina rumah orang-orang tua.
“Dalam masa 10 tahun akan datang, perniagaan saya dah jadi auto run supaya saya boleh fokus 100 peratus kepada impian selama ini iaitu nak ada rumah anak yatim dan orang tua.
InshaAllah, itu salah satunya tujuan sebab sebagai seorang anak yatim, saya kurang dapat kasih sayang daripada kedua ibu bapa, tak sempat jaga arwah ibu dan ayah, nak balas jasa mereka walau saya tahu mereka tak dapat dibayar langsung.
Dengan apa yang ada sekarang, saya nak buka rumah orang-orang tua untuk buat tempat yang sangat selesa buat mereka. Di samping beri kasih sayang yang sangat banyak daripada saya sendiri dan mereka yang ada di situ nanti. Jika diizinkan, saya juga nak buat madrasah atau perkara yang lebih ke arah keagamaan.”
HIDUP MISKIN
Meniti usia 25 tahun, kehidupan Asyalliee hari ini menjadi inspirasi ramai kerana dia mampu memiliki semua yang diidamkan individu seusianya. Ada suami penyayang, anak-anak comel, bisnes maju, rumah besar, kereta mewah dan populariti.
Namun bagi empunya diri, perjalanan hidupnya tidak seindah yang disangka. Dedah Asyalliee, sejak kecil dia sering dilemparkan dengan kata-kata sindiran dan hinaan daripada orang sekeliling kerana taraf keluarganya yang miskin.
“Dari kecil sejak arwah ayah meninggal, saya lalui kehidupan susah dengan arwah mak sebab arwah mak kerja sebagai tukang masak di kedai. Kami hanya mampu tinggal di suatu tempat sempat yang saya sifatkan bukan sebuah rumah pun. Waktu tu ramai hina arwah mak.
Mak orang Thailand, dengan kerja sebagai tukang masak ramai yang hina dan tak suka dia. Tapi arwah mak sangat kuat dan kalis kecaman. Disebabkan kehidupan kami yang sangat susah waktu itu, arwah mak meninggal dalam keadaan koma.
Doktor sahkan arwah ada barah otak. Bila arwah meninggal, kami terfikir arwah meninggal sama ada kerana keadaan terlalu miskin sampai dia tak tahu ada barah otak sebab hanya makan ubat dan tak buat pemeriksaan kesihatan. Atau arwah mak tahu tapi tak beritahu anak-anak.”
FOTO KOLEKSI MAJALAH NONACredit Instagram @asyalliee
Sejak pemergian arwah, Asyalliee yang merupakan anak keempat daripada lima beradik tinggal bersama kakaknya. Namun masalah lain pula timbul apabila dia didera mental dan fizikal.
Mujur, kakak sulung sempat selamatkan Asyalliee. Dek kerana mahu berdikari, dia sanggup ambil tawaran menjadi model dan review produk di media sosial ketika masih di bangku sekolah lagi. Rezeki tersebut diraih selepas video Asyalliee menjadi tular di media sosial.
REZEKI MELIMPAH
“Ada hikmah dan rezeki lepas video saya viral di media sosial. Orang panggil buat review dan ambil job jadi model. Dalam masa sama saya masih sekolah. Dari situ saya dah start berdikari sendiri sampai sekarang. Habis je belajar saya terus berhijrah ke Kuala Lumpur untuk cari kerja.
Asya inspirasikan diri sendiri sebab orang lain, lain cerita. Kita tak tahu mereka susah bagaimana. Tapi apa yang saya tahu diri saya, macam mana saya bangkit, dari seorang anak orang miskin yang dilemparkan dengan caci maki, tapi saya boleh bangkit dan kalis hinaan.
Dulu saya pernah kena dera. Fizikal dan mental selama setahun tapi kakak sulung selamatkan. Dari situ, apa ujian yang saya lalui sekarang tidak sehebat ujian dulu. Saya masih mampu handle lagi dan mental boleh tangani perkara ini.
