Tak sombong, tak lokek ilmu dan pengalaman. Itulah ungkapan tepat yang dapat diberikan kepada jutawan tersohor, Haliza Maysuri yang merupakan pemilik dan pengasas Bawal Exclusive Sdn Bhd ini.
Selama 21 tahun Bawal Exclusive kukuh di pasaran, bukan satu tempoh yang singkat. Pelbagai rintangan diharungi Haliza dan suami, Mohd Rosli Awang demi meletakkan label ekslusifnya itu di tahap gah bukan hanya di Malaysia bahkan luar negara.
Pengalaman berniaga di pasar malam serta pernah memiliki gerai kecil di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur telah membina jati diri usahawan Bumiputera berusia 42 tahun ini. Berkat kesungguhan, Bawal Exclusive kini menjadi pemborong terbesar kristal Swarovski di dunia. Hebatnya!
KESAN BISNES TERHADAP COVID-19
Tak dinafikan sejak penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan terhadap ekonomi dunia. Kebanyakan peniaga meluahkan rasa bimbang dan cemas apabila keadaan ini menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Namun sebagai usahawan yang sudah banyak melalui pelbagai cabaran getir terutama ketika mula-mula berniaga, Haliza sentiasa tenang dan positif sepanjang berdepan dengan pandemik ini. Haliza turut berkongsi pesanan ‘padu’ di Instagram peribadinya khas buat para peniaga di Malaysia. Cukup menusuk ke jiwa!
“Peniaga sekarang cepat sangat putus asa. Syarikat Bawal Exclusive sekarang ada 32 Premium dan Reseller di seluruh negeri. Selama mereka berniaga Bawal Exclusive tidak pernah merasa rugi dan sakit seperti sekarang ini. Setiap tahun pasti ada peningkatan jualan. 10 antara mereka yang saya lahirkan sudah bergelar jutawan, saban tahun hasil jualan mencapai jutaan ringgit.
Ads
Apabila terjadinya wabak COVID-19, ada antara mereka yang putus asa. Ada yang hubungi saya menangis sebab sedih dan cemas. Saya yang dipanggil Mak dalam perniagaan ini, aktifkan IG ini untuk memberi contoh kepada mereka dan usahawan lain di luar sana. Buka mata lihat apa yang saya buat, jadikan contoh, sedut aura positif, kerja kuat pantang menyerah selagi Allah bagi nafas.
Nak mengadu dalam keadaan sekarang ni jangan tulis di media sosial. Bangun malam meratap minta pertolongan dan ketenangan pada Allah. Fokus dengan kerja kita, jangan asyik stres kira berapa hari lagi PKP ni. Cari hikmahnya.
Saya yang dah berpuluh tahun dalam bidang ini sudah lalui pahit getir ujian, sepak terajang dunia perniagaan. Sebab itu jika masa tengah senang kena menyimpan. Kena ada tabung jika berlaku kecemasan.
Semasa musibah cari peluang, contohnya ketika berlakunya COVID-19 kerajaan masih benarkan syarikat penghantaran beroperasi. Sehari sebelum PKP saya dah bungkus semua masuk dalam kotak stok jualan untuk dibawa balik ke rumah. Boleh berniaga dari rumah. Cepat bertindak!
Ads
Deko mewah pejabat Bawal Exclusive. Cantiknya!
Saya tak pernah kira berapa hari lagi akan berkurung dalam rumah. Saya kira sale dan buat sale. Saya minta Allah bantu saya untuk gerakkan hati orang-orang kaya di Malaysia untuk membeli jualan saya agar saya lepas membayar gaji pekerja-pekerja pada masa yang tepat.
Sebenarnya perniagaan yang besar, besar juga tanggungannya. Memang nampak gah, ada banyak property, ada ramai staf. Setiap hari ratusan, kadang jutaan ringgit duit masuk. Itu normal apabila kita boleh berniaga seperti biasa. Tapi dalam keadaan sekarang ini, duit semua ‘terduduk’ pada barang jika kita tak ada buat jualan. Bagaimana nak bayar hutang property dan gaji pekerja?
Sepanjang PKP, saya mulakan jualan di story. Lepaslah gaji untuk 100 lebih kakitangan saya yang mencecah RM200K sebulan. Memang itu yang saya minta dengan Allah apabila bangun malam. Niat nak membantu Allah akan bantu.
Selagi saya ada kudrat, selagi itu saya akan kerja kuat. Bagi majikan yang bertanya kepada saya bagaimana nak berhentikan pekerja sebab tak mampu nak bayar gaji, ini jawapan saya.
Bersama pereka fesyen kegemaran, Dato’ Rizalman.Bersama sahabat baik, Datin Anne Ngasri.
Dalam keadaan begini kita boleh lihat dalam ramai-ramai pekerja mana yang betul-betul sayangkan perkerjaannya dan yang ikhlas berkerja demi membantu menaikkan syarikat. Pekerja begini kita perlu jaga sehabis baik. Jika perlu, harta yang kita simpan pun boleh gadai kerana harta yang kita kumpul selama ini pun hasil titik peluh pekerja kita juga.
Ads
Namun jika ada yang sebaliknya dengan keadaan pula makin genting, bolehlah beri dia peluang cari kerja di tempat lain. Saya harap dapatlah memberi sedikit suntikan semangat kepada mereka di luar sana melalui coretan-coretan yang saya post di Instagram. Ambil yang positif, praktis dalam kehidupan.”
KEKAL TENANG
Satu lagi perkongsian menarik di Instagram peribadi Haliza pada minggu lalu iaitu tentang penampilannya ke pasar borong Selangor yang telah menarik perhatian ramai.
Ada yang melontarkan kata-kata kurang enak didengar, ada yang mentertawakan, ada yang kata over. Paling menjengkelkan ada yang kata Haliza berlagak seperti artis Hollywood musim corona walhal hanya ke pasar borong sahaja. Namun Haliza tetap tenang dan tak ambil pusing dengan kata-kata yang langsung tidak memberi kesan terhadap kehidupannya.
Apa yang penting Haliza lebih terkesan dengan pengorbanan para petugas barisan hadapan yang terpaksa menyarungkan pakaian khas dalam tempoh yang lama demi melindungi masyarakat daripada wabak COVID-19.
“Allahuakbar panasnya pakaian begini. Macam mana dengan doktor dan nurse.. Ya Allah tolonglah mereka semua ya Allah. Berilah semangat dan kekuatan dalam jiwa mereka dalam jihad ini. Sembuhkan semua pesakit. Jagakanlah keluarga petugas dan keluarga pesakit. Selamatkan kami semua seluruh dunia ini.”
Kredit Foto: Instagram Haliza Maysuri & Bawal Exclusive
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pelakon Mia Ahmad mengenang momen sewaktu pertama kali hatinya terdetik untuk berhijrah ke arah yang lebih baik.
Menurut Mia atau nama sebenarnya Samihah Ahmad Baderi, kisah hijrahnya bermula selepas dia memutuskan untuk berhenti berkerja dari sebuah syarikat penerbangan tempatan.
Tinggalkan Zaman ‘Kegemilangan’, Demi Dalami Agama!
Ulasnya lagi, berkat didikan yang diberikan oleh kedua ibu bapa, dia nekad untuk mendalami lagi ilmu agama.
“Kita semua ada zaman kegemilangan itu. Bagi saya, kisah hijrah saya bermula selepas saya berhenti daripada sebuah syarikat penerbangan dengan uniform skirt merah.
“Waktu tu saya masih mencari cari diri saya sebenarnya tapi sebab basic pengetahuan ilmu agama yang diberi oleh ibu bapa dari kecik, saya tahu perubahan besar ni akan memberi impact besar juga dalam hidup saya,” tulisnya.
Kisah tersebut dikongsikan oleh isteri kepada pemain bola sepak Johor Darul Takzim, Izham Tarmizi itu menerusi sebuah hantaran di laman Instagram.
Dalam pada itu, Mia turut mendedahkan perjalanan hijrahnya turut diuji dengan pelbagai cabaran terutamanya dari segi pendapatan.
Bagaimanapun, ibu kepada empat orang cahaya mata ini tetap bersyukur kerana Allah sentiasa memudahkan urusannya.
“Betul la, bila kita menuju ke jalan Allah, satu satu Allah bukakan jalan untuk kita.
“Masa tu tak berhijab lagi, tapi niat tu dah ada cuma kerja dah tak ada waktu tu dengan commitment yang tinggi, hutang credit card lagi nak bayar (waktu spend dulu tak ingat) memang saya lost tapi saya percaya dengan rezeki dan pertolongan Allah S.W.T,” kongsinya lagi.
“Love Your Hijrah Journey Babe,” – Netizen
NONA sempat menjengah ke ruangan komen hantaran berkenaan, rata-rata netizen kagum dengan kisah tersebut selain turut mendoakan agar Mia akan terus kekal istiqamah dalam hijrahnya.
“Semoga Allah kurniakan hidayahnya untuk Mia tanpa henti hingga akhir usia. Moga diberikan kekuatan dan terus istiqomah.
“Love your hijrah journey babe.
“Love dengan Mia dari awal kemunculan dalam bidang seni hingga kini.