Bila orang tanya siapa sumber inspirasi, memang saya jawab diri sendiri sebab bila orang kecam dan maki, saya masih kuat.”
Mendirikan rumah tangga pada usia muda iaitu 20 tahun, Asyalliee berkata dia mengambil keputusan itu untuk mengelak ‘buah mulut’ orang dan mudah baginya ke mana saja bersama suami.
Jelas Asyalliee, mereka hanya bernikah dan tidak berkesempatan membuat majlis resepsi kerana kekangan kewangan.
Sewaktu hamil anak sulung, pasangan ini diuji hebat apabila reputasi mereka tercalar akibat perselisihan faham yang berlaku dengan seorang usahawan. Dengan perut yang kian membesar dan sumber kewangan tidak menentu, mereka akhirnya memutuskan untuk berniaga sendiri.
“Saya terdetik buat perniagaan masa hamil anak pertama. Suami sanggup gadaikan motorsikal yang dia sayang waktu kami bercinta dulu untuk dijadikan modal bisnes. Lepas anak lahir, rezeki kami masuk melimpah ruah. Sebab itu jugalah kami namakan anak sebagai Haider Mikael yang membawa maksud ‘Pemberani pembawa rezeki’.
Kepada kawan-kawan dan sahabat yang sedang diuji, ingat setiap ujian yang diberi Allah terselit hikmah tersendiri dan kena ingat jangan pernah mengeluh. Kalau mengeluh, maka hilanglah nikmat tu. Allah bagi ujian sebab nak angkat darjat kita dan beri kehidupan lebih baik. Jalanilah kehidupan ikut sunnah Rasulullah SAW.”
Asyalliee berkahwin dengan Eboy Arbaain pada 25 Februari 2017. Hasil perkongsian hidup, dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Haider Mikael, Helena Adrianna dan Hayyan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Janna Nick dikejar rezeki. Itulah perkataan paling tepat untuk menggambarkan ganjaran Tuhan terhadap hamba-Nya yang berkorban demi keluarga. Ya, kali ini pertemuan Nona dengan gadis bernama Nurul Jannah Muner itu jujurnya cukup membuka mata. Betapa dalam usia sebegitu muda, dia sudah kelihatan lebih dewasa dan matang merencana segalanya.
Pada usia 24 tahun, tak ramai yang tahu Janna Nick sanggup berkorban zaman remaja dengan bekerja dan berhabis wang untuk keluarga tercinta. “Saya betul-betul sayangkan keluarga saya. Tak pernah sekali pun rasa terbeban melunaskan tanggungjawab sebagai seorang anak. Saya bahagia dapat bantu mereka, malah saya percaya sebagai anak yang menyara keluarga, itulah cara menjemput rezeki dan rahsia keberkatan dalam hidup.
Lagi banyak kita membantu, lagi berkat dan murah rezeki kita. Secara tak langsung, peranan ‘ketua keluarga’ juga mengajar saya supaya lebih bertanggungjawab. Mungkin bila saya dah ada keluarga sendiri nanti, saya dah bersedia dari segi fizikal dan mental,” akui anak kedua daripada empat adik-beradik tersebut.
Memulakan karier dalam bidang seni seawal umur 16 tahun, aktres drama My Coffee Prince itu semakin bijak mengatur langkah. “Saya mula urus kewangan ketika berhasrat beli rumah dulu. Masa tu saya berjaya capai impian beli rumah pertama pada usia 21 tahun. Dan sejak itulah, saya berazam untuk kumpul lebih banyak aset. Saya pula bukan jenis orang yang suka shopping tanpa sebab dan terlalu memandang jenama,” ujar Janna yang bakal membeli sebuah rumah lagi pada tahun ini.