“Semoga Allah sentiasa permudahkan urusan awak,” antara komen-komen netizen di Instagram.
Sekadar info, Mia dan Izham telah pun mendirikan rumah tangga mereka pada tanggal 13 Januari 2017.
Hasil perkongsian hidup selama tujuh tahun itu, pasangan merpati dua sejoli ini dikurniakan empat orang cahaya mata sebagai penyeri hidup mereka.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Bergelar ibu kepada selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor nyata bukan perkara mudah bagi Datin Noor Kartini Noor Mohamed. Biarpun pada awal pembabitan anak ketiga daripada sembilan beradik itu dalam industri seni menerbitkan perasaan gusar di benaknya namun saban tahun Datin Kartini yang lebih dikenali dengan panggilan Datin Tini sudah mampu menyesuaikan diri dengan tempias dunia glamor Neelofa.
Tidak mahu membezakan cabaran yang dilaluinya sebagai ibu selebriti melebihi dugaan kebanyakan ibu lain, Datin Tini percaya setiap wanita bergelar ibu tidak terlepas dilanda ujian masing-masing. Mendirikan rumah tangga pada usia muda, Datin Tini yang juga isteri kepada Dato’ Abdul Halim Khan tidak pernah serik mempunyai ramai anak. Selain berdepan persepsi khalayak kerana statusnya sebagai ibu selebriti, dia juga menggalas tanggungjawab besar untuk mendidik sembilan orang anak.
Percaya didikan yang baik bermula dari rumah, wanita berjiwa penyayang yang lahir pada 8 Julai 1966 ini tidak lokek berkongsi rahsia. “Anak-anak perlu dipupuk dengan amalan murni sejak kecil termasuk tentang disiplin. Bab mendisiplinkan anak-anak, saya serahkan kepada ayah mereka. Didikan saya lebih kepada aspek rohani manakala suami pula mendidik dari segi karakter dan fizikal anak-anak.
Suami pun memang seorang yang tegas jadi anak-anak takut kalau tak ikut cakap ayah mereka. Katakan bila cuti sekolah hendak keluar makan dengan kawan-kawan kena beritahu awal sekurang-kurangnya 3 hari sebelum keluar. Kalau esok hendak keluar, malam tadi baru cakap memang tak akan dapat.
Ketepatan masa juga antara yang paling utama dalam mendidik anak. Mungkin sebab sudah lali dengan cara ayah mereka, Neelofa termasuk adik-beradik yang lain terlatih untuk bersiap awal kalau ada perjumpaan atau shooting. Pada saya, orang yang mahu berjaya kena ada disiplin yang tinggi. Kalau tak ada disiplin dalam diri memang susah hendak maju. Bukan mahu membangga diri tapi hakikatnya saya tak alami kesusahan hendak asuh sembilan anak sebab bila anak sulung sudah tunjuk teladan yang baik, secara automatik adik-adik seterusnya akan ikut cara yang sama,” telus Datin Tini yang mengimpikan anak yang ramai.
Seperti yang diketahui ramai, Neelofa merupakan antara selebriti yang memiliki keputusan akademik cemerlang sepanjang berada di bangku sekolah. Pernah memperoleh keputusan 5A dalam UPSR, 8A semasa PMR dan 10A ketika menerima Sijil Persekolahan Malaysia (SPM) membuatkan ramai yang cemburu dengan kelebihan gadis berusia 31 tahun itu. Dia bukan saja dikurniakan raut wajah cantik malah pintar dalam pelajaran.
Mencungkil apakah resipi kejayaan Neelofa hingga meraih keputusan sedemikian, Datin Tini yang memiliki darah keturunan Pakistan-Arab lantas membuka rahsia. “Saya bukanlah ibu yang tetapkan standard tertentu untuk keputusan pelajaran anak-anak. Memang Neelofa anak yang paling pandai dan tak pernah hutang ‘A’ sama seperti Aqief dan Nur Athisha.
Waktu baru umur lima tahun, Neelofa sudah mula buat subjek pelajaran untuk usia lapan tahun. Bila saya tengok cara dia belajar dan minatnya dalam pelajaran, saya sokong dan daftarkan dia ke pusat tuisyen di Kota Bharu. Ketika itu kami tinggal di Pasir Mas. Memang rutin dia setiap hari diisi dengan membaca buku dan buat latihan di rumah.
Pernah masa di MRSM selepas habis peperiksaan PMR, dia telefon saya beritahu susah hati dan menangis sebab takut tak dapat skor A. Sebenarnya saya tak kisah pun kalau dia tak dapat gred A sebab tahu cara dia belajar macam mana. Cuma perangai Neelofa ini.. dia takut buat saya kecewa. Sampai sekarang bila sudah jadi artis pun dia terbawa-bawa perangai itu.