Selain bakat lakonan, dia juga gemarkan aktiviti lasak seperti berlumba kereta. Janna terlibat secara langsung dalam Toyota Gazoo Racing sejak musim pertama, malah menjadi juara di Litar Batu Kawan, Pulau Pinang tahun lalu.
Kalau dulu Janna kurang cerewet soal penjagaan baju, hari itu tiba-tiba persepsinya berubah apabila diperkenalkan dengan TOP PLUSH Kondisioner Fabrik Ultra Konsentrasi. Bayangkanlah, hanya satu penutup kecil pelembut fabrik ini saja mampu hilangkan segala bau peluh dan buat baju-bajunya jadi lebih wangi serta segar semula jadi.
“Wanginya! Saya suka aroma pelembut fabrik ini, umpama bangun pagi mata disajikan dengan keindahan panorama pantai, udara segar dan deruan ombak yang mendamaikan (ketawa). Bukan buat-buat ya, tapi memang bila gunakan TOP PLUSH, tiba-tiba saya rasa yakin dan bersemangat. Bau hapak dan bakteria pun terhapus, so baju-baju sukan saya semua bau wangi dan fresh!” kongsinya sambil tersenyum membelek-belek baju di almari.
Amboi, macam cerita drama pula tengok Janna jatuh cinta dengan pelembut fabrik TOP PLUSH ni. Bila penulis cium sendiri baju-baju yang dipegang, tak sangka memang lembut dan selesa sungguh. Patutlah ramai pengguna berebut-rebut dapatkan TOP PLUSH sekarang, rutin mencuci bagai tak lengkap tanpa pelembut fabrik hebat tu!
SELEKTIF
Bercerita tentang perkembangan terkini, Janna Nick jujur mengakui lebih selektif dalam pemilihan watak lakonan. “Tahun ini saya agak memilih watak kerana kejarkan kualiti, bukan kuantiti. Dulu saya hanya cari duit tapi sekarang ini saya mahu kualiti bakat yang dinilai peminat.
Memang tujuan asal saya menceburi bidang seni untuk tambah pendapatan. Saya mula masuk dalam industri ketika umur saya 16 tahun dan ini bermakna sejak dari sekolah saya dah mula bekerja. Masuk dalam dunia seni mungkin mudah tetapi yang sukarnya adalah untuk kekal dalam industri.
Bagi saya untuk kekal lama dalam industri kena minat. Dalam setiap kerja apa pun kena minat, kan? Kini setelah lapan tahun berada dalam industri saya sedar lagi lama berada dalam industri sebenarnya lagi mencabar. Bukan bermakna lagi lama berada dalam industri perjalanan seni semakin mudah tapi lebih mencabar sebab macam mana nak letakkan diri kita atau kekalkan diri kita dalam top list,” ujar gadis berdarah kacukan Cina, Pakistan dan Siam itu
Janna Nick juga begitu teruja berkongsi tentang dunia pengacaraan yang menjadi keutamaannya kini. Setelah tiga tahun menjadi hos untuk program hiburan terkenal di salah stesen televisyen Janna Nick rupanya kini sudah mempunyai program bual bicara sendiri.
Menurut Janna Nick program bual bicara yang masih dalam proses rakaman itu benar-benar menguji keupayaan dirinya sebagai seorang pengacara. “Apabila saya diberi peluang untuk mengacarakan sebuah program bual bicara cabarannya lain pula bila terpaksa menyesuaikan diri dengan program tersebut.
Sebelum ini saya biasa mengacarakan program siaran langsung kini saya belajar pula untuk mengendalikan sebuah program secara rakaman pula. Saya tak sabar nak tengok program tersebut ke udara dan dengar komen dan kritikan orang ramai, kalau kritikan itu membina saya akan ambil,” tutur pelakon filem Kimchi Untuk Awak ini.
Sesungguhnya kejayaan Janna Nick sebelum berusia 30 tahun amat dicemburui ramai. Semoga usahanya terbayar dengan rezeki yang lebih banyak dan seterusnya, menyuntik inspirasi kepada semua gadis muda agar mencontohinya. Nona sendiri tak sabar nak tengok pencapaian demi pencapaian Janna Nick, berkat kerja keras dan niat mulia membantu keluarga tercinta.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
MashaAllah, memang cantik sangat ibu ini! Pastinya saat ini Nur Fazura Sharifuddin dan Fattah Amin sedang diulit bahagia menyambut kehadiran cahaya mata sulung mereka.
Sekian lama berahsia mengenai jantina anak yang dikandung, akhirnya hari ini tanggal 2 Oktober… Fazura dilaporkan selamat melahirkan anak perempuan. Alhamdulillah!
Kongsi Fazura, “Assalamualaikum. Syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah SWT. Kiriman agung pertama kami telah selamat dilahirkan pada hari Jumaat yang mulia ini, 14 Safar 1442 Hijrah bersamaan dengan 2 Oktober 2020. Cahaya mata perempuan yang sihat dan sempurna ini sangat membahagiakan kami berdua dan keluarga.
Di sini juga kami ingin memohon sedikit masa bagi merahsiakan nama dan wajah anakanda tersayang sehingga selepas tujuh hari selaras dengan sunnah Rasulullah SAW. In shaa Allah. Terima kasih kami ucapkan buat anda semua dikasihi, yang tidak henti-henti mendoakan kami bertiga sejak awal sehingga Fazura selamat melahirkan. Salam sayang dari kami bertiga.”
Mengimbas kembali detik awal kehamilan aktres cantik berkenaan, Fazura dan Fattah sepakat mengumumkan berita gembira berkenaan kepada peminat pada 17 April lepas. Waktu itu, usia kandungan Fazura baru mencecah empat bulan.
Kongsi Fazura, “Setelah melayari perkahwinan kami selama dua tahun, saya dan suami Fattah Amin ingin berkongsi berita yang amat mengembirakan. InsyaAllah dengan izin Allah SWT kami bakal menimang cahaya mata kami yang pertama. Kandungan saya kini dalam bulan keempat, alhamdulillah.
Kami sentiasa yakin akan peraturan Allah dan sesungguhnya ini merupakan waktu yang paling tepat bagi kami dikurniakan zuriat yang amat membahagiakan ini. Tiada yang lebih diutamakan dalam hidup kami sekarang melainkan yang tersayang. Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan dan memberikan ucap selamat kepada kami selama ini. Kami amat mensyukuri setiap detik dalam fasa ini dan hari-hari indah yang akan datang. InsyaAllah. Alhamdulillah dan terima kasih sekali lagi dari hati kami berdua.”
Diakui sepanjang kehamilan, setiap gerak-geri dan kelibat Fazura amat dinanti-nantikan serta mencuri perhatian ramai. Apa sahaja posting yang dimuatnaik Fazura di media sosial pasti meraih ratusan ribu likes dan komen. Rata-rata peminat dan rakan artis turut berkongsi rasa gembira selain memuji penampilan jelitawan ini yang tampil lebih berseri-seri sejak mengandung. Malah, pemakaian Fazura sepanjang hamil juga disedari ramai dan disifatkan cukup sopan.
Biarpun sarat hamil Fazura tetap ligat merencana perniagaan. Pada hujung Ogos lalu Fazura sekali lagi tampil mempersona dalam persalinan rona merah jambu ketika melancarkan produk penjagaan kulit miliknya, Fazura Skincare. Ia merangkumi set pembersih muka, skrub, serum, krim siang dan malam. Hari ini, tanggal 2 Oktober juga ‘buah tangan’ terbaharu iaitu Fazura Beauty iaitu rangkaian lip matte turut memasuki pasaran. Khabar gembira berganda buat Fazura bulan ini.
Tahniah buat Fattah dan Fazura! Moga ibu dan bayi berada dalam keadaan sihat serta dipermudahkan segalanya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.