Sama ada suami atau saya sendiri, kami tak pernah pilih kasih dalam mendidik anak. Semua layanan sama rata saja. Jadi, kalau ada yang tanya apa saya buat untuk anak pandai dalam akademik.. hanya kata-kata perangsang. Tiada ajaran istimewa pun sebab pada akhirnya nanti kemahuan untuk berjaya itu ada dalam diri sendiri. Tak ada sesiapa yang mampu ubah kalau bukan empunya diri.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Benarlah tangan yang menghayun buaian itu mampu menggoncang dunia. Kecekalan Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz melayari hidup sebagai isteri, ibu dan pendidik sememangnya wajar dijadikan inspirasi. Tidak hanya berbagi masa untuk mengurus keluarga dan anak-anak, dia juga komited menabur bakti sebagai pendidik demi pembangunan anak bangsa.
Dalam kesibukan itu, Sharifah Mahani juga kental mengharungi ujian apabila menghidap kanser payudara.
Kisah perjuangan ibu empat anak tersebut melawan kanser mendapat perhatian umum apabila anak keduanya yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan berita tersebut di media sosial. Menerusi posting yang dibuat pada Julai 2020, pemuda berusia 27 tahun berkenaan memuat naik gambar di samping ibu tersayang di sebuah hospital.
Difahamkan kanser payudara Shariffah Mahani yang berjaya diatasi kira-kira lapan tahun lalu kembali menyerang tahun lepas. Selamat menjalani pembedahan membuang sel kanser, dia kemudian diraikan dalam satu majlis persaraan tahun lalu setelah lebih 30 tahun bertugas sebagai guru.
Shariffah Mahani di samping suami tercintaKetika di hospital menjalani prosedur pembedahanSewaktu majlis persaraan tahun lepas
Melalui gambar-gambar yang dikongsikan Syed Saddiq, Shariffah Mahani tetap gigihkan diri menyertai majlis berkenaan biarpun baru seminggu menjalani prosedur pembedahan. Dari riak wajahnya, jelas terpancar sinar bahagia walau kesakitan yang ditanggung hanya Tuhan yang tahu.
38 tahun menjadi pendidik nyata bukan tempoh singkat. Terbiasa dengan rutin harian yang sibuk, Shariffah Mahani enggan sekadar berehat di rumah sebaliknya mahu terus aktif bekerja. Atas sokongan anak-anak dan minat, wanita berjiwa kental ini akhirnya berjaya membuka sebuah restoran sendiri iaitu Mama’s Kitchen. Alhamdulillah!
Teruja dengan kejayaan itu, Syed Saddiq di Instagram miliknya pada Jun lalu mendedahkan, “Hari ni kedai mama, Mama’s Kitchen dah buka! Mama dulu bekerja sebagai cikgu selama 38 tahun. Lepas mama bersara, mama cakap dengan saya yang mama bosan duduk rumah. Workaholic!
Saya cadangkan pada mama untuk buka kedai makan. Saya cadangkan awal bulan 5, belum sampai sebulan, mama dah launch kedai! She’s definitely a superwoman!
She took up a kitchen at my new business venture Coox Asia. Boleh order makanan mama yang mama masak sendiri guna resipi turun-temurun keluarga. Favourite saya Shakshouka dengan lasagna. Sekali cuba, confirm akan order lagi. Sokong usaha mama saya ya semua.”
Sementara itu, bagi Shariffah Mahani pula tiada ungkapan yang lebih bermakna selain bersyukur kerana kini bergelar pengusaha restoran. “Masa awal-awal anak-anak mama minta mama buka kedai makan, mama sungguh risau. Mama risau tak mampu berikan yang terbaik untuk pelanggan dan mama risau kesihatan tak mengizinkan.
Tapi atas berkat sokongan suami, anak-anak dan team Mama’s Kitchen iaitu Amira, Nor, Shasha dan Juli, alhamdulillah dah berjaya buka selama dua minggu. Mama seronok tengok orang beri comment makanan sedap. Dan mama juga suka bila ada kritikan membina untuk mama perbaiki kualiti kedai makan mama.
I always tell my children, learning never stops. I’m so glad that at the age of 61, I still have the chance to learn how to run my own business. Jemput order dari Mama’s Kitchen ya.”
Buat Shariffah Mahani, semoga terus tabah dan kuat mendepani hari-hari mendatang. Moga perkongsian kerjaya, perjuangan menentang kanser dan kejayaan menjadi pengusaha restoran ini memberi suntikan inspirasi buat ramai wanita agar terus gigih menggapai impian.
Kredit foto: Instagram Syed Saddiq & Shariffah Mahani
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!